Wednesday, November 1, 2006

Tercapaikah Bahagia Jika Belakangkan Keluarga?

Oleh: Mohd Nasir Awang

PERKAHWINAN adalah titik perubahan yang sangat penting dalam hidup seseorang. Ia menjadi kayu pengukur keupayaan individu dalam banyak aspek kehidupan, sama ada ekonomi, sosial mahu pun pemahaman agama.

Di antara hasrat yang paling lumrah didambakan setiap pasangan ialah sebuah rumah tangga yang bahagia hingga ke akhir hayat. Sebab itu seseorang yang mendirikan rumah tangga diistilahkan sebagai ‘mendirikan istana bahagia’ atau ‘memasuki gerbang bahagia’. Manakala ucapan paling banyak diterima daripada rakan dan taulan ialah ‘semoga berbahagia hingga ke anak cucu’.

Ertinya kebahagiaan menjadi hasrat tertinggi setiap pasangan yang melangsungkan pernikahan.  Ia pula berkait rapat dengan restu dan kebersamaan setiap anggota keluarga di dalam proses merealisasikan hasrat murni itu.

Perkara itu bagaimana pun semacam sudah tidak menjadi keutamaan sebilangan anggota masyarakat kini, apabila mereka sanggup membelakangkan restu dan sokongan keluarga dalam melaksanakan perkahwinan mereka. Beberapa kes yang berlaku mutakhir ini boleh dijadikan bahan perbincangan.

Kes di Pasir Mas, Kelantan pada Oktober tahun lalu adalah satu contoh. Seorang bapa dilaporkan mengenakan empat syarat termasuk meminang mengikut adat serta bebas dadah kepada seorang pemuda yang berhasrat mengahwini anak perempuannya. Bapa berkenaan turut mensyaratkan pemuda dari Kuantan itu mempunyai pekerjaan tetap di samping asal usul keluarganya diketahui.

Anaknya, seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, bagaimana pun menfailkan permohonan mendapatkan wali hakim bagi membolehkan dia berkahwin dengan teman lelakinya apabila bapanya tidak bersedia memberikan wali kepadanya.

Menurut pelajar itu, teman lelakinya bekerja sebagai pakar teknologi maklumat di Hospital Kuantan. Agak pelik apabila si bapa mengatakan “saya anggap beliau tidak serius serta mungkin menipu kerana ketika ditanya tempat kerjanya, keluarganya serta gajinya, plaintif tidak dapat membuktikannya”.  

Di akhir perbicaraan, Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas membenarkan permohonan gadis tersebut, antaranya apabila beliau mengemukakan dokumen status pekerjaan bakal suaminya.

Beberapa persoalan timbul dari kes ini. Pertama, jika benar bagai didakwa si bapa, apa tujuan pemuda itu berahsia dengan bakal mentua apabila ditanya mengenai keluarga dan status pekerjaannya?

Kedua, mengapa perlu menggunakan mahkamah untuk penyelesaian anak dan bapa? Apakah sudah tidak ada pihak ketiga yang boleh dijadikan perantara, kaunselor atau jururunding antara mereka?

Perlu diakui hanya pihak terlibat yang lebih memahami keadaan mereka sendiri. Bagaimana pun, agak tidak sedap didengar apabila disebutkan ‘anak menyaman bapa’. Tindakan itu juga bukan suatu yang kondusif terhadap hasrat membina keluarga bahagia dalam konteks kekeluargaan yang lebih luas.

Itu adalah kes di mana bapa didakwa tidak bersetuju dengan pernikahan. Bagaimana pula dengan kes bapa yang tidak tahu-menahu dan langsung tidak diberitahu mengenai pernikahan anaknya? Kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Pahang pada Jun lalu adalah contoh. Ia membabitkan kes pernikahan seorang gadis dengan pasangannya di Felda Panching Utara pada 21 Disember 2005, tanpa berwalikan bapa pasangan perempuan.

Akibatnya, bapa perempuan itu memfailkan permohonan meminta mahkamah menfarakkan pernikahan anaknya itu. Mahkamah menfarakkan pernikahan pasangan itu, walau pun si isteri sedang hamil lima bulan. Hakim bicara malah kesal dengan tindakan si lelaki mengahwini pasangannya dengan membelakangi kedua-dua ibu bapa wanita terbabit, adat bangsa dan hukum agama.

Apa yang kamu lakukan amat biadab dan tidak bermaruah. Saya tidak faham mengapa kamu sanggup membelakangkan ibu bapa perempuan ini untuk mengahwini anaknya”, kata hakim.     

Beliau bagaimana pun membenarkan mereka bernikah semula menggunakan wali yang sah dan mengikut Enakmen Undang-Undang Islam Negeri Pahang.

Keputusan itu disambut baik pihak bapa. Katanya, “saya akan menyegerakan pernikahan mereka semula mengikut hukum syarak dan undang-undang syariah”.

Dalam kes hampir sama, juga berlaku di Pahang, seorang jururawat sanggup menggunakan sijil mati palsu ayahnya untuk membolehkan pernikahannya dilangsungkan. Perempuan itu mendakwa sudah memaklumkan hasrat mengahwini pasangannya kepada keluarganya. Beliau mendakwa bapanya tidak bersetuju menjadi wali pernikahan itu.

“Sebelum ini saya sudah memaklumkan kepada keluarga mengenai niat untuk berumahtangga dengan dia (pasangan lelaki itu) tetapi, ayah membantah keras dengan memberi berbagai alasan”, hujah perempuan itu.

Tindakan terakhirnya meneruskan niat berkahwin ialah dengan menggunakan sijil kematian palsu ayahnya untuk membolehkan pernikahan dijalankan secara wali hakim.

Pernikahannya dengan lelaki pilihannya dilangsungkan di Pejabat Agama Daerah Pekan pada 13 Januari lalu. Selepas mendapati bapa pasangan perempuan itu masih hidup dan sijil kematian yang dikemukakan adalah palsu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 8 April lalu membatalkan pernikahan mereka.

Hakim bicara menganggap pernikahan menggunakan wali hakim sedangkan bapa perempuan masih hidup sebagai biadab. Tindakan menggunakan sijil kematian palsu bapa bagi membolehkan mereka berkahwin dengan wali hakim adalah perbuatan derhaka kepada ibu bapa.

Ketiga-tiga kes yang diutarakan tadi membabitkan pertikaian wali. Menurut Mazhab Syafie, wali adalah salah satu rukun pernikahan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, suatu pernikahan adalah tidak sah. Hukum ini berdasarkan hadis Rasullullah saw yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang bernikah tanpa izin walinya, maka pernikahannya itu batal (tidak sah). Jika disetubuhi ia (oleh lelaki yang menikahinya itu) maka ia berhak mendapat mas kahwin kerana dia (lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali (iaitu wali hakim) bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”. (Hadis riwayat ad-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud)

Hadis ini turut dijadikan sandaran para ulama Islam dalam mengkategorikan wali kepada dua, iaitu wali nasab dan wali hakim. Wali nasab adalah orang yang mempunyai pertalian darah dengan perempuan yang bakal berkahwin. Urutannya mengikut keutamaan adalah bapa, datuk, saudara lelaki, anak saudara lelaki, bapa saudara dan anak lelaki bapa saudara. Wali hakim pula ketua negara Islam (sultan) atau wakil yang ditauliahkannya seperti kadi daerah, imam, bilal atau orang alim kampung.

Betapa Islam mengutamakan wali nasab mengatasi wali hakim menggambarkan bahawa agama kita amat menitikberatkan soal hubungan kekeluargaan. Tidak syak lagi restu dan sokongan anggota keluarga di dalam mendirikan rumahtangga adalah kunci kebahagiaan.

Justeru, tindakan membelakangi keluarga bukanlah cara yang betul untuk membina mahligai bahagia.
           
(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, November 2006 di ruangan ‘Tabir Perkahwinan’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment