Monday, December 21, 2009

Pengertian di sebalik insiden 66-63 di Parlimen

oleh: Mat Zain Mat Isa

Buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia, belanjawan dibentangkan Perdana Menteri nyaris ditolak sidang Dewan. Dalam pengundian secara belah bahagian bagi meluluskan bacaan kali ketiga Bajet 2010, Isnin (14 Disember) lalu, jumlah yang menyokong hanya lebih tiga undi berbanding yang menolaknya. Hanya 66 daripada 137 Ahli Parlimen penyokong Barisan Nasional (BN) berada dalam Dewan ketika itu, berbanding 63 daripada 82 anggota pembangkang.

Insiden itu amat mencemaskan BN. Sekiranya bajet itu gagal diluluskan, ia bukan sahaja melibatkan implikasi kewangan yang melumpuhkan kerajaan, malah turut meruntuhkan kredibiliti BN sebagai pemerintah negara. Hal itu mungkin terpaksa berakhir dengan sebuah pilihan raya baru.

Amat mujur bagi BN, hayat kerajaannya masih terselamat. Media mendakwa ia ekoran tindakan cepat menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menghubungi Ahli Parlimen BN, termasuk Perdana Menteri dan timbalannya yang sedang menghadiri majlis berasingan di Kuala Lumpur, agar segera hadir ke Dewan Rakyat.

Meski pun BN terselamat daripada ‘undi tidak percaya’ itu, insiden 66-63 itu sudah membawa beberapa pengertian. Pertama, ia satu tampatan hebat buat imej kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN. Kemenangan sangat tipis ke atas pembangkang boleh ditafsir menerusi berbagai sudut. Antaranya mungkinkah 71 wakil BN yang tidak hadir itu menolak atau tidak menyetujui belanjawan Najib?

Kedua, ia petanda permulaan malang buat Najib dalam merancang dan menguruskan ekonomi negara. Sebagai belanjawan sulungnya, kelulusannya dengan kelebihan tiga undi bukan suatu yang membanggakan. Dari segi moralnya, belanjawan itu boleh dianggap telah tertolak.

Ketiga, jika dikatakan insiden itu perancangan Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memalukan BN, maka ia sebenarnya perakuan tentang kehebatan pembangkang merencanakan sesuatu sehingga tidak dapat dihidu terlebih awal oleh agen-agen risikan BN yang kononnya sangat hebat. Hidung mereka yang selalunya lebih tajam daripada lalat hijau mencium bau perancangan pembangkang nampaknya tersumbat Isnin lalu.

Namun pengertian terpenting insiden itu ialah kita seolah-olah tidak pernah belajar dari kesilapan lalu. Tabiat buruk wakil rakyat yang suka ponteng sidang Dewan, sama ada di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (Dun) bukan cerita baru.

Sebelum ini sudah kerap kedengaran teguran terhadap mereka yang tidak memandang serius tanggungjawab menghadirkan diri ke sidang Dewan. Kes Dun Kota Siputeh, Kedah yang kini masih dalam perbicaraan adalah contoh terbaik. Ia sepatutnya telah menyedarkan wakil rakyat tentang kesan buruk sikap sambil lewa mereka daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan.

Kes itu juga mencetuskan andaian betapa fenomena sebegitu agak lumrah di negeri-negeri lain, terutama di kalangan wakil BN. Mereka dikatakan tidak begitu mengambil berat soal prosedur ketidakhadiran ke sidang Dun kerana mengira bahawa tiada tindakan serius akan diambil ke atas mereka memandangkan kerajaan negeri dikuasai BN.

Tabiat serupa turut menjangkiti Ahli Parlimen. Mereka, terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan, kerap beralasan mempunyai jadual bertindih dengan program rasmi di luar. Ada juga yang memberi alasan kesihatan.

Pernah berlaku persidangan yang sedang rancak berjalan terpaksa ditangguhkan apabila jumlah wakil rakyat dalam Dewan tidak melepasi korum.

Pernah juga wakil rakyat kedua-dua pihak menegur menteri yang sebahagian mereka sangat selesa membiarkan timbalan atau setiausaha parlimen sahaja menyantuni soalan-soalan anggota Parlimen. Keadaan bertambah pincang apabila jawaban yang dibekalkan oleh timbalan menteri tidak memuaskan hati pihak bertanya.

Apatah lagi sekiranya jawaban berkenaan mengandungi fakta yang bercanggah dengan jawaban yang pernah diberikan menteri. Hal itu berlaku beberapa minggu lalu apabila dua soalan serupa mengenai pembiayaan pengecualian bayaran tol yang diajukan secara berasingan kepada seorang menteri dan timbalan diberikan jawaban berbeza. Perdana Menteri menjawab ia ditanggung kerajaan, manakala timbalan menteri itu pula mengatakan ia ditanggung syarikat konsesi. Mana satu jawaban yang betul?

Di kalangan Ahli Parlimen yang hadir pula, ada yang sekadar mengambil syarat untuk melayakkan menerima elaun kehadiran. Mereka ini tidak berminat mengambil bahagian, apatah lagi menghabiskan masa sehari suntuk mengikuti perjalanan sidang. Atau sekurang-kurangnya menghadirkan diri ketika sesi penting, seumpama melibatkan pengundian sepertimana minggu lalu.

Meski pun fenomena ini berlaku di kalangan Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak, BN dan Pakatan, kesan lebih besar tentunya diakibatkan ketidak hadiran wakil kerajaan.

Bagi yang mendakwa wakil Pakatan juga tidak kurang malas dan tidak bertanggungjawab berbanding BN, mereka sepatutnya bersyukur kerana 19 lagi anggota pembangkang tidak mengundi. Bayangkan apa berlaku jika hanya empat lagi Ahli Parlimen Pakatan yang hadir malam itu.

Apa pun, kedua-dua pihak selepas ini seeloknya mengemukakan mereka yang benar-benar komited menyempurnakan tanggungjawab di Dewan sebagai calon untuk dipilih rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1498, 21 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment