Friday, December 10, 2010

Betul kata Mahathir, Melayu memang ‘haprak’!

Banyak sebab yang membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamed tersenyum sendiri kebelakangan ini. Selain kejayaan diraihnya sepanjang menerajui pemerintahan, mantan Perdana Menteri itu juga hingga kini mampu mengekalkan pengaruh dan populariti di kalangan anak-anak buahnya.

Buktinya, masih banyak kata-kata dan saranan beliau dalam berbagai aspek pemerintahan negara diterima pakai oleh pelapis kepimpinannya.

Apa yang tergambar menerusi keghairahan anak-anak buahnya menjulang isu ketuanan Melayu dua minggu kebelakangan ini menghidangkan senario lebih menyeronokkan buat Mahathir.

Paling membuatnya girang ialah apabila yang menjadi sasaran utama balunan dan kutukan khalayak yang mendakwa sebagai para pejuang Melayu sehari-dua ini ialah manusia yang paling dibencinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembira bukan kepalang bekas Presiden Umno itu apabila bekas timbalannya kini digelar pengkhianat bangsa, perosak negara, dan berbagai lagi label tidak enak. Barangkali membuak-buak dadanya untuk bersuara dan mengingatkan khalayak umum kembali kepada label sama yang pernah diucapkannya dulu terhadap Anwar.

Hati Mahathir mungkin amat berharap akan ada orang yang sedar dan akui kebenaran kata dan tindakannya lebih sedekad dulu. Sama halnya dengan apa yang diucapkannya baru-baru ini mengulas fitnah demi fitnah terpaksa dihadapi Anwar dalam kes liwat.

Media melaporkan Mahathir sebagai berkata, pertuduhan terhadap bekas timbalannya itu membuktikan segala tindakannya terhadap Anwar pada 1998 adalah betul. Kini, Mahathir agaknya sekali lagi berharap ada pihak menyebarluas kesimpulannya itu.

Media sejak dua minggu lalu galak meligan Anwar dan isterinya yang juga Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara. Ia bertolak daripada ucapan Wan Azizah di Kongres Keadilan, 27 November, yang antara lain menyeru agar rakyat meninggalkan konsep ketuanan Melayu sepertimana diamalkan Umno.

Ucapan itu diperakui Anwar, seraya membelek tahap pencapaian ekonomi dan sosial orang Melayu selepas lebih separuh abad di bawah teraju Umno dengan konsep ketuanan Melayunya.

Bagai diduga usikan itu membangkitkan emosi melulu khalayak pendukung Umno. Media arus perdana dikuasai parti itu pula memanipulasi isu itu untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap pakatan pembangkang, khususnya Keadilan dan Anwar sendiri.

Seruan meninggalkan ketuanan Melayu itu ditafsirkan sebagai mengusik hak istimewa orang Melayu. Wan Azizah dan Anwar dianggap menghina bangsa sendiri.

Label itu sudah membuatkan Mahathir tersenyum. Masakan kita sudah lupa bahawa ungkapan paling hina terhadap bangsa Melayu datangnya daripada bekas Presiden Umno itu sendiri? Bukankah dia pernah melabelkan Melayu sebagai ‘haprak’!

Kamus Dewan mengkategorikan haprak di dalam kelompok ‘bahasa kasar’. Ia ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak bergunanya seseorang.

Mahathir melabelkan bangsanya sendiri dengan sifat amat hina itu. Setitis peluh Pemuda Umno pun tak tumpah, seurat bulu roma pejuang Melayu pun tak luruh membantah ucapan paling menghina bangsa mereka itu.

Reaksi amat berlawanan kini terhasil dari ucapan Wan Azizah. Ia malah diseret kononnya turut menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan.

Disebabkan penafsiran sewenangan itu, Anwar, Wan Azizah dan partinya dilabel penderhaka pula. Persepsi umum cuba dibentuk kononnya jika pembangkang dipilih menerajui negara, kedudukan Raja-Raja Melayu bakal tergugat.

Bantahan demi bantahan bertali arus di serata negara. Di antara yang ghairah membantah itu, ada pula yang sampai menuntut agar imuniti Raja-Raja Melayu dikembalikan.

Mereka menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan. Hanya dengan itu, kata mereka, dapat menjamin institusi terbabit terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini, seraya merujuk kepada ucapan Wan Azizah.

Mahathir sekali lagi boleh tersenyum melihat reaksi pertubuhan Melayu itu. Senyumnya itu bukan semata-mata kerana manusia paling dibencinya semakin diganyang anak-anak buahnya, tetapi kerana ia terlepas dari menjadi sasaran dalam isu tersebut secara spesifik.

Semua kita maklum bahawa pemain utama menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir sendiri. Beliau bertanggungjawab mencetus dan menggerakkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan agar kekebalan itu dinafikan.

Tidak sedikit ketegangan dan kekeruhan terhasil oleh tindakannya itu. Anehnya, tidak ada pula mana-mana pihak berani melabelkan Mahathir sebagai ‘penderhaka’ kepada istana. Sebaliknya kini, persepsi cuba dibentuk kononnya imuniti itu perlu dikembalikan semata-mata kerana merasa tercabar oleh ucapan Wan Azizah dan pendirian Anwar.

Sekali lagi, Mahathir boleh tersenyum. Gelagat para pembantah itu ikut membuktikan kebenaran kata-katanya dulu, bahawa ‘Melayu mudah lupa’. Mereka lupa betapa yang menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir, tetapi yang dikaitkan dengan salahlaku itu kini ialah Anwar dan isterinya pula.

Seluruh episod itu tambah membuatkan Mahathir tersenyum sendiri. Kesimpulan diambil para pejuang Melayu itu turut membenarkan kata-katanya dulu, bahawa Melayu memang ‘haprak’!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1595, 10 Disember 2010, di ruangan Editorial dengan tajuk sama)

Monday, December 6, 2010

Negara Islam: MCA cabar DAP, sindir Umno


Sepintas lalu timbul rasa meluat membaca laporan media mengenai cabaran Pergerakan Pemuda MCA Perak agar DAP menyatakan pendirian menerima konsep Negara Islam dinyatakan PAS. Sebagai sebuah parti dengan perjuangan berasaskan perkauman sempit, cabaran itu satu lagi bukti betapa MCA gagal mempamerkan sikap terbuka menerima penjelasan atau perbezaan pendirian berhubung kepercayaan agama lain.

Namun, dari sudut lain, terasa kelakar pula menilai keceluparan Pemuda MCA itu. Ia seakan suatu sindiran terbuka terhadap Umno, parti rakannya dalam Barisan Nasional (BN), yang tidak jauh bezanya dengan DAP dalam penerimaan konsep Negara Islam dikemukakan PAS.

Media pada Khamis, 2 Disember, memuatkan cabaran Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon agar DAP memberi penjelasan kepada penyokong dan rakyat yang mengundi parti itu sama ada mereka sudah bersedia menerima prinsip perjuangan Islam ala-PAS atau sekadar bersikap hipokrit kerana mahu meraih undi khususnya daripada pengundi Melayu.

Beliau dipercayai memberikan reaksi terhadap ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Pasir Panjang, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ketika sesi perbahasan Bajet Negeri 2011 di sidang DUN Perak, sehari sebelumnya.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyebut kerjasama dijalin antara PAS dan DAP menerusi Pakatan Rakyat (Pakatan) menguntungkan umat Islam di negara ini kerana DAP semakin berjinak-jinak dengan Islam dan PAS.

Bagi para pendukung Pakatan, kenyataan itu tidak sukar diakui. Perubahan sikap DAP terhadap apa-apa yang bernama dan berbunyi Islam amat ketara, terutama sejak pilihan raya 2008. Sebilangan pemimpin parti itu malah bersedia merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memperkuatkan hujah mereka.

Hakikat disebut Nizar itu bukan suatu perkembangan baru. Ia malah sudah seringkali diulangsebut para pemimpin PAS dalam ceramah dan ucapan mereka di serata negara sejak sekian lama.

Justeru, cabaran Pemuda MCA terhadap DAP tadi bukan lah kerana tidak bersedia menerima hakikat hubungan baik PAS-DAP. Ia sebaliknya dinilai lebih kepada kepentingan politik parti komponen BN itu, terutama dalam usahanya memaut kembali sokongan kaumnya yang merosot teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Ia juga jelas sebagai usaha merungkai hubungan semakin erat antara DAP dan PAS, terutama dalam konteks negeri Perak sendiri.

Malangnya, dalam mencapai hasrat itu MCA sekali lagi tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam. Cabaran itu memperjelaskan minda tertutup dan pendirian amat serong MCA terhadap agenda perjuangan pihak lain.

Sudah banyak kali sebelum ini parti Cina itu menzahirkan secara terbuka sikap negatifnya terhadap apa-apa perkara berkaitan Islam, terutama konsep Negara Islam diperjuangkan PAS. Pernah salah seorang bekas presidennya tanpa silu menganggap usaha melaksanakan hukum dan peraturan Islam di negara ini ibarat memusing jarum jam ke belakang.

Baru-baru ini pula, Presiden MCA dilaporkan mengaitkan kemunduran beberapa negara umat Islam di serata dunia dengan ajaran Islam dianuti mereka. Beliau bahkan menyalahkan Umno yang terikut-ikut mahu menyaingi PAS dengan agenda Islam sehingga menjejaskan kemajuan negara.

Kenyataan yang mengusik keagungan Islam dan memperlekeh agama suci itu bagaimana pun tidak mengundang reaksi menyeluruh di kalangan pemimpin Umno sendiri. Tidak kedengaran juga bantahan mana-mana pertubuhan Melayu dan Islam, sebagaimana sensitif dan marahnya mereka apabila sesuatu berkaitan kepentingan Melayu dipertikaikan.

Barangkali MCA sudah sedia maklum tahap keikhlasan Umno memperjuangkan Islam. Parti Cina itu tahu betapa orang-orang Umno tidak begitu sensitif jika pun ia mempersenda sesuatu berhubung Islam.

Sikap Umno itu bagaikan memberi lesen istimewa untuk MCA melakukan ‘semak dan imbang’ bagi memastikan Umno tidak terlalu ghairah melaksanakan apa-apa agenda Islam dalam pemerintahan. Dalam ertikata lain, Islam yang dibawa Umno hanyalah sejauh mana ia dipersetujui MCA saja.

Ketegasan MCA menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Islam adalah kerana ia sudah sedia maklum tentang tahap kesediaan Umno sendiri mengemukakan Islam. Selaku teman rapat Umno, parti itu tentu ada di sisinya ketika pemimpin Umno memberi amaran keras terhadap PAS yang berusaha mendaulatkan hukum Islam di Kelantan, tiga dekad lalu, misalnya.

Para pemimpin Umno juga pihak paling kecoh mengkritik dan mengulas secara negatif apabila PAS mendedahkan Dokumen Negara Islam kepada umum kira-kira sedekad lalu.

MCA juga menyaksikan bagaimana sikap bongkak pemimpin Umno yang dikuasai serakah politik menyebabkan parti itu tergamak menodai kesucian agama anutan mereka  sendiri, contohnya dalam merobohkan masjid di Terengganu.

Sebab itu selama lebih separuh abad berkawan rapat dengan Umno, tidur sebantal dan berkongsi menduduki rumah bernama ‘Barisan Nasional’, fahaman para pemimpin MCA terhadap kemurnian ajaran Islam masih ditakuk lama. Fahaman dangkal dan serong mereka terhadap Islam tidak pernah diperbetulkan Umno.

Justeru, walau pun yang dicabar Pemuda MCA Perak ialah DAP, ia sebenarnya satu sindiran buat Umno sendiri yang hingga kini amat jahil dan keras terhadap konsep Negara Islam dibawa PAS.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1594, 6 Disember 2010 di ruangan Kolumnis, F22 dengan tajuk sama)

Friday, December 3, 2010

Isu Ketuanan Melayu, Umno melenting kerana kegagalannya terdedah

Menepati jangkaan kita, seruan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) agar khalayak politik negara ini meninggalkan konsep Ketuanan Melayu mencetuskan reaksi hangat. Ia turut menjadi bahan manipulasi media-media kroni pemerintah.

Tidak syak lagi pihak paling ke depan membantah ucapan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail ini adalah para pemimpin dan pendukung Umno. Kononnya mereka lah pejuang dan pembela Melayu sejati.

Biar pun sebilangan mereka yang membantah itu berselindung di sebalik beberapa pertubuhan, seperti Perkasa, Gertak, Pewaris dan seumpamanya, kesemua badan itu adalah satelit Umno. Pertubuhan-pertubuhan itu diketahui menjadi alternatif ahli-ahli Umno yang menyedari sukar menyuarakan bantahan menerusi platform parti, terutama dalam isu-isu melibatkan kepentingan politik Umno berdepan rakan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam Ucapan Dasar Presiden di Kongres Keadilan, Sabtu lalu, Wan Azizah menyifatkan konsep Ketuanan Melayu hanyalah slogan dimanipulasi sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu, kononnya ia perjuangan demi kepentingan bangsa ini.

Sedangkan, katanya, sekumpulan kecil penguasa ini adalah mereka yang melakukan rasuah, korupsi, pecah amanah dan pelbagai kesalahan. Mereka juga tidak menghiraukan nasib kaum sendiri, sebaliknya memanfaatkan kedudukan politik semata-mata demi kepentingan diri.

Sebab itu, walau pun konsep Ketuanan Melayu telah dijulang sejak lebih 53 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai dan terkebelakang dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain.

“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti (ekonomi) Melayu-Bumiputera masih gagal dicapai,” katanya.

Kita tidak melihat apa-apa kecacatan pada ucapan itu. Soal keterbelakangan pencapaian ekonomi dan akademik, serta kebobrokan sosial orang Melayu adalah fakta yang diterima umum.

Namun, ia nampaknya sukar diakui pendukung Umno. Ada yang menyifatkan seruan Wan Azizah sebagai mengkhianati bangsa Melayu. Malah beliau disamakan dengan watak Si Kitul dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Ada pula pemimpin Umno yang menganggap kenyataan Presiden Keadilan itu sengaja mahu mengelirukan rakyat. Mereka mendakwa maksud sebenar Ketuanan Melayu merujuk kepada kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai kaum majoriti.

Tidak kurang juga yang menilai kenyataan itu sebagai usaha terdesak Wan Azizah untuk menyelamatkan partinya, terutama bagi memaut sokongan kaum bukan Melayu. Mereka yakin rakyat sudah bijak menilai segala perkembangan politik negara.

Bahkan ada kumpulan yang bertindak lebih jauh. Mereka bukan sekadar menyuarakan bantahan menerusi media, malah berhimpun di balai polis dan membuat laporan terhadap Wan Azizah. Kononnya kenyataan beliau itu ancaman dan hasutan yang mampu mewujudkan provokasi terhadap orang Melayu sehingga boleh mengganggu keamanan negara.

Itulah kepakaran orang Umno yang sukar ditandingi mana-mana pihak setakat ini. Ia gemar memutarbelit fakta terutama untuk memburukkan parti lawan. Umno juga suka bertindak sembrono, mencetuskan tindakan segera tanpa usul-periksa, semata-mata mahu memperlihatkan dirinya sebagai pembela bangsa.

Biarkanlah Umno dan para pendukungnya dengan pelbagai tafsiran negatif, andaian terlampau dan tindakan kebudak-budakan sebegitu. Sepertimana mereka akui, kita juga yakin rakyat sudah bijak menilai segala gelagat dan reaksi lebih-lebih itu.

Apatah lagi hujah-hujah yang mereka utarakan dalam mewajarkan bantahan terhadap kenyataan Wan Azizah itu juga diselaputi berbagai keraguan dan pertikaian. Contohnya, usaha mereka mengaitkan konsep Ketuanan Melayu sebagai hak keistimewaan bangsa Melayu.

Apakah hakikatnya memang begitu? Benarkah Ketuanan Melayu itu termasuk antara Hak-Hak Istimewa Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diganggu gugat? Kita percaya apa dimaksudkan Wan Azizah tidak lah sampai membuang hak-hak istimewa bangsanya sendiri.

Wajar ditanyakan juga, apa lagi yang termasuk dalam Hak-Hak Istimewa Melayu. Lebih utama lagi, apakah selama ini tidak ada hak-hak istimewa itu yang dinodai Umno sendiri?

Di antara hak istimewa itu ialah mendapatkan pendidikan percuma. Ia secara tradisinya disediakan parti pemerintah menerusi bantuan biasiswa. Malangnya sejak lebih sedekad lalu, ia dihentikan dan ditukar kepada pinjaman pelajaran. Bukankah penghapusan hak istimewa itu angkara Umno sendiri?

Jika Umno menganggap Wan Azizah terkeliru dengan konsep Ketuanan Melayu yang sebenarnya ditujukan kepada hak istimewa Raja-Raja Melayu, apakah rekod Umno terhadap istana suatu yang amat membanggakan? Jangan ingat rakyat sudah lupa bahawa parti itu sendirilah juara menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan berbagai keistimewaan dinikmati golongan istana sebelum ini.

Akuilah sebenarnya Umno menzahirkan reaksi lebih-lebih itu gara-gara merasa terpukul oleh pendedahan Wan Azizah. Hakikat bahawa tahap pencapaian ekonomi dan sosial Melayu amat mendukacitakan biar pun setelah lebih separuh abad diterajui Umno amat sukar ditelan parti itu. Keaiban atas kegagalan itulah sebenarnya punca Umno melenting tak ketahuan hala!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1593, 3 Disember 2010 dengan tajuk "Ketuanan Melayau: Umno melenting, kegagalannya terdedah")

Bas Wanita, persendaan yang jadi kenyataan

Pelbagai pihak, termasuk PAS, mengalu-alukan langkah terbaru Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas untuk penumpang wanita di beberapa laluan sekitar ibu negara.

Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat.

Pengasingan pengangkutan mengikut gender tidak syak lagi menghindari mereka daripada sebarang kemungkinan menjadi sasaran gangguan seksual, terutama tatkala bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Difahamkan perkara itu memang menjadi antara dorongan pihak Bas RapidKL memperkenalkan bas khas itu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah kepada gangguan seksual.

Justeru, katanya, perkhidmatan khas itu bertujuan memberi keselesaan dan memastikan keselamatan penumpang wanita ke destinasi masing-masing.

Untuk itu, katanya, tempoh percubaan perkhidmatan itu dilaksanakan sebulan bermula Rabu. Ia melibatkan tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8 (Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

“Tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita. Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," demikian pula reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sepertimana dipetik Harakahdaily.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa.

"Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya," kata ketuanya, Nasarudin Hassan.

Meski pun langkah terbaru di sektor pengangkutan awam negara itu wajar dialu-alukan, bahkan dianggap tepat pada masa, penulis sendiri merasakan ia agak ketinggalan. Pendekatan sebegitu sepatutnya telah dilaksanakan lama dulu.

Kalau lah tidak kerana sikap negatif khalayak penguasa negara terhadap apa juga pendekatan dan langkah pembaharuan diperkenalkan pemerintahan negeri diterajui PAS, nescaya sudah banyak pemurnian sebegitu berlaku dalam pelbagai sektor hidup masyarakat kita.

Malangnya, disebabkan kongkongan sentimen politik kepartian yang terlalu tebal, Barisan Nasional (BN) diterajui Umno yang menguasai kerajaan Pusat sering menilai setiap langkah atau pembaharuan diperkenalkan parti lawan secara serong.

Selaku penguasa ke atas segenap saluran media dan sebaran am, BN juga tidak memberi ruang dan peluang untuk PAS memperjelaskan kemurnian sesuatu langkah diperkenalkannya, terutama di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dulu.

Lalu khalayak umum dibiarkan tanpa maklumat tepat mengenai pembaharuan berkenaan. Bahkan, ada ketikanya mereka tergamak mempersenda sesuatu keputusan dibuat kerajaan pimpinan PAS, walau pun yang dipersendakan itu sebenarnya memang bertepatan dengan suruhan agama Islam.

Memburukkan keadaan, para penjuak BN dan kalangan yang tidak ada pemahaman yang jelas mengenai hukum dan peraturan Islam ikut menambahkan kekeliruan. Tafsiran dan ulasan mereka, yang ada ketikanya tersasar jauh dari hakikat letakduduk perkara, menyebabkan persepsi negatif terhadap Islam semakin membukit.

Pengalaman PAS memperkenalkan beberapa peraturan Islam di kesempatan memerintah dua negeri di Pantai Timur itu banyak berdepan ejekan dan persendaan, terutama para pendukung BN.

Di antara peraturan yang menjadi bahan momokan mereka ialah usaha PAS memperkenalkan pengasingan gender di tempat awam. Ia termasuklah mewujudkan tempat duduk berasingan bagi wanita dan lelaki bukan mahram sama ada di majlis, perhimpunan umum atau pawagam.

Begitu juga kaunter berasingan mengikut gender di pasaraya dan gedung beli-belah. Salon unisex juga ditiadakan dan dipastikan pekerja wanita hanya melayan pelanggan wanita, begitulah sebaliknya.

Usaha menguatkuasakan peraturan itu dipersendakan khalayak yang mengaku Islam sendiri. Sebilangan mereka bersuara membantah atas nama perjuangan kebebasan hak wanita. Kononnya peraturan sebegitu menggambarkan persepsi serong terhadap kaum Hawa, terutama dikaitkan dengan subjek seks.

Ada juga cerdik pandai yang menganggap usaha PAS melaksanakan pengasingan gender di tempat awam sebagai kerja remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan.

Malah ada pengulas di media tergamak mempersenda usaha memperkenalkan peraturan sedemikian. Ada yang sangat nakal menelah kononnya pemimpin PAS merasa perlu diwujudkan peraturan pengasingan itu kerana mereka terlalu memikirkan soal seks sehingga sukar menahan nafsu bila bergaul dengan wanita.

Ada pula secara sinikal mengandaikan, berdasarkan peraturan dibuat kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu itu, maka ditakdirkan parti itu berjaya memerintah Malaysia, nanti semuanya akan dibuat pengasingan mengikut gender.

“Nanti akan ada teksi khas untuk wanita sahaja, bas untuk wanita, keretapi untuk wanita, dan besar kemungkinan kapalterbang pun khas hanya untuk penumpang wanita saja,” ujar mereka penuh senda.

Maha Benar Allah Ta’ala dengan janjinya bahawa kebenaran itu, meski pun kelihatan tidak berdaya atau dipersenda, akan tetap menguasai suasana walau pun ia mungkin memakan masa. Sebaliknya, kebatilan itu biar pun kelihatan elok dan gagah akan runtuh dan lenyap.

Kini terbukti persendaan itu telah menjadi kenyataan. Kita telah diperkenalkan dengan bas khas untuk wanita, sebelum pun sempat PAS menguasai Putrajaya.

Langkah ini malah bukan yang pertama seumpamanya. April lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.

Ada pun teksi khas untuk wanita bukan perkara sukar diwujudkan. Perkhidmatan serupa sebenarnya telah diperkenalkan beberapa negara termasuk Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India sejak awal 2007.

Indonesia pula mendahului negara lain melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, juga pada 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.

Mereka mungkin tidak melaksanakannya di atas dasar memenuhi tuntutan Islam, tetapi atas hasrat mengelakkan gangguan seksual.

Namun, apa salahnya alang-alang kita juga berhasrat berbuat serupa, mengapa tidak diperbetulkan niat atas tujuan menuruti suruhan agama? Kenapa takut mengakui bahawa ajaran Islam itu memang membawa kebaikan untuk manusia?

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 3 Disember 2010 dengan tajuk "Bas khas wanita tempelak ejekan")

Wednesday, December 1, 2010

Jadikan majlis akad nikah tarikan ke masjid

Di negara kita, musim cuti persekolahan amat sinonim dengan majlis kenduri-kendara. Kesempatan cuti panjang sebilangan anggota keluarga, terutama anak-anak yang terlibat dengan penggal persekolahan, sering dimanfaatkan kebanyakan kita untuk melangsungkan berbagai majlis keramaian.

Ada yang sengaja menunggu musim cuti untuk mengadakan majlis kesyukuran bersempena naik rumah baru atau majlis aqiqah anak yang dilahirkan beberapa ketika lebih awal.

Namun, majlis paling lumrah yang sengaja dirancang di musim cuti ialah kenduri perkahwinan. Mengadakannya di musim cuti dipercayai memudahkan seramai mungkin sanak-saudara ikut serta memeriahkannya. Tidak syak lagi kehadiran ratusan sanak-saudara, rakan-taulan serta jemputan khas menjadi keutamaan tuan rumah.

Biar pun acara utamanya ialah jamuan, babak paling penting sebenarnya bukan semata-mata di situ. Sesuatu perkahwinan tidak lengkap dan tidak melenyapkan kegusaran tuan rumah selagi majlis akad nikah tidak berlangsung. Bukankah kenduri hanya sebagai tanda meraikan kejayaan mengikat tali hubungan antara dua insan terbabit?

Orang penting di setiap kali majlis perkahwinan sudah tentulah jurunikah. Tidak sempurna urusan pernikahan tanpa dikepalai oleh sang imam. Lebih-lebih lagi, selaku orang yang diberi tauliah melangsungkan akad nikah, beliau adalah ‘orang tengah’ menyelesaikan berbagai perkara antara pasangan pengantin dan pihak berkuasa agama.

Bagi masyarakat penduduk Mukim Dalam Rhu, Pasir Putih, Kelantan, orang yang mereka cari bagi menyempurnakan hasrat mengikat tali pernikahan ialah Haji Mat Ali Awang Ahmad. Warga berusia 66 tahun ini, yang juga imam masjid mukim berkenaan, adalah jurunikah yang sangat berpengalaman di kawasan berkenaan.

“Saya mula jadi imam masjid ini (Mukim Dalam Rhu) sejak tahun 1971. Serentak itu juga saya ditauliahkan jadi imam nikah untuk mukim ini. Bermakna sudah dekat 40 tahun la,” cerita Imam Mat Ali.

Beliau yang juga anak jati kelahiran kampung berkenaan menjelaskan, mukim berkenaan meliputi kawasan dari Kampung Pachakan di sempadan negeri Terengganu-Kelantan hingga ke Kampung Pauh Dara, di sempadan Mukim Semerak.

Bapa kepada enam anak ini mendapat pendidikan di Sekolah Arab Shamsul Maarif, Pulai Condong, Machang. Beliau kemudian menyambung pengajian ke Maahad Muhammadi, Kota Bharu, sehingga tamat Kelas 7.

Ternyata asas pendidikan Islam yang diterimanya banyak membantu beliau membina kehidupan yang sederhana. Dalam memberikan khidmatnya, sama ada sebagai imam masjid mahu pun jurunikah, soal imbuhan atau elaun tidak pernah menjadi perkiraan utamanya.

“Elaun bulanan imam masjid RM260 sebulan, itu pun baru beberapa tahun ini dinaikkan. Imam nikah pula tak ada (jumlah) elaun khusus,” terang beliau.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Imam Mat Ali berkata, bayaran untuk khidmat jurunikah ditentukan sepenuhnya oleh Pejabat Agama Daerah secara cabutan.

“Kita dibayar satu pertiga daripada jumlah kita serah ke Pejabat Agama. Dia panggil (bayaran itu sebagai) “dalal”. Maknanya, jika banyak kita serah, banyak la “dalal” kita akan terima,” ulasnya.

Menurutnya, jumlah bayaran dikenakan untuk sesuatu majlis akad nikah ialah RM92. Ia termasuk kos borang, buku dan lain-lain keperluan yang dibekalkan kepada setiap pasangan pengantin. Jumlah itu katanya diura-urakan akan dinaikkan sebanyak RM20 dalam masa terdekat.

Seperti disebutkan tadi, biar pun jumlah ‘dalal’ diterimanya tidak seberapa, ia bukan perkara paling dipentingkannya. Imam Mat Ali sebaliknya mengakui lebih gemar memanfaatkan ruang menemui anak-anak mukimnya itu untuk menyampaikan mesej dakwah.

Baginya, kesempatan menyampaikan khutbah nikah sering digunakannya untuk menasihati seluruh hadirin, terutama anak mukim berkenaan, agar berpegang teguh dengan ajaran dan nilai hidup Islam.

Beliau juga tidak lupa mengingatkan mereka, khususnya pasangan pengantin, agar memupuk keluarga yang baru dibina itu di atas asas taqwa. Katanya, kewujudan keluarga-keluarga yang baik dan beriman akan menjadi saham penting membentuk masyarakat yang soleh dan diredhai oleh Allah Ta’ala.

Di atas dorongan kuat mengajak anak mukimnya menghayati Islam, Imam Mat Ali seterusnya menjadikan majlis akad nikah sebagai tarikan untuk mereka datang ke masjid.

“Dulu saya pergi ke rumah-rumah untuk akad nikah ni. Sekarang, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya ubah fesyen (pendekatan). Saya minta setiap pasangan yang nak menikah dan anggota keluarga dia supaya mari ke masjid. Kita buat akad nikah di masjid pula,” jelas Imam Mat Ali.

Alhamdulillah, beliau mengakui strategi dakwahnya itu menampakkan hasil. Terdapat di kalangan pasangan dan anggota keluarga mereka yang sebelum ini agak liat ke masjid, berubah menjadi anggota jemaah yang lebih kerap ke situ ekoran penerangan dan pendekatan dibuatnya menerusi majlis akad nikah itu.

“Tak bawa gulai ayam ke masjid pun saya tak kisah, tak penting benda tu. Yang pentingnya demo (mereka) mari ke masjid dan kita biasakan demo dengan masjid,” sambungnya seraya ketawa kecil.

Pada raut wajahnya tergambar suatu kepuasan kerana dapat memberikan khidmat kepada masyarakat, sekali gus menyampaikan mesej Islam kepada mereka

Kita patut bersyukur dengan adanya insan setabah Imam Mat Ali ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "SYUKUR" dengan tajuk sama)

Suara dalam mimpi ajar mengucap sebelum ‘mati’

Tanggal 7 Julai 1968, di sebuah perkampungan terpencil bernama Suainsor, Kemboja, lahirlah seorang anak dalam sebuah keluarga penjual laksa. Beliau diberi nama Pan Sor dan dibesarkan mengikut adat agama Buddha.

Setelah meningkat remaja, kepayahan hidup tidak menyelesakannya untuk terus tinggal di kampung. Pan Sor bersama beberapa rakan sebayanya memilih untuk berhijrah mencari pekerjaan di Phailin, sebuah pekan di sempadan Thailand-Kemboja.

Beliau mendaftarkan namanya sebagai Ton Tai. Gelora darah mudanya yang mengimpikan kehidupan lebih baik bagaimana pun tidak memungkinnya untuk terus menimba rezeki setakat itu. Setelah beberapa ketika di Phailin, Ton Tai berhijrah lagi. Kali ini lebih jauh ke selatan, ke sebuah pekan bernama Hanpla di wilayah Pattani.

“Saya pergi situ tahun 1989, cari kerja. Kelaut (jadi nelayan) di situ 11 tahun,” cerita Pan Sor @ Ton Tai.

Pencapaian hidup di situ bagaimana pun belum cukup memuaskannya. Hatinya terdorong mengintai suasana kerja lebih baik di Malaysia pula. Walau pun kedatangan Ton Tai ke Tok Bali, Kelantan, salah sebuah pelabuhan nelayan tersohor di Pantai Timur, semata-mata kerana mahu bekerja, Allah Ta’ala merencanakan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Di situ beliau menemui rakan sekerja yang kebanyakannya beragama Islam. Sepertimana beliau, mereka juga adalah warga asing, terutama dari Thailand dan Kemboja.

“Saya mari Tok Bali tahun 2000. Salah seorang hak paling rapat dengan saya tu orang Islam Kampung Cham (salah satu daerah di Kemboja). Saya tak ingat nama dia”, cerita Ton Tai.

Menurutnya, rakannya itu sering bercerita mengenai Islam dan bertanya pasal agamanya (Buddha). Sehingga lah pada suatu hari rakannya menerjahnya mengenai tuhan yang disembah penganut Buddha.

“Dia tanya saya: ‘Mu sembah tuhan ke dak?’. Saya jawab: ‘Ya, sembah to’kong (patung)’. Dia tanya pula: ‘To’kong tu sapa buat?’. Saya jawab: ‘Kita (manusia) la buat’. Dia kata: ‘Mu buat to’kong, patut mu sembah dia ke, dia sembah mu? Kita buat dia, tapi kita sembah dia. Itu tak betul’. Saya pun fikir, ya juga,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Pada awalnya Ton Tai agak sukar menerima penerangan mengenai Islam oleh rakannya itu. Tabiatnya yang suka bertanya bagaimana pun sedikit demi sedikit mengubah persepsi itu. Antaranya, apabila rakannya itu menceritakan soal dosa-pahala dan betapa Islam amat memberati umatnya melakukan kebaikan.

Beliau juga sering diberitahu bahawa selepas mati, balasan syurga menanti umat Islam yang banyak membuat pahala. Walau pun Ton Tai tidak langsung mempunyai gambaran mengenai soal dosa-pahala, kata-kata rakannya itu meninggalkan kesan agak kuat dalam fikirannya.

Ditakdirkan Allah, beliau pulang ke Thailand. Pada suatu malam, Ton Tai tersangat mabuk. Dalam keadaan terhoyong-hayang dan khayal itu, beliau terlena di sebuah pondok yang disangkakannya kandang kambing. Dalam tidurnya itulah beliau didatangi mimpi yang benar-benar menguak pintu hatinya.

“Ada suara mari royat (beritahu) kat saya, dalam bahasa Kemboja, mu ni nak mati dah ni. Tapi sebelum mu mati, mu kena mengucap (syahadah) dulu. Saya tanya dia (suara itu): ‘Mengucap tu apa?’ Dia jawab: ‘Mengucap tu supaya mu boleh masuk syurga Tuhan bila mati sikit lagi’.

“Saya tanya: ‘Dah lagu (macam) mana nak mengucap?’ Suara tu kata: ‘Kalu mu tak pandai, ikut aku’. Dia pun ajar saya ‘Asyhadu an la ilaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah’. Lepas saya mengucap tu, dia pun kata: ‘Allahu Akbar!’. Saya pun ‘mati’. Lepas ‘mati’ tu, saya terus tersedar (dari tidur),” cerita Ton Tai lagi.

Sebaik terjaga, beliau mendapati tubuhnya berpeluh lencun. Tidak lama kemudian, beberapa orang lelaki mendapatkannya. Rupa-rupanya pondok yang disangkannya kandang kambing itu ialah sebuah surau. Mereka itu datang untuk menunaikan solat Subuh.

Melihatkan keadaannya yang tidak terurus beserta bau minuman keras yang kuat, anggota jemaah tadi meminta Ton Tai beredar dari surau itu. Beliau bagaimana pun menceritakan apa yang telah didengarinya dalam mimpinya tadi.

“Seorang lelaki tu kata: ‘Tu tandanya mu dapat hidayah, Tuhan dah pilih mu jadi Islam. Sapa mengucap sebelum mati ni, kalau mati boleh masuk syurga’,” Ton Tai begitu bersungguh mengisahkan episod penting itu.

Sekembalinya ke Tok Bali, beliau meminta bantuan seseorang membawanya ke pejabat agama terdekat. Beliau lalu dibawa orang ke Pejabat Agama Daerah Besut di Kampung Raja, Terengganu. Di situlah, di hadapan Tuan Kadhi Daerah Besut, pada 10 Mac 2002, Ton Tai secara rasminya melafazkan dua kalimah syahadah.

Mulai hari itu, beliau dikenali sebagai Mohd Fauzi Tai Abdullah. Selama lima bulan selepas itu beliau mendampingi sekumpulan Jemaah Tabligh di Kuala Besut.

“Alhamdulillah, mereka banyak ajar saya sembahyang. Saya buat, dia tegur kalau silap. Tapi baca bismillah je hak saya tahu, berdiri bismillah, tunduk bismillah, sujud pun bismillah,” Mohd Fauzi tergelak lagi mengenangkan detik awal Islamnya itu.

Beliau kemudiannya berulang-alik bekerja di sebuah bengkel membuat jongkong simen di Kampung Wakaf Kubur, Keluang, Besut. Di surau berdekatan tempat kerjanya itu, Mohd Fauzi menemui seorang tua yang dipanggilnya Pak Su Li.

Menurutnya, Pak Su Li yang juga imam di surau berkenaan adalah orang yang bertanggungjawab mengajarnya membaca al-Quran. Di surau itu jugalah beliau ditakdirkan bertemu jodoh dengan Rohana Wahid, seorang janda beranak lima.

Perkahwinan mereka membuka ruang lebih luas untuk Mohd Fauzi mendalami agama yang baru dianutinya. Beliau tidak lagi berulang-alik ke Kuala Besut, sebaliknya menetap di rumah pusaka peninggalan arwah suami Rohana di Kampung Kedepir, kira-kira 1km dari surau Pak Su Li tadi. Di surau sama, Mohd Fauzi turut menekuni kuliah agama oleh Ustaz Hasbullah @ Ali Mat saban minggu.

Selain lima anak tiri, yang kini berusia antara 12 hingga 22 tahun, rumahtangga Mohd Fauzi dan Rohana turut diserikan dua cahayamata hasil perkongsian hidup sejak 2002. Mereka ialah Mohd Naqiuddin Amin, 7 tahun, dan Puteri Aliya Batrisya, 3 tahun 6 bulan.

(Artikel tulisan Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "HIDAYAH" dengan tajuk sama)

Sambut Hari Asyura perlu ikut “piawaian” Islam

Rasanya ramai yang tidak akan percaya jika ada pihak yang mendakwa tradisi mengacau bubur asyura tiada kaitan dengan kisah catuan makanan yang dikatakan berlaku di atas bahtera Nabi Noh a.s. sewaktu Baginda dan pengikut setianya dihanyutkan bah besar.

Malah lebih ramai yang terkejut dan sukar menerimanya andai dikatakan bahawa kisah yang didakwa sebagai asal-usul wujudnya bubur berkenaan sendiri lebih cenderung kepada perkara Israeliyat (cerita rekaan yang sengaja dicipta golongan Yahudi untuk memesongkan kepercayaan umat Islam).

Justeru, bagaimana pula jika anda diberitahu bahawa memasak bubur asyura dengan niat merayakan kedatangan 10 Muharram saban tahun sebenarnya bukan ambilan dari tradisi Islam, malah menyalahi saranan Rasulullah s.a.w. sendiri?

Tidak syak lagi ia sesuatu yang membuatkan sebilangan kita mengeluh, jika pun tidak menggelengkan kepala. Mahu tidaknya apabila diambilkira betapa amalan mengacau bubur yang dicampur beraneka bahan itu telah menjadi tradisi tahunan sejak turun-temurun, terutama di kalangan orang-orang Melayu negara ini.

“Ia bahkan seakan diterima sebagai suatu ibadat, seolah-olah mengacau bubur menyambut kedatangan Hari Asyura ni perkara sunat yang beroleh pahala, dan amalan ini turut diraikan oleh golongan agama dalam masyarakat. Apakah yang orang kita jadikan sandaran?”, soal Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dato’ Dr Johari Mat.

Beliau yang turut berpengalaman sebagai Ahli Panel Kajian Akidah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara jujur mengakui setakat pembacaan dan pengajiannya hingga kini belum menemui sebarang hadis Nabi s.a.w. menyuruh atau menceritakan kelebihan memasak bubur asyura sempena kedatangan 10 Muharram.

“Pada bahasa, perkataan “asyura” itu bermaksud “hari yang ke-10”, sama juga disebut “tasu’a” untuk “hari ke-9”. Ia hanya satu bilangan, tak ada kaitan dengan nama bubur atau apa-apa hari kebesaran yang patut dirayakan oleh umat Islam,” jelasnya.

Sebaliknya, beliau membacakan beberapa hadis yang membuktikan bahawa 10 Muharram adalah hari penting untuk orang Yahudi. Pada tarikh itu Bani Israel diselamatkan Allah Ta’ala daripada seteru mereka. Maka bagi mengingati sejarah penting itu, Nabi Musa a.s. berpuasa dan menyarankan umatnya berpuasa.

Satu hadis riwayat Aishah r.a. pula menyebut bahawa amalan berpuasa sunat pada Hari Asyura telah menjadi amalan di kalangan kaum Quraisy sejak sebelum kedatangan Islam. Ia juga diamalkan Rasulullah s.a.w. sejak sebelum puasa Ramadhan difardhukan.

Dalam hadis riwayat Qatadah r.a. pula, Baginda s.a.w. menerangkan di antara kelebihan puasa sunat Hari Asyura (10 Muharram) ialah Allah Ta’ala kifaratkan dosa manusia sejak setahun yang telah lalu.

“Dalam satu hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. pula, terkandung saranan Rasulullah s.a.w. agar umatnya menggabungkan puasa Hari Asyura dengan puasa sejak hari ke-9. Oleh kerana Hari Asyura ini hari diagungkan Yahudi dan Nasrani, maka Rasulullah s.a.w. minta umatnya buat begitu (gabung puasa dua hari) supaya bersalahan dengan amalan Yahudi dan Nasrani,” sambung Dr Johari lagi.

Ditanya bagaimana wujudnya sebilangan umat Islam yang merayakan Hari Asyura secara besar-besaran, pemegang ijazah Doktor Falsafah Usuluddin pengkhususan ‘Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa’ dari Universiti Imam Mohamad Ibn Saud al-Islamiyyah, Arab Saudi ini pantas mengimbau sejarah yang berlaku ke atas Saidina Ali karramallahu wajhah dan anaknya, Saidina Husain r.a.

“Kita tahu 10 Muharram diingati sebagai hari Saidina Husain dibunuh. Pembunuhannya mewujudkan dua aliran pemikiran. Satu kumpulan yang terlalu taksub dengan Saidina Ali. Mereka ini merayakan Hari Asyura dengan melahirkan dukacita, kecewa, sedih dan merintih atas kematian Saidina Husain. Koyak baju, pukul tubuh sendiri hingga berdarah, tepuk dada, cakar muka dan seumpamanya. Tujuan mereka ialah untuk merasai penderitaan dialami Saidina Husain,” Dr Johari mengulas.

Kumpulan kedua pula, katanya, ialah yang menentang kumpulan aliran pemikiran tadi. Mereka ini pula menyambut Hari Asyura sebagai kemenangan. Mereka melahirkan kegembiraan, bersuka-ria, memakai pakaian baru, mengadakan jamuan besar dan meraikan hari itu sebagai satu hari raya.

“Kedua-dua golongan ini menyalahi ajaran Islam. Meratapi kematian Saidina Husain dan mengadakan aturcara yang macam-macam itu jelas keluar daripada syarak. Begitu juga, melahirkan kegembiraan dan menjadikan Hari Asyura sebagai hari raya pun tak betul, sebab ia bukan hari yang patut dirayakan di sisi Islam,” tegasnya lagi.

Bagi bekas Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya ini, cara yang betul menyambut Hari Asyura ialah dengan berpuasa sunat, sepertimana disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

“Kita sering menilai sesuatu yang kita buat sama ada ia “menjadi” atau tidak. Nilaian “menjadi” itu didasarkan kepada apa? Dinilai berbanding sesuatu yang telah wujud, benda yang sudah dibuat orang sebelum ini.

“Misalnya, kita buat rumah dan kita kata ia “menjadi” rumah, kerana yang kita buat itu ada ciri-ciri sebuah rumah yang telah dibuat orang. Kita ada contoh yang dikatakan rumah yang “menjadi”, ada ‘piawaian’ yang dijadikan perbandingan,” ujar Dr Johari berkias.

Maka, katanya, begitu juga setiap amalan dalam Islam. Bagaimana pula kita mahu katakan ia “menjadi”? Apa dan siapa contoh kita atas setiap amalan ini?

“Dalam ertikata lain, amalan bagaimana yang kita jadikan ‘piawaian’ untuk menilai apakah amalan kita tepat atau tidak dengan kehendak agama? Maka ‘piawaian’ itu tentu lah apa yang dibuat dan disuruh oleh Rasulullah s.a.w.,” simpul Dr Johari.

Beliau turut memperluaskan skop perbincangan kepada beberapa amalan lain yang dilihatnya juga tidak menepati dakwaan kononnya ia daripada sunnah Nabi s.a.w. Antaranya, amalan menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan bacaan al-Quran, bersolat hajat dan seumpamanya. Sedangkan, katanya, penentuan Muharram sebagai bulan pertama tahun Hijrah hanya dibuat di zaman pemerintahan Saidina Omar r.a.

“Bagaimana kita nak katakan ia (ibadat khusus menyambut tahun baru) sunat, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri tak pernah buat pun. Siapa kita nak tentukan suatu amalan itu sunat atau tidak?”, terjahnya.

Baginya, masalah utama umat Islam kini ialah apabila mereka tidak begitu mengambil berat untuk sering menilai dan memeriksa letak duduk amalan mereka berdasarkan ‘piawaian’ ajaran Islam.

Dr Johari menjadikan fungsi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai perumpamaan. Menurutnya, kereta perlu sentiasa diperiksa oleh Puspakom bagi memastikan sentiasa menepati piawaian. Pemeriksaan teliti itu penting bagi menjamin kenderaan selamat digunakan.

Maka begitu juga dengan akidah dan amalan kita. Beliau mengingatkan agar umat Islam jangan mudah tertipu dengan keyakinan palsu kononnya setiap yang menjadi adat dan tradisi masyarakat kita kini sudah elok dan bertepatan dengan kehendak Islam.

“Kita perlu ikut piawaian Islam. Justeru, sesuatu yang Rasulullah s.a.w. tidak buat dan tidak pernah suruh umatnya buat, jangan mudah mendakwa ia dari sunnah Nabi s.a.w. Apabila ia bukan suruhan Baginda s.a.w., maka bagaimana kita nak kata akan mendapat pahala sunat bila membuatnya?,” soalnya lagi.

Mengakhiri perbualan, Dr Johari mengajak umat Islam berfikir bahawa jika benar sesuatu amalan itu, termasuk amalan merayakan Hari Asyura, suatu yang memang baik, maka logiknya sudah tentu Rasulullah s.a.w. sendiri lah orang yang paling awal mengetahuinya.

“Tak dan (sempat) kat kita (peluang melakukan amalan baik). Nabi Muhammad s.a.w. lah jadi orang pertama, dia dulu yang akan buat sesuatu yang baik. Kalau tak dan buat pun, dia (Rasulullah) akan pesan supaya umatnya buat,” ujarnya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Disember 2010 di ruangan "TOPIK", dengan tajuk sama)