Friday, December 18, 2009

DAP-kah yang ranapkan Masjid Bujal di Terengganu?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Keghairahan mana-mana pihak memanipulasi apa-apa isu bagi mencari keuntungan politik tidak seharusnya mendorong mereka menyentuh perkara-perkara sensitif, terutama berkaitan kepentingan agama pihak lain. Isu agama dan hubungan antara kaum sejak sekian lama menjadi pantang larang paling tidak menyenangkan dalam politik Malaysia.

Sebab itu apabila minggu lalu tercetusnya isu perbandingan antara pembiayaan kerajaan Pusat terhadap perbelanjaan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam, ia bukan lah sesuatu yang sihat untuk keharmonian rakyat berbilang kaum.

Isu ini didakwa bermula dengan pertikaian Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming terhadap ketidak adilan BN dalam memperuntukkan perbelanjaan rumah ibadat Islam dan bukan Islam.

 Pemimpin DAP Perak itu merujuk kepada jawaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008. Sedangkan untuk tempoh sama, hanya RM9 juta diagihkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Tidak sukar diagak betapa kenyataan kurang cermat beliau itu segera dimanipulasi BN, khususnya Umno. Segenap saluran media tali barut BN, secara melulu menyorot isu berkenaan dari perspektif serong.

Imej dan reputasi DAP sebagai parti yang anti Islam dan anti Melayu dikobarkan sedapat mungkin. Kenyataan dan kecaman pelbagai pihak yang ada hubungkait dengan aspirasi perjuangan BN diberikan ruang selesa di media. Ada yang membuat laporan polis terhadap Nga, malah ada yang mendesak beliau dihalau dari Perak

Sama ada Nga memang berniat mempertikaikan peruntukan besar untuk masjid, atau sekadar membandingkannya dengan peruntukan terlalu kecil untuk rumah-rumah ibadat bukan Islam, hanya beliau yang paling tahu. Namun apa yang pasti perbandingan dibuatnya mengundang rasa tidak senang bukan sahaja pihak lawan, malah kawan dalam Pakatan sendiri.

“Kita harap DAP tidak akan bercakap mengenai perkara yang boleh menunjukkan mereka anti Islam,” ulas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Harun Taib.

Nada sealiran turut diluahkan seorang pakar Perlembagaan Malaysia yang dikenali amat mendokong perjuangan Pakatan. Dalam wawancara dengan sebuah mingguan, Ahad (13 Disember), profesor undang-undang itu menegaskan tindakan mempersoalkan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Pada saya ahli politik yang bijak tidak perlu menyentuh kedudukan orang lain. Dalam soal ini mengapa soal masjid dibangkitkan? Lainlah kalau pembinaan masjid ini membazir atau masjid ini kosong dan tidak digunakan. Kalau hendakkan bantuan kerajaan untuk orang bukan Islam, minta. Itu saja. Mengapa pula kedudukan Islam dan masjid disinggung sama?,” ujarnya.

Sementara para pendokong DAP sendiri mungkin berusaha menjernihkan kekeruhan hasil kenyataan Nga itu dan secara jujur menilainya sebagai antara yang berpotensi mengikis sokongan orang Melayu/Islam terhadap Pakatan, keghairahan Umno memanipulasi isu itu tidak wajar dibiarkan.

Parti ultra Melayu itu memang cuba menonjolkan diri sebagai jaguh membela agama. Kenyataan para pemimpinnya dan ulasan media tali barutnya menjurus kepada gambaran kononnya Umno amat memuliakan dan menyanjung tinggi institusi masjid.

Rakyat perlu dibekalkan maklumat dan hujah yang menafikan hakikat itu. Bahawa Umno bukan lah parti yang sepanjang masa sensitif apabila masjid ternoda. Bahkan parti itu sendiri pernah beberapa kali menjadi pemain utama mencemar dan menghina tempat ibadat Islam.

Rakyat wajar diingatkan bahawa sejarah panjang pemerintahan Umno di negara ini turut dipalitkan beberapa insiden yang secara terang-terangan membuktikan Umno sanggup membelakangkan kepentingan agama semata-mata menegakkan kepentingan partinya. Selain beberapa kes membabitkan perobohan surau di Selangor, apa yang berlaku terhadap Masjid Desa Makmur di Kampung Bujal, Kemaman, lebih empat tahun lalu adalah contoh ekstrim sikap Umno terhadap masjid.

Mengimbas kembali kejadian malang buat umat Islam pada 26 Mei 2005, kerajaan BN Terengganu diterajui Umno mengerahkan beberapa jabatan melakukan operasi bersepadu merobohkan 10 buah rumah peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bujal. Turut diranapkan ialah sebuah masjid dibina penduduk dan telah pun digunakan.

Para pemimpin BN, khususnya Umno Terengganu seakan hilang kewarasan ketika itu. Tiada jalan penyelesaian lebih rasional dapat difikirkannya. Umno hanya ghairah mencari berbagai justifikasi atas tindakannya meratah rumah Allah itu.

Sehinggakan mereka tergamak mengaitkan masjid berkenaan sebagai markas parti lawan. Dakwaan jahat itu diburukkan lagi dengan pemalsuan bukti, kononnya ia menjadi pusat pihak tertentu membuat bom buatan sendiri bagi tujuan mencetuskan keganasan terhadap kerajaan.

Dakwaan karut itu bagaimana pun tidak pernah dibuktikan. Siasatan lanjut pihak berwajib terhadap perkara itu juga tidak pernah didedahkan.

Justeru, jika keterlanjuran DAP menyentuh peruntukan terhadap masjid ghairah dimanipulasi Umno bagi menggambarkan DAP sebagai anti Islam, rakyat juga wajar diajukan satu soalan mudah, “apakah DAP yang meranapkan Masjid Bujal?”

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1497, 18 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment