Sunday, November 22, 2009

Kelantan mampu tangkis ‘serangan’ wang ihsan


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SAYA tentunya sukar melupakan segala macam impak dalam masyarakat sejak munculnya ‘wang ihsan’ hampir sedekad lalu. Bermula dari hujah loyar buruk para pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam menjustifikasi perampasan hak royalti rakyat Terengganu itu, ia merebak menjadi mudarat lebih besar terutama terhadap jati diri rakyat.

Istilah ‘wang ihsan’ tiba-tiba muncul pada 2000 sebagai justifikasi tindakan Kerajaan Pusat menghentikan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu. Pembayaran itu diterima sejak termeterai perjanjian bertulis antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerajaan negeri pada 22 Mac 1975.

Terma perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 itu secara jelas memperuntukkan hak royalti lima peratus hasil jualan petroleum kepada Terengganu selaku negeri pengeluar. Seksyen 4 perjanjian itu menyebut bahawa bekalan petroleum itu adalah asalnya milik rakyat Terengganu dan ganjaran dari penukar milikan hak punya dan keistimewaan yang diberikan kepada Petronas untuk menguruskan pengeluarannya adalah royalti yang dibayar tunai kepada kerajaan negeri.

Perjanjian itu bagaimana pun dinafikan BN pada 2000. Ia ditafsirkan semula seorang menteri berkelulusan undang-undang sebagai sekadar MoU (memorandum persefahaman). Agaknya pemimpin itu menyangka rakyat terlalu bodoh untuk menerima hujah loyar buruk itu.

Penangan wang ihsan dalam masyarakat bagaimana pun jauh lebih memalukan berbanding pertelagahan di pentas politik atau pertikaian undnag-undang. Pengurusannya yang menggunakan saluran parti mendedahkannya kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kemunculan wang ihsan bagaikan “bulan jatuh ke riba” bagi para pemimpin Umno bawahan. Mereka serta-merta menjadi orang paling “berkuasa” di kampung-kampung. Semua pihak yang dahagakan wang ihsan terpaksa melutut dan patuh kepada syarat politik ditetapkan mereka.

Dalam keadaan dunia mengiktiraf parti itu sebagai kepala rasuah di negara ini, mengharapkan Umno tidak menyelewengkan wang itu adalah lebih bodoh daripada mengharapkan anjing tidak makan tahi.

Selain mengagihnya “ikut suka aku”, para pemimpin maasyarakat ini juga mengenakan pelbagai syarat ketat dalam permohonan mendapatkan bantuan wang ihsan. Ada penerima dipaksa tidak mendampingi masjid dan surau berhampiran rumah mereka yang menjadi pusat ibadat dan kuliah penyokong PAS.

Malah kedengaran juga kes di mana suami-isteri yang diberikan wang ihsan dipaksa melafazkan baiah akan tertalak sekiranya mereka tidak mengundi BN dalam pilihan raya selepas itu. Dakwaan sebegini bagaimana pun sukar dibawa ke tengah.

Membuktikan kedurjanaan Umno dalam kes baiah ini adalah lebih payah daripada membuktikan dakwaan pencabulan seksual oleh pembalak terhadap wanita Penan di pedalaman Sarawak. Logiknya, tidak akan ada rakyat terbabit yang bersedia kehilangan bantuan wang ihsan untuk tampil menjadi saksi membuktikan penyelewengan orang yang menghulurkan “durian runtuh” kepada mereka.

Saya yang dalam tempoh antara 2000 hingga 2008 kebetulan berkhidmat di Kuala Terengganu sempat melihat sendiri bagaimana sejumlah rakyat negeri itu menggadai maruah dan jati diri demi wang ihsan. Ada yang sanggup meninggalkan majlis ilmu yang sejak sekian lama dilazimi, demi memenuhi syarat Umno. Perseteruan juga memuncak dalam masyarakat apabila berlaku ketidakadilan melampau dalam pengagihannya.

Impak paling besar tentunya di pentas politik. Selepas empat tahun kemudiannya, wang ihsan diakui sebagai antara penyebab utama kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu. Mana tidaknya apabila di hampir setiap kampung, puluhan malah ratusan penduduk yang ketika awal pemerintahan PAS menonjolkan diri sebagai “lebih PAS daripada orang PAS”, tiba-tiba beralih angin sebaik terkena penangan wang ihsan.

Sebab itu apabila Perdana Menteri pada 4 November lalu mengumumkan pemberian wang ihsan petroleum kepada Kelantan bermula tahun depan, segala hiruk-pikuk dalam masyarakat dan kacau-bilau politik yang berlaku di Terengganu itu kembali menerawang benak fikir saya.

Apatah lagi Perdana Menteri mengakui tindakan terhadap Kelantan itu dibuat berasaskan pertimbangan sama yang dikenakan ke atas Terengganu dulu. Sebab itu pihak paling mengalu-alukannya ialah pemimpin Umno Kelantan. Sukar dinafikan kemungkinan kejayaan program wang ihsan di Terengganu menjadi panduan BN untuk merampas Kelantan pula.

Namun, di samping berdoa nasib malang PAS Terengganu tidak berulang di Kelantan, saya juga optimis dengan kemampuan PAS negeri Serambi Mekah itu mendepani sepak terajang BN memanipulasi wang ihsan itu.

Lagi pun, secara faktualnya Kelantan memiliki beberapa kelebihan berbanding Terengganu. Pertama, pemimpin negeri itu sudah ada pengalaman rakan di Terengganu. Mereka boleh belajar dari situ sekiranya mereka mahu. (bersambung...)

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 175, 22-28 November 2009 di ruangan ‘Komentar’ dengan tajuk sama. Sambungannya dimuatkan dalam edisi berikutnya di ruangan sama).

Sunday, November 15, 2009

Demi undi, sanggupkah PAS membisu?


Oleh: Mohd Nasir Awang

BAGAIKAN ada kecenderungan sealiran di kalangan penganalisis politik mutakhir ini untuk memperlekeh keupayaan PAS memenuhi tuntutan perubahan politik negara. Mereka yang sering mengutarakan analisa optimis terhadap kemaraan parti-parti pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) kini selesa menghentam PAS.

Beberapa pendirian parti itu berkaitan isu-isu berbangkit dalam masyarakat dianggap tidak bijak, tidak demokratik dan berbagai lagi. PAS dikatakan gagal menarik sokongan umum, bahkan mengutamakan perkara remeh.

Siasah keluaran lalu memuatkan wawancara eksklusif dengan seorang pensyarah sains politik sebuah universiti tempatan. Profesor Madya itu mempertikaikan kewibawaan PAS untuk memerintah. Antaranya kerana masih gagal memperluaskan skop perjuangannya kepada isu-isu sejagat dan kebaikan semua kaum.

Bagi saya lukuannya itu sedikit tersasar. Realitinya, isu disebut itu memang bukan agenda PAS. Malah saya kita penganalisis itu agak boros apabila menyifatkan beberapa tindakan yang dilazimi PAS sebagai perkara remeh.

Perhatikan katanya, “pada zaman sekarang ketika rakyat mengharapkan PAS ke depan dalam soal bercakap tentang globalisasi, pekerjaan untuk rakyat, kesejahteraan hidup, keadilan untuk semua kaum dan lain-lain kemajuan, masih ada lagi pemimpin PAS yang bercakap tentang hendak menyekat konsert, mengasingkan lelaki dan wanita di pasar dan lain-lain perkara remeh”.

Pandangan sealiran turut dilontarkan kolumnis sebuah tabloid harian yang juga berpangkat “Dr”. Dalam ulasannya mengenai PAS pada edisi 1 November lalu, beliau antara lain menyamakan tindakan PAS memprotes konsert seperti pendirian “taliban”.

“PAS tidak boleh memutar jarum kembali kepada zaman “taliban” yang dibawa oleh kalangan yang hanya tahu memprotes konsert itu dan ini, sehinggakan timbul cemuhan bahawa Beyonce membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana ‘baju kurungnya belum sempat siap’”, coretnya.

Sinis, bukan? Tidak sukar difahami kritikan itu ditujukan kepada Pemuda PAS yang membantah konsert artis Barat itu. Kebetulan pula ketuanya sering berserban, lalu disamakan dengan imej “taliban”.

Turut diulang sentuh agak kerap ialah isu bantahan PAS Selangor terhadap penjualan arak di kawasan majoriti Melayu/Islam. Tindakan mempertahankan peraturan demi merawat moral umat Islam itu berdepan kecaman dan luahan tidak senang pelbagai pihak, termasuk pemimpin parti-parti rakan Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

Beberapa penganalisis politik pro-pembangkang menghukum PAS sebagai perosak kerukunan dalam PR. Ketegasan PAS dalam isu arak dianggap tidak tepat dengan kepentingan politik. Ia menjejaskan sokongan umum, khususnya kaki-kaki botol terbabit terhadap pakatan pembangkang.

Maka sekiranya pandangan para penganalisis politik tadi mahu diterima pakai PAS, demi menjadikan parti itu diterima semua pihak, PAS perlu meneliti semula banyak dasar dan prinsipnya. Paling jelas, parti itu selepas ini perlu lebih banyak membisu tatkala berdepan pelbagai isu yang agak sensitif, terutama kepada masyarakat bukan Islam.

PAS jangan lagi bising-bising membantah penjualan arak secara terbuka termasuk di negeri diperintahnya. Nampak anak-anak muda hoyong-hayang dan tunggang-langgang pun, tengok sahajalah dan duduklah diam-diam!

Kerajaan PAS Kelantan yang telah memperkenalkan peraturan pengasingan lelaki dan wanita di beberapa tempat awam pula perlu mengkaji semula pelaksanaan peraturan itu. Jika tidak PAS akan terus dilabel mengutamakan “perkara remeh”.

Pemuda PAS pula tidak perlu menghabiskan masa, berpeluh ketiak dan bergetar anak tekak membantah mana-mana konsert. Nak “goyang gerudi” ke, nak apa ke, lantak dia oranglah. Pemuda PAS kena buat pekak badak dan diam membisu. Jika membantah, mereka akan dicop “taliban”.

Kemudian, apabila ada penganalisis mengutuk dan menjatuhkan maruah pemimpin kesayangan ahli PAS, jangan ada yang cuba membidas penganalisis itu. Kelak anda dilabelkan primitif.

Bukankah itu yang diserlahkan lewat Seminar Memperkasakan Parti anjuran PAS hujung minggu lalu? Seminar sehari pada 7 November itu mengundang dua ahli akademik sebagai ahli panel. Salah seorang mereka ialah yang telah berminggu secara terbuka menghamburkan kutukan secara peribadi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Saya percaya tidak sedikit di kalangan pemimpin dan penyokog PAS terguris dengan serangan keterlaluan terhadap presiden mereka itu. Lalu ada di kalangan pemimpin PAS yang menyertai seminar minggu lalu mengecam tindakan penganalisis itu.

Dalam reaksi yang dibauri emosi, dan mungkin atas dasar menyelamatkan rakan, seorang lagi ahli panel yang juga pensyarah universiti tempatan melabelkan mereka yang mengkritik rakannya sebagai primitif dan hanya sesuai hidup di abad ke-17.

Nah! Ertinya, jika pandangan sedemikian yang mahu diterima pakai PAS, maka selepas ini jangan lagi ada ahlinya cuba membela jika ada pemimpin kesayangan mereka dikritik dan dihina. Ketepikan perasaan sayang dan sanjungan anda kepada pemimpin. Tengok dan dengar sahajalah pemimpin anda dicela. Zip kemas-kemas mulut anda. Jika membela juga, anda dianggap primitif kerana tidak dapat menerima kritikan dan persepsi pihak lain.

Saya pernah mencoret betapa hebat tekanan dialami PAS apabila ia menggesa kerajaan bertindak terhadap sebuah pertubuhan yang banyak melakukan perkara meragukan berkaitan Islam. Mungkinkah selepas ini PAS tidak perlu bersuara lagi menyentuh hak asasi dan kebebasan pihak lain, walau pun mereka menghina Islam?

Saya melihat itulah dilema dihadapi PAS kini. Di satu pihak, pendukungnya yang tulen bertegas mempertahankan dasar dan prinsip Islam. Di pihak lain, golongan yang kononnya mahu melihat PAS berjaya mendesak PAS menggadai prinsip demi mendapatkan sokongan dan undi rakyat.

Apakah PAS bersedia untuk lebih banyak membisu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil:174, 27 Zulkaedah-4 Zulhijjah 1430/15-21 November 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, November 8, 2009

Bahaya terlalu ghairah singkir pemimpin parti


Oleh: Mohd Nasir Awang

MUJURNYA Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak berpendirian seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari. Parti Islam itu besar kemungkinan menghadapi suasana haru-biru dan kucar-kacir yang amat sekiranya berketuakan seorang yang sebegitu mudah menjatuhkan “hukuman” terhadap anak-anak buahnya sendiri.

