Thursday, February 17, 2011

Apabila Ali Rustam sedia jadi "tukang karut"

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pakatan Rakyat, khususnya PAS dijangka tidak mendapat laluan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, bulan depan. Selain kawasan itu secara tradisi menjadi kubu Barisan Nasional (BN), pengalaman politik dilalui pembangkang di negeri itu juga membuktikan betapa parti pemerintah negeri tersebut antara yang paling tidak ‘bertamadun’ dalam tindak-tanduk politiknya.

Justeru, PAS dijangka bakal berdepan suasana kempen yang tegang dan amat tidak selesa, sama sekali berbeza dengan “ketenangan” dilaluinya sewaktu PRK Dun Tenang, dua minggu lalu. Isyarat itu bagaikan terbayang menerusi kesediaan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berdebat dengan parti lawan sepanjang tempoh kempen nanti.

“Saya sanggup, saya berani menjawab semua isu dibangkitkan pembangkang mengenai negeri ini, termasuk isu Melaka Maju, Sekolah Harapan dan isu lain yang mengutuk tindakan kerajaan negeri,” media cetak pada Sabtu memetik katanya yang telah pun ‘turun padang’ ke Merlimau.

PRK berkenaan bakal diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK itu pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. Beliau memperolehi 4,981 undi berbanding Jasme yang mendapat 2,827 undi.

Menurut perangkaan 2008, Dun Merlimau mempunyai 10,471 pemilih berdaftar dengan komposisi 64.69 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (21.11%) dan India (14.16%).

Kompisisi pengundi campuran itu sedikit menggarap harapan buat PAS. Biar pun berbekalkan peratusan undi majoriti kekalahan agak tinggi, parti itu sekurang-kurangnya mampu mencongak bahawa BN sebenarnya tidak ada kelompok pengundi khusus yang boleh dijadikan ‘kubu’ kekuatannya.

“Agak menariknya seluruh peti undi di Dun Merlimau mempunyai pengundi campuran, tidak ada pengundi khusus berbanding di Dun Tenang, yang ada peti undi dikuasai Melayu, Cina dan Orang Asli. Bagaimana pun, di Merlimau pengundinya bersifat campuran. Tidak ada kawasan boleh dibanggakan BN yang menjadi kubu kuat mereka,” media cetak pada Isnin (14 Februari) memetik ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bersandarkan perkiraan itu, beliau yang juga pengarah PRK itu malah menyuarakan keyakinan tidak mustahil PAS berupaya mendapat kerusi pertamanya di Melaka menerusi PRK itu.

Memang tidak ada yang mustahil dalam politik. Namun mengambilkira realiti dan latar politik setempat, secara jujur wajar diakui bahawa keyakinan itu agak ‘ambitious’ buat PAS.

Jangan lupa bahawa BN Melaka diterajui seorang yang terkenal dengan perwatakan keras dan sukar berdiplomasi apabila berdepan pihak lawan. Selain Umno Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh yang ada rekod menghalau pelajar-pelajar PASTI dari bangunan sekolah mereka, kerja terkutuk seumpama itu dilaporkan hanya turut berlaku di Melaka.

Sebab itu apabila siang-siang lagi Ali Rustam telah melaungkan akan “mengiringi” majlis ceramah PAS dengan hujah balasnya, itu bukan perkara main-main. Pemimpin yang pernah dilucutkan kelayakan bertanding jawatan utama Umno itu tidak sekadar bercakap apabila menyatakan kesediaannya “berdebat” mengikut caranya tersendiri.

“Lebih baik jika program itu (debat dengan pembangkang) dilakukan dalam satu kawasan, bukan di pentas sama. Cuma saya di sebelah kiri, dia (pembangkang) di sebelah kanan dan setiap kali dia bertanya, saya akan menjawab masa itu juga,” kata Ali Rustam.

Harus diingat pemimpin ini pernah mempraktikkan cara beliau maksudkan itu beberapa tahun lalu. Sebilangan kita barangkali masih ingat insiden di mana beliau seakan seorang yang hilang akal tergamak mewujudkan kacau-ganggu sedemikian pada ceramah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Melaka.

BN sengaja mengadakan ceramah di seberang jalan bersetentang pentas ceramah PAS yang telah dirancang lebih awal. Lalu pada malam itu Ali Rustam tampil di pentas seumpama seorang ‘tukang karut’ dalam persembahan dikir barat.

Setiap kali Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan hujahnya, kedengaran suara pemimpin Umno itu mengulas dari seberang jalan, dalam nada menyergah dan mempersenda. Kita percaya tindakan sebegitulah yang dimaksudkan untuk diulanginya di Merlimau nanti.

“Tidak kisah siapa akan berada di pentas sebelah kanan, sama ada Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang. Semua saya sanggup berdepan,” katanya.

Kita bimbang jika hasrat itu diteruskan atau Ali Rustam dibenarkan oleh pihak keselamatan untuk menjadi ‘tukang karut’ lagi, ia akan mengundang suasana tegang dan tidak terkawal.

Suhu sepanjang tempoh kempen PRK tidak sama dengan hari-hari biasa. Waktu itu penyokong dan jentera pilihan raya PR, khususnya PAS yang hadir bukan sahaja orang Melaka. Mereka dari serata negara. Kita bimbang tidak semua mereka mampu mengawal perasaan, terutama apabila majlis parti mereka diejek dan dikacau-ganggu secara berterusan.

Justeru, semua pihak yang mahu melihat kempen PRK Dun Merlimau berjalan secara baik harus memandang serius hasrat pemimpin Umno itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1615, 18 Februari 2011 di ruangan EDITORIAL, N4 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment