Saturday, October 28, 2006

TOMAKNINAH


Sebuah Cerpen oleh: Nuwa Aitawa

SUDAH tiga hari Tok Lebai Useng tidak menjejakkan kakinya ke Surau Kampung Sentosa.  Seketiadaannya, apakata Pak Ngah Mezah yang mengambil alih tugas menjadi imam.

Sejak lebih enam tahun lalu, dengan kematian Pak Su Haji Deromae yang menjadi imam di situ, Lebai Useng lah segala-galanya bagi masyarakat setempat. Dialah imam, dialah tok sheikh majlis tahlil, bacaan Yaasin dan solat hajat. Hatta untuk sembelih lembu-kambing pun orang-orang kampung mesti cari Lebai Useng juga.

Namun, “kehilangannya” sejak tiga hari lalu mejadi tanda tanya semua anggota jemaah. Paling terasa ialah ketika solat tarawikh. Bacaannya yang lancar, suaranya yang lantang dan tunduk bengahnya yang agak “ekspres” sudah bersebati dengan jemaahnya. Dalam masa tidak sampai 40 minit, sudah siap 20 rakaat tarawikh dan tiga rakaat witir. Begitulah setiap malam di bulan Ramadhan.

“Entahlah....orang tua biasalah! Kalau orang muda tegur tak kena cara, dia berasa hati”, Pak Ngah Mezah memecah kebuntuan anggota jemaah surau, selepas sebahagian besar mereka telah balik. Yang ada hanya lima orang. Setapo Misai, Cikgu Rosid, Aleng Gagap, Pak Da Lateh dan Rohing Pomen.

“Bb...berasa hati macam mana pula Pak Ngah? Tt...tua-tua pun nak berasa hati lagi ke?” sampuk Aleng dengan gagapnya. Anak muda itu hampir tidak pernah luput solat berjemaah di surau itu sejak akil balighnya. Dia lah yang paling kerap bertanya perihal “kehilangan” Lebai Useng sejak tiga hari lalu.

“Kau jangan fikir gitu Leng, kita manusia makin tua lah makin mudah kecil hati!” pintas Setapo pula. Misainya yang tebal dan melengkuk macam hujung belati itu mengingatkan orang kepada watak Sarjan Misai dalam siri popular tv, Gerak Khas.

Pak Ngah Mezah tersengih seketika disusuli dengusan kecil. Dari raut mukanya dan kerutan dahinya masing-masing dapat menelah kesukarannya menjelaskan perihal yang berlaku.

“Ada tak kena apa-apa ke Pak Ngah?” celah Rohing Pomen pula.

Bapa tungggal beranak tiga itu juga amat jarang luput solat jemaah sejak ia pindah ke kampung ini dari Batu Pahat kira-kira sepuluh tahun lalu. Cakapnya pun sudah hilang pelat Johor, dah jadi macam anak tempatan.

Gemulah isterinya, Mengiam anak Pak Teh Deraoh adalah anak jati Kampung Sentosa. Tujuh tahun lalu Gemulah Mengiam meninggal kerana barah payu dara. Sejak itu Rohing hidup menduda.

“Kamu semua tak perasan ke malam tu....lepas selesai tarawikh tu, kan Mat Keri duk bersoal di situ dengan Tok Lebai?” tanya Pak Ngah Mezah. Ibu jarinya dihala ke mihrab surau.

“Kamu tahu apa yang diorang bahaskan?” sambungnya lagi.

Cikgu Rosid membetulkan silanya. Setapo pula mengibas-ngibas tangan, menghalau nyamuk yang menerawang di telinganya.

“Ish! Aedes ke ni? Kena denggi pulak karang!” rungut Setapo, dalam nada berjenaka.

Pak Da Lateh pula membuka kilasnya, lalu mengeluarkan bungkusan rokok daun. Sehelai daun rokok ditarik keluar dari ikatan, dikupas dan diisikan tembakau.

“Macam kamu kata tu Aleng, ada benarnya. Yang Abang Setapo kamu kata tu pun ya juga, makin tua makin mudah terasa hati. Lebih-lebih lagi kalau yang menegur tu orang muda. Tegur pula tak kena cara, tak ada tomakninah”, sambung Pak Ngah Mezah.

Pak Da Lateh yang telah siap menggulung rokok daun tadi terus menyucuhnya.  “Pup! Pup!” agak jelas bunyi sedutan Pak Da, bagi memastikan api benar-benar hinggap di rokonya. Asap yang dilepaskan menerawang ke hidung Aleng yang duduk di sebelahnya.

“Orang tua ni pun satu juga nih! Dah puas ustaz-ustaz bersyarah tak baik merokok di surau, masih tak faham-faham juga”, protes Aleng dalam hati.

“Amba dah agak dah, ni mesti Mat Keri punya kerja. Dulu, dengan Gemulah Pak Su Haji pun Mat Keri juga. Tak gitu Pak Da?” tanya Setapo.

“Hmm..ah!” jawab Pak Da Lateh, bunyi tak bunyi. Dia agak bakhil nak membuka mulut malam itu.

“Yalah...dulu dengan Gemulah Pak Su Haji tu, dah aku tegur Mat Keri tu. Nak tegur orang tua biar kena cara. Bukan tak boleh tegur”, sambung Pak Ngah Mezah.

“Kesnya macam mana Pak Ngah?”  tanya Cikgu Rosid pula.

“Serupa la...kes baca laju solat tarawikh juga! Kamu pun tahu kan, Mat Keri budak yang suka mengaji. Banyak tempat. Ada setuju baca laju, nak hambat 20 rakaat. Ada suka baca perlahan”, sambung Pak Ngah Mezah.

  “Kalau bab tu, amba setuju dengan Mat Keri, Pah Ngah!” sahut Rohing menjelaskan pendiriannya.

“Aa...mmba pun rasa bb..betul alik Mat Keri juga Pak Ngah,” sambung Aleng pula, tanpa teragak.

Cikgu Rosid, Setapo dan Pak Da Lateh hanya membisu.

“Betul tu betul jugak, tapi biarlah...”

“Tu dia mari Pak Ngah. Amba panggil ya?” celah Aleng sebelum sempat Pak Ngah Mezah menghabiskan ayatnya.

Laju saja cakapnya tanpa gagap. Bibirnya menjuih ke arah jalan di hadapan anjung surau itu.  Lampu jalan yang terang membantu mereka mengenali sesiapa juga yang lalu di situ.

Belum pun sempat Pak Ngah Mezah memberikan jawapan, Aleng sudah pun meluru ke pintu pagar surau. Dia melambai sebaik-baik motosikal Mat Keri menuju ke arahnya.

“Yee! Mm..mari dulu...Pak Ngah nn...nak cakap benda sikit”, pelawa Aleng, kembali dalam nada gagapnya. Orang kampung itu memanggil Mat Keri dengan Yee sahaja, singkatan namanya.

“Assalamu’alaikum!” Mat Keri memberi salam.

“Wa’alaikumussalam wa rahmatullah!”, jawab yang lain.

Suara Cikgu Rosid agak kuat dari yang lain. Mereka bersalaman.

“Ada apa eh?” tanya Mat Keri, lebih diajukan kepada Pak Ngah Mezah.

“Pak Ngah nak ajak kamu pergi jumpa Tok Lebai Useng esok!” tiba-tiba saja Setapo memintas.  Entah bila pula dia dapat idea itu, masing-masing tidak menyangka.

“Pasal apa pula nak kena amba, kan ke lebih elok kita semua pakat pergi?” jawab Mat Keri dengan nada separuh ketawa.

Aleng mengangguk-angguk tanda setuju. Pak Da Lateh menjentik-jentik rokoknya.

“Ish! Ish! Apa ni Pak Da! Dahlah hisap rokok di surau, api jentik hala ke orang pulak!” tiba-tiba Setapo seakan melatah, sambil mengibas-ngibas kainnya. Semua yang hadir tertumpu ke arahnya.

“Nak tegur orang tua tu, biar ada tomakninah la sikit, Abang Po!” sapa Cikgu Rosid, dengan nada bergurau.

Sekalian yang hadir ketawa kecil. Setapo yang tersengih itu terus menggosok-gosok belakang Pak Da, isyarat meminta maaf.

Mat Keri merasa terperli dengan gurauan Cikgu Rosid itu. “Sahlah mereka bercerita pasal aku dengan Tok Lebai Useng tadi” getus hatinya. Ketawanya hambar.

“Dah tadi kamu juga kata ada nyamuk Aedes...aku ni nak halau nyamuk la!” geletek Pak Da Lateh pula. Ketawa mereka makin besar.

“Tapi, kalau teguran tu atas benda yang tak betul, orang tua pun kena terimalah. Tak gitu Pah Da?” sambung Mat Keri pula. Nadanya agak serius dan penuh makna tersirat. Sekalian yang hadir turut faham bahawa Mat Keri sudah menangkap gurauan mereka tadi.

“Ginilah Yee...” sambung Pak Ngah Mezah, setelah masing-masing diam agak lama. “...Pak Ngah pun tak sedap kelih juga benda ni berterusan begini. Kita orang Islam ni tak baik bermasam muka lebih dari tiga hari. Yee pun tahu benda tu kan?” syarah Pak Ngah Mezah.

“Molek benar apa yang Pak Ngah kata tu, Yee!” celah Setapo pula.

“Molek tu, moleklah.  Tapi, Tok Lebai nak dengar ke buah kita?” balas Mat Keri, masih berkeras.

“Amba cuma minta dia baca slow sikit, jangan duk laju sangat. Kan tarawikh ni kena buat dengan tenang, tak boleh gopoh? Amba kata biar lapan rakaat pun tak apa, asal sempurna, ada tomakninah. Buat apa kalau 20 rakaat pun, sembahyang macam lipas kudung. Setengah jam dah nak sudah, buat apa?” syarah Mat Keri pula. Dia ketawa kepuasan.

“Amba kata kat dia, jumlah rakaat bukan penentu iman, Tok Lebai! Biar lapan pun, asal ada tertib-ternim, baca pun boleh cermat sikit. Takkan tegur gitu pun dah terasa?” sambung Mat Keri lagi, setelah melihat sekalian  yang hadir membisu.

“Pak Ngah tidak nak menidak hujah Yee tu. Tapi...ingat gini je lah Yee..hadis Nabi s.a.w. Ustaz Shamsul ada baca dalam usrah kita dulu-dulu: “Jangan kamu bertengkar, sekali pun kamu di pihak yang benar”. Yee ingat lagi kan?” pujuk Pak Ngah Mezah, sekaligus mengajar.

“Tak apa lah Yee rasa Yee betul tu, cuma Pak Ngah rasa kurang tomakninahnya bila kita orang muda bertengkar dengan orang tua”, ujarnya lagi.

Mat Keri terdiam.  Dia benar-benar rasa tercabar dengan hujah Pak Ngah Mezah itu.

Jam sudah pun pukul 10.30 apabila masing-masing angkat punggung. Raut wajah mereka menampakkan kegirangan. Esok, pagi-pagi Mat Keri dan Pak Ngah Mezah akan ke rumah Tok Lebai Useng bagi menjernihkan kembali suasana.

Cikgu Rosid juga akan ikut serta. Dia banyak belajar dari apa yang berlaku. Paling tidak, dia kini tahu bahawa bukan dalam sembahyang sahaja kena ada tomakninah. Menegur orang pun perlu ada tomakninah juga!

(Cerpen ini disiarkan tabloid Siasah, 28 Oktober 2006).

No comments:

Post a Comment