Ampun Tuhan, itulah kesimpulan saya setelah meneliti siri tulisan pakar Perlembagaan itu menerusi kolumnya di sebuah tabloid mutakhir ini. Catatannya bertarikh 19 Oktober lalu yang menggesa PAS menyingkir beberapa pemimpin yang dikatakan bermasalah mencetuskan gesaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, agar partinya mengadakan Muktamar Khas (EGM) bagi memutuskan perkara itu.

Berdasarkan beberapa kenyataan dan catatan kemudiannya pemimpin “bermasalah” dimaksudkan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali. Nama Presiden PAS turut disebut.

Dr. Abdul Aziz barangkali tersenyum puas apabila idea dan saranannya dipegang erat pemimpin spiritual PAS itu. Malah namanya disebut Datuk Nik Aziz sebagai individu yang mesti dirujuk dalam mencari penyelesaian konflik partinya.

Pengiktirafan itu bagaikan “lesen besar” baginya untuk terus mengutuk dan mengaibkan PAS. Kepimpinan Abdul Hadi disifatkan lesu dan Dr. Abdul Aziz menggesa Presiden PAS itu ditukar.

Meski pun kecaman beliau disasarkan kepada individu tertentu, ia secara tidak langsung turut menghina seluruh parti itu.

“Jangan lupa Presiden dan Timbalan Presiden PAS dipilih dengan suara majoriti akar umbi parti. Jadi jangan hina pilihan ahli PAS,” luah bekas calon PAS Dun Semerak, Kelantan, Dato’ Wan Fauzi Wan Hussin kepada saya.

Bagi tokoh perniagaan ini, menidakkan kewibawaan Abdul Hadi dan Nasharuddin memimpin PAS samalah seperti memperlekeh kebijakan ahli dan perwakilan parti itu memilih pemimpin terbaik.

“Menggunakan kepakarannya (Dr. Abdul Aziz) menafsir peruntukan Perlembagaan dengan emosi dibauri agenda politik menjatuhkan pemimpin tertentu sebenarnya menjatuhkan statusnya sendiri sebagai penganalisis politik menjadi “papparazi” politik,” itu pula ulasan pemerhati politik, Zabidi Halim, ketika menghubungi saya.

Peguam muda berpejabat di Shah Alam itu memaklumkan hasil perbualannya dengan khalayak awam di Selangor menunjukkan beberapa isu didakwa Dr. Abdul Aziz sebagai punca kemarahan masyarakat terhadap PAS, khususnya terhadap Dr. Hassan, tidaklah seteruk didakwa.

“Ada yang mempersoal, apa salahnya Dr. Hassan mempertahankan peraturan melarang jual arak di kawasan majoriti Melayu? Budak-budak muda minum arak dah macam kopi. Keruntuhan akhlak yang diwarisi dari BN inilah yang sepatutnya diperbetulkan PAS. Mereka kata tindakan Dr. Hassan patut disokong, bukan dikecam,” sambung Zabidi lagi.

Memang isu larangan penjualan arak menjadi antara isu utama sebilangan pihak mempertikai Dr. Hassan. Ekoran isu itu beliau dianggap pemusnah kerukunan dalam Pakatan Rakyat. Desakan terbuka dibuat pihak tertentu agar beliau dipecat dari jawatan utama parti.

Secara khusus, saya menilai terjahan menimpa Dr. Hassan kini agak menyimpang dari prinsip keadilan. Beliau sudah dihukum sebelum soal siasat Jawatankuasa Disiplin PAS selesai.

Saya mengikuti keghairahan memecat beliau dan beberapa pemimpin PAS itu dengan penuh bimbang. Pertama, ia seolah-olah sudah tidak ada tolak ansur di kalangan khalayak tertinggi PAS. Apakah kesalahan bekas Naib Presiden PAS itu terlalu berat dan tidak boleh dimaafkan?

Kedua, ada dwi-piawaian dalam pendirian PAS. Ingat lagi layanan berbeza diterima sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan wanita yang mengguna label Islam beberapa bulan lalu?

Ketika ada usul dalam Muktamar PAS agar pertubuhan itu disiasat pihak kerajaan atas aktivitinya yang memudaratkan Islam, seterusnya menimbang mengharamkan pertubuhan itu jika didapati terpesong, pelbagai pihak membela NGO itu.

PAS sendiri kemudiannya cukup berlembut dan cuba menunjukkan keterbukaan. Sehinggakan pemimpin yang mengetuai PAS kawasan yang mengusulkan itu tampil menjelaskan maksud sebenar usul tersebut. Beliau cuba mengikis implikasi usul itu sehingga PAS dilabel tidak demokratik, tidak terbuka menerima perbezaan pandangan dan menafikan hak asasi pihak lain.

Malangnya keterbukaan itu tidak diserlahkan PAS dalam kes Dr. Hassan. Apakah tindakannya mempertahankan peraturan Islam dinilai sebagai lebih mudarat berbanding aktiviti serong NGO itu?

Ketiga, menyingkirkan pemimpin merugikan parti apabila penggantinya sukar dicari. Memang mudah untuk menyisih seseorang pemimpin. Hasrat itu mungkin tercapai dengan kempen agresif sebulan-dua atau hanya menerusi memorandum dan mesyuarat khas.

Namun, apakah semudah itu melahirkan seorang pendukung Islam? Tarbiyah dan perkaderan sedekad pun belum tentu berjaya melahirkan seorang setanding pemimpin disingkir itu. Kes menimpa seorang bekas pemimpin kanan PAS Kelantan beberapa tahun lalu wajar direnungkan.

Bagi saya keghairahan menyingkirkan pemimpin PAS yang didakwa bermasalah perlu diurus secara bijaksana. Parti itu perlu belajar dari sejarah, termasuk pengalamannya sendiri. Beberapa kes terdahulu membuktikan kehilangan beberapa pemimpin melalui kaedah ini menjadi penyesalan pendukung PAS hingga kini.

Justeru, pendukung PAS tidak harus terseret oleh pandangan beberapa kerat penganalisis bermasalah atau “papparazi” politik. Seperti dicoretkan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika menyanggah tulisan Dr. Abdul Aziz, “memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin, tetapi menjadi ahli politik pembangkang, berat mata memandang, maka berat lagi bahu memikul”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil: 173, 20-26 Zulkaedah 1430/8-14 November 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, October 25, 2009

Mampukah Umno berubah di celah kegagalannya?


Oleh: Mohd Nasir Awang

PERHIMPUNAN Agung Umno 2009 yang baru berlangsung lebih seminggu lalu menyerlahkan berbagai hakikat sebenar yang sedang dihadapi parti tua itu. Sementara khalayak pendukungnya menilai segala perbahasan dan rumusan dalam perhimpunan itu secara positif, kalangan di luar parti itu pula menemui beberapa pemerhatian sebaliknya.

Kebanyakan kalangan penyokong Umno dan pendukung Barisan Nasional (BN) menyifatkan kesudahan perhimpunan itu sebagai titik perubahan sangat bermakna buat Umno. Keputusan 2,359 perwakilan sebulat suara menerima kesemua tujuh pindaan perlembagaan parti itu dianggap bakal mencorakkan halatuju Umno ke arah lebih telus, realistik dan demokratik. Ia dijangka akan memudahkan parti itu memulihkan imejnya, sekali gus mengembalikan sokongan rakyat terhadapnya.

Ucapan dan amanat beberapa pemimpin utama sepanjang perhimpunan diterima baik para perwakilan. Mereka menganggap segala lontaran dan luahan itu sebagai suntikan semangat untuk setiap ahli menyemarakkan lagi perjuangan parti.

Pelbagai pihak menyatakan keyakinan bahawa persepsi masyarakat terhadap Umno akan berubah. Parti itu dikatakan akan kembali gemilang.

Malah mereka pergi lebih jauh. Disebabkan terlalu yakin dengan kesungguhan dan ikrar segenap lapisan pendukungnya untuk berubah, pemimpin parti itu mengisyaratkan kepada parti-parti komponen BN lain agar turut sama berubah bersama Umno. Seolah-olah Umno lah parti paling layak diteladani berbanding seberapa banyak komponen BN yang lain.

Keghairahan segenap lapisan Umno mencanangkan perubahan parti mereka bagaimana pun ikut menyerlahkan beberapa hakikat negatif tentang parti itu. Disedari atau tidak, pendedahan dan pengakuan sebilangan pengucap sepanjang perhimpunan tersebut turut membuktikan bahawa parti itu diselubungi segala macam kegagalan.

Beberapa isu dibangkitkan para pemimpinnya sendiri menyerlahkan betapa lemah dan tidak berdayanya parti itu menangani permasalahan yang sepatutnya telah diselesaikan. Mengambilkira tempoh penguasaan Umno selaku tonggak pemerintahan negara selama lebih separuh abad, adalah tidak munasabah parti itu masih gagal dalam beberapa agenda perjuangannya yang disuarakan sejak sekian lama.

Teras utama perjuangan Umno ialah bangsa Melayu. Apa-apa juga berkaitan Melayu dianggap tidak akan sah jika tidak menerusi perjuangan parti itu. Lalu segala apa yang dicapai dan dimiliki orang Melayu begitu mudah dibahasakan sebagai hasil perjuangan Umno.

Malangnya, bagi mengekalkan pergantungan orang-orang Melayu terhadap parti itu, Umno sering mendendangkan lagu pilu nasib bangsanya sendiri. Saban tahun di setiap kali perhimpunan parti itu, para pemimpinnya akan menjadikan soal pembelaan nasib bangsa sebagai alasan dan hujah untuk memaksa orang Melayu terus memberikan sokongan dan kepercayaan pemerintahan kepada Umno.

Minggu lalu suara serupa kedengaran lagi. Presiden Umno merangkap Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya menegaskan kerajaannya tidak akan menghentikan bantuan kepada orang Melayu, seraya mengakui kebanyakan mereka masih jauh ketinggalan berbanding bangsa lain.

“Adakah adil jika topang ini dibuang hanya kerana ada orang yang sudah mendapat bantuan, tidak lagi bergantung kepadanya, sedangkan orang Melayu keseluruhannya masih ketinggalan dan memerlukan bantuan?”, terjahnya.

Nah! Bukankah kenyataan itu ibarat membuka pekung di dada Umno? Berbanggakah para pendukung parti itu dengan lebih 50 tahun penguasaan politik negara sedangkan hingga kini bangsa Melayu yang menunjangi perjuangan Umno masih terpaksa merempat dan hidup atas sokongan hayat oleh kerajaan?

Suara-suara yang menyerlahkan kegagalan Umno turut kedengaran di persidangan sayap-sayapnya, terutama Pergerakan Wanita dan Pemuda. Di antara isu utama diperbahas dan dipersetujui perwakilan Wanita ialah soal perkongsian kuasa. Isu ini sebenarnya cerita lama dan telah kedengaran sejak kepimpinan beberapa ketua pergerakan itu sebelum ini.

Perjuangan mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus kalangan mereka di peringkat membuat dasar, sama ada dalam parti mahu un kerajaan, adalah perjuangan Wanita Umno sejak dulu. Tidakkah suatu yang mengaibkan apabila Umno terpaksa mengambil masa lebih setengah kurun untuk mengiktiraf keupayaan wanitanya dalam menentukan keputusan?

Soal memartabatkan Islam turut dibangkitkan. Sementara perwakilan Wanita Pulau Pinang mendakwa perjuangan Umno telah berjaya mengangkat martabat Islam dan perwakilan Terengganu pula merasakan Islam akan lemah jika Umno lemah, kegagalan Umno berperanan pada tahap sepatutnya dalam mendaulatkan Islam tidak dapat disembunyikan.

Bukankah itu yang dapat difahami dari desakan perwakilan Wanita Kelantan agar partinya memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di negara ini?

Wakil itu melihat penularan gejala sosial melibatkan umat Islam negara kini, khususnya golongan remaja, hanya dapat dibendung menerusi pelaksanaan undang-undang syariah.

Apakah saranan yang lebih menepati agenda perjuangan PAS itu akan diterima pakai Umno adalah suatu yang amat diragukan. Maka apakah sebenarnya yang boleh dibanggakan  dengan kejayaan Umno memartabatkan Islam?

Kegagalan utama Umno bagaimana pun tidak lain dari penyakit rasuah politik. Itulah sebenarnya isu utama yang menunjangi pindaan perlembagaan parti itu.

Antara pindaan itu ialah mengubah kaedah pemilihan jawatan supaya lebih terbuka dan tanpa kuota. Selain untuk dilihat lebih demokratik, hasrat utama di sebalik pindaan itu ialah bagi membendung gejala politik wang yang telah berdarah daging dalam Umno sejak sekian lama.

Di celah sejumlah kegagalan itulah Umno melaungkan perubahan. Apakah ia akan benar-benar berubah dan sejauh manakah perubahan itu akan memadamkan kegagalan Umno, biarlah masa menentukannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil:0171, 6-12 Zulkaedah 1430/25-31 Oktober 2009 dengan tajuk sama)