Monday, December 20, 2010

Kudeta: Penafian Muhyiddin ibarat tutup bangkai gajah dengan nyiru

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas cuba menenangkan perasaan sendiri apabila menafikan lontaran pemimpin PAS bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin merancang rampasan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau sebaliknya menganggap kenyataan dibuat Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, itu satu pembohongan, berunsur fitnah dan berniat jahat yang sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan rakyat terhadap partinya.

Muhyiddin dilaporkan mengulas kenyataan Mahfuz yang merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sebelumnya, bahawa tidak ada kerajaan lain boleh mentadbir Malaysia selain BN.

Menurut Mahfuz, kenyataan Najib itu boleh diertikan seolah-olah menganggap rakyat tersalah pilih sekiranya membiarkan Pakatan menang dalam PRU nanti. Sikap dan pendirian sedemikian, menurut Mahfuz, boleh membawa maksud BN berkemungkinan merancang melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka tewas.

Nampak sangat Timbalan Presiden Umno itu amat terganggu dengan andaian tersebut. Perasaan itu mungkin ekoran perkembangan politik semasa yang semakin merimaskan BN. Mungkin juga kerana mengenangkan rekod kepakaran BN dalam kerja buruk itu memang amat dimaklumi umum.

Sebab itu biar pun Muhyiddin begitu bersungguh berusaha menafikannya, hujah dituturkannya amat dangkal dan layak ditertawakan. Apakah semudah itu rakyat boleh percaya bila dikatakan BN sentiasa menerima dengan baik kekalahannya dalam pilihan raya?

“Jadi tidak timbul soal kudeta (rampasan kuasa). Jika sudah diandaikan begitu, tentu sudah berlaku (kudeta apabila BN kalah di negeri tertentu), tapi ini tak berlaku,” katanya.

Tidak syak lagi kenyataan ini amat hanyir dan memualkan. Kebetulan pula ulasan itu beliau buat selepas satu majlis dekat Ipoh, Perak. Kemelut politik berterusan di negeri itu sendiri menjadikan cakap Muhyiddin itu amat tidak serupa bikin. Sebaliknya, kriris yang berlanjutan hingga kini ekoran ‘kudeta’ oleh BN di negeri itu menghidangkan contoh sangat relevan dengan andaian disebutkan Mahfuz itu.

Umum mengetahui betapa keadaan di Perak kini tidak bertambah baik. Terbukti segala jangkaan ketenangan politik dan gambaran muluk untuk rakyat negeri itu setelah kerajaan Pakatan dirampas BN setakat ini kekal fatamorganik.

Ada yang menyalahkan Pakatan atas kemelut berpanjangan itu. Kononnya setelah berlalu sekian lama dan adanya beberapa keputusan di mahkamah berhubung pertikaian itu, Pakatan patut mengalah dan menerima BN sebagai kerajaan sah demi kepentingan rakyat.

Tidak kurang juga yang kekal berpegang kepada pandangan bahawa punca kemelut politik di Perak ialah apabila BN merampas kuasa. Parti itu dinilai tidak sabar menunggu pilihan raya untuk berusaha memerintah semula secara demokratik. BN dianggap terlibat memusing pendirian politik tiga bekas wakil rakyat Pakatan, yang menjadi punca utama krisis di negeri itu.

Apatah lagi rekod kesukaran BN menerima kekalahan bukan hanya terserlah di Perak. Kita boleh membawakan contoh lain yang menggambarkan secara jelas betapa BN sanggup mengaplikasi apa jua taktik dan strategi tidak bermoral dan mengenepikan lunas demokrasi semata-mata demi mendapatkan kembali kuasa kerajaan negeri yang hilang.

Kes Kelantan adalah contoh klasik. Setelah empat penggal diperintah PAS, sejak pilihan raya pertama pada 1959, BN kehabisan ikhtiar mengembalikan kuasanya di negeri itu. Niat jahat mereka akhirnya dijelmakan menerusi taktik sangat tidak bermaruah sehingga menggadai keselamatan awam.

Rusuhan yang sengaja dicipta membuka ruang kepada perisytiharan darurat. Kerajaan negeri digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengambil alih menerusi bidang kuasa kerajaan Pusat.

Dalam keadaan huru-hara dan rakyat diselubungi ketakutan dengan berbagai insiden direkacipta serta propaganda BN, pilihan raya baru diadakan. PAS tinggal dua kerusi, kerajaan negeri tumbang dan berjaya dirampas BN.

Drama agak berlainan berlaku di Sabah. Kerajaan PBS yang kembali berkuasa untuk penggal kedua(?) dinafikan hak mengangkat sumpah menerajui kerajaan negeri. Dalam masa hanya beberapa hari, seorang demi seorang Adun PBS berpaling tadah kepada BN. Biar pun BN menafikan terlibat dalam komplot itu, apakah rakyat begitu bodoh untuk mempercayainya?

Taktik BN menumbangkan kerajaan PAS Terengganu juga amat memalukan. Menerusi manipulasi kuasa kerajaan Pusat ke atas Petronas, BN menafikan royalti minyak yang membentuk 75 peratus kewangan negeri. Ia melumpuhkan kerajaan diterajui PAS. Di masa sama wang itu menjadi talian hayat Umno, apabila parti itu diberi keistimewaan menyalurkannya terus kepada rakyat sebagai wang ihsan.

Memang apa yang berlaku di empat negeri itu bukan kudeta dalam ertikata rampasan kuasa bersifat ketenteraan. Namun, sejarah tetap mencatatkannya sebagai taktik tidak bermoral dan strategi amat jahat oleh BN yang rakus mengekalkan kuasa.

Justeru, usaha Muhyiddin menafikan kemungkinan dibayangkan Mahfuz tadi boleh diibaratkan cubaan menutup bangkai gajah dengan nyiru. Ia bukan sahaja gagal menghalang bau busuknya menerjah hidung setiap yang berada berdekatan, bahkan badan binatang paling besar itu juga tidak terlindung dan dapat dilihat dengan jelas.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1598, 20 Disember 2010 dengan tajuk sama)

Friday, December 17, 2010

Permata Seni pelaburan terbaik rawat kebobrokan sosial?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipetik media cetak pada Khamis, 16 Disember sebagai menganggap Program Permata Seni satu pelaburan jangka panjang pembangunan modal insan negara. Usaha itu dikatakan sejajar dengan hasrat kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau memuji program berkenaan sebagai kaedah terbaik memenuhi keperluan kanak-kanak yang berbakat dalam seni terutama bidang koir, muzik dan seni tari. Menurutnya lagi, sebagai aset negara, kanak-kanak perlu diberi peluang mengetengahkan bakat mereka sejajar dengan arus kemajuan negara.

“Sebagai pemimpin masa akan datang, satu landasan yang baik perlu disediakan bagi memenuhi sifat ingin tahu dan semangat untuk meneroka dan cemerlang di dalam bidang yang mereka minati”, media memetik katanya dari buku cenderamata Konsert Permata Seni yang berlangsung di Istana Budaya, Rabu lalu.

Perdana Menteri turut dipetik sebagai melahirkan rasa yakin, dengan bimbingan dan asuhan yang baik, para peserta program berkenaan mampu membuktikan bahawa kanak-kanak Malaysia mempunyai bakat yang boleh diketengahkan di persada antarabangsa.

Sementara langkah mana-mana pihak memulakan program asuh didik modal insan sedari awal usia mereka dianggap paling tepat dengan perkembangan fizikal dan emosional kanak-kanak, bentuk pengisian asuh didik itu juga tidak sepatutnya diwarnakan secara sewenang-wenang.

Tidak dinafikan usaha melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat perlu dimulakan pada seseorang kanak-kanak seawal yang boleh. Kajian saintifik mendapati perkembangan otak seseorang akan mencapai tahap kematangan 85 peratus apabila usianya mencecah tiga tahun.

Pada usia itu, rangsangan yang sesuai dan berkesan berupaya meningkatkan fungsi dan kapasiti otak ke tahap optima. Daya intelek seseorang akan meningkat dengan pesat bila dirangsang.

Lebih penting lagi, segala yang dipelajarinya di masa itu, sama ada melalui pendengaran, sentuhan atau penglihatan akan diserap dan disimpan di dalam memorinya sebagai pembelajaran yang kekal.

Konsep utama dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah pendedahan dan penyesuaian diri kepada persekitarannya. Proses ini berterusan sejak mereka di dalam kandungan ibu hingga ke awal usia. Kanak-kanak diakui mudah belajar dari apa yang didedahkan kepada mereka.

Rangsangan yang cukup mampu menjana minda kea rah pembelajaran dan penyimpanan maklumat di dalam otak mereka. Kita pernah didedahkan dengan fakta bahawa peringkat usia dua setengah tahun hingga enam tahun dikenalpasti sebagai peringkat paling mudah bagi mereka menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Kita rasa fakta ini bukan lagi hanya tersimpan di kalangan pakar psikologi kanak-kanak, ahli ilmu kesihatan atau kalangan tertentu sahaja. Para ibu bapa, para pendidik dan perancang Program Permata Seni juga barangkali sudah maklum dengan kapasiti dan potensi keemasan dimiliki kanak-kanak di usia awal mereka.

Kita percaya didorong fakta itulah maka semua pihak akan mengambil kesempatan mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan masing-masing sedari kecil. Pepatah Melayu juga ada menyebut, “melentur buluh biar lah dari rebungnya”. Ertinya, membentuk keperibadian dan mengasah keupayaan seseorang perlulah dimulakan sedari awal usianya.

Bagi orang Islam pula, perkara ini turut menjadi sesuatu yang ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam salah satu hadisnya yang masyhur Baginda s.a.w. menyifatkan seorang anak yang baru dilahirkan itu berada dalam keadaan fitrah, yakni suci dan bersih. Maka terpulang kepada ibu bapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Sebab itu, sama ada menilai dari sudut bangsa atau agama, amat penting bagi kita memperhalusi apakah yang hendak diisikan ke dalam minda anak-anak. Dalam keadaan mereka masih terlalu mentah, tidak tahu membezakan mana baik mana buruk dan bersedia menerima apa juga yang disuakan oleh orang dewasa kepada mereka, keputusan mengenai baik-buruk itu terletak sepenuhnya di tangan orang dewasa.

Dalam ertikata lain, dapat kita simpulkan bahawa ibubapa, guru dan sesiapa saja yang bertanggungjawab memilih bahan yang hendak disumbatkan ke kepala kanak-kanak adalah turut bertanggungjawab terhadap keperibadian yang terhasil puluhan tahun kemudiannya.

Secara khususnya, Program Permata Seni memang tidak menyentuh soal akidah dan ibadah. Ia lebih kepada soal mengasah bakat seni anak-anak sebagai persiapan mereka memasuki dunia hiburan penuh glamour, atau mungkin turut diselit agenda orang dewasa yang memayungi program itu mengaut pujian atas kejayaan mereka.

Maka kita rasa sayugia ditanyakan, sejauh manakah adil dan wajarnya minda kanak-kanak itu disumbati dengan agenda seni semata-mata. Bahkan, lebih wajar ditanyakan juga, apakah tanpa asuh didik secara khusus oleh kerajaan sebagaimana menerusi program tersebut, maka negara bakal berdepan krisis kekurangan penyanyi, penghibur dan penggiat seni yang sangat serius suatu hari nanti?

Apakah ratusan penyanyi, penari, pemuzik dan penggiat seni yang berlambakan dalam negara kini semuanya lahir menerusi program khusus dibiayi kerajaan? Bahkan mereka itu lahir dengan sendirinya tanpa perlu kerajaan bersusah-payah menyediakan asuh didik, bukan?

Apakah jumlah mereka yang begitu ramai belum mencukupi untuk menyajikan hiburan dan mementaskan bakat rakyat Malaysia di persada antarabangsa? Kemudian tanyakan juga, sejauh manakah tepatnya usaha mengutamakan hiburan sebagai pembangun modal insan yang baik?

Kita rasa topik pembangunan modal insan tidak sepatutnya dilihat secara terpisah daripada realiti yang sedang berdepan masyarakat kini. Sebagai umat Islam, kita perlu akui bahawa punca kepincangan dan kecelakaan dalam masyarakat ialah apabila rakyat jahil tentang agama. Mereka tidak dapat membezakan mana baik, mana buruk, apa dosa dan apa pahala.

Apabila masyarakat sudah pincang dan porak-peranda, matlamat murni melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat dengan sendirinya akan terbantut dan sukar direalisasikan.

Berbekalkan realiti sebegitu, wajar kita tanya, apakah negara kita sekarang memerlukan lebih ramai penyanyi, pemuzik dan penggiat seni untuk merawat kebobrokan masyarakat?

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 17 Disember 2010 dengan tajuk "Permata Seni rawat kebobrokan sosial?")

Kes Riyapadu, kenyataan BN Terengganu ‘subjudis’?

Apa pun hujah politik yang mungkin dimiliki Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk merasionalkan kenyataannya menyalahkan PAS dalam kes saman membabitkan pampasan RM 1 bilion oleh sebuah syarikat pembalakan minggu lalu, ia tetap dinilai tidak menepati kaedah dan prinsip keadilan.

Dalam keadaan kes tersebut telah difailkan di mahkamah, sudah tentu sebarang ulasan dan pandangan secara mendalam mengenainya boleh tertakluk kepada ‘subjudis’ atau dianggap memberikan kesan dan pengaruh kepada penghakiman yang bakal diputuskan mahkamah.

Malangnya, hakikat itu bagaikan tidak mampu menghalang beberapa pemimpin BN Terengganu mengulas kes tersebut secara berat sebelah. Mungkin mereka merasakan boleh memanipulasi kes itu untuk meruntuhkan imej dan kredibiliti PAS, sekali gus meraih mileage politik untuk parti pemerintah itu.

Hal itu bukan sekadar andaian, terutama menilai kenyataan mereka yang secara terbuka menyalahkan PAS selaku bekas parti pemerintah negeri ketika kes berkenaan berlaku. Media arus perdana bahkan memetik kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sebagai mendakwa kelemahan pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PAS dulu menyebabkan kerajaan BN pimpinannya kini terpaksa menanggung beban saman tersebut.

“Jika tuntutan ini berjaya, mahu tidak mahu kita (kerajaan negeri) terpaksa bayar juga. Kita sangat kecewa dan dukacita kerana sepatutnya kes sebegini tidak berlaku. PAS tidak harus menuding jari kesalahan itu pada orang lain,” media pada Sabtu dan Ahad memetik reaksi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Kenyataan beliau yang secara jelas amat pesimis dan negatif itu sebagai mengulas kes tuntutan saman RM 1 bilion dikemukakan syarikat Riyapadu Sdn Bhd terhadap kerajaan Terengganu di atas dakwaan gagal mematuhi perjanjian yang sudah dimeterai antara kedua-dua pihak.

Dalam writ saman difailkan, syarikat itu mendakwa pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan (balak) di kawasan 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu. Kawasan berkenaan dikatakan bakal terlibat dengan pembinaan Empangan Kedua.

Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM25 juta sepertimana dalam perjanjian. Bagaimana pun ia mendakwa kerajaan negeri kemudiannya menamatkan perjanjian tersebut.

Kes tuntutan itu bagaimana pun hanya difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 12 Disember 2007, setelah lebih tiga tahun BN kembali berkuasa. Ia diperkatakan semula minggu lalu selepas penghakiman mahkamah sama pada 27 Oktober lalu memerintahkan kerajaan Terengganu mengembalikan RM25 juta yang dijelaskan Riyapadu kepada kerajaan negeri pada 2003 sebagai bayaran premium konsesi balak di kawasan terbabit.

Media talibarut BN memetik Ahmad sebagai menganggap kes itu sebagai “menanggung kesalahan orang lain”. Katanya, kerajaan BN yang memerintah Terengganu kini menjadi mangsa kerana terpaksa menanggung beban dan natijah kepincangan kerajaan pimpinan PAS ketika itu.

Berikutan itu, terdengar pula suara pemimpin BN lain mendesak para pemimpin bekas kerajaan PAS tampil memberikan penjelasan. Sedangkan semua pihak tahu keadaan yang ada kini sukar memberikan keadilan dan ketelusan kepada PAS memperjelaskannya.

Selain kes berkenaan sudah menjadi kes mahkamah, dan tertakluk kepada keterbatasan undang-undang kerana dibimbangi boleh menjurus kepada ‘subjudis’, PAS juga berada pada posisi yang tidak kondusif mempertahankan tindakan yang dibuatnya dulu.

Sama ada tindakan tujuh tahun lalu itu betul atau silap, adalah perkara lain. Pokoknya, PAS bukan lagi parti pemerintah Terengganu. Sudah tentu apa pun pendirian dan ketegasannya mempertahankan tindakannya dulu di atas nama pemerintah belum tentu akan mampu membina persepsi positif dan memberi keyakinan kepada BN menerima penjelasan tersebut.

Apatah lagi BN selaku pemikul tanggungjawab memerintah kini awal-awal lagi menampakkan sikap amat pesimis terhadap kemungkinan menafikan tuntutan dikemukakan Riyapadu itu.

Media talibarut BN pada Ahad memetik Ahmad sebagai berkata, “kes berkenaan memperlihatkan dengan jelas kepada rakyat kepincangan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu apabila PAS yang tidak berpengalaman memimpin negeri akhirnya disaman dalam jumlah yang cukup tinggi”.

Kenyataan itu mungkin bermaksud membina persepsi negatif terhadap PAS, sekali gus merobek kredibiliti dan imej positif cuba dibina semula oleh parti itu di mata rakyat Terengganu. Bagaimana pun ia turut memberikan implikasi lain apabila dinilai dari sudut BN selaku defendan kes tuntutan tersebut.

Apabila bermula dengan sikap pesimis, bagaimana mungkin diharapkan BN cuba mempertahankan kes tersebut? Ahmad sendiri seakan redha dan menerima kemungkinan akan kalah. Hal itu secara tersirat dapat kita fahami dari kata-katanya yang membayangkan bakal “memikul beban kesalahan dilakukan orang lain”.

Apakah tidak mungkin kenyataan tersebut dianggap plantif sebagai pengakuan defendan atas kesilapan memang berlaku di pihak kerajaan negeri dalam kes itu? Jika benar, ia seakan memberikan hujah tambahan dan membantu memudahkan pihak plaintif memenangi tuntutannya.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1597, 17 Disember 2010 dengan tajuk sama di halaman Kolumnis, F22)

Friday, December 10, 2010

Rakyat setuju “hukum” potong tangan pencuri

Kebanyakan media cetak edisi Terengganu pada Rabu, 8 Disember, memuatkan laporan kes seorang lelaki disyaki pencuri yang putus pergelangan tangannya ditetak pemilik rumah yang cuba dicerobohinya.

Kejadian dikatakan berlaku jam 3.30 pagi sehari sebelumnya di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan, Besut. Pemilik rumah terbabit yang bekerja menternak ikan dalam sangkar dilaporkan sedang tidur bersama enam ahli keluarganya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi tingkap rumahnya diumpil.

Selepas mengesyaki sesuatu, beliau mengambil parang dan keluar rumah melalui pintu utama tanpa disedari suspek sebelum ternampak kelibat seseorang sedang mengumpil tingkap rumahnya.

Suspek yang terkejut cuba berhadapan dengan pemilik rumah itu tetapi dia dilibas dengan parang dan terkena pergelangan tangan kirinya.

Pemuda berusia 28 tahun dari Setiu itu terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pergelangan tangannya yang putus itu terjatuh di halaman rumah.

Pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui pergelangan tangan tersebut dan menghantarnya ke Hospital Besut pada jam 5.30 pagi.

Gerakan mengesan suspek, terutama menerusi titisan darahnya, akhirnya membawa polis menemuinya dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah di sebuah chalet tidak jauh dari tempat kejadian.

Suspek dihantar ke Hospital Besut kira-kira jam 9 pagi sebelum dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangannya untuk penyambungan semula.

Seorang remaja wanita berusia 15 tahun yang turut berada bersamanya di chalet berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Beliau mendakwa isteri suspek, bagaimana pun kebanyakan akhbar menamakannya sekadar teman wanita. Di antara akhbar tersebut malah melaporkan remaja berkenaan sedang mengandung.

Secara kebetulan, lokasi kejadian dan chalet disebutkan itu terletak dalam lingkungan hanya tiga kilometer dari rumah penulis. Keadaan itu memudahkan penulis meninjau reaksi dan penilaian anggota masyarakat setempat berhubung kejadian itu.

Percayalah, kebanyakan yang ditemui tanpa teragak menyatakan amat bersetuju dengan tindakan tuan rumah itu. Ada yang berkata “padan muka (kepada suspek)”, ada yang menyebut “memang patut pun”.

Yang lain pula mengiyakan, “molek lah, ajar dia (pencuri) macam tu”. Malah ada juga yang memuji langkah pemilik rumah bertindak terlebih dahulu sebelum apa-apa kesempatan diambil suspek terhadapnya.

“Seribu satu macam kemungkinan boleh berlaku. Daripada dapat (kesempatan bertindak) kat dia (suspek), lebih baik tuan rumah bertindak dulu”, mereka mewajarkan tindakan tuan rumah terbabit.

Dalam ertikata lain, tiada pihak yang meluahkan rasa simpati terhadap suspek penjenayah itu. Kekerapan kejadian pecah rumah, termasuk antaranya melibatkan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap tuan rumah, menyebabkan anggota masyarakat semakin membenci pelaku jenayah.

Di samping berharap insiden malang sebegitu tidak menimpa mereka sendiri, masing-masing anggota masyarakat turut bersetuju akan mengambil tindakan serupa sekiranya berkesempatan mengenakan suspek jenayah.

Apatah lagi mereka seakan didedahkan dengan kefahaman bahawa tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang bagi pemilik rumah bertindak mempertahankan harta dan nyawa mereka, terutama dalam situasi genting sebegitu.

Ulasan sedemikian mengingatkan kita kembali kepada kes lebih serius yang berlaku tidak sampai sebulan lalu. Dalam kejadian pada 16 November lalu, seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun menggunakan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Media melaporkan ketika kejadian, suspek bersama rakannya bersenjatakan parang telah menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gajinya di tingkat bawah. Suspek kemudian naik ke bilik mangsa di tingkat atas sebelum terserempak dengan mangsa yang kemudian melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

Walau pun tindakan mangsa itu mengakibatkan kehilangan nyawa suspek, masyarakat umum boleh menerimanya sebagai betul, terutama di atas premis mempertahankan diri dan ahli keluarganya, serta keselamatan harta bendanya.

Maka, apabila dalam kes di Besut tadi, “hukuman” diterima suspek hanyalah melibatkan kehilangan pergelangan tangan, kebanyakan anggota masyarakat menganggapnya “hukuman” yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Malah antara mereka mengandaikan “hukuman” itu bakal menjadi pengajaran kepada suspek seumur hidupnya.

“Sampai bila-bila pun dia (suspek) akan ingat dan tak akan berani mencuri lagi bila tengok tangannya yang sebegitu,” telah mereka.

Agak menarik, secara kebetulannya “hukuman” diterima suspek itu secara zahirnya “menyamai” pendekatan terdapat dalam hukum Islam. Kita sedia maklum bahawa salah satu jenayah syariah di bawah hudud ialah mencuri. Hukuman bagi mereka yang sabit kesalahan mencuri ialah dipotong tangan.

Hukuman inilah yang sangat ditentang dan dimomokkan sebilangan pihak dalam negara kita sendiri, terutama ekoran hasrat dua kerajaan diterajui PAS (Kelantan dan Terengganu) mendaulatkan hudud dan qisas sebelum ini.

Apa yang ditakdirkan Allah berlaku di Besut itu semacam suatu kesempatan untuk kita meninjau pendapat dan penilaian masyarakat umum tentang hukuman bersesuaian untuk seorang penjenayah, khususnya pencuri.

Alhamdulillah, sebagaimana dicatatkan di atas, reaksi mereka seakan memberikan isyarat jelas bahawa hukum memotong tangan pencuri bukan suatu digeruni, sebaliknya dialu-alukan!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 10 Disember 2010 dengan tajuk "Eloklah ajar pencuri macam tu!")

Betul kata Mahathir, Melayu memang ‘haprak’!

Banyak sebab yang membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamed tersenyum sendiri kebelakangan ini. Selain kejayaan diraihnya sepanjang menerajui pemerintahan, mantan Perdana Menteri itu juga hingga kini mampu mengekalkan pengaruh dan populariti di kalangan anak-anak buahnya.

Buktinya, masih banyak kata-kata dan saranan beliau dalam berbagai aspek pemerintahan negara diterima pakai oleh pelapis kepimpinannya.

Apa yang tergambar menerusi keghairahan anak-anak buahnya menjulang isu ketuanan Melayu dua minggu kebelakangan ini menghidangkan senario lebih menyeronokkan buat Mahathir.

Paling membuatnya girang ialah apabila yang menjadi sasaran utama balunan dan kutukan khalayak yang mendakwa sebagai para pejuang Melayu sehari-dua ini ialah manusia yang paling dibencinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembira bukan kepalang bekas Presiden Umno itu apabila bekas timbalannya kini digelar pengkhianat bangsa, perosak negara, dan berbagai lagi label tidak enak. Barangkali membuak-buak dadanya untuk bersuara dan mengingatkan khalayak umum kembali kepada label sama yang pernah diucapkannya dulu terhadap Anwar.

Hati Mahathir mungkin amat berharap akan ada orang yang sedar dan akui kebenaran kata dan tindakannya lebih sedekad dulu. Sama halnya dengan apa yang diucapkannya baru-baru ini mengulas fitnah demi fitnah terpaksa dihadapi Anwar dalam kes liwat.

Media melaporkan Mahathir sebagai berkata, pertuduhan terhadap bekas timbalannya itu membuktikan segala tindakannya terhadap Anwar pada 1998 adalah betul. Kini, Mahathir agaknya sekali lagi berharap ada pihak menyebarluas kesimpulannya itu.

Media sejak dua minggu lalu galak meligan Anwar dan isterinya yang juga Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara. Ia bertolak daripada ucapan Wan Azizah di Kongres Keadilan, 27 November, yang antara lain menyeru agar rakyat meninggalkan konsep ketuanan Melayu sepertimana diamalkan Umno.

Ucapan itu diperakui Anwar, seraya membelek tahap pencapaian ekonomi dan sosial orang Melayu selepas lebih separuh abad di bawah teraju Umno dengan konsep ketuanan Melayunya.

Bagai diduga usikan itu membangkitkan emosi melulu khalayak pendukung Umno. Media arus perdana dikuasai parti itu pula memanipulasi isu itu untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap pakatan pembangkang, khususnya Keadilan dan Anwar sendiri.

Seruan meninggalkan ketuanan Melayu itu ditafsirkan sebagai mengusik hak istimewa orang Melayu. Wan Azizah dan Anwar dianggap menghina bangsa sendiri.

Label itu sudah membuatkan Mahathir tersenyum. Masakan kita sudah lupa bahawa ungkapan paling hina terhadap bangsa Melayu datangnya daripada bekas Presiden Umno itu sendiri? Bukankah dia pernah melabelkan Melayu sebagai ‘haprak’!

Kamus Dewan mengkategorikan haprak di dalam kelompok ‘bahasa kasar’. Ia ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak bergunanya seseorang.

Mahathir melabelkan bangsanya sendiri dengan sifat amat hina itu. Setitis peluh Pemuda Umno pun tak tumpah, seurat bulu roma pejuang Melayu pun tak luruh membantah ucapan paling menghina bangsa mereka itu.

Reaksi amat berlawanan kini terhasil dari ucapan Wan Azizah. Ia malah diseret kononnya turut menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan.

Disebabkan penafsiran sewenangan itu, Anwar, Wan Azizah dan partinya dilabel penderhaka pula. Persepsi umum cuba dibentuk kononnya jika pembangkang dipilih menerajui negara, kedudukan Raja-Raja Melayu bakal tergugat.

Bantahan demi bantahan bertali arus di serata negara. Di antara yang ghairah membantah itu, ada pula yang sampai menuntut agar imuniti Raja-Raja Melayu dikembalikan.

Mereka menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan. Hanya dengan itu, kata mereka, dapat menjamin institusi terbabit terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini, seraya merujuk kepada ucapan Wan Azizah.

Mahathir sekali lagi boleh tersenyum melihat reaksi pertubuhan Melayu itu. Senyumnya itu bukan semata-mata kerana manusia paling dibencinya semakin diganyang anak-anak buahnya, tetapi kerana ia terlepas dari menjadi sasaran dalam isu tersebut secara spesifik.

Semua kita maklum bahawa pemain utama menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir sendiri. Beliau bertanggungjawab mencetus dan menggerakkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan agar kekebalan itu dinafikan.

Tidak sedikit ketegangan dan kekeruhan terhasil oleh tindakannya itu. Anehnya, tidak ada pula mana-mana pihak berani melabelkan Mahathir sebagai ‘penderhaka’ kepada istana. Sebaliknya kini, persepsi cuba dibentuk kononnya imuniti itu perlu dikembalikan semata-mata kerana merasa tercabar oleh ucapan Wan Azizah dan pendirian Anwar.

Sekali lagi, Mahathir boleh tersenyum. Gelagat para pembantah itu ikut membuktikan kebenaran kata-katanya dulu, bahawa ‘Melayu mudah lupa’. Mereka lupa betapa yang menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir, tetapi yang dikaitkan dengan salahlaku itu kini ialah Anwar dan isterinya pula.

Seluruh episod itu tambah membuatkan Mahathir tersenyum sendiri. Kesimpulan diambil para pejuang Melayu itu turut membenarkan kata-katanya dulu, bahawa Melayu memang ‘haprak’!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1595, 10 Disember 2010, di ruangan Editorial dengan tajuk sama)

Monday, December 6, 2010

Negara Islam: MCA cabar DAP, sindir Umno


Sepintas lalu timbul rasa meluat membaca laporan media mengenai cabaran Pergerakan Pemuda MCA Perak agar DAP menyatakan pendirian menerima konsep Negara Islam dinyatakan PAS. Sebagai sebuah parti dengan perjuangan berasaskan perkauman sempit, cabaran itu satu lagi bukti betapa MCA gagal mempamerkan sikap terbuka menerima penjelasan atau perbezaan pendirian berhubung kepercayaan agama lain.

Namun, dari sudut lain, terasa kelakar pula menilai keceluparan Pemuda MCA itu. Ia seakan suatu sindiran terbuka terhadap Umno, parti rakannya dalam Barisan Nasional (BN), yang tidak jauh bezanya dengan DAP dalam penerimaan konsep Negara Islam dikemukakan PAS.

Media pada Khamis, 2 Disember, memuatkan cabaran Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon agar DAP memberi penjelasan kepada penyokong dan rakyat yang mengundi parti itu sama ada mereka sudah bersedia menerima prinsip perjuangan Islam ala-PAS atau sekadar bersikap hipokrit kerana mahu meraih undi khususnya daripada pengundi Melayu.

Beliau dipercayai memberikan reaksi terhadap ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Pasir Panjang, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ketika sesi perbahasan Bajet Negeri 2011 di sidang DUN Perak, sehari sebelumnya.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyebut kerjasama dijalin antara PAS dan DAP menerusi Pakatan Rakyat (Pakatan) menguntungkan umat Islam di negara ini kerana DAP semakin berjinak-jinak dengan Islam dan PAS.

Bagi para pendukung Pakatan, kenyataan itu tidak sukar diakui. Perubahan sikap DAP terhadap apa-apa yang bernama dan berbunyi Islam amat ketara, terutama sejak pilihan raya 2008. Sebilangan pemimpin parti itu malah bersedia merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memperkuatkan hujah mereka.

Hakikat disebut Nizar itu bukan suatu perkembangan baru. Ia malah sudah seringkali diulangsebut para pemimpin PAS dalam ceramah dan ucapan mereka di serata negara sejak sekian lama.

Justeru, cabaran Pemuda MCA terhadap DAP tadi bukan lah kerana tidak bersedia menerima hakikat hubungan baik PAS-DAP. Ia sebaliknya dinilai lebih kepada kepentingan politik parti komponen BN itu, terutama dalam usahanya memaut kembali sokongan kaumnya yang merosot teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Ia juga jelas sebagai usaha merungkai hubungan semakin erat antara DAP dan PAS, terutama dalam konteks negeri Perak sendiri.

Malangnya, dalam mencapai hasrat itu MCA sekali lagi tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam. Cabaran itu memperjelaskan minda tertutup dan pendirian amat serong MCA terhadap agenda perjuangan pihak lain.

Sudah banyak kali sebelum ini parti Cina itu menzahirkan secara terbuka sikap negatifnya terhadap apa-apa perkara berkaitan Islam, terutama konsep Negara Islam diperjuangkan PAS. Pernah salah seorang bekas presidennya tanpa silu menganggap usaha melaksanakan hukum dan peraturan Islam di negara ini ibarat memusing jarum jam ke belakang.

Baru-baru ini pula, Presiden MCA dilaporkan mengaitkan kemunduran beberapa negara umat Islam di serata dunia dengan ajaran Islam dianuti mereka. Beliau bahkan menyalahkan Umno yang terikut-ikut mahu menyaingi PAS dengan agenda Islam sehingga menjejaskan kemajuan negara.

Kenyataan yang mengusik keagungan Islam dan memperlekeh agama suci itu bagaimana pun tidak mengundang reaksi menyeluruh di kalangan pemimpin Umno sendiri. Tidak kedengaran juga bantahan mana-mana pertubuhan Melayu dan Islam, sebagaimana sensitif dan marahnya mereka apabila sesuatu berkaitan kepentingan Melayu dipertikaikan.

Barangkali MCA sudah sedia maklum tahap keikhlasan Umno memperjuangkan Islam. Parti Cina itu tahu betapa orang-orang Umno tidak begitu sensitif jika pun ia mempersenda sesuatu berhubung Islam.

Sikap Umno itu bagaikan memberi lesen istimewa untuk MCA melakukan ‘semak dan imbang’ bagi memastikan Umno tidak terlalu ghairah melaksanakan apa-apa agenda Islam dalam pemerintahan. Dalam ertikata lain, Islam yang dibawa Umno hanyalah sejauh mana ia dipersetujui MCA saja.

Ketegasan MCA menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Islam adalah kerana ia sudah sedia maklum tentang tahap kesediaan Umno sendiri mengemukakan Islam. Selaku teman rapat Umno, parti itu tentu ada di sisinya ketika pemimpin Umno memberi amaran keras terhadap PAS yang berusaha mendaulatkan hukum Islam di Kelantan, tiga dekad lalu, misalnya.

Para pemimpin Umno juga pihak paling kecoh mengkritik dan mengulas secara negatif apabila PAS mendedahkan Dokumen Negara Islam kepada umum kira-kira sedekad lalu.

MCA juga menyaksikan bagaimana sikap bongkak pemimpin Umno yang dikuasai serakah politik menyebabkan parti itu tergamak menodai kesucian agama anutan mereka  sendiri, contohnya dalam merobohkan masjid di Terengganu.

Sebab itu selama lebih separuh abad berkawan rapat dengan Umno, tidur sebantal dan berkongsi menduduki rumah bernama ‘Barisan Nasional’, fahaman para pemimpin MCA terhadap kemurnian ajaran Islam masih ditakuk lama. Fahaman dangkal dan serong mereka terhadap Islam tidak pernah diperbetulkan Umno.

Justeru, walau pun yang dicabar Pemuda MCA Perak ialah DAP, ia sebenarnya satu sindiran buat Umno sendiri yang hingga kini amat jahil dan keras terhadap konsep Negara Islam dibawa PAS.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1594, 6 Disember 2010 di ruangan Kolumnis, F22 dengan tajuk sama)

Friday, December 3, 2010

Isu Ketuanan Melayu, Umno melenting kerana kegagalannya terdedah

Menepati jangkaan kita, seruan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) agar khalayak politik negara ini meninggalkan konsep Ketuanan Melayu mencetuskan reaksi hangat. Ia turut menjadi bahan manipulasi media-media kroni pemerintah.

Tidak syak lagi pihak paling ke depan membantah ucapan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail ini adalah para pemimpin dan pendukung Umno. Kononnya mereka lah pejuang dan pembela Melayu sejati.

Biar pun sebilangan mereka yang membantah itu berselindung di sebalik beberapa pertubuhan, seperti Perkasa, Gertak, Pewaris dan seumpamanya, kesemua badan itu adalah satelit Umno. Pertubuhan-pertubuhan itu diketahui menjadi alternatif ahli-ahli Umno yang menyedari sukar menyuarakan bantahan menerusi platform parti, terutama dalam isu-isu melibatkan kepentingan politik Umno berdepan rakan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam Ucapan Dasar Presiden di Kongres Keadilan, Sabtu lalu, Wan Azizah menyifatkan konsep Ketuanan Melayu hanyalah slogan dimanipulasi sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu, kononnya ia perjuangan demi kepentingan bangsa ini.

Sedangkan, katanya, sekumpulan kecil penguasa ini adalah mereka yang melakukan rasuah, korupsi, pecah amanah dan pelbagai kesalahan. Mereka juga tidak menghiraukan nasib kaum sendiri, sebaliknya memanfaatkan kedudukan politik semata-mata demi kepentingan diri.

Sebab itu, walau pun konsep Ketuanan Melayu telah dijulang sejak lebih 53 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai dan terkebelakang dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain.

“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti (ekonomi) Melayu-Bumiputera masih gagal dicapai,” katanya.

Kita tidak melihat apa-apa kecacatan pada ucapan itu. Soal keterbelakangan pencapaian ekonomi dan akademik, serta kebobrokan sosial orang Melayu adalah fakta yang diterima umum.

Namun, ia nampaknya sukar diakui pendukung Umno. Ada yang menyifatkan seruan Wan Azizah sebagai mengkhianati bangsa Melayu. Malah beliau disamakan dengan watak Si Kitul dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Ada pula pemimpin Umno yang menganggap kenyataan Presiden Keadilan itu sengaja mahu mengelirukan rakyat. Mereka mendakwa maksud sebenar Ketuanan Melayu merujuk kepada kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai kaum majoriti.

Tidak kurang juga yang menilai kenyataan itu sebagai usaha terdesak Wan Azizah untuk menyelamatkan partinya, terutama bagi memaut sokongan kaum bukan Melayu. Mereka yakin rakyat sudah bijak menilai segala perkembangan politik negara.

Bahkan ada kumpulan yang bertindak lebih jauh. Mereka bukan sekadar menyuarakan bantahan menerusi media, malah berhimpun di balai polis dan membuat laporan terhadap Wan Azizah. Kononnya kenyataan beliau itu ancaman dan hasutan yang mampu mewujudkan provokasi terhadap orang Melayu sehingga boleh mengganggu keamanan negara.

Itulah kepakaran orang Umno yang sukar ditandingi mana-mana pihak setakat ini. Ia gemar memutarbelit fakta terutama untuk memburukkan parti lawan. Umno juga suka bertindak sembrono, mencetuskan tindakan segera tanpa usul-periksa, semata-mata mahu memperlihatkan dirinya sebagai pembela bangsa.

Biarkanlah Umno dan para pendukungnya dengan pelbagai tafsiran negatif, andaian terlampau dan tindakan kebudak-budakan sebegitu. Sepertimana mereka akui, kita juga yakin rakyat sudah bijak menilai segala gelagat dan reaksi lebih-lebih itu.

Apatah lagi hujah-hujah yang mereka utarakan dalam mewajarkan bantahan terhadap kenyataan Wan Azizah itu juga diselaputi berbagai keraguan dan pertikaian. Contohnya, usaha mereka mengaitkan konsep Ketuanan Melayu sebagai hak keistimewaan bangsa Melayu.

Apakah hakikatnya memang begitu? Benarkah Ketuanan Melayu itu termasuk antara Hak-Hak Istimewa Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diganggu gugat? Kita percaya apa dimaksudkan Wan Azizah tidak lah sampai membuang hak-hak istimewa bangsanya sendiri.

Wajar ditanyakan juga, apa lagi yang termasuk dalam Hak-Hak Istimewa Melayu. Lebih utama lagi, apakah selama ini tidak ada hak-hak istimewa itu yang dinodai Umno sendiri?

Di antara hak istimewa itu ialah mendapatkan pendidikan percuma. Ia secara tradisinya disediakan parti pemerintah menerusi bantuan biasiswa. Malangnya sejak lebih sedekad lalu, ia dihentikan dan ditukar kepada pinjaman pelajaran. Bukankah penghapusan hak istimewa itu angkara Umno sendiri?

Jika Umno menganggap Wan Azizah terkeliru dengan konsep Ketuanan Melayu yang sebenarnya ditujukan kepada hak istimewa Raja-Raja Melayu, apakah rekod Umno terhadap istana suatu yang amat membanggakan? Jangan ingat rakyat sudah lupa bahawa parti itu sendirilah juara menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan berbagai keistimewaan dinikmati golongan istana sebelum ini.

Akuilah sebenarnya Umno menzahirkan reaksi lebih-lebih itu gara-gara merasa terpukul oleh pendedahan Wan Azizah. Hakikat bahawa tahap pencapaian ekonomi dan sosial Melayu amat mendukacitakan biar pun setelah lebih separuh abad diterajui Umno amat sukar ditelan parti itu. Keaiban atas kegagalan itulah sebenarnya punca Umno melenting tak ketahuan hala!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1593, 3 Disember 2010 dengan tajuk "Ketuanan Melayau: Umno melenting, kegagalannya terdedah")