Sunday, February 3, 2008

Sembang-sembang tentang calon


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEWAKTU menghadiri satu bengkel berkaitan e-media anjuran PAS di Gombak hujung minggu lalu, saya berkesempatan menemui beberapa rakan dari seluruh negara. Selain apa yang termuat di dalam agenda pertemuan hari itu, segala perbincangan dan sembang-sembang antara kami tidak lari dari tajuk pilihan raya.

Saat ditunggu-tunggu semua pihak itu dikatakan semakin hampir. Kenyataan dan bayangan oleh para pemimpin negara juga lebih banyak menjurus ke arah kesimpulan itu.

Bahkan, tahap keghairahan semua lapisan masyarakat negara ini untuk menghadapi pilihan raya umum kelihatannya sudah mencapai kemuncak.

Sebagai kelompok yang berperanan di bidang media, kami lebih banyak menjadi pemerhati dan pengulas perkembangan politik negara. Pemain sebenar di pentas politik adalah para pemimpin parti.

Bagaimana pun ada ketikanya perkara berkaitan pilihan raya ini mengundang perbahasan hangat antara kami, terutama apabila ia membabitkan pemilihan calon untuk parti. Tidak tersangkal lagi, persoalan siapa bakal menggalas cabaran parti untuk berhadapan lawan dalam pilihan raya nanti adalah suatu perkara yang tidak wajar bagi kami untuk terlepas maklum.

Perlu diakui, sebagai wartawan kami sering menjadi tempat pihak-pihak tertentu menyalurkan maklumat tentang apa jua perkembangan parti, positif atau negatif. Ada juga pihak-pihak tertentu menjadikan kami tempat meluahkan perasaan atau pandangan terhadap pemimpin tertentu.

Tidak kurang pula di kalangan masyarakat awam yang secara ikhlas melontarkan pendapat begian dan begian yang sebahagiannya memang kami jadikan sandaran dalam penulisan kami.

“Kalau parti offer enta jadi calon, enta terima tak?”, bisik seorang rakan dari Pulau Pinang, di tengah-tengah kehangatan pembentangan kertas kerja oleh seorang pemimpin PAS. Saya tidak terus menjawab, sebaliknya sekadar melemparkan senyum. Kebetulan pula di ketika itu tumpuan saya agak mendalam terhadap butir ucapan pembentang di pentas.

Saya tidak berkesempatan menyambung bicara soal itu dengannya selepas majlis ditangguhkan. Jadi saya tidak pasti apakah soalan itu bermaksud beliau sudah menerima tawaran dimaksudkan daripada parti. Lalu persoalan itu saya ajukan pula kepada beberapa rakan lain sewaktu minum.

“Elok terima, kita cuba bantu parti setakat mana yang terdaya,” seorang rakan dari Kedah yang juga pengamal media memberikan pandangannya.

Pendapat itu dikongsi seorang rakan dari Perak yang juga seorang penulis politik. Beliau malah menganggap tawaran parti itu sebagai peluang yang datang hanya sekali dan tidak akan berulang.

Mengenali rakan saya ini sebagai seorang aktivis PAS yang sangat komited dan pernah menganggotai Dewan Harian Kawasan beberapa penggal, saya kira pandangannya itu turut disokong pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri di Perak sebelum ini.

Ada juga rakan-rakan yang memberikan pandangan agak pesimis. Bagi mereka memasuki pilihan raya dalam keadaan keadilan dan kebersihan proses perjalanannya dipertikaikan adalah ibarat membuang masa, wang ringgit dan tenaga. Sebagai parti pembangkang, adalah amat sukar bagi kita untuk menang.

Kata mereka, proses pilihan raya masih dipenuhi pelbagai kepincangan. Masih wujud apa yang dinamakan pengundi hantu dan daftar pemilih yang tidak bersih. Di satu pihak lain, kerajaan masih memanipulasi jabatan-jabatan kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri untuk kepentingan parti.

Kebebasan media pula langsung tidak ada. Ruang dan peluang untuk pihak pembangkang bersuara menerusi media amat terbatas dan tidak memadai.

Mungkin sikap kelompok ini yang seolah-olah tidak berselera menyertai pilihan raya agak bersalahan dengan pendirian parti. Bagaimana pun, hujah-hujah mereka tadi sebenarnya bersandarkan tuntutan yang disenaraikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) selama ini. Hingga kini kerajaan masih belum menampakkan kesediaan memenuhi tuntutan tersebut.

“Bertanding (pilihan raya) tak nak, kalau bersanding (kahwin) ana nak”, ujar seorang rakan dari Pahang pula, dalam nada bergurau. Meski pun sering berseloroh dengan saya, rakan seperjuangan sejak zaman kampus ini nyata sangat serius dalam hujahnya.

Dalam percakapan kami dua bulan lalu rakan saya ini ada menyebut bahawa namanya telah disenarai pendek untuk bertanding salah satu kerusi sasaran di negerinya. Beliau bagaimana pun sepenuh daya menolaknya.

Melihatkan kedudukan ekonominya, saya tidak fikir beliau menolak atas faktor kewangan. Jika dikatakan faktor kepimpinan, beliau kini berada di kelompok pimpinan tertinggi PAS peringkat negeri. Ada pun faktor pengaruh dalam masyarakat, ianya suatu yang sangat subjektif dan sukar ditelah.

Bagi saya, sama ada menerima atau menolak tawaran parti untuk menjadi calon, kesemua pandangan tadi atas dasar tanggungjawab. Tidak dinafikan tawaran menjadi calon adalah suatu penghargaan dari parti. Bagaimana pun, selain suatu kebanggaan, ia juga amanah kepimpinan. Amanah itu satu tanggungjawab sangat berat yang tidak semua orang mampu memikulnya.

Saya percaya di luar sana kini wujud golongan yang sedang dilanda dilema ini. Apa pun pilihan yang mereka buat, pastikan ia dibuat atas prinsip sayangkan parti. Tidak ada mana-mana pihak yang wajar mendakwa dia yang lebih sayangkan PAS berbanding rakan yang lain.

Barangkali pihak pemimpin parti tidak begitu menghadapi masalah dengan mereka yang menerima tawaran parti itu. Bagaimana pun, keadaan mungkin tidak begitu menyenangkan apabila berhadapan mereka yang tidak bersedia menerimanya.

Saya kira dalam kes sebegini, parti perlu menunjukkan keterbukaan dan menerima secara positif pilihan dibuat individu terbabit. Mereka mungkin ada sebab sangat munasabah untuk tidak menerima pencalonan itu.

Semoga perbincangan yang saya coretkan ini dapat sedikit sebanyak membantu rakan saya dari Pulau Pinang tadi mencari jawaban kepada soalan “cepumas” itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 25 Muharram-2 Safar 1429/3-9 Februari 2008 di kolum PERSPEKTIF dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment