Sunday, December 13, 2009

Mahathir ada cara tersendiri perbaiki Umno

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
Saya agak terusik melihat keghairahan rakan-rakan pendokong Pakatan Rakyat (PR) menggema-riuhkan kutukan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti yang pernah dipimpinnya dulu. Tanpa memadamkan nama bekas Perdana Menteri itu dari senarai tokoh Barisan Nasional (BN) yang tidak akan meredhakan laluan kepada PR menguasai negara, saya tidak nampak di mana wajarnya pandangan beliau terhadap parti kesayangannya sendiri diberikan ‘layanan istimewa’ oleh segenap lapisan pendokong parti lawannya.

Saya pernah diberitahu seseorang bahawa di dalam ilmu peperangan, di antara prinsip yang perlu dipegang oleh pihak bermusuhan ialah jangan sekali-kali memandang rendah kejahatan musuh. Jangan meremehkan keupayaan pihak lawan merencana dan menimpakan kecelakaan terhadap kita, meski pun pada zahirnya sesuatu yang dibuatnya cenderung memberi kelebihan kepada kita.

Sebab itu apabila Mahathir menerusi laman blognya pada akhir November lalu sekali lagi mendedahkan kebusukan Umno dan memuntahkan kekecewaannya terhadap keadaan semasa parti itu, saya tidak fikir beliau berhasrat menjahanamkan partinya sendiri.

Saya mengandaikan sekurang-kurangnya dua hasrat tersirat pada Mahathir menerusi komentarnya itu. Kedua-duanya memberi kebaikan kepada Umno dan bakal meninggalkan kesan negatif terhadap parti lawannya.

Pertama, ia adalah teguran membina buat Umno. Meski pun pada zahirnya ia layak digelar kutukan berat terhadap Umno (dan begitulah nampaknya ia diraikan oleh para pendokong PR), ia merupakan sergahan untuk mengejutkan mereka dari kelenaan.

Ia amaran dari Mahathir agar Umno lekas berbuat sesuatu, perbetulkan keadaan dan perbaiki kesilapan sebelum terlambat. Jangan lupa tulisan itu dimulakannya dengan mengingatkan pembaca bahawa ‘Pilihan Raya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi’.

Dalam sejarah panjang karier politiknya, Mahathir telah acapkali menghamburkan buah fikirannya yang menyentap hati rakyat, terutama orang Melayu. Buku karangannya, Dilema Melayu, merakamkan keberaniannya mengkritik pemimpin Melayu (Umno) ketika itu dan mendedahkan kelemahan bangsanya sendiri.

Kelantangan Mahathir menjadi antara faktor Umno sedar kesilapan, lalu bangkit memperbetulkan diri. Tidak lama selepas itu Tunku Abdul Rahman berundur. Umno yang menghadapi saat paling cemas pada Pilihan Raya Umum 1969 berjaya memulih dan memantapkan diri.

Mahathir juga pernah menseranah bangsanya sendiri sebagai “haprak”. Dia memperlekeh Melayu sebagai bangsa yang “mudah lupa”. Melayu juga, menurut Mahathir, suka makan rasuah. Melayu yang dimaksudkan itu bukan ditujukan kepada Melayu dalam PAS atau parti lain, bahkan Melayu yang berada bersamanya di dalam Umno.

Orang Umno sudah masak dengan cara Mahathir berfikir dan melontarkan ideanya. Mereka sudah tahu membaca mesej yang cuba disampaikan bekas pemimpin mereka itu.

Sebab itu saya kira tidak sukar bagi mereka menerima hakikat bahawa maksud tulisan Mahathir dua minggu lalu tidak sekali-kali atas hasrat menghina dan memalukan Umno. Perasaan terkejut Mahathir terhadap keadaan semasa Umno sebenarnya bermaksud agar ia diperbaiki segera dalam tempoh berbaki dua tahun lagi menjelang PRU-13 nanti, bagi memastikan BN masih berkuasa.

Kita sering diajar bahawa manusia yang menyedari kesilapan, sedia menerima teguran atas kelemahan diri dan bersungguh pula memperbetulkan kesalahan mampu mengubah kebusukan diri menjadi sesuatu yang disenangi.

Kemungkinan kedua, Mahathir cuba mempertahankan imejnya yang dikatakan berfikiran terbuka. Kononnya beliau jujur dan berterus-terang dalam mengutarakan pandangan, tanpa memilih bulu.

Di masa sama beliau berjaya membina keyakinan dan kepercayaan orang terhadap hujah dan analisisnya. Mahathir mempamerkan dirinya seorang penganalisis politik yang adil, praktikal dan berhujah berdasarkan fakta. Pandangannya boleh diterima segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berfikiran tajam, berpandangan jauh dan wajar sentiasa dijadikan tempat rujukan. Apatah lagi dia banyak memanipulasi perasaan dan lojik akal manusia dalam memantapkan hujah dan pandangannya.

Persepsi itu akan tambah mempopularkan beliau. Pandangannya akan sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali tercetus isu penting. Laman blognya akan menjadi tempat rujuk bagi menyelongkar mindanya. Bahkan akhbar dan laman blog pendokong pembangkang sanggup menyalin secara verbatim tulisan-tulisan beliau.

Kepercayaan rakyat terhadap pendirian Mahathir adalah aset amat penting buat Umno. Ia amat diperlukan, terutama di saat menentukan arus aliran sokongan masyarakat terbanyak terhadap mana-mana parti. Apakah tidak mustahil berbekalkan kepercayaan dan kelebihan dirinya itu, di saat penentuan dalam pilihan raya nanti Mahathir melontarkan sesuatu yang mampu memaut pertimbangan masyarakat umum kembali memilih BN lagi?

Jangan lupa banyak pihak menyandarkan kejayaan BN di zamannya kepada faktor empat ‘M’ – Money (Wang), Missionary (Jentera Kerajaan), Media dan Mahathir. Ertinya keupayaan peribadi Mahathir, terutama kekuatan hujah dan logikanya dalam mematahkan serangan lawan, diakui sebagai antara faktor kejayaan BN.

Coretan ini jangan disalahertikan sebagai menyanjung dan mengagumi Mahathir. Astaghfirullah al-Azim, mohon selisih ‘Malaikat 44’. Apa yang mahu diutarakan ialah orang sepintar dan ‘semasak’ beliau sudah tentu telah menghitung kebaikan untuknya atau pihak yang disayanginya beberapa langkah lebih ke hadapan sebelum mengutarakan pandangan yang pada zahirnya mengutuk partinya sendiri itu. Percayalah itu sudah menjadi cara tersendiri Mahathir memastikan survival parti kesayangannya itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0178, 13 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment