Friday, March 9, 1990

Cita-cita penyatuan ummah


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG pejuang yang benar-benar berhasrat mahu memperjuangkan Islam mestilah menanamkan sikap cintakan perpaduan dan kesatupaduan di antara jamaah-jamaah Islam dan pekerja-pekerja Islam.

Mutakhir ini kelihatan seolah-olah kerja-kerja Islam lebih perlu ditumpukan ke arah penyatuan tenaga dan penyelarasan kerja pendukung-pendukung kerja Islam itu sendiri, daripada usaha-usaha untuk menambahkan bilangan pengikut dan penyokong. Suasana kebangkitan Islam kini telah berjaya menghasilkan pekerja-pekerja Islam yang begitu ramai. Alhamdulillah, ke mana sahaja kita pergi dan di mana sahaja kita berada, dapat kita temui pemuda dan muslimat yang ikhlas pada agamanya dan bersedia untuk mengorbankan kemampuannya kepada Islam dan perjuangan Islam.

Malangnya, kefahaman mereka untuk berjuang Islam ini tidak dapat dijuruskan semaksima mungkin untuk kebaikan perjuangan Islam. Antara sebab utama ialah tidak wujudnya kesatuan fikrah dan perencanaan kerja yang teliti. Hakikat ini menghasilkan kerja-kerja Islam yang tidak selaras antara mereka.

Hal ini berlaku apabila Gerakan Islam yang bersatu di atas fikrah dan manhaj yang satu tidak dapat diwujudkan dalam negara kita. Ianya jelas sekali hasil daripada kewujudan pelbagai tanzim dan jamaah Islam dalam suasana ta’addud (berbagai ragam). Lebih-lebih lagi apabila tiada wujudnya hubungan yang baik antara jamaah-jamaah berkenaan, sehinggakan jalan untuk mencapai penyatuan ummah amat kabur dan sukar sekali.

Kesan dari itu menyebabkan perjuangan Islam di Malaysia kelihatan tidak berencana dan menampakkan gambaran yang tidak menyeluruh (syumuliyyah) dan pergerakan yang tidak sejagat (alamiyyah). Perkara ini amat tidak wajar dibiarkan berterusan. Ianya akan merugikan Islam dan membantutkan perjuangan Islam.

Al-Ustaz Mustafa Masyhur, seorang ulama haraki yang terkemuka ada menulis tentang hal ini di dalam bukunya, yang diterjemahkan sebagai Pesanan dan Peringatan. Di mana antara lain beliau menggariskan sifat-sifat tertentu yang mesti dimiliki oleh setiap jamaah yang mahu mendakwa ianya sebagai sebuah jamaah Islam.

Pertama: Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul, syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk Islam.

Kedua: Meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk Negara Islam, sistem khilafah dan peneguhan agama ini (Islam) di bumi.

Ketiga: Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jamaah dan setakat adanya ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja belumlah cukup lagi. Tetapi jamaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan kewajiban itu dengan cara yang betul.

Keempat: Jamaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya-upaya di seluruh dunia Islam, bukannya setakat di sesebuah negara sahaja.

Kesudahannya, beliau menyimpulkan bahawa kesemua sifat itu terdapat pada jamaah Ikhwanul Muslimin. Maka Al-Ustaz Mustafa Masyhur menyarankan seterusnya, “jika terdapat dua jamaah yang sama-sama mempunyai keempat-empat syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan, pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah menyertai jamaah yang pertama”, iaitu yang lebih tua, lebih matang dan tentu sekali lebih berpengalaman dalam kerja-kerja Islam.

Tidak dinafikan bahawa saranan tersebut dibuat oleh Al-Ustaz Mustafa Masyhur dengan tujuan menangani permasalahan yang timbul di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin sendiri. Namun, berdasarkan kepada beberapa persamaan termasuk persamaan waqi’ (realiti) pelbagai tanzim dan jamaah Islam yang ada di Malaysia sekarang, peraturan am sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas nampaknya padan dan sesuai untuk dilaksanakan di negara kita.

Dalam suasana wujudnya berbagai jamaah, dengan slogan yang berbeza, para pejuang Islam khususnya tenaga muda yang mula cenderung kepada kerja-kerja Islam dan mahu menjuruskan diri ke dalam perjuangan Islam perlu sekali menilai kembali sifat-sifat yang dinyatakan di atas. Kerana persoalan memilih wadah perjuangan yang tepat bukanlah suatu yang boleh diambil ringan oleh seseorang pejuang Islam.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa di Malaysia kini sudah ada jamaah yang memiliki keempat-empat sifat yang diutarakan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas. Kalau pun masih belum cukup sempurna, paling tidak jamaah itu bersungguh-sungguh bergerak ke arah menyempurnakan sifat-sifat itu.

Di samping jamaah yang sama juga memiliki pengalaman, kematangan di dalam dakwah dan persediaan yang penting di dalam menempuh jalan perjuangan menegakkan hakimiyyah Allah. Sudah ada di kalangan anggota dan pejuangnya yang menghadapi berbagai mehnah sehingga ke peringkat syahid dalam menentang kemungkaran.

Maka, para duat pejuang Islam perlu memikirkan secara bijak dan memilih jamaah yang tertua di negara kita. Dengan itu, para pejuang muda tidak perlu lagi merintis jalan bagi mendapatkan pengalaman. Lagi pun, dengan penyertaan ke dalam jamaah yang paling matang dan berpengalaman, insya Allah para pejuang Islam dapat menyatukan kaum muslimin di bawah satu kalimah, dan ummah muslimin tidak perlu pula mengangkat terlalu banyak panji-panji yang menyebabkan pekerja-pekerja Islam berpecah.

Amatlah tidak patut bagi seorang yang mahu berjuang Islam, tiba-tiba dalam suasana pelbagai jamaah yang sedia wujud kini, masih lagi memikirkan untuk mewujudkan jamaah yang lain. Apakah ada seorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada agamanya yang berfikir persoalan perpecahan ummah dapat diselesaikan dengan tindakan sebegitu?

Al-Ustaz Fathi Yakan, seorang lagi aktivis Ikhwanul Muslimin telah menulis dalam bukunya, Abjadiyat Haraki (A,B,C, Gerakan Islam) dan menekankan bahawa adalah suatu langkah yang tidak bijak bagi para duat mengadakan berbagai-bagai jamaah. Islam akan rugi, sebabnya orang yang sudah mulai tertarik dengan kebaikan Islam, mungkin hilang keyakinan dengan Islam apabila melihat para pekerja Islam sendiri saling bertelagah sesama mereka, sehinggakan wujudnya berbagai-bagai jamaah.

Gejala tidak sihat hasil ta’addud jamaah ini amat dirasai mutakhir ini. Amat malang dirasakan apabila pejuang Islam yang berpendidikan, lebih-lebih lagi yang berilmu tinggi, tiba-tiba terus mengenepi dan menyisihkan saudara seIslam semata-mata kerana perbezaan fikrah perjuangan yang didokongi atau semata-mata kerana saudaranya itu mengkritik cara pembawaannya tanpa membuat penilaian ilmiah terhadap hujah dan pendapat yang dikemukakan.

Perbezaan pendapat adalah lumrah insan. Namun, seseorang pejuang Islam mestilah memahami bahawa tenaga para pekerja Islam tidak seharusnya lagi dibiarkan bersesia, bertindak berasingan dalam berbagai tanzim yang mempunyai slogan yang berbeza.

Cubalah mengutamakan kepentingan Islam dan mengenepikan kepentingan-kepentingan yang lain, sama ada kepentingan puak-kumpulan atau, lebih buruk lagi, kepentingan diri perseorangan.

Seseorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada menyatukan ummah tidak wajar mengambil tindakan yang tambah memecahkan ummah. Perpaduan antara jamaah-jamaah dan pekerja-pekerja Islam mesti dicita-citakan. Sama ada ianya mampu dicapai atau tidak, itu persoalan selanjutnya. Pokoknya, hasrat dan cita-cita perpaduan itu tidak dapat tidak mesti disuburkan senantiasa.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 9 Mac 1990 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment