Sunday, November 9, 2008

Sikap berat sebelah penguasa, media warnai isu politik negara


“Replika tersebut dijadikan isu kerana saya pembangkang”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MEMANG tepat apa yang diluahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa wujud layanan dan tanggapan berbeza media dan para penguasa negara ini terhadap apa jua isu tatkala membabitkan Barisan Nasional (BN) berbanding isu sama melibatkan parti-parti pembangkang.

Layanan sangat berbeza antara kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ‘penghapusan’ Dasar Ekonomi Baru (DEB) pertengahan bulan lalu berbanding kecaman hebat diterima Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas isu sama, Mac lalu memperjelaskan lagi hakikat yang beliau maksudkan itu.

Awal bulan lalu, para aktivis Pakatan Rakyat (PR) beserta penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Caves telah membina replika gambar Anwar sebagai menzahirkan sokongan dan sanjungan mereka kepada Ketua Pembangkang itu.

Pembinaan potret gergasi setinggi 12.2 meter itu bagaimana pun tidak disenangi pihak tertentu, terutama kalangan pemimpin dan pendukung parti lawan. Media dikuasai mereka menjadikannya isu sehingga tergamak mengaitkannya dengan unsur pemujaan dan amalan tidak sihat.

“Replika tersebut dijadikan isu kerana saya pembangkang, yang mana perkara sama dianggap tidak mengapa jika melibatkan pemimpin negara seperti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak”, kata Anwar, sebagaimana dipetik akhbar harian, 9 Oktober lalu.

Kenyataan balas beliau itu memang tidak sukar dirasionalkan, memandangkan binaan yang disebut sebagai replika itu sebenarnya hanyalah gambar dan bukannya patung. Apatah lagi rakyat negara ini boleh menjadi saksi betapa sebegitu banyak gambar gergasi kedua-dua pemimpin disebutkan Anwar itu didirikan di serata negara, terutama di saat kempen pilihan raya umum memuncak, Mac lalu.

Ada juga potret mereka berdua yang dijadikan tirai gergasi dan dipasangkan menutupi bangunan tertentu di ibukota. Di sebilangan tempat lagi, potret para pemimpin BN negeri turut dijadikan poster gergasi dan dipacakkan di tepi jalan. Bahkan, sudah sekian lama potret besar memuatkan wajah lima perdana menteri dijadikan hiasan pelbagai tempat di serata negara. Mengapa pula kewujudan ‘replika’ itu tidak pernah dibantah atau dikaitkan dengan unsur pemujaan?

“Yang haram semua kena saya. Tapi kalau gambar Abdullah boleh pula, halal. Kalau gambar (saya) pun tidak boleh dan perlu diturunkan, gambar Abdullah pun kena turunlah”, tempelak Anwar lagi.

Sebenarya isu replika Anwar itu hanyalah satu bukti kecil betapa tidak seimbang dan berat sebelahnya persepsi umum, terutama penguasa politik dan media negara, dalam memanipulasi sesuatu perkara berkaitan pembangkang. Apa jua yang dilakukan atau melibatkan pembangkang dinilai dan digambarkan secara negatif dan prejudis.

Sebaliknya, jika perkara sama dilakukan atau membabitkan BN akan dianggap betul dan baik. Contoh-contoh bagi menjelaskan sikap dan persepsi berat sebelah ini terlalu banyak. Antaranya ialah berkaitan isu penurunan harga runcit minyak di pasaran tempatan.

Umum mengetahui bahawa apabila para pemimpin PR menegaskan komitmen menurunkan harga minyak sekiranya diberi peluang memerintah negara, bertalu-talu kecaman dan kritikan dilontarkan terhadap mereka.

Tidak cukup dengan para pemimpin BN, para penganalisis ekonomi dan sebilangan tokoh akademik turut diseret bagi mengulas secara negatif dan pesimis hasrat pakatan pembangkang itu.

Setelah terbukti analisa dan jangkaan ekonomi dibuat pembangkang itu menepati realiti, kini para pemimpin BN berlumba-lumba pula mencari seribu satu alasan untuk mewajarkan langkah menurunkan harga bahan bakar itu.

Sikap serupa turut terserlah dalam isu lompat parti sepertimana yang hangat diperkatakan Mac lalu. Memandangkan selama ini perbuatan melompat parti kebanyakannya hanya berlaku sehala, iaitu daripada parti pembangkang kepada BN, maka perkara itu tidak begitu menjadi isu.

Sebagai pihak yang mendapat untung dengan tindakan wakil rakyat pembangkang melompat parti, BN menentang keras suara dan usaha pembangkang untuk menghalang tindakan itu. Bahkan, apabila kerajaan Kelantan diterajui PAS meluluskan undang-undang anti-lompat pada awal 90-an dulu, ia dibantah dan dibatalkan BN menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Persepsi BN mengenai kewajaran undnag-undang itu bagaimana pun segera berubah selepas pilihan raya lalu. Hebat diura-urakan betapa sebilangan wakil rakyat BN pula yang akan beralih menyertai parti-parti PR.

Lalu ada di kalangan menteri Kabinet sendiri mencadangkan agar undang-undang anti-lompat digubal. Bagai diduga, kini giliran para pemimpin BN pula yang melontarkan berbagai rasional bagi mewajarkan undang-undang yang pernah mereka cemuh itu diwujudkan.

Sikap berat sebelah mereka terserlah lagi dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta yang membolehkan kerajaan menahan tanpa bicara mana-mana individu yang dirasakannya boleh menggugat kepentingan pemerintah itu telah sekian lama dianggap zalim oleh pihak pembangkang. Mereka menuntut agar ISA dihapuskan.

Tuntutan itu bukan sahaja tidak pernah dilayan kerajaan BN, malah perjuangan untuknya dianggap tidak munasabah dan mengenepikan keselamatan negara. Namun, persepsi dan pendirian itu telah berubah sama sekali kebelakangan ini.

Para pemimpin parti-parti komponen BN sendiri antara yang paling lantang menyuarakan agar kerajaan melakukan sesuatu terhadap penggunaan ISA. Berbagai rasional yang dulunya hanya disuarakan pembangkang kini turut diluahkan kerabat BN sendiri.

Terbaru ialah isu penghapusan unsur DEB, sebagaimana dinyatakan Najib pada 24 Oktober lalu. Ketika diwawancara dalam program Bloomberg Voices terbitan Bloomberg TV, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelbagai unsur DEB boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Amat memeranjatkan, kenyataan sebegitu terbuka oleh pemimpin yang bakal mengambil alih teraju negara tidak pula diberikan reaksi panas oleh para pejuang Melayu, terutama pemimpin Umno sendiri. Sedangkan reaksi sebaliknya mereka zahirkan secara jelas Mac lalu apabila Guan Eng membayangkan untuk membebaskan kerajaannya daripada unsur-unsur negatif dalam DEB yang disifatkannya sebagai punca kepada kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.

Diberitakan lebih 2,000 orang Melayu di Pulau Pinang, terutama para pemimpin Umno berdemonstrasi membantah kenyataan ketua menteri mereka itu. Kini, mengapa mereka tidak menunjukkan pendirian serupa terhadap timbalan presiden parti mereka sendiri?

Itulah gambaran sikap berat sebelah khalayak politik dan media negara dalam memanipulasi isu-isu bagi memburukkan pembangkang dan menjaga imej BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 9-15 November 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, November 2, 2008

Adun Kok Lanas bagai ‘mengajar itik berenang’


 “Kelantan pelopor perbelanjaan berhemah”

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA dua telahan yang dapat dibuat apabila seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Kelantan menggesa kerajaan negeri itu mencontohi langkah penjimatan yang dilakukan Kerajaan Pusat dalam menguruskan perbelanjaannya. Andaian pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu jahil tentang fakta sejarah yang mencatatkan Kelantan sebagai model pemerintahan berjimat cermat. Amalan itu telah menjadi dasar kerajaan Kelantan sejak hampir dua dekad lalu.

Kedua, Adun berkenaan sebenarnya memang maklum tentang hakikat itu. Namun, sentimen politik kepartian yang melampau menyebabkan beliau tidak bersedia mengakui bahawa langkah penjimatan oleh Kerajaan Pusat kebelakangan ini sebenarnya mengambil contoh apa yang telah dilakukan Kelantan sejak 1990 lalu.

Apa pun hakikat sebenar yang menyelubungi benak fikir Adun BN itu, kedua-dua andaian tadi menyebabkan isu dibangkitkan beliau itu menjadi suatu yang ofensif terhadap partinya sendiri. Di masa sama, ia turut meletakkan kerajaan Kelantan dalam suasana ‘menang-menang’.

Ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, 21 Oktober lalu, Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menggesa kerajaan Kelantan melaksanakan penjimatan dalam perbelanjaannya untuk sektor tertentu menerusi Belanjawan 2009 yang ketika itu masih belum dibentangkan kerajaan negeri.

Beliau selaku Ketua Pembangkang dalam DUN Kelantan berkata, kerajaan negeri wajar mencontohi langkah seumpamanya yang telah dilakukan Kerajaan Pusat, terutama dengan mengurangkan pelaksanaan projek berimpak besar.

“Saya cadangkan kerajaan negeri membuat penjimatan tertentu memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Kerajaan Pusat juga sudah mengambil langkah berjimat bagi memastikan dalam akaun negara ada beberapa bilion ringgit sebagai persediaan”, katanya.

Tanpa menafikan kenyataan itu bermaksud memberikan pandangan membina kepada kerajaan negeri, kita juga tidak dapat menolak kemungkinan ia diselubungi persepsi politik pengucapnya. Sentimen dan persepsi kurafat kononnya hanya BN yang mampu mentadbir negara dengan baik dan sempurna seringkali mempengaruhi hujah dan pandangan para pemimpin parti itu.

Dalam kes ini, ada kemungkinan Adun Kok Lanas bermaksud mengatakan para pemimpin PAS Kelantan tidak tahu mengurustadbir kewangan dan merancang perbelanjaan negeri. Sebab itu beliau mencadangkan agar mereka mencontohi apa yang dibuat Kerajaan Pusat.

Jika itu yang menjadi hasrat wakil rakyat BN itu, ternyata beliau cuba menafikan amalan jimat cermat yang telah sekian lama dijadikan dasar pemerintahan PAS di Kelantan. Menurut satu risalah diterbitkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1999, kesungguhan para pemimpin kerajaan negeri itu memperkenalkan beberapa langkah penjimatan seawal pemerintahannya telah berjaya menyelamatkan harta dan kewangan kerajaan.

Antara langkah tersebut ialah memotong elaun tetap Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sebanyak 10 peratus kepada Perbendaharaan Negeri.

Kelantan juga menjadi kerajaan pertama di negara ini yang menghapuskan amalan pemberian cenderamata semasa lawatan rasmi pemimpin kerajaan ke jabatan-jabatan atau agensi kerajaan. Langkah itu bukan sahaja positif untuk penjimatan wang kerajaan, malah turut mengelakkan wujudnya sebarang unsur sogokan atau dorongan negatif.

Langkah penjimatan turut memaksa kerajaan tidak mengubahsuai atau memperbaharui perabot rumah dan hiasan dalaman kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 (catatan ini sehingga 1999).

Dalam banyak hal, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah menjadikan dirinya sendiri sebagai orang paling wajar dicontohi dalam kempen berjimat cermat ini. Beliau tidak menggunakan peruntukan untuk Juadah Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun.

Menteri Besar juga tidak mendiami kediaman rasmi di JKR 10, sebaliknya terus tinggal di rumah asalnya di Pulau Melaka. Ia menjimatkan berbagai perbelanjaan mengurustadbir kediaman rasmi, sekaligus menyelamatkan kewangan kerajaan.

Difahamkan, Menteri Besar juga menolak pembayaran “sewa rumah” oleh kerajaan sebagai ‘gantirugi’ kerana tidak menduduki JKR 10. Peruntukan itu sahaja pun sudah mencapai puluhan ribu setahun.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri pernah menyebutkan bahawa hasrat utama beliau mengambil kesemua tindakan disebutkan tadi ialah agar para pemimpin dan pengikutnya dapat mencontohinya dalam menjalani kehidupan yang sederhana.

Di atas hasrat itu juga elaun tetap Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Speaker) dan semua Adun PAS turut dipotong sebanyak 20 peratus kepada parti (Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan). Meski pun hasil potongan itu tidak menyumbang kepada kewangan negeri, ia akan ‘memaksa’ setiap wakil rakyat parti itu agar bersederhana dalam perbelanjaan masing-masing.

Sesuatu yang dijadikan model kebiasaannya memiliki ciri-ciri yang mahu dicontohi. Dalam hal ini, tidak semestinya setiap langkah diambil kerajaan Kelantan itu dituruti satu persatu oleh kerajaan lain.

Namun, apa yang pasti tindakan yang pada awal pelaksanaannya dulu menjadi bahan cemuhan dan sindiran para pemimpin BN, kini ternyata turut dilaksanakan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri di bawah BN sendiri. Langkah jimat-cermat yang telah dirintis kerajaan Kelantan 18 tahun lalu kini terbukti satu amalan sangat baik bagi pengurusan kewangan kerajaan.

Sebab itu tidak mengejutkan apabila keempat-empat negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) Mac lalu telah mencapai kata sepakat untuk menjadikan Kelantan sebagai model dan ikutan mereka. Para pemimpin negeri Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang dengan rendah diri dan lapang dada menganggap pengalaman luas Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menerajui satu-satunya negeri diperintah pembangkang selama 18 tahun sebagai aset sangat berguna untuk mereka sama-sama manfaatkan.

Kita tidak tahu apa kualiti yang mahu dicontohi mereka dari Mursyidul Am PAS itu. Namun, jika perkembangan ekonomi negara dan dunia dijadikan isu, maka amalan berjimat cermat dalam perbelanjaan kerajaan adalah dasar paling baik dijadikan ikutan.

Tiada pihak dapat menafikan bahawa Kelantan telah mempelopori pemerintahan berjimat cermat sebaik diperintah PAS pada 1990 lalu. Di atas hakikat itu, gesaan Adun Kok Lanas agar Kelantan mencontohi Kerajaan Pusat dalam langkah berjimat cermat boleh diibaratkan sebagai mahu “mengajar itik berenang”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 2-8 November 2008 dengan tajuk sama)

Umno realisasikan impian Pak Din ‘Hancur’?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

TENTU sekali ada hikmah sangat besar mengapa Allah Taala mentakdirkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, begitu berani menyimpulkan bahawa Umno kini sedang menuju kehancurannya. Yang dirasakan ada hikmahnya ialah apabila ungkapan senada itu turut disuarakan beberapa pemimpin politik lain, sama ada daripada PAS mahu pun Umno sendiri.

Bercakap kepada beberapa wartawan selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 di Chendering, Kuala Terengganu, Jumaat lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan Umno kini memburu kehancurannya sendiri. Dengan masalah rasuah yang tidak berkesudahan serta pemilihan partinya di pelbagai peringkat yang dibayangi amalan politik wang dan perpecahan, Umno memang dinilainya menuju ke arah itu.

Kesimpulan itu saling tak tumpah dengan apa yang ditegaskan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, kira-kira dua minggu sebelumnya. Akhbar Siasah, 12 Oktober lalu ada menyiarkan keyakinan Ahli Parlimen Pokok Sena itu bahawa Umno sudah tidak dapat diselamatkan.

“Macam mana hendak diselamatkan? Bukan kehancuran yang memburu Umno. Perkembangan hari ini seolah-olah memperlihatkan kepada kita bahawa Umno sendiri yang memburu kehancuran”, tegasnya.

Mahfuz dipetik berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih jawatan Presiden Umno. Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan partinya, Mac depan.

Bagi Mahfuz, tidak kira siapa pun yang akan menggantikan Abdullah sebagai peneraju Umno, parti itu tetap memburu kehancuran.

Tidak perlu diselindungkan lagi betapa kehancuran Umno telah menjadi antara ratib paling membakar semangat para pendukung PAS sejak dulu. Di atas pelbagai hujah dan rasional yang menepati hukum syarak dan pertimbangan politik, saya berkeyakinan mereka ada sebab sangat munasabah untuk kepingin melihat kehancuran parti zalim itu.

Saya masih ingat ketika mula berjinak dengan program PAS di awal 80-an dulu, para penceramah parti itu sering mengakhiri syarahan mereka dengan bacaan doa. Di antara doa paling masyhur ialah yang memohon Allah Taala memecah-belahkan musuh-musuh Islam.

Tidak keterlaluan jika saya katakan tatkala kalimah “wa farriq jam’ahum” (dan pecah-belahkanlah kumpulan mereka) dibacakan, suara hadirin mengaminkannya semakin meninggi. Saya yang tumpang mendengar ini pun tiba-tiba meremang bulu roma dibuatnya. Tambah seram sejuk apabila kalimah “Allahu Akbar” dilaungkan serentak oleh ratusan atau ribuan yang hadir.

Menariknya, selain kalimah mengagungkan Tuhan itu, ada juga di kalangan para pendukung PAS yang mencuri perhatian hadirin dengan laungan “hancur Umno!” Ketika itu saya sempat mengenali seorang tua dipanggil Pak Din yang berasal dari Perak. Menurut rakan-rakan, beliau menetap di Kampung Kerinci, pinggir Kuala Lumpur. Beliau dianggap orang paling istiqomah dalam mempopularkan kalimah “hancur Umno” sehingga diberi gelaran Pak Din ‘Hancur’.

Apa yang dapat saya pastikan, hasratnya melihat hancurnya Umno bukan menjadi impian Pak Din seorang. Buktinya, meski pun beliau telah lama meninggalkan kita semua, kalimah keramat dipopularkannya sejak lebih dua dekad lalu itu masih diulangsebut orang. Itu menandakan impian beliau itu dikongsi sama ratusan ribu, mungkin kini jutaan insan lain di seluruh negara.

Mungkin ada yang beranggapan agak tidak wajar dan kurang sopan bagi mana-mana parti mendoakan kehancuran pihak lawan, walau seburuk mana pun hubungan antara kedua mereka. Apatah lagi di kalangan kita ini ada manusia yang lebih mengutamakan kesopanan terhadap sesama manusia berbanding kepatuhan terhadap hukum dan peraturan ditetapkan Tuhan.

Apa pun perbahasan mengenai kewajaran perkara itu, keadaan melanda Umno kini kelihatannya menghampiri apa yang diimpikan Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ itu. Jika Salahuddin dan Mahfuz dianggap sekadar memanjangkan suara dan impian Allahyarham, bagaimana pula jika hakikat itu turut diakui para pemimpin Barisan Nasional dan Umno sendiri?

Pernah ada pemimpin Umno sebelum ini yang menyifatkan keadaan perpecahan dan politiking dalaman parti itu kini sebagai “paling buruk dalam sejarah”. Ada pula yang menyatakan bahawa Umno kini sedang dilanda “malapetaka”. Usah disebut tentang desakan bertalu-talu agar parti itu berubah dan memperbaiki diri bagi mengelakkan kemusnahan dan kehancurannya.

Kebetulan atau tidak, Isnin lalu, giliran Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula mengulang sebut amaran sama. Selepas mengejutkan negara dengan cadangan agar jawatan tertinggi partinya dipertandingkan secara tender, Rais mengesyorkan pula agar peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat kes politik wang dalam Umno diperluaskan.

Barangkali beliau sedar pandangan itu sukar diterima pakai banyak pihak dalam partinya. Kekecewaan beliau di atas hakikat itu mendorong Rais meramalkan kehancuran ke atas Umno.

“Umno harus melangkah ke setapak lagi supaya lebih matang. Jika tidak, saya berani meramalkan parti ini akan menuju ke arah kehancuran”, akhbar harian memetik amarannya.

Ya, bagaikan ada kesepakatan bahawa Umno kini menuju kehancuran. Bak kata Mahfuz, “kalau kehancuran yang memburu Umno, mungkin parti itu boleh melarikan diri, tetapi masalahnya kita nampak Umno sendiri yang memburu kehancuran”.

Menilai pendirian Salahuddin dan Mahfuz serta ramalan Rais itu, maka yang bertanggungjawab menghancurkan Umno bukannya pihak lain, tetapi Umno sendiri. Makanya, bolehlah kita simpulkan bahawa Umno jugalah yang akhirnya merealisasikan impian Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ lebih dua dekad ini.

Jika itu yang akhirnya ditakdirkan Allah Taala, maka tentunya ia juga ada hikmah yang besar di sebaliknya.

Sekalung Al-Fatihah buat Allahyarham Pak Din ‘Hancur’ atas impiannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 2-8 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)