Ketara benar perbezaan sanjungan dan penghormatan diberikan para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN) terhadap Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) di antara sebelum dan selepas usainya Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, minggu lalu.
Sedari awal Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu diura-urakan bakal menerajui jentera kempen BN di Galas, beliau dipuji melangit dan digambarkan sebagai tidak ada tolok bandingnya menggalas tugas tersebut. Namun, segala sanjungan dan perhatian terhadap beliau bagaikan lenyap serta-merta sebaik pilihan raya kecil itu menutup tirai.
Keputusan Umno melantik Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Dun Galas diumumkan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 28 September. Ia bagaimana pun dibuat tanpa kehadiran mahu pun persetujuan Ku Li. Beliau malah dilaporkan berada di luar negara ketika itu.
Lalu sejak itu para pemimpin Umno berlumba memberikan kata sambutan atas keputusan itu. Media arus perdana yang memang menjadi alat propaganda utama BN pula ikut memberikan gambaran indah dan ulasan positif atas pelantikan itu.
Melantik Ku Li dianggap pilihan paling tepat berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya. Beliau dikatakan sinonim dengan Gua Musang. Pemimpin yang tidak pernah kalah di situ sejak lebih 40 tahun lalu. Penduduk jajahan itu disifatkan penyokong tegar Ku Li.
Bukan setakat itu malah anak raja yang pernah terbuang dari Umno itu turut diura-urakan antara tokoh terbaik jika dijadikan calon BN. Cadangan disuarakan Pemuda Umno itu disambut kesediaan Muhyiddin menimbangkan perkara itu.
Bahkan, soal penentuan siapa calon BN digambarkan sebagai kuasa penuh Ku Li mencadangkannya. Jika Ku Li menolak dirinya sendiri dicalonkan, penggantinya mestilah seorang yang dipersetujuinya. Manakala nama dicadang Ku Li mesti disokong semua pihak.
Perbahasan itu telah berlangsung sedemikian rupa walau pun Ku Li belum pulang dan masih tidak memberikan kata putus atas pelantikannya. Beliau diperajakan segenap lapisan kepimpinan parti yang pernah mengkhianatinya dulu.
Kepulangannya dari luar negara disambut bagaikan pemimpin tertinggi negara atau pemimpin besar negara asing. Ada menteri, timbalan menteri dan puluhan orang-orang besar parti mengenepikan agenda harian semata-mata untuk memastikan berada di lapangan terbang sebaik Ku Li tiba. Sudah berapa lama agaknya beliau tidak diberikan penghormatan setinggi itu?
Pujian dan kata sambutan para pemimpin BN lebih mencurah sebaik Ku Li mengesahkan menerima pelantikan itu. Beliau disifatkan menepati selera pengundi dan serasi dengan rakyat. Bahkan, penerimaannya dianggap telah memberi kemenangan moral kepada BN.
Sejak itu segala yang berkaitan perjalanan jentera BN di Galas terpulang kepada Ku Li. Beliau berkuasa sepenuhnya mencaturkan taktik dan strategi. Sebab itu apabila beliau membatalkan ceramah BN yang telah diatur, tiada pemimpin parti itu membantah. Sebaliknya, mereka memujinya sebagai pendekatan lebih baik bagi BN.
Ku Li sekali lagi diberi penghormatan luar biasa apabila mendahului pemimpin kerajaan mengumumkan projek bernilai ratusan juta untuk penduduk Galas. Tanpa jawatan Kabinet, mahu pun Pengerusi Suruhanjaya Perumahan Negara (SPN), beliau mengumumkan Projek Perumahan Rakyat bernilai RM180 juta, seminggu sebelum Muhyiddin hadir mengesahkan kelulusan peruntukan itu.
Sepanjang kempen, hampir tiada aktiviti BN yang tidak dikaitkan dengan Ku Li. “Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Seakan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Segala penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Sebab itu apabila ketidak hadirannya semasa proses penamaan calon dan desas-desus calon BN tidak dipersetujui Ku Li menjadi isu, BN amat serius menjelaskannya.
Akhirnya, BN berjaya memperolehi apa yang dicitakannya dari sandiwara itu. Ku Li menghadiahkan Galas kembali ke pangkuan partinya, 4 November lalu.
Namun, di hari sama juga penghargaan terhadap jasa baktinya merosot mendadak. Walau pun kemenangan BN diakui banyak pihak disebabkan faktor peribadi Ku Li, kenyataan dan ulasan para pemimpin BN tidak pula menjurus ke arah itu.
Majoriti mereka yang dipetik media mengaitkan kemenangan calon BN dengan kejayaan Perdana Menteri. Kononnya ia bukti rakyat yakin dengan pemerintahan Najib dan Muhyiddin. Ada yang mengatakan ia tanda penerima rakyat terhadap konsep 1Malaysia, transformasi ekonomi dan berbagai program kerajaan.
Hampir tidak ada pemimpin BN memulangkan kejayaan itu atas teraju cemerlang Ku Li. Jika ada pun, kejayaan Ku Li itu dikaitkan dengan kerjasama dan bantuan kerajaan Pusat beserta seluruh jenteranya.
Lalu yang banyak dipuji ialah Najib dan Muhyiddin juga. Mereka disifatkan bijak membuat keputusan melantik Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN di Galas.
(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1588, 12 November di ruangan Editorial, N4 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment