Friday, March 30, 1990

Bayangan kejayaan mula kelihatan


28 tahun perjuangan kemerdekaan Eritrea

Oleh: Anuwa Jamalullail

NEGARA Ethiopia dan pejuang-pejuang pembebasan di Wilayah Utara Eritrea telah sekian lama terjebak dalam kancah peperangan merebut sebuah pelabuhan kecil di pinggir Laut Merah. Pelabuhan tersebut dikira sebagai nadi kehidupan bagi berjuta-juta rakyat yang kebuluran.

Presiden Ethiopia, Mengistu Haile Mariam menggelarkan perjuangan merebut Pelabuhan Massawa itu sebagai “berjuang untuk mati”. Dipercayai ratusan ribu askar beliau telah dibabitkan dalam pertelingkahan tersebut.

Kesan daripada penumpuan kerajaan terhadap peperangan itu, kira-kira empat juta rakyat Ethiopia, terutama di utara negara tersebut mengalami kebuluran. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah menyatakan harapan dapat menghantar sejumlah 1.1 juta tan bantuan makanan melalui Pelabuhan Massawa untuk mangsa-mangsa kemarau di Eritrea dan wilayah-wilayah yang berdekatan seperti Tigre, Wollo dan Gondor.

Tetapi hari berganti hari, pertentangan yang tidak berkesudahan antara pihak kerajaan dengan Barisan Pembebasan Rakyat Eritrea (EPL) telah menggagalkan usaha itu. Gerila-gerila EPLF tanpa menghiraukan perintah gencatan senjata telah bertindak menyerang gerombolan tentera kerajaan yang mengawal sempadan sepanjang 320km itu pada awal Februari lalu.

Dalam masa dua hari serangan bertubi-tubi itu dilakukan, pihak gerila mendakwa mereka telah berjaya “menawan” Pelabuhan Massawa. Tanpa menafikan dakwaan pihak gerila pembebasan itu, pentadbiran Addis Ababa tetap menyatakan bahawa peperangan untuk menguasai pelabuhan rebutan itu akan diteruskan.

Ekoran dari itu, pihak gerila EPLF mendakwa serangan pihak tentera kerajaan telah mengubah corak Pelabuhan Massawa menjadi medan letupan bom, peluru dan senjata api.

Pada tanggal 17 Februari lalu, Presiden Mengistu tidak semena-mena mengisytiharkan kekalahan batalion kedua tentera kerajaannya mempertahankan Pelabuhan Massawa itu. Beliau juga mengatakan kerajaan beliau tidak akan dapat lagi menghalang pemisahan Wilayah Eritrea sekiranya Pelabuhan Massawa benar-benar jatuh ke tangan pejuang pembebasan tersebut. Bagaimana pun, Presiden Mengistu berikrar akan memprtahankan pelabuhan tersebut “sehingga mati”.

Ethiopia memiliki jumlah angkatan bersenjata yang terbesar di kalangan negara-negara Afrika. Dianggarkan jumlah mereka adalah seramai 315,000 orang. Sebahagian besar mereka tidak terlatih dan memiliki semangat perjuangan yang sangat lemah. Kira-kira 130,000 daripada mereka ini telah ditempatkan dalam batalion kedua yang menghadapi tentangan kumpulan gerila pembebasan Eritrea itu.

Institut Penyelidikan Strategi Antarabangsa yang berpusat di London meletakkan kekuatan
gerila Eritrea seramai 30,000 orang. Sungguh pun bilangan mereka adalah kecil berbanding dengan jumlah tentera kerajaan, mereka dikatakan lengkap bersenjata dan cukup terlatih serta memiliki disiplin perjuangan yang sangat tinggi.

Kenyataan itu terbukti apabila dalam beberapa hari pertama pertembungan berlaku antara pihak tentera kerajaan dengan mereka di sekitar Massawa, pihak gerila telah berjaya membunuh, menangkap atau mencederakan tidak kurang dari 12,000 tentera kerajaan.

Dalam operasi yang sama juga, mereka telah berjaya merampas 72 buah kereta kebal buatan Rusia, berpuluh-puluh bom dan bahan letupan serta ratusan senjata-senjata kecil. Mereka juga mendakwa telah menenggelamkan 12 buah kapal perang kerajaan Ethiopia di pinggir Pelabuhan Massawa.

Dari segi kebagusan sistem pelabuhan, Massawa bukanlah boleh dikatakan suatu pelabuhan yang baik. Bangunan-bangunan batu berkerutu, lorong-lorong sempit dan tidak teratur adalah pandangan yang biasa di situ. Penduduknya pula berjumlah 19,400 orang, menjadikannya suatu kawasan yang sesak.

Sungguh pun begitu, Massawa merupakan satu di antara hanya dua pelabuhan yang ada di Ethiopia sepanjang pantai Laut Merah. Ia menjadi pintu masuk ke wilayah pergunungan di utara dan satu-satunya laluan laut ke Eritrea dari selatan. Pinggiran pelabuhannya yang mempunyai dasar laut yang dalam lebih menjadikannya sesuai untuk kapal-kapal besar berlabuh.

Pelabuhan Ethiopia yang lain ialah di Assab, juga dalam wilayah Eritrea, berhampiran sempadan dengan Djibouti. Air pinggir yang cetek, bagaimana pun, menyebabkan pelabuhan  ini kurang menjadi kunjungan kapal-kapal dagang.

Kemarau yang melanda beberapa bahagian dari wilayah Eritrea dan Tigre tahun ini telah memusnahkan sama sekali tanaman makanan. Akibatnya, simpanan makanan selama setahun lalu susut begitu cepat sekali.

Maka bantuan makanan dari luar mesti diusahakan untuk dibawa masuk. Manakala jalan terbaik untuk kemasukan itu ialah melalui Pelabuhan Massawa juga. Ianya tentu tidak selamat untuk dilakukan sekiranya pertelingkahan dan pertempuran yang berlaku kini masih berterusan.

Bagi pihak gerila Eritrea, masalah ini dapat diselesaikan hanya jika wilayah tersebut berjaya dibebaskan. Dengan tertawannya Pelabuhan Massawa, dan yang terbaru bandar Addis Zemen di utara Tasik Lana, sekurang-kurangnya perjuangan membebaskan wilayah Eritrea dari cengkaman kerajaan Ethiopia mula menampakkan sinar kejayaannya.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi Jumaat, 3 Ramadhan 1410/30 Mac 1990 di ruangan ‘Antarabangsa’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment