Wednesday, November 1, 2006

Budaya Muzik Kini Meruntuhkan Bangsa


Oleh: Anuwa Jamalullail

ISU kesan negatif budaya muzik terhadap gaya hidup masyarakat, terutama golongan remaja, bukanlah isu baru. Ia sebenarnya berhubungkait dengan asal usul sesuatu genre muzik yang diperkenalkan itu.

Beberapa tahun lalu, negara kita heboh membicarakan isu genre muzik ‘black metal’ yang dikenalpasti memaparkan lagu-lagu berunsur sesat dan sarat dengan lirik menghina kehidupan beragama. Malangnya, kesan buruk budaya muzik itu hanya diperbincangkan setelah berdekad ia bertapak di negara ini.

Kebiadaban genre muzik itu sebenarnya telah mula diperkatakan sejak awal 90-an dahulu.  Berita Harian 22 Mei 1992 pernah mendedahkan penyebaran album lagu trash dan death metal persembahan artis Barat di Kuala Lumpur, yang memaparkan kulit album bergambar lucah dan isi album mengandungi lirik lagu menghina Islam dan Allah Ta’ala.

Antaranya lagu berjudul For They Shall Be Slained.  Liriknya antara lain menyebutkan: ‘Cursed are the slaves of Islam.  For they shall be slained.  Religion of the lowest minds.  Allah is dead’ (Terjemahan: Disumpah hamba-hamba Islam. Kerana mereka akan disembelih. Agama orang-orang berfikiran dangkal. Allah telah mati).

Malang sekali di negara kita penguatkuasaan undang-undang menghukum orang yang menghina Islam adalah kabur, tidak jelas dan tidak menggerunkan orang daripada melakukannya. Sebab itu kes sebegitu kerap berulang.

Akhbar pada 19 November 1993 misalnya melaporkan penyebaran kaset lagu rock Barat yang mempersendakan Islam dan mengandungi unsur-unsur lucah. Kaset itu, White Zombie/LA Sexorcista: Devil Music Volume 1 dikatakan turut menggalakkan penggunaan dadah dan pemujaan syaitan serta sihir. Malah sebuah lagu berunsur lucah dalam kaset itu memperdengarkan azan pada penghujungnya.

Khalayak budaya popular di dalam mana-mana masyarakat sebahagian besarnya adalah remaja.  Mereka berperanan besar mencorakkan budaya yang diinginkan dalam kehidupan seharian. Dari gaya berhibur, berjalan, berpakaian sehingga lah cara bercakap, semuanya adalah hasil daripada satu proses pembudayaan yang berlaku di kalangan remaja.

Kebetulan pula, bangsa Melayu memang terkenal dengan sikap suka meniru tanpa meneliti sejarah asal usul atau latar belakang sesuatu budaya yang ditiru itu. Muzik misalnya, adalah salah satu media hiburan yang paling cepat ditiru oleh kebanyakan remaja kita. Keadaan ini menyebabkab muzik yang pada asalnya hanya dianggap sebagai hiburan telah mendapat peranan tersendiri sebagai komponen penting budaya popular dalam masyarakat.

Elok juga diteliti asal usul dan kesan buruk beberapa genre muzik yang wujud di seluruh dunia kini. Muzik rap dan hip hop misalnya tidak sekadar muzik untuk hiburan seperti tanggapan kebanyakan remaja kita. Rap tidak sekadar menyanyi tergagap-gagap atau berseluar di paras lutut, berjalan terhinjut-hinjut, berbaju T atau memakai topi bermuncung terbaik. Rap dan hip hop asalnya menjadi premis kepada remaja kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) memprotes sistem sosial negara itu yang rasisme.

Rap menjadi wadah atau alat ekspresi politik remaja Afro-Amerika yang hidup terpinggir dalam masyarakat kulit putih. Ekspresi ini dilebih-lebihkan menerusi gerak semasa menyanyi dan terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Sebab itu, ada pengkaji budaya popular menggelarkan rap sebagai ‘CNN of Black People’ (CNN ialah Cable News Network, sebuah rangkaian tv popular di AS).

Lirik dalam lagu-lagu genre reggae pula dikenalpasti oleh para penganalisis sosial di negara-negara Kepulauan Carribean sebagai salah satu penyumbang utama kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja. Unsur-unsur keganasan, kehidupan lepas bebas bersama dadah, pembunuhan, rogol dan rompakan dikatakan banyak diterapkan melalui lirik lagu-lagu reggae, yang merupakan irama kegemaran masyarakat beberapa negara kepulauan itu.

Dunia juga memperakui betapa besarnya kesan pembudayaan Woodstock terhadap mesyarakat dunia ini. Woodstock adalah perhimpunan tahunan bersandarkan pesta seni dan muzik yang berlangsung selama tiga hari tiga malam. Ia telah dimulakan pada 15 Ogos 1968 di Sullivan County, AS. Tiga prinsip utama Woodstock ialah berfikiran terbuka, seks bebas dan menggunakan dadah, kerana semuanya dibolehkan di pesta hiburan terbesar dunia itu.

Acara tradisi Woodstock bukan sahaja memukau 450,000 pengunjungnya malah telah berjaya menjana seks bebas dan dadah di seluruh dunia. Ia telah melahirkan budaya baru yang merebak ke seluruh dunia dengan pantas dikenali sebagai hippies.

Di negara kita sendiri, usaha-usaha bagi menghidup dan menyuburkan ‘budaya kuning’ sebegini juga rancak dijalankan. Sebab itu kumpulan-kumpulan rock antarabangsa sering dibawa masuk bagi memerangkap secara halus generasi muda untuk mendokong budaya sesat sebegini.

Kajian kes oleh dua orang pensyarah universiti tempatan ke atas konsert Scorpions di Stadium Merdeka pada 11 September 1996 lalu boleh dijadikan contoh. Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dari Universiti Malaya dan Dr. Che Noraini Hashim (Universiti Islam  Antarabangsa) beserta para pembantu mereka telah menemubual 269 remaja Melayu yang menghadiri konsert berkenaan.

Hasil kajian menunjukkan ada kaitan sangat rapat antara pengaruh budaya rock dengan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja Melayu. Temubual itu mendapati 91 peratus daripada mereka mengaku tidak sembahyang, 81 peratus menghisap rokok dan 53 peratus pernah mengambil dadah.

Sebanyak 54 peratus responden pernah meminum arak, 32 peratus pernah berjudi, 67 peratus mengaku pernah menonton filem lucah dan 28 peratus mengaku terbabit dengan hubungan seks bebas.

Betapa pun kesangsian yang mungkin wujud terhadap ketepatan kajian yang dilakukan dua pensyarah tempatan tadi, tiada pihak yang wajar menafikan kesan besar budaya muzik ke atas keruntuhan akhlak dan moral remaja kita.

Terimalah hakikat bahawa dunia muzik yang ada di hadapan kita bukan lagi dipersembahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Sudirman, Datuk M. Daud Kilau atau Allahyarham Datuk Rafeah Buang dengan dendangan lagu-lagu berunsur nasihat. Yang ada kini ialah muzik cacamarba dan haru-biru yang berkait-rapat pula dengan berbagai gejala tidak sihat di dalam masyarakat.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian, November 2006 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment