Thursday, February 24, 2011

Seburuk-buruk DAP, sebaik-baik Umno...

oleh: Mat Zain Mat Isa

Isu hubungan akrab PAS-DAP sehingga kini sukar diterima sebagai hakikat politik, terutama oleh pendokong parti lawan. Ia bagaikan tidak pernah terhenti dari menjadi pemanas pentas politik negara. Ia juga tidak ketinggalan dijadikan modal wajib oleh Barisan Nasional (BN), terutama setiap kali menjelang berlangsungnya pilihan raya.

Logiknya, BN melihat sebarang bentuk kerjasama antara dua parti berbeza ideologi itu menyediakan ruang agak baik untuk dimanipulasinya. Hakikat bahawa DAP sekian lama dikaitkan dengan imej cauvinis Cina, manakala PAS dengan prinsip perjuangan Islamnya, menyebabkan sebilangan agenda politik kedua-dua parti itu dilihat tidak seiringan, bahkan bercanggahan.

Memang tidak sukar bagi rakyat negara ini untuk mengakui jika dikatakan bahawa PAS dan DAP tidak mungkin dapat bersatu. Mana mungkin sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita menubuhkan Negara Islam yang di dalamnya bakal tertegak hukum dan peraturan Allah mampu berjalan seiring atau duduk semeja dengan sebuah parti berideologi sosialis demokratik?

Kedua-dua parti itu ibarat berada di dua penjuru yang saling bertentangan dan seakan tidak mungkin ada kompromi dalam menegakkan perjuangan masing-masing. Rekod-rekod lampau yang menyaksikan hubungan tegang, termasuk aksi berbalas serangan antara para pemimpin dua parti pembangkang itu mengukuhkan tanggapan sebegitu.

Setakat ini BN agak berjaya memanipulasi perbezaan ini. Hakikat bahawa PAS dan DAP saling bergantung harap kepada sokongan dua kelompok pengundi berbeza kaum dan agama ikut memudahkan kerja-kerja jahat BN. Seakan ada pembahagian tugas di kalangan parti-parti komponennya untuk membina kebencian masyarakat terhadap kedua-dua parti itu.

Apabila berdepan orang Cina yang merupakan pangkalan kekuatan DAP, mereka diberikan gambaran buruk tentang PAS. Pengundi kaum itu ditakutkan dengan dasar dan agenda Islam diperjuangkan parti itu.

Kononnya jika PAS diberi kepercayaan mentadbir negara, dasar Islam dijunjungnya akan menyebabkan orang Cina teraniaya dan sengsara. Juara mewujud dan menyuburkan persepsi negatif terhadap PAS, dan juga Islam, di kalangan masyarakat Cina adalah MCA.

Tatkala berdepan masyarakat Melayu selaku kelompok teras sokongan PAS, BN melontarkan pula segala macam cerita menakutkan mengenai hasrat dan halatuju perjuangan DAP.

Parti itu dilabelkan anti-Islam, ekstremis Cina dan bermaksud menghapuskan berbagai kepentingan orang Melayu. Kerja-kerja memfitnah dan menyemarakkan kebencian terhadap DAP di kalangan orang Melayu ini dijadikan agenda berterusan oleh Umno.

Sebagai konklusi, isu hubungan akrab PAS-DAP diputarbelitkan sebagai bukti kedua-dua parti itu telah menggadai prinsip perjuangan demi mencari kuasa politik. Mengapa PAS mesti ditolak? Umno memperbodohkan orang Melayu kononnya PAS alat DAP.

Mengapa DAP tidak boleh dipercayai? MCA mengelirukan orang Cina kononnya DAP sudah mengikut telunjuk PAS.

DAP memang pernah memiliki rekod buruk terhadap PAS dan Islam. Antara yang sering dipetik dan diulangsebut BN ialah kenyataan masyhur Pengerusi DAP, Karpal Singh. Cabarannya agar PAS melangkah mayatnya dulu sebelum menubuhkan Negara Islam dijadikan sandaran utama percanggahan dua parti itu.

Namun, apakah itu menjadikan DAP selama-lamanya berimej buruk? Atau, secara otomatik menjadikan Umno lebih baik daripada DAP?

Beberapa pemerhatian berikut wajar diperhalusi. Pertama, para pemimpin DAP adalah manusia biasa yang mampu berubah pemikiran dan pendirian. Alhamdulillah, menilai beberapa perkembangan kebelakangan ini, perubahan persepsi mereka terhadap Islam amat positif.

Karpal sendiri sudah menunjukkan perubahan sikap amat ketara. Hujah ‘langkah mayat saya dulu’ itu sudah tidak relevan. Kenyataan itu sudah termansuh dengan sendiri apabila dalam Konvensyen Pakatan Rakyat terbaru beliau mengisytiharkan pendirian sebaliknya. Dia sudah dapat menerima rasional PAS meneruskan agenda menegakkan Negara Islam.

Harus diakui sebelum ini komen DAP mengenai Islam dibuat dalam keadaan amat jahil tentang Islam. Kebenciannya terhadap Islam disemarakkan persekitaran dikuasai BN yang ikut memberikan gambaran sangat buruk terhadap PAS dan Islam.

DAP tidak berpeluang mengenali PAS secara lebih dekat dan mendalami Islam dengan minda terbuka. Persepsi negatif itu tidak kekal tatkala ia diberi peluang mengenali Islam. Buktinya, baru tidak sampai sepenggal menjalin hubungan akrab dengan PAS, nada cakap pemimpin DAP mengenai Islam sudah banyak berubah.

Bahkan, apabila parti itu mendapat peluang memerintah Pulau Pinang, ketua kerajaannya secara terbuka menyatakan hasrat mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz.

Biar pun banyak pihak mempertikai sejauh mana realistik hasrat itu, sekurang-kurang seorang pemimpin Cina bukan Islam sudah tertarik dengan model pemerintahan Islam. Sedangkan Umno yang mengaku Islam dan telah berpeluang memerintah negara lebih separuh abad masih gagal bebruat demikian.


Kedua, parti yang lebih lantang sejak dulu dan bertambah lantang mutakhir ini menentang pelaksanaan Islam bukannya DAP, tetapi MCA selaku rakan akrab Umno.

Justeru, sayugia ditanya Umno yang kononnya pembela dan penegak Islam di negara ini, apakah ia melakukan sesuatu untuk mengubah persepsi amat negatif di kalangan rakan bukan Islam BN terhadap Islam? Maaf cakap, keceluparan para pemimpin MCA yang kebelakangan ini semakin lantang menghina dan memperlekehkan ajaran Islam membuktikan sebaliknya.

Umno ternyata gagal memahamkan rakan baiknya untuk lebih bertoleransi. MCA tergamak berdemonstrasi di depan ibu pejabat PAS menentang pelaksanaan hukum Islam. Presiden MCA mengaitkan Islam dengan kemunduran negara.

Malah sewaktu kerajaan PAS Kelantan berusaha memahamkan masyarakat bukan Islam negeri itu mengenai penyusunan semula lesen premis arak di awal dekad 90-an dulu, MCA lah menjadi juara mencabar peraturan diperkenalkan itu. Ia dengan angkuh sengaja menganjurkan pesta minum arak di Kota Bharu sebagai sindiran terhadap kerajaan negeri. Apakah tidak ada orang Islam di dalam Umno ketika itu, sehingga seolah-olah merestui persendaan oleh MCA itu?

Ketiga, jangan lupa rekod buruk Umno sendiri terhadap Islam. Umno bertegas tidak mahu hudud dilaksanakan. Ia menggunakan kuasanya di kerajaan Pusat menghalang usaha itu. Bahkan bekas perdana menteri pernah memberi amaran kepada Kelantan dipimpin PAS agar tidak menerukan hasrat itu.

Jangan lupa, sebaik-baik Umno (jika betul ia memamg baik terhadap Islam), para pemimpin parti itulah juga yang paling kerap mengeluarkan kenyataan mempersenda hukum Allah. Suatu ketika dulu, seorang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri ada menyebut “daripada kita guna batu untuk merejam orang berzina, lebih baik kita gunakan untuk buat jalan raya”.

Pemimpin sama juga membidas kecaman umat Islam terhadap tabiatnya yang suka meminum arak. Antara reaksinya, “apa salahnya jika hanya seteguk (bir)?”.

Pemimpin Umno selepas itu turut menyerang hukum Allah. Antara katanya yang masyhur, “jika dilaksanakan hukum potong tangan (hudud), nescaya ramailah orang Islam akan kudung. Umat Islam akan mundur kerana tidak mampu bekerja”.

Di ketika lain dia mempersenda, “sekiranya dilaksanakan hukum potong tangan, nescaya akan busuklah Sungai Kelantan”.

Janga lupa juga, seburuk-buruk DAP, bukan parti itu yang meruntuhkan masjid di Terengganu dan menyondol beberapa surau di serata negara. Bukan juga pemimpin parti itu yang bertanggungjawab menyuburkan budaya hidup yang menyimpang dari ajaran agama dalam masyarakat negara ini.

Bukan DAP yang menolak mentah-mentah garis panduan hiburan dikeluarkan Jakim, meluluskan lesen arak dan judi, mencadangkan hab hiburan demi mempertingkat ekonomi, menyuburkan budaya rasuah dalam pemerintahan dan masyarakat, membazirkan wang rakyat dan berbagai lagi.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1617, 25 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis' F8 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment