Wednesday, November 1, 2006

Banyak Unsur Negatif Dalam Hiburan Kita


 Oleh: Mohd. Nasir Awang

MENJADI tabiat semula jadi manusia sukakan hiburan. Dalam kadar berpatutan, hiburan dianggap penenang fikiran, pereda ketegangan malah pengubat kesakitan. Sebaliknya, apabila melebihi keperluan rohani, hiburan boleh mendorong kepada gejala negatif dalam diri manusia.

Lambakan hiburan kini datang dalam berbagai bentuk – filem, drama, teater, lagu dan sebagainya. Ia terhidang menerusi berbagai saluran seperti televisyen, pawagam, pertunjukan pentas, cakera padat, kaset dan lain-lain.

Keghairahan masyarakat menikmati hiburan, terutama menerusi paparan program yang tidak mencerminkan budaya dan nilai tempatan, dikhuatiri boleh mendorong kepada wujudnya sektor masyarakat yang berperangai tidak senonoh dan runtuh akhlak.

Terlalu banyak unsur tidak senonoh atau kurang sopan yang dapat dilihat menerusi dunia hiburan masa kini. Ketidaksopanan itu dapat dinilai dari berbagai sudut. Antaranya ialah:

Pertama, skrip dan pengarahan yang membelakangi hukum agama dan adat bangsa. Beberapa kes yang pernah mendapat liputan media suatu masa dulu boleh dijadikan contoh.

Isu adegan cium seorang pelakon wanita Melayu dengan pelakon lelaki dalam teater Inggeris A Streetcar Named Desire yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Julai 1993 lalu amat mengejutkan. Apabila ditegur dan dikritik pelbagai pihak, pelakon wanita itu menjawab, “Saya ini pelakon yang harus mengikut kehendak pengarah sebagai pelakon yang bertanggungjawab. Lagi pun, ini teater Inggeris, biasalah begitu!”.

Jawaban itu mencerminkan sikap dan pendiriannya bahawa di dalam merealisasikan arahan skrip, soal adat bangsa atau hukum agama tidak perlu dipertimbangkan.

Kes serupa turut melibatkan seorang pelakon lelaki Melayu yang membotakkan kepala dan memakai pakaian sami dalam sebuah filem Inggeris pada pertengahan 1994 lalu. Filem Beyond arahan pengarah terkenal dari England itu memilih seorang pelakon lelaki tempatan untuk watak sami sewaktu mengadakan penggambaran di Pulau Pinang.

Mufti Kerajaan Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegur perbuatan itu dan menegaskan orang Islam yang memakai pakaian atau menyamar sebagai sami walau pun untuk berlakon hukumnya adalah syirik. Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Sheikh Azmi Ahmad pula menyeru pelakon berkenaan agar segera bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah semula.

Akibat ‘mengikut arahan skrip’ juga menyebabkab filem Embun menjadi bahan kontroversi suatu ketika dahulu. Embun mula ditayangkan pada September 2001 dan didapati mengandungi babak berunsur lucah adegan rogol yang menampakkan punggung pelakon lelaki itu.

Kedua, tutur kata tidak beradab, sekaligus mengenepikan adat bangsa Melayu dan mencabar nilai ketimuran.

Kes seorang pelakon dan pelawak yang mengacara satu majlis makan malam melibatkan kerabat diraja dan kenamaan beberapa tahun lalu adalah contoh bagaimana berlawak juga perlu mengambilkira tempat dan suasana. Beliau dikritik pelbagai pihak apabila menggunakan perkataan yang ‘tidak sesuai’ dengan taraf hadirin di majlis berkenaan.

‘Mulut laser’ para pengkritik program hiburan realiti tv juga mengundang teguran pelbagai pihak. Walau pun niat mereka memperbetulkan nyanyian para peserta, menghina, memaki dan menjatuhkan air muka seseorang secara berdepan bukan lah budaya dan adab orang kita.  Budaya ‘kurang ajar’ ini paling menyerlah menerusi program Malaysian Idol.

Keceluparan seorang pengkritik tetap Akademi Fantasia 4 Jun lalu juga mengundang kontroversi. Kata-katanya, “awak boleh pergi jauh dalam bidang ini tetapi jangan ambil ganja dan dadah” dianggap menyindir dan menghina orang.

Ulasan itu beliau tujukan kepada seorang pesertanya yang baru selesai membuat persembahan. Bagaimana pun, ia dianggap ‘kurang ajar’ kerana bersama peserta itu di pentas ketika itu ialah seorang penghibur yang diketahui ada sejarah buruk dengan ganja dan dadah.

Festival Filem Malaysia ke-19 yang berlangsung pertengahan Ogos lalu turut menjadi medan ‘penghinaan’ terhadap budaya Melayu. Seorang pelakon Melayu yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Gubra memilih untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Itu bukanlah isunya. Apa yang kecoh ialah apabila dia berkata, “I sound stupid if I speak in Malay”.

Pelakon sama malah secara jelas mencabar nilai sosial Melayu apabila menyebut, “If the film (Gubra) mencemar budaya, lets do it more often” (Kalau Gubra mencemar budaya, mari hasilkan lebih banyak filem serupa itu).

Memang negara mahu melahirkan warga berwibawa, termasuk dalam dunia hiburan. Tetapi beberapa kes tadi mengajar kita apa guna cemerlang dan gah sebagai bangsa maju serba boleh sedangkan kita bobrok moral sehingga sanggup mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang tidak sopan.

Ketiga, gelagat tidak senonoh para artis. Fenomena ini amat ketara menerusi program realiti tv yang semakin popular kini. Para peserta rancangan hiburan realiti tidak segan silu berpelukan antara lelaki perempuan, terjerit-jerit dan menangis. Budaya manakah yang mengajar seorang anak gadis terkinja-kinja memeluk lelaki yang bukan muhrim, disaksikan penonton malah ibu bapa yang hadir memberikan sokongan?

Keempat, lirik lagu yang memesongkan. Contohnya, penggunaan perkataan ‘syurga’ dalam lagu-lagu cinta dan asmara.

Ungkapan seperti ‘pada syurga di wajah mu’, ‘ku nanti mu di pintu syurga’, ‘indah bagai di syurga’, ‘di taman syurga lokal’ dan sebagainya sering kita dengar. Gambaran cinta dan asmara yang mengasyikkan apabila diiringi ungkapan ‘syurga’ boleh menanam tanggapan yang salah terhadap pengertian syurga sebenar.

Bagi mereka yang cetek ilmu agama, mungkin timbul pemahaman bahawa untuk masuk syurga sudah cukup dengan hanya bermadu asmara dengan kekasih, bukannya melalui amal ibadat dan ketaatan kepada Tuhan. Lebih mengelirukan apabila ungkapan syurga itu diucapkan oleh penyanyi yang bukan beragama Islam. Tidakkah itu memesongkan?

Kelima, filem atau program siaran yang mendedahkan cara hidup bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat kita. Antaranya ialah program Six Feet Under yang disiarkan sebuah stesen tv berbayar. Ia terang-terangan mempromosikan kehidupan gay, homoseks dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Turut memaparkan tema sama ialah program Sex and The City dan Will and Grace menerusi stesen berbayar itu.

Jika itu program bikinan luar, bagaimana pula filem bikinan tempatan? Contoh terbaru ialah filem Gubra yang dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 Ogos lalu.  Beberapa mesej serong terselit dalam filem itu. Antaranya menerusi watak bilal yang hidup berjiran dengan dua pelacur.

Ia memberi gambaran kononnya soal agama itu personal. Bahawa kehidupan beragama itu liberal, hanya membabitkan amar makruf dan tiada nahi mungkar. Jika melakukan nahi mungkar bererti menceroboh wilayah peribadi. Sebab itu sang bilal membiarkan si pelacur terus menjadi pelacur.

Filem sering dianggap cerminan budaya sesuatu bangsa atau negara. Manakala program televisyen adalah cerminan cara berfikir dan tahap kematangan sesuatu masyarakat yang terlibat dengannya.

Amat mendukacitakan, setakat ini unsur-unsur yang dipaparkan dunia hiburan lebih banyak menyajikan kesan negatif berbanding yang positif. Akibatnya, lahirkan generasi yang lemah pegangan Islam dan miskin nilai budaya.

(Artikel ini disiarkan Majalah Dian, November 2006 di ruangan 'Teropong Dian' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment