Oleh: MOHD NASIR AWANG
SAYA sebenarnya telah mengemukakan lima sandaran dalam
tulisan kepada Siasah keluaran lalu
apabila meyakinkan Kelantan mampu menangkis “serangan” wang ihsan yang bakal
disalurkan Kerajaan Pusat bermula tahun depan. Entah apa halangannya, hanya
sandaran pertama yang disiarkan.
Maka saya kira ada baiknya disebut semula empat fakta
tertinggal yang saya sifatkan sebagai kelebihan dimiliki Kelantan berbanding
Terengganu. Selain pengalaman rakan di Terengganu menghadapi curahan wang
politik itu yang boleh mereka pelajari, sandaran kedua ialah pengalaman lebih
luas dimiliki PAS Kelantan dalam pemerintahan berbanding PAS Terengganu.
Pengalaman itu benteng utama mereka mendepani sepak-terajang politik Umno dan
Barisan Nasional (BN).
Ketiga, PAS Kelantan lebih bernasib baik kerana pemimpin
Umno negeri itu tidak sejahat Umno Terengganu. Jangan lupa Umno Terengganu
bertanggugjawab mendesak Kerajaan Pusat membatalkan royalti untuk negeri mereka
sendiri sebagai membalas dendam kekalahan mereka.
Umno lah memberi jalan wujudnya wang ihsan. Saya percaya
sedengki-dengki Umno Kelantan terhadap PAS, mereka tidak akan tergamak dan tidak
berani mencabuli hak rakyat negeri itu.
Keempat, penafian royalti bukan kecederaan besar terhadap
belanjawan negeri Kelantan. Royalti petroleum belum disenarai sebagai terimaan
hasil negeri itu. Tanpa royalti pun Kelantan sudah mampu diperintah PAS dengan
baik hampir dua dekad.
Ada pun di Terengganu, royalti petroleum membentuk 75
peratus hasil negeri. Kehilangannya secara mengejut memberi impak sangat besar
terhadap kewangan negeri, sekali gus memberi kesan politik kepada PAS.
Kelima dan paling menguntungkan Kelantan ialah rakyatnya
yang cerdik berpolitik. Mereka tidak mudah kalah kepada umpan politik. Ada
ungkapan masyhur menggambarkan sikap mereka iaitu, “Beri gula, kacau. Beri
lembu, heret. Beri kain, pakai. Beri duit, ambil. Bila mengundi, pangkah
‘bulan’.”
Saya kira, jika berpegang kepada pendirian itu, rakyat
Kelantan tidak akan menggadai maruah dan jati diri mereka walau pun ditaburi
wang ihsan. Malangnya, daya tahan itu tidak ada pada rakyat Terengganu.
Meski pun kita meyakini keupayaan Kelantan menangkis
penangan wang ihsan, kepakaran BN mengadaptasi kejayaan modus operandinya di Terengganu tidak wajar diperkecilkan.
Apa pun realitinya nanti, BN telah buktikan parti itu
tidak mengalah untuk memenangi hati rakyat Kelantan. Kesediaan BN, khususnya
Umno mengguna “pintu belakang” dalam mengagihkan wang itu bukan isyarat terbaik
menunjukkan ia sedia memilih jalan lebih bermaruah berhadapan musuh tradisinya,
PAS.
Setelah apa dilakukannya terhadap kerajaan PAS
Terengganu, Umno telah membuktikan ia sanggup menghalalkan apa juga cara,
termasuk mengenepikan kepentingan bangsa dan agama semata-mata demi menjatuhkan
kerajaan PAS.
Sementara perdamaian plitik Umno-PAS semakin mustahil dengan
serangan wang ihsan terhadap Kelantan nanti, Umno selaku tonggak BN turut
berhadapan tanggungjawab berat memulihkan sokongan rakyat terhadap parti itu.
Kecederaan utama BN berdasarkan pilihan raya umum lalu
ialah kelunturan kepercayaan bukan Melayu. Majoriti pengundi Cina dan India
mengalihkan sokongan kepada pembangkang.
Tiga komponen utama BN mewakili dua kaum tadi, iaitu MCA
dan Gerakan (Cina) serta MIC (India) disimpulkan gagal menambat hati rakyat
untuk terus bersama BN. Majoriti calon tiga parti itu kalah teruk di tangan
pakatan pembangkang.
Keadaan itu amat mencemaskan BN. Ia tidak akan bersedia
menghadapi pilihan raya akan datang dalam keadaan sebegitu. Sebab itu Umno
sebagai tonggak BN dilihat mengambil langkah sangat berani apabila mengiktiraf
parti baru kaum India, Makkal Sakti, Oktober lalu. Pengiktirafan itu tamparan
buat MIC yang selama ini memiliki penguasaan mutlak sebagai parti tunggal
mewakili India dalam BN.
Moral di sebalik langkah terdesak itu, Umno akan
mengaplikasi apa juga kaedah demi menyelamatkan hayat politik BN. Kehadiran
Makkal Sakti diharapkan bukan sahaja menghakis sokongan kaum India terhadap
pembangkang, malah turut mencabar MIC untuk bangkit menawan hati kaumnya.
Ada pun untuk menangani kemerosotan sokongan kaum Cina, BN
hingga kini masih gagal menemui formula terbaik. Keadaan lebih sulit buat BN
apabila kedua-dua parti utama kaum itu, MCA dan Gerakan, tidak sudah-sudah dilanda
krisis dalaman masing-masing.
“Bukan kerana mereka (Cina) tidak menyokong BN, tetapi
mereka tidak gembira dengan apa yang berlaku dalam MCA. Kalau saya orang Cina
pun, saya tak sokong MCA”, ujar Timbalan Perdana Menteri.
Beliau mengulas kemelut dalaman MCA yang semakin
meruncing minggu lalu, sekaligus menyulitkan usaha BN memulihkan kepercayaan
kaum Cina.
Sepertimana kegagalan MIC memulihkan sokongan kaum India
“dihukum” oleh Umno dengan mengiktiraf Makkal Sakti, apakah tidak mungkin MCA
bakal berdepan hukuman serupa? Logiknya, demi survival BN, Umno tentu tidak
bersedia terus memikul “biawak hidup” yang menyukarkan perjalanan parti dan
kerajaan.
Apakah mustahil, sebagai ganti MCA dan Gerakan, Umno
mengintai DAP pula? Parti pembangkang itu di kemuncak prestasinya kini. Ia
merampas Pulau Pinang, menjadi pembangkang utama di Perak dan Negeri Sembilan,
selain memenangi kerusi di sebilangan negeri lain.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil:176, 29 November – 5 Disember 2009 di
ruangan ‘Komentar’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment