Friday, July 27, 1990

Tiada erti hidup senang jika Islam tercabar


Oleh: Mohd Nasir Awang

PENGHIJRAHAN umat Islam dan Rasulullah saw dari Makkatul Mukarramah ke Madinatul Munawwarah 1411 tahun yang lalu sesungguhnya menjadi titik bertolak kepada suatu era baru dalam perjuangan Islam. Di dalamnya penuh dengan ujian dan cubaan yang lebih dari cukup untuk menguji keimanan dan kasih sayang para sahabat kepada agama dan aqidah Islam dalam diri mereka masing-masing.

Betapa kasihnya mereka kepada tanahair, kampung halaman, sanak-saudara, gudang dan kedai perniagaan, dan lain-lain kepentingan kehidupan mereka, Allah SWT sahaja Yang lebih Mengetahui. Sehinggakan ada di kalangan para sahabat yang berhijrah ke Madinah itu demam dan jatuh sakit lantaran terlalu rindukan kampung halaman di Mekah.

Namun, segalanya itu terpaksa ditempuhi dan segala kepentingan dunia itu terpaksa ditinggalkan apabila Islam dan aqidah Islam terpaksa diselamatkan. Allah SWT menjanjikan untuk mereka:
Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di mukabumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. (Al-Quran 4:100)

Menjadi suatu hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala meletakkan kesucian agama dan aqidah Islam ini melebihi segala yang lain. Disebabkan kelebihan yang diletakkan sendiri oleh Allah SWT itulah, maka agama dan aqidah Islam tetap suci dan abadi hingga ke akhir masa.

Bahkan, ia akan kekal hingga ke hari kesudahan. Inilah jaminan yang diberikan oleh Rasulullah saw di dalam sabda Baginda (bermaksud):
Akan tetap ada segolongan dari umatku yang berjuang menzahirkan kebenaran (Islam). Tidak mengecewakan mereka sesiapa juga yang cuba mengecewakan, hingga ke hari kesudahan. (Al-Hadis)

Kelebihan yang ada pada agama dan aqidah Islam ini jugalah yang menyebabkan setiap diri yang benar-benar beriman sanggup mengenepikan apa jua kepentingan yang lain. Di mana apabila kepentingan-kepentingan kehidupan bertembung dengan kepentingan menjaga kesucian agama dan aqidah ini, seorang yang beriman itu akan sentiasa mengutamakan kepentingan Islam. Al-Quran menceritakan:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh... (Al-Quran 9:111)

Sebab kepada komitmen sedemikian tinggi untuk Islam adalah jelas. Tentu sekali ia datang dari kefahaman yang mendalam tentang kelebihan-kelebihan di sisi Allah bagi mereka yang hidup untuk Islam dan perjuangan Islam. Al-Quran menyambung ayat di atas:
... Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (Al-Quran 9:111)

Begitu juga tentang dakwah, misalnya, Al-Quran menyebutkan:
Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”. (Al-Quran 41:33)

Dan lagi:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. (Al-Quran 3:110)

Begitulah apa yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedia untuk meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala kepentingan yang lain dalam kehidupan mereka:
Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? (Al-Quran 9:111)

Berdasarkan keyakinan atas segala yang diimani itu, maka kesucian Islam dan aqidahnya sentiasa dijaga oleh umat Islam, meski pun mereka terpaksa mengorbankan apa jua kepentingan kehidupan mereka.

Islam itu mulia. Begitu juga perjuangan bagi menegakkan Islam ialah suatu perjuangan yang mulia. Setiap yang dikira mulia, maka menjadi suatu tugas yang mulia pula untuk mempertahankannya.

Apalah ertinya kemuliaan jika ianya boleh diragut atau dipersendakan tanpa pembelaan? Seorang wanita yang menganggap kehormatan dirinya itu sebagai kemuliaan hidupnya, tentu tidak sanggup menghadapi dunia jika kehormatan itu diragut tanpa hormat. Tidak ada erti hidup ini sekiranya kemuliaan hidup sudah ‘dilarikan’ orang.

Begitu juga, seorang Islam yang meletakkan Islam itu paling mulia dalam hidupnya, tidak akan merasakan erti kehidupan ini lagi sekiranya agama dan aqidah Islam dihancurkan dalam dirinya. Seorang mungkin masih sanggup melihat Islam itu dihancurkan di dalam negerinya, tetapi sanggupkah seseorang itu melihat dengan penuh rela aqidah Islam itu dihancurkan dalam hatinya sendiri? Tentu sekali tidak!

Rasulullah saw dan para sahabat Baginda menyedari hakikat yang sedang melanda aqidah mereka ketika itu. Harta yang dimiliki oleh beberapa orang sahabat yang agak kaya sudah tidak dapat memberikan apa-apa kebaikan untuk melembutkan kekerasan hati kafir Quraisy. Begitu juga dengan sanak-saudara dan kaum keluarga yang sepatutnya memberikan simpati, di kala itu sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk memberikan perlindungan atau membiarkan suatu ruang kebebasan bagi umat Islam mengamalkan ajaran yang mereka imani.

Keadaan yang ada itu tidak memungkinkan lagi umat Islam meneruskan dakwah mereka dengan selamat di Mekah. Maka hijrah pun berlaku akhirnya.

Itu tidak bermakna Rasulullah saw dan umat Islam sengaja lari daripada kesusahan atau ujian. Hijrah tidak boleh dianggap sebagai melarikan diri daripada mehnah, kerana di dalam proses berhijrah itu sendiri Baginda dan para sahabat terpaksa menanggung segala macam mehnah dna penderitaan.

Tetapi apa yang penting daripada arahan hijrah tersebut sebenarnya ialah supaya kita fahami di manakah penggantungan hidup kita yang sebenarnya. Hakikat ini mesti difahami oleh setiap pejuang Islam hari ini. Di mana dalam peristiwa hijrah tersebut jelas kepada kita bahawa penggantungan hidup ini hanyalah kepada Allah Azza wa Jalla.

Dalam sirah Rasulullah saw sendiri, Allah SWT telah mewafatkan bapa, ibu dan kemudian datuk Baginda sewaktu Baginda masih kecil. Sebabnya? Beberapa ulama sirah mengatakan bahawa sebabnya ialah supaya penggantungan pendidikan pekerti Rasulullah saw itu terletak hanya kepada Allah SWT. Supaya nanti tidak akan ada orang yang berkata bahawa manusia yang paling mulia itu adalah hasil didikan bapanya dan ibunya atau turunan datuknya.

Begitu juga dalam kisah Nabi Ibrahim mahu dibakar Namrud. Apa hikmatnya Allah SWT membiarkan Baginda Ibrahim as terus dibakar? Bukankah Allah SWT berkuasa menyembunyikan Baginda dari penglihatan mereka sebagaimana Allah SWT melindungi Baginda Rasulullah saw sewaktu rumah Baginda dikepung kafir Quraisy di malam hijrahnya itu?

Atau mungkin kita fikir Allah SWT boleh tukarkan Baginda Ibrahim as dengan seorang yang seakan-akan wajah beliau, sebagaimana yang Allah SWT lakukan ke atas Baginda Isa as itu? Tetapi Nabi Ibrahim dibiarkan oleh Allah Ta’ala untuk ditangkap oleh tentera Namrud. Seterusnya Allah SWT membiarkan Baginda dicampakkan ke dalam api yang marak bernyala.

Sekali lagi kita bertanya, mengapa Allah SWT membiarkan baginda terus dicampakkan begitu? Tidakkah Allah SWT boleh menggagalkan usaha kaum Namrud itu mengumpulkan kayu-kayu api? Atau jika Dia mahu, Dia boleh mengarahkan hujan supaya turun memadamkan api. Lalu Baginda Ibrahim pun selamat.

Tetapi segalanya itu tidak berlaku. Yang berlaku, Baginda Ibrahim berjaya ditangkap. Kemudian baginda berjaya dicampakkan ke dalam api yang bernyala-nyala. Mengapa? Kerana Allah SWT mahu membuktikan kepada Namrud bahawa Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Jika Baginda Ibrahim tidak dapat ditangkap, nescaya mereka akan berkata: Nasib baik Ibrahim tidak dapat kita tangkap. Kalau kita tangkap dia, tentu dia akan mati dalam api.

Begitu juga jika api yang besar itu dipadamkan oleh Allah SWT, nescaya orang-orang kafir itu akan berdalih selamatnya Nabi Ibrahim kerana api sudah padam. Kalau tidak, tentu Nabi Ibrahim hangus rentung.

Tapi Allah SWT Maha Bijaksana dan Dia mahu mengikis segala kemungkinan dan fahaman pergantungan kepada yang lain itu.

Pengajaran yang hampir sama dirasakan tersirat pada arahan berhijrah meninggalkan Mekah dengan segala kehidupannya itu. Katakanlah jika umat Islam tidak berhijrah, dan Islam diberikan kemenangan tanpa hijrah itu, mungkin akan ada orang yang berkata bahawa Islam mencapai kemenangan kerana kekuatan ekonomi di tempat ia bermula. Di mana penganut-penganutnya memiliki kebun-kebun buahan dan gedung-gedung perniagaan. Islam juga mungkin dituduh memperolehi kemenangan hasil daripada sokongan dan pertolongan sanak-saudara dan kaum keluarga penganutnya dari seisi masyarakat kota Mekah itu.

Tetapi apabila segala kekuatan ekonomi dan pengaruh kekeluargaan (atau perkauman Mekah) sudah tidak dapat diharapkan lagi, maka di kala itu tiada lagi pergantungan yang lain bagi umat Islam melainkan Allah SWT.

Bukan bermakna kekuatan ekonomi itu tidak penting. Atau pengaruh kekeluargaan itu tidak ada guna dalam perjuangan menegakkan Islam ini. Tetapi yang lebih penting dari segala kekuatan itu ialah kekuatan iman dan aqidah Islam jua.

Kekuatan yang meletakkan pergantungan kepada Allah Azza wa Jalla inilah yang membezakan sebuah perjuangan Islam dengan lain-lain perjuangan berlandaskan kebendaan atau kebangsaan sempit itu:
... [S]edang kamu (pejuang Islam) mengharap daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan. (Al-Quran 4:104)

(Artikel bersempena Awal Muharram 1411 ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 5 Muharam 1411/27 Julai 1990 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment