Friday, October 8, 2010

BN dijangka terus manipulasi isu kesusahan rakyat

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bagai diduga, Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengguna pakai modul di Manek Urai pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas nanti. Taktik dan strategi yang hampir memenangkan parti itu tahun lalu akan diulanginya lagi dalam bentuk lebih mantap dan tersusun.

Pengakuan mengenainya dibuat Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein, pada Ahad (3 Oktober). Baginya, modul gerak kerja dan kempen yang dilaksanakan BN semasa berdepan PAS di Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, Julai 2009, adalah yang terbaik pernah dicapai oleh partinya dalam kesemua pilihan raya kecil sebelum ini.

Apa agaknya resepi atau formula istimewa menjadikan kempen BN di Manek Urai yang terbaik bagi parti itu? Apa lagi jika bukan habuan kebendaan yang ditaburkan dalam pelbagai bentuk kepada seluruh kawasan pilihan raya berkenaan.

Pelbagai pihak yang membuat analisa keputusan pilihan raya kecil itu sebelum ini tidak menolak bahawa umpan pemberian wang oleh BN, selain janji pembangunan, menjadi senjata paling berkesan memesongkan kesetiaan pengundi terhadap PAS.

Kecenderungan mengalih selera politik itu dikatakan paling menyerlah di kalangan pengundi muda. BN memanipulasi kesusahan mereka dengan berbagai cara sehingga meninggalkan mereka tanpa pilihan, melainkan mencuba menyokong parti itu.

Kita tahu BN amat pakar dalam menggodek perasaan dan pemikiran rakyat. Berbagai taktik dan strategi dipelajarinya daripada pakar putar belit tersohor dunia membolehkan BN dengan mudah ‘menyintuk limau’ para pengundi sehingga melihat parti itu sebagai terbaik. Manakala apa juga kebaikan dan kebenaran di pihak parti lawan dengan mudah diselindung atau dipadamkan dari pemikiran rakyat.

Bukankah hakikat itu turut terserlah menerusi mainan sentimen agama oleh Umno Pulau Pinang di kalangan warga emas negeri itu minggu lalu? Mereka yang didakwa penerima wang ihsan RM100 sumbangan kerajaan negeri pimpinan DAP itu bagaikan dirasuk untuk memulangkan kembali wang tersebut, kononnya kerana ia hasil wang judi.

Sudah tentu penerima itu bukan dari kalangan yang berkehidupan mewah. Para pemimpin Umno/BN bukan sahaja meniupkan sentimen agama dan perkauman sempit di kalangan mereka, malah secara tidak bertanggungjawab memanipulasi kesusahan hidup mereka demi kepentingan politik parti yang sukar menerima kekalahan itu.

Kita tidak tahu berapa banyak dihabiskan BN untuk menjayakan usaha mensensasikan isu itu. Namun mengenali tabiat dan hati busuk BN selama ini, kita tidak akan percaya orang-orang tua itu bertindak secara sukarela dan tanpa menerima sebarang ganjaran dari Umno.

Paling tidak pun, Umno akan pastikan bahawa mereka yang terbabit itu akan terus menyokong Umno dan mengundi BN nanti. Apa lagi umpan paling baik mengikat kesetiaan mereka itu, jika tidak menggunakan kebendaan?

Akuilah betapa sejak sekian lama BN amat bergantung harap kepada kekuatan kebendaannya sebagai senjata paling berkesan membeli hati rakyat, terutama di saat penentuan pilihan raya.

Satu pengajaran paling berguna ialah BN tidak akan berhenti mengeksploitasi naluri rakyat agar gemarkan taburan kebendaan. Sebab itu biar pun pernah beberapa ketika parti itu seakan-akan serik menabur janji pembangunan dan menganjurkan projek segera di tengah-tengah kesibukan kempen pilihan raya, ia tidak akan dapat meninggalkan tabiat yang sudah bertradisi itu sepenuhnya.

Pernah suatu ketika, terutama ekoran kekalahan memalukan BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, pelbagai pihak termasuk para pemimpin BN sendiri mendesak parti itu mendalami mesej dari rakyat. Mereka seakan sepakat bahawa BN perlu melakukan perubahan.

Perubahan utama ialah berkaitan taktik dan strategi, pendekatan kempen dan manipulasi isu. Terbukti kempen BN masih ditakuk lama dengan modal basi seperti isu pembangunan, kemiskinan dan kebajikan. Sedangkan minda rakyat sudah beranjak.

Rakyat sudah tahu soal kemiskinan dan pembangunan adalah isu nasional dan tidak tertakluk di sesuatu kawasan diwakili pembangkang sahaja. Lainlah kalau di negeri diperintah BN dan kawasan diwakili BN segala aspek pembangunan sudah selesai dan sudah tidak ada orang miskin.

Malangnya, mengharapkan kesedaran itu benar-benar mengubah tabiat BN adalah ibarat menunggu buah yang tak gugur. Sebab itu belum pun kempen di Galas bermula, bahkan belum pun sempat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil itu, kempen mengaitkan projek tajaan BN sudah pun kedengaran.

Media arus perdana tali barut BN pada Isnin (4 Oktober) misalnya memetik kenyataan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha, yang secara jelas cuba mengaitkan pengoperasian hospital baru Gua Musang dengan jasa dan keprihatinan BN terhadap kepentingan rakyat Kelantan, khususnya di Dun Galas.

Kita percaya kenyataan yang menjulang bakti dan budi BN menerusi kerja buat Kerajaan Persekutuan seumpama itu akan bersusun paku menyusul selepas ini. Entah apa-apa lagi projek yang telah lama dilaksanakan di kawasan pilihan raya itu akan diungkit dan dihebahkan semula bagi menzahirkan kebaikan BN.

Nampak sangat BN begitu selesa memanipulasi kesusahan rakyat untuk kepentingan politiknya!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1578, 8 Oktober 2010 dengan tajuk sama)

Monday, October 4, 2010

Faktor Ku Li, pengundi Cina penentu di Galas

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Kelantan, Chek Hashim Sulaima, pada 27 September lalu membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil. Ia bakal menjadi yang ke-12 di seluruh negara dan kedua di negeri itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pada Julai 2009, Kelantan menghadapi pilihan raya kecil pertamanya di Dun Manek Urai. Ia diadakan ekoran kematian wakilnya daripada PAS, Ismail Yaakob.

Meski pun menang, PAS memperolehi pengajaran amat berguna dari pertarungan amat sengit itu. Kemerosotan majoriti agak ketara diperolehi parti itu dikatakan berpunca daripada taktik dan strategi BN mengumpan penduduk dengan habuan kebendaan.

Manek Urai membuktikan betapa ungkapan yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Kelantan bahawa mereka akan menerima apa juga dihulurkan BN, tetapi tetap memangkah PAS dalam pilihan raya, kelihatannya semakin berubah. Dakwaan kononnya rakyat Kelantan ada prinsip dalam berpolitik dan tidak mudah dibeli dengan projek atau wang ringgit nampaknya tidak begitu boleh dipegang lagi.

Beberapa pemimpin PAS, termasuk dari Kelantan sendiri, dalam analisa selepas pilihan raya kecil itu sepakat menyimpulkan bahawa umpan pemberian wang oleh BN menjadi senjata paling berkesan memesongkan kesetiaan pengundi terhadap PAS, terutama di kalangan pemilih muda.

Tidak syak lagi BN juga banyak belajar dari Manek Urai. Tidak mustahil juga taktik dan strategi yang hampir memenangkannya tahun lalu itu akan diulanginya lagi di Galas nanti, sudah tentu dalam bentuk lebih mantap dan tersusun.

Apatah lagi mengambil kira fakta geografi dan demografi kedua-dua kawasan tersebut tidak banyak berbeza. Mereka berada di bawah kawasan Parlimen bersebelahan.  Manek Urai di bawah Kuala Krai, manakala Galas di bawah Gua Musang.

Secara luarannya apa jua isu masyarakat yang laku dan termakan oleh penduduk di Manek Urai, juga mungkin menjadi perhitungan pengundi di Galas. Namun, apakah momentum yang dirasakan positif di Manek Urai itu sudah cukup untuk BN mengembalikan penguasaannya di Galas kali ini?

Galas adalah salah satu daripada tiga Dun terletak dalam Parlimen Gua Musang. Kawasan parlimen berkenaan, termasuk Dun itu sendiri merupakan kubu tradisi BN. Sejak pilihan raya pertama pada 1955, kerusi Parlimen itu boleh dikatakan milik Umno setiap masa.

Faktor utama kekuatan BN di kawasan berkenaan sejak empat dekad lalu lebih tertumpu kepada ketokohan individu, iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Bahkan, Dun Galas yang dulu dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat adalah tapak kemunculan pertama anak raja Kelantan itu dalam pentas politik tanahair. Di situlah beliau mula menjadi wakil rakyat, pada 1969.

Biar pun selepas itu Ku Li beralih ke kerusi Parlimen, kekuatan pengaruhnya kekal mencengkam di Dun berkenaan. Hakikat itu tidak sukar diakui apabila penguasaan kesemua kerusi di parlimen berkenaan bagaikan mengikuti jejak politik bekas menteri Kabinet itu.

Ia dikuasai Perikatan/BN ketika Ku Li berada di dalam parti itu. Ia juga disapu bersih Parti Semangat 46 (S46) selama dua penggal ketika Ku Li terbuang dari Umno/BN.

Hakikat sejarah ini benar-benar difahami BN. Sebab itu biar pun secara jelas kepimpinan tertinggi parti itu sekian lama telah meminggir dan menyisih Ku Li dari peranan penting dalam parti mahu pun kerajaan, akhirnya anak raja itu juga yang terpaksa dijulang bagi menghadapi pertarungan di Galas. BN tanpa tangguh mengisytiharkan beliau sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut.

Sementara BN kelihatannya amat bergantung harap kepada faktor kekuatan peribadi Ku Li, rekod prestasinya berbanding pakatan pembangkang menerusi sebelas pilihan raya kecil sebelum ini pula tidak begitu menyebelahinya.

Amat ketara kegugupan BN setiap kali berhadapan pembangkang, terutama di kawasan di mana peratusan pengundi Cina yang agak besar.

Biar pun ia boleh mendakwa kawasan Dun yang berpusat di Bandar Gua Musang itu sebagai kubu kuatnya, terutama menilai sejarah penguasaan hampir mutlak parti itu sebelum 2008, perkembangan politik negara mutakhir ini tidak menjamin BN mengembalikan kekuatannya di situ.

Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim memenangi kerusi Galas dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.

Pada 2004, Chek Hashim memungut hanya 2,455 undi, sedangkan Mohamad Saufi mengutip 4,184 undi. Mengambilkira Dun berkenaan sebagai kubu tradisi BN, banyak pihak meletakkan faktor membantu melonjakkan undi PAS ialah komposisi pengundi Cina yang agak tinggi, iaitu sebanyak 22.3 peratus di situ. Sokongan mereka diandaikan menyebabkan undi PAS bertambah sebanyak 1,944 undi.

Andaian itu agak sealiran dengan kecenderungan ditunjukkan pengundi kaum berkenaan di seluruh negara sejak 2008. Ia kelihatan kekal, bahkan semakin memihak pakatan pembangkang dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutama sebagaimana dibuktikan menerusi peti undi dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu.

Ertinya, Galas berkemungkinan menjadi medan pertembungan antara pengaruh Ku Li dan kesetiaan pengundi Cina terhadap pakatan pembangkang.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1577, 4 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, October 3, 2010

Chek Hashim lakar sejarah tersendiri di Gua Musang

Setelah lebih setahun bertarung melawan barah usus dihidapinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaima, akhirnya tunduk kepada suratan takdir. Petang Isnin, 27 September lalu, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim memenangi kerusi Galas dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman.

Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu, yang juga adik kepada mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Aziz Deraman, memungut 3,753 undi.

Allahyarham disahkan mengidap barah paru-paru pada Mei tahun lalu. Sejak itu beliau mengusahakan rawatan di beberapa tempat, termasuk ke Beijing, China tahun lalu. Beliau juga pernah beberapa kali dirujukkan ke pusat perubatan dalam negara untuk rawatan susulan.

Disebabkan tahap kesihatannya yang tidak begitu memuaskan, khabar angin mengenai kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil di Galas sering menjadi bahan tutur khalayak politik negara ini. Ada yang sebelum ini mengandaikan Allahyarham akan mengosongkan kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada pemimpin lain menggalas tanggungjawab berat itu.

Bahkan, hanya beberapa minggu selepas bergelar Yang Berhormat, Allahyarham menggemparkan negara apabila terbabit kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Media melaporkan beliau cedera parah bersama salah seorang isterinya.

Berita kecederaan beliau tersebar begitu cepat disusuli khabar angin lebih buruk. Ia ditokok-tambah seolah-olah akan berlaku satu pilihan raya kecil paling singkat selepas pilihan raya umum lalu.

Barangkali pihak yang begitu beriya-iya mengidamkan satu pilihanraya kecil di Galas kini boleh tersenyum puas. Apa jua tujuan mereka mengimpikan berlakunya pertarungan politik di situ, kini Allah Ta’ala berikan peluang untuk mereka mencapainya.

Kematian Chek Hashim membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil. Ia bakal menjadi yang kedua di Kelantan dan ke-12 di seluruh negara sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Julai tahun lalu, Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai diadakan ekoran kematian wakilnya daripada PAS, Ismail Yaakob. Ia dimenangi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

“Saya menyifatkan kita kehilangan orang muda yang bekerja sukarela. Dia tidak banyak ilmu tetapi menyokong Islam, walau pun sebelah Hulu (Kelantan) tidak banyak maklumat,” media pada Selasa memetik ulasan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Che Hashim mendapat pendidikan agama di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Mardhiah, Panchor, Pengkalan Chepa, sebelum melanjutkan pengajian ke Pakistan. Beliau menyertai PAS sebaik pulang dan memegang jawatan utama di Kawasan Gua Musang.

Penyertaan beliau dalam pilihan raya lalu adalah percubaan keduanya. Kali pertama pada 2004 lalu, beliau bertanding di Galas berdepan calon sama. Nasib tidak menyebelahinya apabila kalah dengan lebih 1,700 undi.

Biar pun hayat perkhidmatannya selaku wakil rakyat hanya tidak sampai 30 bulan, Chek Hashim sebenarnya telah melakar sejarah tersendiri di kawasan berkenaan. Anak kelahiran Kuala Betis, Gua Musang itu telah berjaya menamatkan penguasaan BN di kerusi berkenaan sejak 44 tahun (1964), sekali gus menghidupkan kembali sinar harapan buat PAS bertapak lebih kukuh di kawasan Parlimen tersebut.

Galas adalah salah satu daripada tiga Dun terletak dalam Parlimen Gua Musang yang merupakan kubu tradisi BN. Sejak pilihan raya pertama pada 1955, kerusi Parlimen itu boleh dikatakan milik Umno.

Meski pun dalam dua penggal pada 1990 dan 1995, ia terlepas ke tangan Parti Melayu Semangat 46 (S46), ia hanya melibatkan pertukaran nama parti. Sedangkan penyandang kerusi tersebut adalah tokoh sama, iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Berdasarkan catatan sejarah, Dun Galas mula wujud dengan nama Ulu Kelantan Barat. Ia terletak di bawah Parlimen Ulu Kelantan, bersama dua lagi Dun, iaitu Ulu Kelantan Timor dan Machang Selatan.

Hanya pada pilihan raya pertama selepas negara mencapai kemerdekaan (1959), Dun berkenaan berjaya ditawan PAS. Calonnya, Ustaz Khaidir Khatib mengalahkan calon BN, Wong Yeow Wye. Kemenangan itu bagaimana pun gagal dipertahankan pada 1964.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 1974 menyaksikan sedikit perubahan. Nama Dun Ulu Kelantan Barat ditukar kepada Gua Musang. Manakala dua lagi Dun di bawah parlimen sama turut berubah. Ia melibatkan Jeli dan Manek Urai.

Dalam pilihan raya itu, PAS bertanding di atas tiket BN. Calonnya Nik Mustafa @ Jek diletakkan bertanding di Jeli dan tidak menghadapi masalah memenanginya.

Pada 1986, nama Parlimen Ulu Kelantan ditukar kepada Gua Musang, manakala Dun Gua Musang menjadi Galas. Ia bagaimana pun tidak pernah berjaya ditawan PAS. Di antara pemimpin tersohor PAS yang pernah bertanding di situ ialah Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob (1982).

Sepertimana yang berlaku terhadap kerusi parlimennya, kerusi Dun berkenaan juga pernah “terlepas” dari penguasaan Perikatan/BN selama dua penggal, iaitu pada 1990 dan 1995, apabila ia dimenangi calon S46. Selepas itu ia kembali menjadi milik BN.

Asas kekuatan utama BN di situ dikatakan berpaksikan kepada pengaruh peribadi Ku Li. Anak raja Kelantan itu sendiri memulakan karier politiknya di kerusi berkenaan (Dun Ulu Kelantan Barat) pada 1969.

Sebab itu kejayaan Allahyarham merampas kerusi Galas dari tangan BN adalah suatu yang mengagumkan. Barangkali komposisi pengundi Cina sebanyak 22.3 peratus ikut membantu kejayaan itu.

Apa pun, yang pasti keupayaan PAS menggalas usaha mengekalkan kemenangan di situ bakal diuji lagi.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0220, 3 Oktober 2010 dengan tajuk sama. Ia juga tulisan terakhir di tabloid berkenaan sebelum mengambil keputusan tawakuf. Tabloid Siasah kemudiannya turut memberhentikan penerbitannya bberapa edisi selepas itu)

Friday, October 1, 2010

Islamofobia: Umno dua kali lima dengan AS

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sebagai Muslim, kita amat mengalu-alukan hasrat mana-mana pihak untuk mengurangkan salah faham dan pandangan negatif terhadap Islam di kalangan masyarakat antarabangsa.

Mudah-mudahan sebarang usaha ke arah itu, jika pun tidak dapat membasmi sepenuhnya fenomena Islamofobia, ia sekurang-kurangnya mampu mengekang peningkatan kecenderungan itu yang membebani umat Islam sedunia mutakhir ini.

Sebab itu, apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan berhasrat menjadikan Malaysia penyumbang dari segi pelaksanaan kefahaman lebih betul tentang Islam di kalangan masyarakat Amerika Syarikat (AS), kita selayaknya tumpang bangga.

Pertama, di atas sifat sebagai Muslim, kita bangga dengan usaha orang Islam sendiri yang begitu optimis meruntuhkan tembok salah faham kalangan rakyat kuasa besar itu. Kedua, sebagai rakyat Malaysia, kita juga merasa keberanian pemimpin negara kita itu mendepani isu paling mencabar di peringkat global kini sesuatu yang wajar dipuji.

Sememangnya usaha memaut kerjasama AS dalam menangani apa jua isu di peringkat antarabangsa amat signifikan. Selaku kuasa besar tunggal dunia, apa-apa pandangan dan pendirian AS banyak mempengaruhi dan mencorakkan pandangan masyarakat dunia.

Najib dilaporkan mengambil kesempatan kehadirannya ke Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN-AS di New York, minggu lalu untuk melontarkan cadangan tersebut. Dengan menganggap pengetahuan asas tentang Islam di kalangan rakyat AS amat rendah, beliau berhasrat mendedahkan mereka kepada hakikat ajaran yang lebih jelas.

Namun satu persoalan yang tidak wajar diketepikan ialah apakah Malaysia sendiri benar-benar bebas daripada fenomena Islamofobia? Lebih spesifik lagi, apakah Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri memiliki pandangan dan kefahaman yang betul tentang ajaran dan hukum Islam?

Persoalan ini agak berat dan sensitif, namun tidak juga salah untuk dibahaskan. Apatah lagi dewasa ini rakyat negara kita sendiri semakin didedahkan dengan berbagai kenyataan berani para pemimpin bukan Islam, khususnya dari parti rakan Umno dalam BN yang secara terbuka menyentap kemuliaan Islam.

Contohnya kenyataan Presiden MCA baru-baru ini yang seolah-olah menyalahkan Islam sebagai punca negara terperangkap dalam persaingan politik. Umno didakwanya terpaksa menari mengikut rentak dipalu PAS di atas hasrat mendaulatkan Islam sehingga akhirnya negara gagal dipacu ke arah lebih progresif.

Pandangan amat serong terhadap Islam lebih menyerlah apabila pemimpin sama turut mengaitkan kemunduran dan kemelaratan beberapa negara serata dunia dengan ajaran Islam yang menjadi anutan majoriti rakyatnya.

Sementara para pemimpin Islam menganggap kenyataan itu suatu wewenangan amat tidak bertanggungjawab, jangan lupa ia juga menyerlahkan kegagalan Umno selaku parti rakan karib MCA. Selama lebih separuh abad mereka bergabung dan tidur sebantal, parti Melayu itu terbukti tidak berupaya memperbetulkan salah faham dan pandangan negatif rakannya terhadap Islam.

Di situlah timbulnya persoalan, bagaimana mungkin Umno mampu memperjelaskan hakikat sebenar Islam kepada bukan Islam jika para pemimpinnya sendiri pun masih bergelumang dengan persepsi serong terhadap agama anutan mereka?

Maaf cakap, nilaian pada zahir menyebabkan kita cenderung percaya bahawa Umno sendiri sebenarnya masih dibelenggu fenomena Islamofobia. Tutur bicara dan laku perbuatan sebilangan pemimpin parti Melayu itu tidak konsisten dengan ajaran agama yang sepatutnya mereka hayati dalam kehidupan.

Usah disenaraikan soal kurangnya penghayatan mengenai peraturan menutup aurat, tabiat meminum minuman keras, bermain judi, ketagihan hiburan, pengabaian solat dan puasa, serta berbagai lagi tabiat yang dikatakan berdarah daging dalam sebilangan pendokong parti itu. Ia mungkin terlalu peribadi dan tidak wajar dijadikan bahan momokan terbuka.

Cukup sudah kita mengambil beberapa kenyataan dan hakikat diketahui umum bagi membuktikan betapa Umno memang dirundung Islamofobia. Asas utama pandangan serong itu ialah setiap yang berlabel atau berbau Islam adalah lebih dekat kepada parti lawannya, PAS.

Sebab itu Umno cukup takut sekiranya rakyat terdedah kepada ajaran dan penghayatan Islam sebenar dalam hidup mereka. Di antara yang paling dicemburui Umno ialah institusi pendidikan Islam.

Sehinggakan semacam menjadi pegangan di kalangan pemimpin Umno suatu ketika dulu, “di mana ada pondok, di situ ada PAS”. Maka Umno bertanggungjawab membina persepsi negatif terhadap institusi pendidikan Islam, khususnya pondok. Selama puluhan tahun rakyat dipasakkan dengan pandangan kononnya anak-anak yang dihantar mengaji di pondok akan gelap masa depan.

Brangkali persepsi itu juga mendorong Umno memansuhkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR). Di atas pemikiran sempit dan fobia itu juga Umno menghentikan pembiayaan pendidikan untuk para pelajar melanjutkan pengajian dalam jurusan Islam, terutama di Timur Tengah.

Bahkan, pernah ada pemimpin Umno meluahkan kebimbangannya bahawa semakin ramai pelajar di hantar ke negara Arab, semakin ia menguntungkan PAS. Pelajar yang mendalami agama dikatakan cenderung kembali membantu membina kekuatan PAS, sekaligus menentang Umno.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1576, 1Oktober 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Beruk, pokok kelapa jadi teman seharian Pak Kob

Oleh: Nuwa Aitawa

SEBUT sahaja Kampung Pak Kiang, Besut, kebanyakan mereka yang tahu mengenainya tidak akan sukar menceritakan keunikannya. Di seluruh daerah paling utara di Terengganu ini, hanya di situ dapat ditemui sebuah komuniti kaum Siam. Biar pun diapit masyarakat Melayu, komuniti masyarakat minoriti ini agak lengkap apabila memiliki sebuah jawatankuasa kampung dan rumah ibadat tersendiri.

Namun, bukan itu saja yang memperkenalkan kampung yang dihuni majoriti masyarakat petani dan peniaga itu kepada masyarakat luar. Aktiviti harian sebilangan anggota masyarakatnya membuatkan Kampung Pak Kiang sering dikunjungi orang untuk mendapatkan barangan keperluan atau khidmat disediakan penduduk di situ.

Salah seorang yang sering dicari orang di kampung tersebut ialah Encik Yaakob Sipik. Sekali imbas dinilai pada zahirnya, warga emas berusia 61 tahun ini barangkali tidak ada bezanya dengan jiran-jirannya yang lain. Beliau mungkin seorang penanam tembakau atau sayuran, mungkin juga seorang peraih ikan atau peniaga kecil.

Justeru, apa yang membuatkan insan yang telah jenuh dipanah mentari ini agak istimewa berbanding yang lain? Semuanya berkait rapat dengan khidmat disediakannya.

Insan yang lebih dikenali sebagai Pak Kob ini adalah pemetik kelapa yang sangat mahir. Sejak mula mengenali dunia pekerjaan di usia mudanya, beliau hanya tahu membuat kerja itu.

“Mula tu kita (saya) try (cuba) jugak kerja kontrak (pembinaan). Gajinya murah sangat waktu tu, tiga rial (RM3) sehari. Jadi kita kata, kalau aku ambil upah naik nyiur (kelapa) barangkali boleh lebih dari tu,” cerita Pak Kob, ketika ditemubual di rumahnya.

Sejak itu beliau beralih kepada kerjaya memetik kelapa hingga sekarang. Bermula dengan memanjat sendiri untuk menggugurkan buah dari puncak pokok, kerja Pak Kob kini dimudahkan dengan kehadiran beruk peliharaannya yang dilatih khas untuk kerja tersebut.

“Dah 40 tahun kita pelihara beruk ni. Lebih ada, kurang tak sama sekali. Semuanya dah 15 ekor,” cerita Pak Kob dengan girang.

.Menurutnya, harga setiap ekor beruk miliknya berbeza-beza. Paling murah berharga RM300, manakala paling mahal dibelanjakannya ialah RM800 seekor. Ia berdasarkan perbezaan umur dan kemahiran beruk-beruk dibelinya.

“Kita memang beli hak dah pandai (sudah terlatih untuk memetik kelapa). Ada di Bachok (Kelantan), di Kampung Buluh (Setiu). Di Pasir Akar (Hulu Besut) pun ada,” Pak Kob menyenaraikan tempat-tempat dikunjunginya untuk mendapatkan beruk berkualiti.

Sepanjang tempoh itu, tidak sedikit pengalaman dipelajarinya, terutama dalam memahami tabiat dan sifat haiwan peliharaannya itu. Paling menakjubkan ialah apabila Pak Kob mendakwa tidak pernah walau pun sekali digigit ‘teman’ sehariannya itu.

“Setakat ni tak rajin (pernah) lagi kena kekoh (gigit). Kita tahu, tengok keadaan perangai dia tu, kita boleh tahu kalau dia marah. Tika tu, kita kena pandai, jangan ikut erel (mood) dia,” sambung Pak Kob lagi.

Beliau mendakwa mempunyai kaedah tersendiri menjinak dan mendisiplinkan haiwan peliharaannya itu. Penelitian penulis ketika melihat beliau mendekati dan membelai “pekerjanya” itu meyakinkan hakikat itu. Tahap kepatuhan haiwan itu terhadap setiap butir arahan disuarakan Pak Kob amat menakjubkan.

“Tak susah (nak membela beruk). Kita beri dia makan apa saja hak kita makan. Nasi, buah, air susu, air botol (berkarbonat), semua lah,” cerita Pak Kob, seraya menuding jari ke arah longgokan botol plastik air berkarbonat di tepi rumahnya.

Bertemankan haiwan yang taat itu, rutin hariannya kini bagaikan seorang pemberi khidmat yang sedia memenuhi permintaan secara berjadual. Panggil saja ke mana, sekiranya tidak ada pertindihan jadual, beliau akan sampai.

Sikapnya yang mudah berurusan itu menyebabkan khidmatnya sering ditagih para penduduk beberapa kampung sekitar Pak Kiang, termasuk dari Kampung Air Tawar, Kuala Besut, Pengkalan Nyireh dan Keluang.

Ditanya mengenai nilai upah diterimanya, Pak Kob terus tersengih. Beliau mengimbau kembali ketika mula bekerja dulu, bilamana upah diterimanya hanya RM1 untuk seratus biji digugurkannya.

“Lepas tu naik tiga rial (RM3), lima rial, tujuh, sepuluh. Lo ni (kini) lima belas rial (RM15) seratus,” terangnya.

Menurutnya, secara hitung panjang, beliau kebiasaannya mampu menurunkan sekitar 300 biji kelapa dalam sehari. Jumlah itu memberikan pendapatan kira-kira RM40 kepadanya.

Berbekalkan upah khidmat itulah Pak Kob berjaya membesarkan enam anaknya. Alhamdulillah, kini empat daripada mereka telah pun bekerja dan mendirikan rumah tangga. Bagaimana pun dua lagi masih menuntut dan memerlukan tanggungannya, seorang di sebuah universiti di Kedah dan seorang lagi di Tingkatan Enam di salah sebuah sekolah di Besut.

Biar pun upah diterimanya tidak seberapa berbanding suasana kerja yang memerlukan ketabahan tersendiri, Pak Kob tetap berbangga dengan khidmat diberikannya. Apatah lagi tidak semua orang mampu memiliki ketabahan sepertinya, terutama dalam menimba ilmu menjinakkan haiwan yang agak ganas itu.

Bagi masyarakat berdekatan pula, terutama mereka yang memiliki pokok kelapa, adanya insan seperti Pak Kob tidak syak lagi menyediakan satu kemudahan untuk mereka selesaikan keperluan hidup mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Oktober 2010 dengan kesilapan tajuk "Norhayati puas dapat berikan khidmat bakti" di ruangan 'Syukur Ada Mereka'. Tajuk sepatutnya ialah sepertimana di atas.)

Lari tinggalkan keluarga demi selamatkan akidah

Ada benarnya kata para ulama bahawa keperibadian seseorang itu dinilai berpandukan siapa yang ada di sisinya atau sering berdampingan dengannya. Ilmu sosial-psikologi juga menyebut bahawa selain dicorakkan oleh tunjuk ajar ibu bapa dan guru, tingkah laku dan sikap seorang anak itu ikut dipengaruhi rakan sebaya dan keadaan sekitarannya.

Bagi Mohamad Azlan Gan Abdullah, kenyataan hidup itu bukan sekadar teori, bahkan benar-benar menjadi realiti yang mencorakkan hidupnya. Bermula dengan ajakan dan pujukan seorang rakan lah, dia akhirnya menerima seruan agama suci ini.

“Saya tentu tidak akan lupa kepada adik angkat saya, Mohd Tarmizi Ismail. Bagi saya dia lah pendorong utama, dia lah yang banyak cerita pasal kebaikan Islam dan ajak saya masuk Islam. Dia juga yang pilih nama ini untuk saya,” cerita Mohamad Azlan.

Menurutnya, rakan sebaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Temerloh itu kekal menjadi sahabat baiknya hingga kini. Mereka malah masih berhubungan, biar pun
dipisahkan oleh jarak perjalanan ratusan batu.

“Dia (Mohd Tarmizi) sudah pencen pegawai Kor Perubatan Tentera di Kem Terendak, Melaka. Sekarang menetap di sana,” cerita Mohamad Azlan yang kini menetap di Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu.

Beliau mengakui di atas usaha gigih rakannya itu lah, beliau akhirnya bersetuju menerima Islam. Dengan bantuan seorang ustaz di sekolahnya, Mohamad Azlan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Temerloh. Di sanalah dia secara rasmi melafazkan dua kalimah syahadah.

Dilahirkan pada 22 September 1970 sebagai Gan  Hock Tong, anak ke 13 daripada 15 beradik ini membesar dalam sebuah keluarga penoreh di Ladang Getah Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Ibu bapa dan keluarga suku kaum Hokkien ini adalah penganut agama Buddha yang taat.

Bagaimana pun, pandangan Mohamad Azlan terhadap agamanya beransur berubah tatkala usianya meningkat 12 tahun. Minatnya terhadap Islam bertambah kuat apabila naik ke sekolah menengah dan banyak bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu, termasuk Mohd Tarmizi.

Akhirnya, sekitar tiga bulan sebelum tamat Tingkatan Dua, beliau mengambil keputusan yang sama sekali mengubah hidupnya selepas itu.

“Selepas masuk Islam, keluarga bantah. Mak sendiri tak marah sangat, tapi adik-beradik dan bapa saudara sangat-sangat tak setuju,” ceritanya lagi.

Menyedari pendiriannya itu dibuat atas pengaruh dan dorongan rakan-rakan, keluarganya nekad memisahkan Mohamad Azlan dengan mereka. Beliau segera dipindahkan ke Sekolah Menengah Seri Bahagia yang jaraknya kira-kira 20 kilometer dari rumah.

Bukan itu saja, pergaulannya sepanjang berada di rumah turut dibatasi, terutama bagi mengelakkan dia bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu. Kawalan ketat oleh keluarga itu menyebabkan Mohamad Azlan tidak berkesempatan belajar apa-apa mengenai agama barunya selama beberapa bulan selepas itu.

Keadaan bagaimana pun berubah sekelip mata sebaik penggal baru persekolahan bermula.

“Pagi tu saya lengkap beruniform memang nak ke sekolah. Tiba di simpang jalan besar Kampung Durian Tawar, saya bertemu seorang abang, Fauzi Ngah. Dia buat kerja kontrak di kampung saya dan kebetulan nak balik Terengganu. Selepas berbincang masalah saya, saya terus ambil keputusan ikut dia balik,” Mohamad Azlan mengimbau kembali hari penting itu.

Detik itu benar-benar menjadi titik pusing dalam hidupnya. Keputusan nekad beliau meninggalkan keluarga dan kampung halaman dalam keadaan sehelai sepinggang semata-mata demi mempertahankan akidah suci yang baru dianutinya memang mengubah cerita hidupnya selepas itu.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Kuantan, mengisytiharkan sudah memeluk Islam dan mengambil keputusan keluar dari rumah dengan hasrat mencari seorang kakaknya di Johor yang telah lama memeluk Islam.

Mohamad Azlan bagaimana pun tidak menuju ke Johor. Beliau sebaliknya mengikuti Fauzi ke Terengganu dan menjadi anak angkat kepada keluarga pemuda itu.

“Ayah angkat saya nama Ngah Mamat. Emak angkat juga nama Ngah, Ngah binti Salleh. Orang panggil keluarga ni ‘Ngah sepasang’,” cerita Mohamad Azlan mengenai keluarga angkatnya di Kuala Terengganu.

Beliau dilayan bagaikan ahli keluarga sendiri. Di situ lah juga beliau mula mendalami ilmu agama. Beliau sangat terhutang budi kepada Haji Ibrahim Abdullah. Katanya, imam surau Kampung Alor Melintang itu bertanggungjawab mengajarnya membaca al-Quran dan cara-cara bersolat.

Berkat usaha keluarganya dengan bantuan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohamad Azlan tidak sukar diterima menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Padang Midin, walau pun tanpa surat perpindahan sepatutnya.

Di masa sama beliau turut belajar ilmu pertukangan daripada keluarga angkatnya. Justeru, setelah tamat pengajian di Tingkatan Lima, beliau terus memilih bidang itu sebagai kerjayanya.

Ikatan bersama keluarga angkatnya diperteguhkan lagi apabila beliau dijodohkan dengan gadis yang telah sekian lama tinggal sebumbung dengannya, Normahani Ngah. Hasil perkongsian hidup sejak September 1991 itu, mereka kini dikurniakan tujuh cahaya mata.

Anak-anak itu ialah Nurnasuha Gan, berusia 17 tahun, Nurnajihah Gan (16), Afif Zulhilmi Gan (15), Aiman Hizami Gan (11), Nurhusna Madinah Gan (6), Arif Hashimi Gan (5) dan Hanis Mardiyah Gan (tiga bulan).

Lebih menggembirakan Mohamad Azlan ialah apabila keluarga asalnya kini menerima baik jalan hidup yang dipilihnya. Katanya, keluarganya bukan sahaja merestui perkahwinannya, bahkan turut mengirimkan wang untuk perbelanjaan majlis itu.

“Sejak itu (1991), setiap tahun saya bawa balik isteri dan anak-anak (ke Temerloh). Alhamdulillah penerimaan keluarga asal saya kini tak ada masalah lagi,” ujar Mohamad Azlan, mengakhiri temubual yang dibuat di ruang tamu Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu.

Penulis difahamkan Mohamad Azlan adalah antara saudara kita yang sangat aktif menjayakan program-program anjuran pusat di bawah kendalian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu.

Beliau malah pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Untuk Saudara Kita bagi tahun 2008.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk "Tinggalkan keluarga demi akidah" di ruangan Hidayah).

Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional Sekolah hamil kerja sia-sia?

Tiba-tiba saja kerajaan negeri Melaka mencuri tumpuan masyarakat di tengah kehangatan perbincangan mencari kaedah penyelesaian terbaik gejala pembuangan bayi. Hasratnya menubuhkan sekolah khas untuk murid hamil tidak syak lagi membuka dimensi baru dalam pembicaraan isu yang memalukan negara itu.

Segala-galanya bagaikan bermula pada 23 Julai lalu. Orang yang bertanggungjawab mencetuskan subtopik baru perbahasan gejala yang semakin parah itu tidak lain daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Menurutnya, cadangan mewujudkan sekolah khas tadi sebagai alternatif kepada pelajar yang berkahwin awal bagi membendung masalah sosial di kalangan mereka.

“Kita sebenarnya mahu mengelakkan maksiat daripada terus berlaku dan tidak mahu lagi gejala pembuangan bayi ini berterusan berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Bagai diduga, kebanyakan pihak yang mengulas cadangan itu seakan sependapat bahawa menubuhkan sekolah hamil bukan penyelesaian muktamad atau jalan terbaik membendung gejala pembuangan bayi.

“Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan, dan begitu juga masalah (buang) bayi ini, kenapa ia berlaku,” media memetik reaksi seorang timbalan menteri.

Seorang aktivis dakwah Islam di Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, juga memberikan analogi serupa. Beliau mengumpamakan sekolah hamil seperti tindakan memakan ‘panadol’ ketika sakit. Menurutnya, ubat itu hanya boleh melegakan kesakitan buat seketika, tetapi bukan mengubatinya secara menyeluruh.

Bahkan, beliau bimbang sekolah itu berkemungkinan akan dijadikan alasan kepada mana-mana pihak, terutama remaja supaya tidak takut melakukan perbuatan tidak bermoral sekali pun sehingga berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kalau benar-benar mahu hapuskan gejala sosial tersebut (buang bayi), sepatutnya hapuskan punca dia. Kalau marahkan nyamuk mesti cari puncanya, contohnya bersihkan sungai kotor dan longkang kotor,” ujarnya berkias.

Pandangan sealiran itu turut diberikan Pengurus Pusat Rawatan Darus Syifa’ Cawangan Besut, Haji Omar Sidek. Sebagai seorang bekas pegawai tadbir yang pernah menerajui beberapa jabatan kerajaan, beliau mengakui cara terbaik menyelesaikan sesuatu masalah ialah mengenalpasti puncanya.

“Dalam pentadbiran, apabila timbul masalah, kita tanya dan kenalpasti dulu apa masalah sebenar. Kemudian kita kaji apa puncanya, baru kita rangka dan buat tindakan penyelesaiannya. Apakah dalam kes budak mengandung ini sudah dikaji apa puncanya?”, soalnya.

Menurut bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu ini, adalah lebih baik untuk kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas membuat kajian terperinci mengenai punca keruntuhan akhlak dan merebaknya gejala sosial di kalangan remaja negara kita.

“Kita baca buku dan kitab, bahkan al-Quran pun ada beritahu kita bahawa punca utama keruntuhan masyarakat ialah apabila Islam tak dilaksanakan. Itu pokok pangkalnya. Banyak keruntuhan akhlak, termasuk hamil luar nikah, buang bayi dan sebagainya bertolak daripada negara tidak laksanakan Islam secara menyeluruh,” tegas.

Beliau yang kebetulan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka selama empat tahun (1987-90) mendakwa agak kenal dengan budaya dan cara hidup para pemimpin masyarakat di negeri itu. Hal itu membuatkannya tidak yakin pihak pencetus idea penubuhan sekolah hamil ini mampu memberikan impak positif kepada usaha membendung gejala sosial dalam negara.

“Rakyat sebenarnya keliru dengan halatuju langkah penyelesaian ini. Apakah sekolah ini wujud sebagai sebahagian daripada kerangka penyelesaian menyeluruh atau sekadar memberi perlindungan kepada remaja terlanjur?”, soalnya lagi.

Baginya, dalam keadaan negara kita kini belum ada mekanisme penyelesaian menyeluruh menurut Islam, maka tindakan kerajaan Melaka itu seolah-olah sekadar melindungi dan memberikan tempat selesa kepada orang yang terbabit kes jenayah. Ia bukan saja kerja sia-sia, malah akan menggalakkan lagi maksiat berlaku dalam masyarakat.

“Mereka ini (pelajar sekolah hamil) akan berkongsi keseronokan membuat jahat, berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Sedangkan kaedah rawatan manusia ini, kita nak jadikan orang jahat itu baik, kena letak dia di kalangan orang-orang baik, pastikan dia bergaul dengan orang baik, baru boleh ubah dia jadi baik.

“Tapi jika dibiar bergaul dengan sesama orang jahat juga, pulak tu diberikan keistimewaan layanan, tempat tinggal dan berbagai kemudahan, apakah dia akan rasa insaf (terhadap keterlanjurannya)?,” terjah Haji Omar lagi.

Beliau yang juga pernah menjawat Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu menguatkan kecurigaannya dengan merujuk fakta kegagalan pusat serenti merawat para penagih dadah. Kerajaan telah menghabiskan ratusan juta untuk membina dan mengoperasi pusat-pusat pemulihan di seluruh negara. Namun jumlah penagih semakin bertambah hari ke hari.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Oktober 2010 dengan tajuk "Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional" di ruangan TOPIK)