oleh: Mat Zain Mat Isa
Semakin terbukti benarnya dakwaan pelbagai pihak selama ini bahawa perbalahan di kalangan sesama pemimpin Umno sukar didamaikan. Sebarang pertelingkahan tercetus antara mereka sering berpanjangan dan melarat menjadi barah kepada parti.
Apa yang dipamerkan oleh beberapa pemimpin Umno Terengganu sepanjang sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) itu minggu lalu adalah antara contoh terbaik yang dapat disaksikan pelbagai pihak. Pertelagahan terbuka di antara beberapa Adun penyokong kerajaan dengan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, membuktikan bahawa rumahtangga parti itu masih dilanda ribut yang tidak kunjung reda.
Rakyat sebenarnya sudah muak dan naik jelak dengan perbalahan mereka yang tidak kunjung padam sejak Mac 2008. Rakyat sudah tidak larat menghitung apa yang berlaku di sidang Dun minggu lalu itu entah gelombang kemelut yang ke berapa.
Pasang surut landaan gelora Umno Terengganu terlalu kerap dan sukar diramalkan. Ia lebih sukar daripada menjangkakan hujan ribut monsun timur laut atau turun-naik pasaran saham di bursa. Seketika mereka berdamai, sekejep kemudian bergelut semula. Sejurus politik kata-mengata antara mereka reda, tiba-tiba ia meletup kembali. Itulah persis apa dizahirkan mereka minggu lalu.
“Setelah menyembunyikan diri sekian lama, muncul dengan ‘ledakan bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan. Inilah saya katakan, siapa dendam siapa? Jangan jadikan soal peribadi mengambil (tempat) tanggungjawab kita,” ujar Ahmad.
Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Adun Alor Limbat, Alias Abdullah yang sebelum itu menyifatkan Ahmad berdendam kepada rakyat di kawasannya. Dalam kejadian pada hari pertama sidang Dun Terengganu, Isnin (21 Disember) lalu, Adun Barisan Nasional (BN) itu mendakwa projek perparitan di kawasannya tidak selesai ekoran sikap Menteri Besar itu yang marahkan beliau.
Ahmad kemudian meminta Adun berkenaan tidak menjadikan sidang Dun sebagai medan melemparkan tuduhan tidak menentu atau melepaskan perasaan.
Terdahulu pada hari sama, telah berlaku insiden sindir-menyindir antara Ahmad dengan Adun Bukit Besi, Dato’ Din Adam berhubung perlombongan bijij besi di kawasannya. Pertelagahan antara mereka turut mendedahkan kelemahan kedua-dua pihak. Sementara Ahmad didakwa tidak merujuk keputusan penting di Bukit Besi kepada Din, Adun itu pula didakwa sering tidak hadir ke sidang Dun dan pejabat pentadbiran negeri.
Tuduh-menuduh dan kata-mengata antara para pemimpin Umno sendiri semakin memuncak dan melarat ke hari-hari berikutnya. Sehinggakan soal pengagihan air zamzam dan buah kurma pun dibayangkan berlaku penyelewengan.
Tuduhan Alias itu dipandang serius oleh Ahmad. Menteri Besar itu melafazkan sumpah bahawa beliau tidak melakukan sebarang penyelewengan dalam pengurusan ekonomi negeri, terutama merujuk kes air zamzam itu.
Apa yang berlaku minggu lalu itu tidak lagi boleh dianggap kes terpencil. Perlu diakui bahawa antara kemelut dalaman paling memening dan memalukan BN ialah kemelut tidak berkesudahan di Terengganu.
Pelbagai usaha mendamaikan antara dua puak bertelagah di negeri itu sebelum ini menemui jalan buntu. Perbalahan mereka ibarat api dalam sekam. Di luar nampak tenang, tetapi di dalamnya sentiasa panas membara dan sukar dipadamkan.
Keputusan Umno Pusat menugaskan Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu tidak juga berjaya meredakan tentangan segolongan pemimpinnya terhadap Ahmad. Beberapa formula perdamaian dikemukakan Hishammuddin diterima hanya secara lahiriah dan tidak berupaya menjernihkan kekeruhan.
Keadaan bagaikan sudah menemui kejernihan dicari apabila secara tiba-tiba di akhir Oktober lalu salah seorang di antara Adun BN yang bermasalah untuk menerima kepimpinan Ahmad tampil mengisytiharkan perdamaian.
Adun Jabi, Ramlan Ali memohon maaf secara terbuka kepada Ahmad dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, pada satu majlis sempena Idulfitri di kawasannya, 19 Oktober lalu. Majlis yang turut dihadiri Ahmad dan Mohd Jidin itu dikatakan yang pertama seumpamanya menghimpunkan para pemimpin dari dua puak bertelagah dalam suasana harmoni.
Ramlan selama ini dikenali sebagai ahli kumpulan Adun-Adun BN Terengganu yang memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Manakala Mohd Jidin pula memihak kepada Ahmad.
Krisis antara mereka tidak terbatas sekadar saling menyokong dua pemimpin berbeza. Dun Jabi adalah antara salah satu kawasan dimenangi BN di Terengganu yang dilaporkan mempunyai masalah ‘dua nakhoda’ paling serius. Di situ diwujudkan Pejabat Penyelaras Ahli Parlimen yang beroperasi tanpa koordinasi dengan Pejabat Khidmat Adun.
Bagaimana pun episod harmoni itu gagal menimbus kesangsian dalam masyarakat. Bagi rakyat yang mengikuti perkembangan kemelut parti itu, suara-suara yang kononnya mahu berdamai itu sudah semacam menjadi klise di kalangan para pemimpin Umno Terengganu.
Hishammuddin sendiri sebelum ini pernah beberapa kali mendakwa perdamaian telah wujud dalam Umno Terengganu. Namun ia terbukti sekadar ibarat kata orang, ‘harap ada, percaya tiada’.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1500, 28 Disember 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment