Friday, February 1, 2008

Malaysia hab serantau untuk buang bayi?


Oleh: Mohd Nasir Awang

GERAM sungguh rasa hati bila menatap berita disiarkan akhbar-akhbar harian 19 Disember lalu.  Isunya bukanlah besar sangat, ia pun sekadar memenuhi ruang kecil di dada akhbar. Tapi implikasi cerita itu agak besar, terutama jika diambilkira imej dan reputasi negara di mata dunia.

Mahu tidaknya! Adakah patut dalam banyak-banyak negara di dunia ini, alih-alih Malaysia juga yang dipilih seorang wanita Khazakhstan untuk membuang bayi yang tidak dikehendakinya?

Sepintas lalu, rasa malu pula menjadi rakyat negara ini. Seolah-olah Malaysia ini sudah dianggap pusat pembuangan bayi di rantau ini, kalaupun tidak di dunia.

Menurut apa disiarkan akhbar, seorang wanita Khazakhstan yang sedang belajar di Singapura sanggup datang ke negara ini semata-mata untuk membuang bayi yang dikandungnya. Beliau dikatakan memilih Malaysia bagi mengelak dikenakan hukuman berat jika berbuat demikian di republik itu.

Wanita berusia 20 tahun itu dikatakan datang dari republik itu dua hari sebelum kejadian dan menumpang di rumah seorang rakannya di Pangsapuri Bukit Beruang, Melaka. Beliau menggugurkan kandungannya ketika bersendirian di rumah berkenaan, kemudian membuang bayi itu di tempat pembuangan sampah di pangsapuri itu.

Seorang pekerja memungut sampah menemui mayat itu dan melaporkannya kepada polis.  Suspek yang berlegar-legar di kawasan pangsapuri itu dalam keadaan mencurigakan akhirnya ditahan pihak polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas mayat bayi tersebut.

Kisah orang buang bayi sebegitu bukan suatu yang asing lagi bagi rakyat negara ini. Sudah acapkali kita didedahkan dengan insiden-insiden menyayat hati itu. Penulis sendiri pun pernah memberikan reaksi tentang perkata itu (rujuk al-Muslimah keluaran April 2007).

Apa yang menjadikan kisah itu berlainan daripada yang dipaparkan sebelum ini ialah apabila ia melibatkan seorang warga asing. Si pelaku itu bukan sahaja orang luar, bahkan tinggal di negara luar (Singapura). Dia datang ke negara kita semata-mata untuk membuang bayinya. Itulah yang menggeramkan kita, bukan?

Tapi apabila dirasionalkan semula, kita nampaknya tidak boleh menyalahkan wanita asing itu seratus peratus apabila dia memilih negara kita untuk membuang bayinya. Ada beberapa pemerhatian yang menzahirkan kelemahan di pihak kita sendiri sehingga memungkinkan warga asing terdorong berbuat demikian di negara kita.

Pertama, sebagaimana diakui wanita itu, undang-undang negara kita mengenai kesalahan membuang bayi tidak sekeras negara jiran, Singapura. Apakah hakikat sebenarnya memang begitu atau tidak, ia bukan persoalan lagi. Pokoknya, persepsi sebegitu telah wujud dalam pemikiran warga asing tadi. Akhbar Inggeris memetik kata-kata wanita itu bahawa negara kita “has less stringent laws”.

Kedua, sudah acapkali disebarluaskan kisah pembuangan bayi di negara kita. Macam-macam kisah telah dibaca. Kumpulan terbesar dilaporkan terlibat dengan jenayah ini ialah wanita Melayu-Islam sendiri.

Paparan demi paparan oleh media mengenai gejala buang bayi ini turut ketahui masyarakat antarabangsa. Tidak mustahil gembar-gembur itu akhirnya menjuruskan pandangan umum dunia kononnya perbuatan membuang bayi adalah fenomena biasa dalam masyarakat kita.

Dalam hal ini, penulis teringat kepada kisah pembuangan bayi oleh sepasang penuntut Malaysia di Amerika Syarikat. Ia berlaku lebih 20 tahun lalu ketika kedua-duanya menuntut di sana.  Mereka terlanjur dan termengandung, lalu cuba menyembunyikan keaiban itu. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas dengan menggugurkan kandungan secara sendirian di rumah dan membuang bayi tidak bernyawa itu di dalam tong sampah.

Mereka akhirnya ditangkap polis. Kisah mereka mendapat liputan media di negara polis dunia itu. Ia juga disiarkan beberapa akhbar negara kita dan mungkin juga media antarabangsa.

Sesuatu yang lebih memeranjatkan bahkan memalukan lagi ialah apa yang didakwa sebagai pengakuan mereka kepada mahkamah. Dikatakan peguam yang mewakili mereka telah berhujah kononnya perbuatan membuang bayi itu adalah amalan biasa di negara asal mereka (Malaysia).

Justeru, mereka yang tidak arif mengenai undang-undang AS tidak wajar dihukum di bawah “first degree murder”. Kononnya mereka bertindak semata-mata mengikut budaya dan kebiasaan masyarakat negara mereka.

 Kisah hitam itu tentu sekali tidak mahu dikenang oleh sesiapa, terutama dua individu terbabit.  Semoga Allah menerima taubat mereka, mengampunkan keterlanjuran mereka dan merahmati hidup mereka.

Kisah itu juga tidak mungkin diketahui wanita Kazakhstan tadi memandangkan dia belum dilahirkan ketika insiden itu berlaku. Lainlah kalau ibu bapanya di Kazakhstan ada menyimpan keratan akhbar mengenai kejadian itu. Atau mungkin beliau ada terbaca mengenainya sepanjang berada di negara jiran kita itu.

Bagaimanapun, tindakan beliau memilih Malaysia sebagai lokasi membuang bayinya amat memalukan dan menghina kita. Nampaknya dia telah datang ke negara kita untuk tujuan yang salah. Dia telah menyalahgunakan sifat terbuka kita menerima kunjungan warga asing untuk memberikan imej negatif kepada kita.

Episod ini jelas membuktikan bahawa lain yang dicanang kerajaan, lain pula hasilnya. Hasrat melihat negara menjadi hab pendidikan, destinasi pelancongan dan lembah silikon serantau belum lagi sepenuhnya dicapai. Sebaliknya, negara kita lebih dikenali dunia menerusi beberapa episod dan kes lain.

Sebelum ini sudah diperkatakan betapa kebelakangan ini negara kita sudah bertukar menjadi syurga pendatang asing, hab sindiket pengedaran dadah, pengkalan sindiket judi bola, sindiket penipuan dan seumpamanya. Kini, negara kita dipilih pula sebagai ‘hab’ pembuangan bayi.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain sepenuhnya jika memilih Malaysia untuk membuat perkara salah itu. Mungkin kita yang tidak pandai mengurus negara sehingga wujud suasana kondusif untuk aktiviti mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Februari 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment