Monday, November 1, 2010

Che Da Semah bina hidup setanding insan normal

Oleh: NUWA AITAWA
 
Tanggal 27 September 1961, di sebuah rumah di celah-celah ceratukan pohon kelapa di Kampung Beris Air Tawar, Besut, Terengganu, seorang ibu yang sarat mengandung bertarung nyawa melahirkan anaknya yang kelima.

Tiada apa yang luar biasa dilalui Puan Esah Umat, isteri kepada seorang nelayan, Encik  Mamat Hassan. Setelah terlebih dahulu memperolehi empat cahaya mata, apa yang berlaku pada hari itu dianggap hanya sebagai satu lagi saat mendebarkan yang insya Allah bakal berakhir dengan kegembiraan.

Namun, apa yang terjadi di luar dugaan pasangan ini dan jiran tetangga yang ikut menemani mereka. Takdir menentukan segalanya. Bayi perempuan yang dilahirkan hari itu tidak senormal dua abang dan dua kakaknya.

Meski pun kelihatan normal dari pangkal paha ke kepala, saiz dan panjang kedua-dua kakinya tidak setimpal dengan ukuran badan. Bukan itu saja, kaki kanan bayi itu lebih pendek berbanding kaki kirinya. Maka sahlah bayi itu tidak sempurna fizikalnya.

Ketika itu belum meluas penggunaan alat komunikasi seperti telefon dan seumpamanya. Namun berita kelahiran bayi istimewa itu tidak mengambil masa lama untuk tersebar ke serata ceruk kampung. Dalam beberapa hari berikutnya, rumah Esah tidak putus-putus dikunjungi jiran tetangga dan sanak saudara yang ingin melihat sendiri bayi itu.

Mahu tidak mahu pasangan ini pasrah kepada ketentuan Ilahi. Hakikat kecacatan anak mereka perlu diterima seadanya.

Anak itu dinamakan Hasmah. Walau pun menyedari kekurangan fizikalnya, Esah bertekad membesarkan anak itu seperti anak-anak lain yang normal.

Lalu sejak kecil Hasmah diajar untuk tidak menjadikan kecacatan fizikalnya sebagai halangan hidup. Jiwanya diasuh dengan ketabahan dan “dipaksa” ibunya melalui rutin tumbesaran seperti kanak-kanak lain sebayanya.

Apatah lagi semua pancaindera utamanya berfungsi dengan baik, kecuali kedua kakinya sahaja. Keupayaan mentalnya juga disahkan normal.

“Gemulah (Allahyarhamah) emak kita (saya) memang sangat tegas dengan anak-anak. Dengan kita pun begitu juga, tak ada beza. Walau pun dia tahu kita tak boleh berdiri macam budak lain, dia paksa juga bergerak. Merangkak pun, merangkaklah,” cerita Hasmah ketika ditemubual di rumahnya.

Menurutnya, yang lebih mesra dipanggil Che Da Semah, disebabkan kecacatan kakinya, beliau terpaksa merangkak untuk ke sana-sini. Namun itu tidak menghalangnya ikut bersekolah bersama rakan sebaya yang normal.

“Pergi sekolah tu kakak kita, Ramlah, hantar. Bonceng basikal. Masuk kelas dengan merangkak begitu lah. Beg gigit dengan mulut,” ceritanya tanpa silu.

Bagaimana pun alam persekolahannya hanya bertahan setakat Darjah Satu. Beliau terpaksa berhenti sekolah bukan disebabkan faktor fizikalnya atau gangguan dihadapi emosinya. Apabila kakaknya itu berhijrah mencari pekerjaan ke Mersing, Johor, tiada siapa lagi yang dapat menghantar dan mengambilnya di sekolah.

Walau pun tidak lagi ke sekolah, beliau tetap aktif merangkak ke serata kampung. Ibunya bukan sahaja membiasakannya melakukan kerja di rumah, malah sering menyuruhnya ke kedai dan ke pasar.

Maka setiap kali dia melewati rumah jiran-jiran, Che Da Semah sering menjadi bahan usikan kanak-kanak. Ada yang memanggilnya “gajah”. Malah ada anak kecil mengambil kesempatan “menunggangi” belakangnya. Dia bagaimana pun tidak kisah dengan usikan mereka itu.

“Ditakdirkan Allah, masa kita umur 12 tahun, tangan kanan patah. Terjatuh semasa pergi majlis kenduri rumah jiran. Jadi bila tangan dah tak boleh guna (untuk merangkak), nak tak nak kena ikhtiar guna kaki lah pula,” Che Da Semah mengimbau kembali detik penting itu.

Menurutnya, ekoran kecederaan tangannya itu, beliau mula belajar berdiri dan akhirnya dapat bertatih. Sejak itu dia semakin girang berjalan, walau pun dalam gaya berhayun ke kiri dan ke kanan disebabkan kakinya yang tidak sama panjang itu.

Keghairahannya mengecapi hidup setanding insan normal semakin membuak. Che Da Semah tidak pernah menjadikan kecacatannya sebagai umpan menagih simpati orang. Sebaliknya dia gigih berusaha melakukan berbagai pekerjaan untuk berdikari menyara hidupnya.

“Kita pernah kerja macam-macam. Dulu ambil upah tanam tembakau dalam hutan, berjalan kaki lebih dua batu ke Bukit Keluang. Lepas tu, kerja kilang obor-obor di Kuala Besut. Sehinggakan tauke Cina Perak tu buat bangku khas untuk kita lapik berdiri masa kerja,” ceritanya lagi.

Buat beberapa tahun berikutnya, Che Da Semah bekerja menyiang sotong di Pantai Air Tawar, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Kini pada usianya melangkaui 49 tahun, Che Da Semah sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Mujur juga nasibnya mendapat perhatian pihak kerajaan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM200, manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula memberi sumbangan tahunan sebanyak RM350.

Kini, biar pun tinggal bersendirian di rumah kecil, yang juga disumbangkan pihak Maidam, Che Da Semah tidak kesunyian. Rumah pusaka ibubapanya bersebelahan rumahnya itu kini diduduki adiknya, Zukefli. Manakala dua kakaknya, Ramlah dan Fatimah, juga tinggal bersebelahan rumah mereka.

Suasana rumahnya saban hari diceriakan dengan kehadiran anak-anak saudaranya yang agak ramai. Di waktu malam, beliau sering ditemani Nurnajwa Zukefli, anak saudaranya yang berusia lapan tahun. Manakala anak Fatimah, Saiful Anuar Hashim, sentiasa bersedia membawanya ke mana juga dikehendakinya.

“Dengan budak enam tahun pun, tinggi dia lagi daripada kita,” akui Che Da Semah penuh ceria, apabila penulis memintanya bergambar diapit anak-anak saudaranya, Hassan Basri Zukefli, enam tahun dan Aliya Maisarah, tiga tahun.

Kegirangannya itu bagai mengesahkan betapa insan istimewa ini telah berjaya meniti liku hidupnya setanding insan normal, sepertimana di cita-citakan arwah dua ibubapanya sejak dulu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan Meniti Hidup)

No comments:

Post a Comment