Friday, July 9, 2010

Perpecahan dalaman, penafian PAS dan pengakuan Umno

oleh: Mat Zain Mat Isa

‘Nik Aziz akui wujud perpecahan dalam PAS’.

Itulah tajuk laporan sebuah media cetak arus perdana, Ahad (4 Julai) lalu. Mingguan tali barut Barisan Nasional (BN) itu melaporkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sehari sebelumnya.

Tajuk hampir sama turut dikongsi sebuah tabloid di hari sama yang memetik laporan Bernama. Kedua-dua media itu dalam laporan mereka mendakwa Menteri Besar Kelantan itu mengakui wujudnya perpecahan dalam PAS.

“Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan di peringkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda,” laporan Bernama itu dipetik.

Mingguan kroni BN tadi dalam ulasan turut mengaitkan kenyataan Nik Aziz itu dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘kemelut dalaman PAS’ berhubung isu Kerajaan Perpaduan yang timbul tahun lalu.

Tidak sukar diduga bahawa kenyataan itu umpama ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ untuk dimanipulasi parti pemerintah dan media talibarutnya.

“Tidakkah kenyataan Nik Aziz itu mengesahkan anggapan banyak pihak bahawa ‘keredaan’ kemelut dalaman PAS seperti dilihat pada muktamar bulan lalu, hanya pada zahir,” lontar seorang peneraju akhbar kroni BN menerusi kolumnya.

Beliau mengutarakan berbagai andaian disertai singkapan semula beberapa isu dalaman PAS sebelum ini. Mungkin beliau amat puas dapat menelanjangi PAS dan berbangga dapat membantu BN memburukkan parti lawan.

Amat memalukan, segala andaian dan kesimpulan yang dirasakannya sangat analitikal dan realistik itu rupa-rupanya semata-mata bersandarkan laporan yang diselewengkan. Di hari sama, turut tersiar kekesalan Nik Aziz atas laporan tidak benar oleh Bernama dan akhbar kroni BN tadi.

“Saya dapati keseluruhan laporan yang dibuat Bernama Online itu adalah tidak benar dan ia adalah tanggapan pihak Bernama sendiri, bukan maksud sebenar saya,” media pada Isnin (5 Julai) memetik kenyataannya.

Bukan suatu yang luar biasa jika laporan media kroni BN berhubung PAS sering tersasar dari hakikat sebenar. Sebaliknya, kita juga sukar percaya media sama akan melaporkan perkara tidak benar berkaitan BN.

Ertinya, jika kesahihan laporan media kroni BN berhubung PAS boleh dipertikaikan, apa yang dimuatkannya berkenaan kenyataan para pemimpin BN dianggap sah dan benar.

Justeru, apabila ia memetik apa-apa ucapan atau ulasan mana-mana pemimpin BN, termasuk berhubung suasana menimpa parti itu, ia dianggap menggambarkan situasi sebenar dialaminya.

Sementara isu perpecahan dalaman PAS yang cuba ditafsir dari kenyataan Nik Aziz yang disalah lapor tadi sudah terbongkar kepalsuannya, soal perpecahan dalaman BN, khususnya Umno pula semakin terzahir.

Yang menzahirkannya bukan pemimpin PAS, tetapi mulut para pemimpin Umno sendiri. Yang memanjangkan cerita itu pula bukan media pro-pembangkang atau milik PAS, tetapi media-media kroni BN sendiri.

Apa yang boleh kita katakan apabila Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mendedahkan perbuatan menikam dari belakang adalah antara faktor melemahkan Umno? Beliau yang bercakap di Temerloh malah mengingatkan ahli-ahli parti pecah-belah itu agar tidak menjadi ‘makhluk dua alam’. Sikap demikian, katanya, boleh dijadikan senjata oleh pembangkang melemahkan Umno pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

Kita percaya tiada kes salah lapor berhubung kenyataan itu. Lagi pun, selama yang kita ingat, setakat ini belum ada pemimpin tertinggi BN mahu pun Umno yang menarik balik kenyataan dalam laporan oleh media kroni parti itu.

Ertinya, kelemahan sifat ahli Umno itu diakui sendiri pemimpinnya. Malah apa yang disebut Zahid itu senada dengan pengakuan seorang lagi Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Shafie Apdal. Bercakap kepada perwakilan Umno Rasah pada hari sama, beliau menasihatkan mereka supaya menghentikan perbalahan sesama sendiri sekiranya mahu menang PRU ke-13 nanti.

Sehari sebelumnya, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Shaziman Abu Mansor menegur sikap segelintir ahli parti itu yang lebih gemar memperlekehkan pemimpin dan rakan parti sendiri berbanding parti lawan. Menurut beliau, sikap sedemikian boleh diibaratkan sebagai ‘gunting dalam lipatan’ dan berpotensi merosakkan Umno.

Perangai hodoh ahli Umno yang didedahkan Menteri Kerja Raya di Maran itu ibarat melengkapkan teguran keras Naib Ketua Pemuda Umno, Dato’ Razali Ibrahim sehari sebelumnya. Di majlis perasmian mesyuarat perwakilan tiga sayap Umno di Kemaman, Razali mengingatkan ahli semua pergerakan itu supaya tidak bersikap biadab dan kurang ajar ketika ingin membuat sesuatu teguran mengenai kepincangan yang berlaku dalam pucuk pimpinan parti.

Apakah kita fikir ingatan sepenting itu saja-saja diucapnya tanpa dibayangi realiti yang telah pun berlaku dalam Umno? Bagaimana pula dengan teguran Presiden Umno sendiri terhadap sikap pemimpin dan ahli partinya yang berlagak seperti primadona dan individualistik?

Beberapa butiran disebutkan tadi menjurus kita kepada hakikat bahawa dakwaan perpecahan dalaman PAS sangat dipertikaikan. Sebaliknya keadaan sama di dalam Umno adalah satu pengakuan oleh para pemimpin tertinggi parti itu sendiri. Mahu tidak mahu, media talibarut BN perlu akui hakikat memalukan ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1555, 9 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Monday, July 5, 2010

Daftar otomatik atasi masalah pendaftaran pemilih

oleh: Mat Zain Mat Isa

Senario tahap pendaftaran pengundi baru yang terlalu tidak memuaskan semacam telah menjadi isu yang wajib diulang tayang setiap kali negara diura-urakan bakal menghadapi pilihan raya umum.

Minggu lalu isu berkenaan sekali lagi menjadi topik perbincangan khalayak politik, pemimpin masyarakat dan media. Pemuda Umno mendedahkan hasil kajiannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga Jun yang menunjukkan nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi baru adalah satu Melayu bagi 40 bukan Melayu (1:40).

Hakikat itu diakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam reaksinya mengesahkan betapa DAP mendahului parti-parti lain melakukan usaha paling agresif mendaftar pemilih baru, khususnya di kalangan belia Cina. Malah, di kalangan parti-parti Barisan Nasional (BN) sendiri, beliau mendakwa hanya Umno yang agresif menarik golongan muda mendaftar, berbanding parti komponen lain.

Beliau juga mendedahkan kini terdapat kira-kira 4.3 juta warga negara layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sejak PRU ke-12 lalu. Kenyataan itu mengingatkan kita kepada senario serupa sebelum ini.

Awal April 2007, iaitu tidak sampai setahun sebelum berlangsungnya PRU lalu, Wan Ahmad mendedahkan seramai 4.9 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pengundi. Angka itu hampir sepertiga warga negara yang layak mengundi ketika itu, iaitu seramai 15.2 juta orang.

Kita nisbah kini tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah disebutkan tiga tahun lalu itu. Keengganan sebegitu ramai rakyat menunaikan hak dan tanggungjawab menentukan kepemimpinan negara bukan lah suatu kecenderungan yang sihat atau boleh dipandang remeh. Sebab-musabab kegagalan mereka mendaftar sebagai pemilih wajar diteliti dan dicari penyelesaiannya.

Suatu ketika dulu pernah dibangkitkan soal kesukaran proses pendaftaran sebagai punca rakyat gagal berbuat demikian. Lalu SPR memperkenalkan langkah pembaharuan bagi memudahkan proses itu. Ia melaksanakan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST).

Sistem ini mula dilaksanakan Julai 2002. Melalui SPPST, setiap warga negara bermur 21 tahun ke atas dan tidak hilang kelayakan sebagai pengundi pada bila-bila masa boleh mendaftar melalui kaunter-kaunter pendaftaran pemilih di seluruh negara.

Selain di pejabat-pejabat SPR, pendaftaran pemilih juga boleh dibuat di pejabat pos, unit bergerak SPR dan kaunter khas yang dibuka di pusat-pusat tumpuan awam dan kawasan pedalaman. Parti-parti politik juga diberi kebenaran dan kemudahan oleh SPR membantu mendaftarkan pengundi baru, terutama menerusi pelantikan wakil parti sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang diiktiraf SPR.

Malangnya lambakan warga negara yang gagal mendaftar sebagai pemilih tetap berulang. Minggu lalu ia sekali lagi menjadi keluhan pelbagai pihak, terutama pemimpin politik.

Banyak alasan dan andaian kita dengar. Beberapa dakwaan itu membabitkan sikap pengundi itu sendiri, manakala sebahagian lain mengaitkannya dengan kelemahan sistem pendaftaran diamalkan SPR.

Ada yang mendakwa ia berpunca sikap selesa orang Melayu dengan kuasa politik yang masih dipegang bangsa mereka. Malah sebahagian mereka dikatakan tidak ada pun kesedaran tentang tanggungjawab mengundi.

Ada pula mensabitkan hakikat itu dengan sikap muak dan menyampah pengundi dengan gelagat politik negara yang bagi mereka semakin menjemu dan mengecewakan. Soalnya, mengapa sikap sebegitu hanya wujud pada pengundi muda Melayu dan tidak pada bangsa lain?

Namun suatu dakwaan yang sukar ditepis ialah berhubung kelemahan peraturan pendaftaran itu sendiri. Peraturan memestikan pengundi mendaftar mengikut alamat pada kad pengenalan dikatakan menjadi punca utama sebahagian mereka enggan mendaftar sebagai pemilih.

Mereka menjangkakan kesukaran untuk memenuhi tuntutan waktu pulang ke tempat asal (alamat dalam kad pengenalan) semata-mata untuk membuang undi, sedangkan sebahagian besar mereka berhasrat mendaftar sebagai pemilih di tempat mereka tinggal atau bekerja.

Hasrat itu disukarkan pula oleh peraturan tadi. Mereka perlu terlebih dahulu menukar alamat di MyKad. Sedangkan proses untuk itu bukan sahaja memakan masa malah tidak kondusif terhadap kehidupan anak muda yang sentiasa mengejar masa. Akhirnya timbul sikap malas untuk ambil tahu perkara itu.

Sebab itu ada baiknya SPR kembali menimbang cadangan agar pendaftaran pemilih dibuat secara otomatik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara. Setiap warga negara yang mencapai umur 21 tahun akan dimasukkan nama mereka secara otomatik sebagai pengundi sah. Proses ini dilakukan sepenuhnya oleh SPR dan JPN, tanpa lagi melibatkan parti-parti politik.

Kita percaya jika kaedah ini digunakan, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah keciciran sebegitu ramai warga negara daripada hak menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin, malah akan turut mengurangkan masalah “pengundi luar tidak dikenali” di sesuatu konstituensi.

Di samping itu, ia turut melenyapkan kecurigaan parti-parti atas usaha pendaftaran dilakukan parti lawan. Umno juga dapat mengelak dari dakwaan ia mengambil kesempatan mengikat kesetiaan pengundi menerusi bayaran saguhati ketika mendaftar melalui pihaknya. Betul tak?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1554, 5 Julai 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Sunday, July 4, 2010

Perihal secawan susu nak ubah sekolah nila

Oleh: Mohd Nasir Awang

Seorang kenalan dari Kuala Terengganu yang sering bertukar maklumat dengan saya berhubung isu-isu semasa politik negara adalah antara orang paling awal melontarkan reaksinya berhubung kemasukan sekumpulan anak muda lulusan pengajian Islam ke dalam Umno, 25 Jun lalu.

Sepertimana kebanyakan pemerhati dan pemain politik, pesara kerajaan yang saya panggil ‘Ayah Wan’ itu adalah antara yang menilai perkembangan itu sebagai suatu yang pelik dan melucukan. Secara sinis beliau malah menyenaraikan sepuluh tugas utama kumpulan yang disebutkan sebagai ulama muda itu jika benar mereka berhasrat memperbetulkan Umno dari dalam.

Minggu lalu, kumpulan yang mendakwa dianggotai 40 ulama dan cendikiawan muda itu menyerahkan borang keahlian Umno kepada presidennya, Dato’ Seri Najib Razak. Betapa penyerahan itu dilakukan di ibu pejabat Umno, terus ke tangan orang nombor satu Umno dan sejurus sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pula, menggambarkan bahawa kumpulan itu amat serius mahu semua pihak tahu dan ambil tahu kehadiran mereka ke dalam parti sekular itu.

Mereka tahu dengan mengambil kesempatan pada saat dan lokasi penting sebegitu mereka akan dapat mengumpulkan tumpuan pemimpin tertinggi Umno dan media kroninya. Dengan itu berita kemasukan mereka akan segera sampai ke pengetahuan dunia luar.

Hakikat itu menyediakan peluang paling keemasan bagi mereka menyatakan apa juga sikap dan pendirian sebenar yang mendorong mereka memilih Umno berbanding parti-parti politik lain.

“Tujuan asal kami masuk Umno adalah untuk berdakwah, bukannya berlandaskan politik walau pun kami sertai parti politik. Umno kami gunakan untuk memperkasakan lagi dakwah,” media memetik penegasan salah seorang pemain utama kumpulan tersebut.

Beberapa komen dan reaksi yang kemudiannya terpapar di media mengukuhkan hakikat bahawa penyertaan kumpulan ulama muda ini lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.

Malah ada coretan mendakwa hampir keseluruhan anggota kumpulan itu menyertai Umno bukanlah disebabkan tertarik dengan perjuangan dan dasar parti itu, atau pun kecewa dengan PAS, tetapi dengan niat mahu mengubah Umno, selain mahu mencuba ruang dan misi dakwah dalam suasana yang berbeza.
Hebat bukan kesungguhan mereka? Hasrat murni yang menggunung itu mengingatkan kita kepada hujah serupa dijulang seorang ketua pertubuhan belia Islam ketika menyertai Umno pada 1982 dulu. Dunia kini maklum apa kesudahan impiannya “memperbetulkan Umno dari dalam” itu.

Semua itu mengajar kita betapa sekadar memiliki tekad dan hasrat murni tidak memadai dan tidak menjamin ia dapat dicapai. Realiti persekitaran tempat berpijak juga mesti diambil kira.

Persoalan paling banyak dilontarkan sebagai reaksi tindakan kumpulan ulama tadi ialah sejauh manakah ketahanan diri mereka mendepani fahaman sekular dan pegangan batil yang telah berdarah daging dalam batang tubuh Umno?

“Nasihat isteri Najib dan wanita Umno bertudung. Nasihatkan Najib ambil langkah kurangkan murtad, maksiat dan hiburan yang kurang sopan. Nasihatkan kerajaan BN jangan zalim dan rasuah,” tulis Ayah Wan menerusi servis mesej singkat (sms) kepada saya.

Saya faham saranan beliau itu bukan keyakinan, tetapi lebih kepada luahan sinis. Namun persoalan pokoknya, apakah anak-anak muda itu ada cukup keberanian untuk mendakwah para pemimpin Umno dan menegur cara hidup yang menyimpang dari ajaran Islam?

Dan lagi, apakah mudah bagi parti tua itu tunduk kepada saranan dan pandangan sekumpulan anak muda yang masih mentah dalam sepak terajang politik? Realitinya, sudah tentu ia bukan perkara mudah mengubah mentaliti berkarat makhluk warga emas bernama Umno, bukan?

Sebaliknya, track record Umno sendiri menunjukkan belum ada kalangan ulama yang mampu bertahan dalam kepimpinan tertinggi parti itu buat jangkamasa lama tanpa mengalami hakisan prinsip dan pegangan agama mereka.

Kehadiran ulama mahu pun lulusan agama dalam Umno setakat ini tidak ubah seumpama secawan susu di dalam sekolah nila. Ia terlalu jauh dari mengubah warna biru pekatnya.

Suara ulama Umno, jika pun mereka memang telah bersuara menegur kepimpinan tertinggi berhubung hukum dan peraturan agama, ibarat mencurah air ke daun keladi. Ia tidak pernah meninggalkan bekas kepada Umno, apatah lagi untuk merubah persepsi dan penerimaan parti itu terhadap ajaran dan hukum Islam.

Ulama Umno tidak pernah diberi peranan besar atau penting sejajar kelulusan mereka, sama ada dalam hierarki parti atau kerajaan. Contohnya, seorang yang diiktiraf sebagai anak Melayu pertama berjaya memperolehi kelulusan Doktor Falsafah (PhD) bidang tasawuf dari universiti di Mesir. Umno memanfaatkan kehadirannya dan menjadikannya Ketua Biro Agama Umno. Dalam kerajaan pula menjadi menteri yang jaga agama.

Namun, itu tidak kekal lama. Bahkan, khidmatnya dalam Kabinet lebih menyerlah sebagai menteri tukang lulus lesen teksi dan lori. Kini, selepas tidak lagi menganggotai Kabinet, dia diberi tugas menjaga hal ehwal kelapa sawit pula. Hebat bukan cara Umno memanfaatkan ilmu Islam pada ulamanya?

Lihat pula nasib seorang ulama bekas pemimpin kanan PAS yang menyertai Umno. Bersungguh benar beliau cuba menduduki kepimpinan Umno. Kesiannya, beliau tidak pernah berjaya. Jangankan kerusi Majlis Tertinggi, jawatan di bahagian pun beliau ditolak.

Tanya pula di mana kelibat bekas pensyarah yang sempat menjadi wakil rakyat Umno di Selangor sepenggal lalu? Juga, ke mana hilangnya suara Islam seorang bekas Imam Besar Masjid Negara yang pernah lantang dalam Pemuda Umno dulu?

Maaf cakap, setakat ini Umno sendiri membuktikan dirinya bukan medan kondusif untuk ulama melebarkan pengaruh, apatah lagi ilmunya. Kita bimbang ulama Umno sekadar menjadi alat politik untuk berdepan parti lawannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0207, 4 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Friday, July 2, 2010

Untuk apa Umno perlukan penyertaan ulama?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum apa-apa lagi, kemasukan sekumpulan anak muda lulusan agama ke dalam Umno minggu lalu telah mencalitkan imej negatif kepada parti itu. Biar pun media arus perdana kroni Barisan Nasional (BN) sedaya mungkin cuba memanipulasi peristiwa itu bagi memberikan gambaran positif buat Umno, cerita dan ulasan mengenai detik dianggap bersejarah itu turut mempamerkan sebaliknya.

Jumaat (25 Jun) lalu, kumpulan yang mendakwa mewakili 40 ulama muda itu menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden parti, Dato’ Seri Najib Razak. Menurut jurucakap kumpulan itu, penyertaan mereka bukan berlandaskan politik, tetapi lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.

Secara zahirnya kehadiran kumpulan anak muda itu dialu-alukan pelbagai peringkat dalam Umno. Bagaimana pun, disedari atau tidak, berita kemasukan mereka telah menyediakan modal dan ruang lebih luas buat parti lawan kembali menempelak Umno.

Pertama, tidak sebagaimana diuar-uarkan sebegitu hebat sebelumnya, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak ikut serta bersama kumpulan tersebut. Meski pun beliau tetap diura-urakan bakal menjejaki kumpulan ini menyertai parti asabiyyah itu, Asri sendiri dalam reaksinya tetap menegaskan pendiriannya yang belum terfikir menyertai mana-mana parti politik.

Biar pun kemasukan 40 ulama muda itu suatu kejutan buat Umno, ia sudah jadi anti-klimaks. Secara psikologinya Umno sudah kalah, imejnya yang sedikit melonjak dengan ura-ura kemasukan Asri beberapa hari sebelum itu kembali merudum. Berapa orangkah di antara mereka itu dianggap tokoh dan ilmuan Islam yang dikenali dan disegani masyarakat dan mampu dimanipulasi Umno untuk melonjakkan imej Islamnya?

Kedua, kumpulan ulama muda itu juga secara tidak sengaja mengakui bahawa PAS dibanjiri para pemimpin dan pendokong dari kalangan ulama. Ditanya mengapa mereka tidak memilih untuk menyertai PAS, jurucakap kumpulan itu menjawab: “Dalam PAS sudah banyak ulama”.

Ketiga, hujah sama juga memberi makna sebaliknya, iaitu Umno masih ketandusan ulama dan agamawan. Kalau pun golongan itu ada dalam Umno, mereka macam tidak ada. Kehadiran mereka tidak dirasai atau tidak tertonjol. Mereka tidak diberikan kedudukan dan peranan penting dalam parti mahu pun kerajaan.

Sebab itu anak muda ini memilih Umno. Barangkali mereka akui, ruang untuk kerja dakwah dan mendaulatkan Islam lebih banyak perlu dilakukan dalam Umno berbanding PAS. Sedangkan di dalam PAS, ruang untuk berdakwah sesama sendiri sudah dipenuhi ulama lebih berwibawa. Apakah Umno dapat membaca maksud tindakan mereka itu sebegitu?

Kesimpulannya, kemasukan 40 ulama muda ke dalam Umno setakat ini gagal membawa kesan positif buat parti yang kelemasan itu. Bagaimana pun kita percaya Umno pastinya akan terus memanfaatkan kehadiran mereka.

Paling tidak pun untuk mendakwa kesediaan ulama muda ini menyertai Umno membuktikan parti itu diiktiraf kalangan lulusan agama. Pengiktirafan itu penting terutama bagi mengikis pertikaian umat Islam berhubung pegangan dan perjuangan Umno terhadap agama.

Di masa sama, ia diharap dapat menempelak PAS yang selama ini dianggap memboloti dasar dan perjuangan Islam. Bahawa kemasukan sekumpulan ulama muda ke dalam Umno membuktikan tidak semua golongan itu bersetuju dengan perjuangan PAS.

“Sekarang ulama telah kembali kepada Umno. Kita akan beri peranan besar kepada mereka. Mereka ini semuanya berkelulusan tinggi,” media memetik kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Bekas Menteri Besar Perlis itu kelihatan selaku orang utama di sebalik kemasukan kumpulan ulama muda itu. Beliau jugalah yang mengura-urakan kemasukan Asri bersama 100 ulama sebelumnya.

Janji Shahidan kononnya Umno bakal memberikan sesuatu yang istimewa kepada kumpulan ulama muda itu bagaimana pun seakan disanggah Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein. Beliau menegaskan Umno tidak akan meletakkan mana-mana golongan yang baru menyertai parti itu termasuk ulama pada kedudukan istimewa.

“Tidak perlu (mereka ditempatkan di tempat istimewa), ia sama saja kerana dalam perjuangan Umno apa yang penting adalah pegangan nilai setiap ahli adalah sama. Tidak kira latar belakang agama atau cara dibesarkan, tiada beza,” ujarnya sepertimana dipetik sebuah akhbar kroni Barisan Nasional (BN), Isnin lalu.

Tidak syak lagi kenyataan Hishammuddin itu bukan kata alu-aluan yang enak buat kumpulan pendatang baru itu. Keadaan semakin tidak menjanjikan keselesaan buat mereka di dalam Umno, jauh sekali jika mengharapkan mereka ini mengubah dasar parti itu kepada lebih Islamik.

Mereka ini cetek politik. Kenyataan bahawa kemasukan mereka bukan berlandaskan politik mendedahkan bahawa mereka terlalu mentah tentang asam garam manipulasi kuasa dalam Umno. Mereka belum faham betapa tanpa kedudukan politik, suara mereka tidak akan diterima pakai.

Berdasarkan rekod sejarahnya, Umno tidak akan bersedia tunduk kepada saranan atau desakan ahlinya yang tidak menguasai akar umbi. Maka betapa pula sekumpulan pendatang baru ini? Paling tinggi pun, mereka akan hanya menjadi alat Umno untuk menghentam dan meremehkan PAS. Itu saja!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1553, 2 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Thursday, July 1, 2010

Norli mengharap rahmat Tuhan di sebalik kecacatan anaknya

oleh: Nuwa Aitawa

Tarikh 20 Oktober 2005 tidak mungkin dilupakan Puan Norli Ismail sepanjang hayatnya. Hari itulah titik mula satu kehidupan baru penuh mencabar buat suri rumah dari Kampung Air Tawar, Besut ini. Suaminya yang tercinta, Che Yahya Che Kassim pergi buat selama-lamanya pada usia 40 tahun.

Berita mengejutkan itu singgah di telinga Norli bagaikan halilintar membela bumi. Hanya beberapa jam sebelum itu dia masih bermesra dan berhilai tawa dengan suaminya itu sebelum Allahyarham bertolak ke Kota Bharu atas urusan perniagaannya.

Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu mengesahkan Che Yahya meninggal akibat serangan jantung. Beliau sebelum itu dikatakan terjatuh secara tiba-tiba sejurus melangkah turun dari lori dipandunya. Beliau bersama seorang rakan sekerja ketika itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan ikan segar dari Kompleks Perikanan Kuala Besut kepada pelanggannya di Tumpat, Kelantan.

Esak tangis dan curahan air mata tidak terbendung lagi. Hatinya luluh, seluruh anggotanya kelumpuhan. Norli, ketika itu baru berusia 33 tahun, agak sukar menerima hakikat menjadi ibu tunggal semuda itu. Berbagai bayangan kesulitan menerjah fikirannya.

Bagaimanakah dia mahu menguruskan rumahtangga sendirian? Apa akan jadi kepada perniagaan keropok yang selama ini diusahakan suaminya? Apakah nanti dia akan ada cukup masa untuk menguruskan ternakan lembu milik suaminya?

Paling menggusarkannya ialah apakah dia mampu mengumpul ketabahan menyantuni karenah lima anaknya yang kesemuanya masih kecil? Ketika itu anak sulung mereka, Che Syamsahidi, baru berusia 14 tahun, manakala anak bongsu, Che Mohd Akif, hanya berumur enam bulan.

Tiga lagi anaknya, Che Mohd Shahrul berusia 10 tahun, Che Noratikah (7) dan Che Mohd Hamsya (4). Lebih menuntut kesabarannya ialah keadaan anak sulungnya yang cacat dan memerlukan perhatian sepanjang masa. Jika selama ini semua kepayahan itu dikongsi bersama suami, kini dia perlu menerima hakikat untuk menyempurnakan semua tuntutan itu bersendirian.

“Kita manusia ni macam tu lah, ujian, dugaan Tuhan memang kena terima”, ujar Norli tatkala diajukan soalan mengenai kehidupannya kini.

Meski pun cuba melontar senyum, perasaan hiba dan sayu tetap berselirat di wajahnya. Bunga-bunga kepenatan juga agak terserlah padanya. Kebetulan pula sewaktu penulis mengunjunginya, Norli baru selesai mengemas dapur rumahnya. Ketika itu jam sudah pun pukul 2.30 petang.

Beliau mengakui masih belum sempat berehat walau seketika sejak awal pagi itu. Menceritakan rutin hariannya, beliau bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersolat Subuh. Malah, ada ketikanya beliau bangun jam 2.30 pagi memulakan kerja memotong keropok.

Sebaik selesai solat, beliau akan menyediakan sarapan untuk anak-anak, terutama pada hari-hari persekolahan.

“Kalau bukan hari sekolah pun, Abang Long kena diberi makan juga. Awal pagi dah kena suap dia dulu, sebelum adik-adik makan. Dia tak boleh lewat makan, nanti mengamuk,” cerita Norli, merujuk kepada Che Syamsahidi, anak sulungnya yang cacat itu.

Selesai bersarapan, Norli bergegas menghantar dua anaknya, Che Noratikah dan Che Mohd Hamsya ke Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Che Mohd Sharul pula pergi sendiri ke Sekolah Menengah Kebangsaan Permaisuri Nur Zahirah, juga tidak jauh dari rumahnya.

Beliau perlu bersegera pulang, menyantuni anak bongsunya, Che Mohd Akif sebelum dihantar ke Pusat Asuhan Tunas Islam An-Nur, di kampung sama. Di masa sama, enam pekerjanya sudah pun memulakan kerja menyiang ikan untuk dibuat keropok di bengkel bersebelahan rumahnya.

Mujurnya, walau pun ketiadaan suami, Norli dibantu seorang kenalan arwah yang mendapatkan bekalan ikan segar dan menghantarnya ke rumah pada hari-hari tertentu. Malah kerja-kerja di bengkel itu turut dibantu selia oleh adik iparnya, Che Aishah, yang agak mahir tentang segala urusan pemprosesan keropok itu.

Namun itu bukan bererti Norli boleh berehat. Lembu di kandang juga perlu diberikan makan-minum. Alhamdulillah, berkat ketabahannya, tiga ekor lembu ditinggalkan suaminya kini membiak sehingga sepuluh ekor.

Di atas rumahnya pula, Che Syamsahidi sedia menunggu untuk disantuni. Anak kurang upaya itu perlu dimandikan, ditukar pakaian dan lampinnya sebelum tengahari. Selepas itu Norli perlu bergegas ke sekolah semula, mengambil anak-anak. Di celah-celah kesibukan itulah beliau menjamah mana yang sempat di bengkel keropoknya.

Memang tepat kata orang, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam kunjungan ringkas penulis meninjau keadaan anak cacat itu, sudah dapat dinilai kepayahan ibunya menyantuni ragamnya.

Menurut Norli, anak sulungnya itu dilahirkan dalam keadaan sempurna, sama seperti anak-anak yang lain. Bagaimana pun pada usia tiga bulan, Che Syamsahidi mengalami demam panas.

Sejak itu keadaannya bertambah teruk. Keadaan fizikalnya berubah. Tangan dan kakinya kekejangan dan akhirnya seluruh persendian tidak dapat diluruskan. Dia juga tidak sempat bertatih dan kini pada usia 19 tahun pun masih tidak mampu berdiri dan berjalan.

“Dah puas berubat. Semasa arwah ayah dia ada dulu, pantang orang beritahu ada tempat molek (baik) untuk perubat dia, kita bawa pergi. Sudah rata pergi (merawatnya),” Norli menyambung ceritanya.

Demam itu turut menjejaskan mental Che Syamsahidi. Dia bukan lagi insan berfikiran normal seperti sebelumnya, malah berpotensi mengamuk dan bertindak ganas bila-bila masa, sehinggakan terpaksa diletakkan di dalam bilik khusus untuknya.

“Ada ketika dia mari angin tak baik, nak masuk bilik dia pun tak boleh. Dia akan ketuk semua orang. Kadang tu pampers (lampin) pun dia koyak-koyakkan,” luah Norli.

Menurutnya, tidak kurang RM250 setiap bulan diperuntukkan bagi membeli lampin pakai buang untuk Che Syamsahidi. Dalam keadaan biasa, hanya dua helai lampin diperlukan setiap hari. Jumlah itu bagaimana pun boleh melebihi lima helai di hari-hari dia “beronar”.

Perbelanjaan itu sedikit tertampung mutakhir ini. Bermula Mei 2010, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan bulanan berjumlah RM150 kepada Che Syamsahidi di bawah skim Orang Kurang Upaya (OKU).

“Alhamdulillah, selepas lima tahun (sejak 2005), kita (saya) dah terbiasa dengan semua ni. Mungkin ada rahmat Tuhan Dia beri kita anak cacat ni,” ujar Norli lagi.

Tidak syak lagi, kesabaran dan ketabahan ditunjukkan ibu tunggal ini amat mengagumkan. Bukan semua wanita mampu menyempurnakan tanggungjawab seberat itu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Julai 2010 dengan tajuk "Norli mengharap rahmat di sebalik kecacatan anak" di ruangan Meniti Hidup)

Muktamar serlahkan keprihatinan PAS terhadap perkembangan semasa

Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa pada 11 hingga 13 Jun lalu. Sepertimana lazimnya, ia didahulukan dengan muktamar serentak tiga sayap parti itu, iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Bagaimana pun, sejarah tercatat tahun ini apabila buat pertama kalinya perasmian muktamar ketiga-tiga sayap itu diadakan serentak. Majlis itu disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada sebelah malam 9 Jun di Putik.

Keesokannya, ketiga-tiga Dewan itu bermuktamar di lokasi berbeza. Muktamar ke-49 Dewan Ulama bersidang di Markas Dewan Ulama (Madu), Machang. Muktamar ke-51 Dewan Pemuda pula di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), manakala Muktamar ke-50 Dewan Muslimat berlangsung di Perdana Resort.

Menjadi tradisi PAS untuk mengambil kesempatan kehadiran ribuan penyokongnya dari serata negara di muktamar tahunannya untuk menzahirkan sikap dan komitmen berterusan parti itu dalam berbagai aspek perjuangannya. Perhimpunan terbesar dan terpenting buat PAS itu dimanfaatkan sepemuhnya oleh pelbagai lapisan kepimpinan parti itu untuk membicara dan menghadamkan pelbagai isu semasa melanda masyarakat, sama ada dalam negara mahu pun antarabangsa.

Di antara isu utama diperbahaskan para perwakilan muktamar ialah berkaitan penyertaan rakan bukan Islam ke dalam perjuangan PAS. Sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya muktamar PAS tahun ini menerima kehadiran anggota bukan Islam sebagai perwakilan rasmi.

Malah wakil mereka, K. Deepakaran diberi peluang berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk “Islam Adil Untuk Semua”. Beliau adalah Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sayap baru parti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS (KPP).

Beberapa perwakilan negeri yang berucap turut menyentuh isu keanggotaan bukan Islam dalam PAS. Secara keseluruhannya mereka memandang perkembangan itu suatu yang sangat positif untuk imej dan juga potensi politik PAS di masa depan. Ia sekali gus dianggap pencapaian amat membanggakan bagi PAS dalam aspek dakwah Islamiyyah.

“Kita berharap supaya sayap ini (DHPP) dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan, bagi menarik kalangan bukan Islam mengenali kita secara amali dan bersama membuat perubahan yang berjaya selepas kejayaan kini”, ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya.

Pada muktamar itu juga, Abdul Hadi mengumumkan bahawa partinya telah megmabil keputusan membenarkan anggota DHPP sebagai calon bukan Islam bertanding atas tiket PAS menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang. Perkara itu, katanya, telah diputuskan Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi menentukan dasar PAS.

Isu memperkasakan PAS dan memantapkan keserasian Pakatan Rakyat juga banyak disentuh para perwakilan, termasuk saf kepimpinan PAS Pusat. Selain usul pindaan kecil Perlembagaan melibatkan keahlian Dewan-Dewan dan keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib parti, usul memastikan dasar dan prinsip perjuangan PAS dipertahankan di samping mengukuhkan Pakatan Rakyat juga diterima sebulat suara.

Namun isu paling mendapat perhatian sudah tentu berhubung penderitaan rakyat Palestin, khususnya berkaitan tindakan terkini rejim Zionis Israel ke atas misi kemanusiaan ke Gaza, akhir Mei lalu. Ia disentuh dan dibahaskan di ketiga-tiga muktamar Dewan sebelum turut diperincikan sepanjang muktamar induk.

“PAS sentiasa menegaskan bahawa inilah wajah sebenar rejim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri,” ujar Abdul Hadi.

Menyedari kedegilan rejim haram itu, Presiden PAS menyarankan masyarakat dunia tampil dengan “satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas dan keras untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan”.

Beberapa perwakilan yang ikut berucap turut menyentuh secara lebih lanjut isu kekejaman Israel. Ada yang mengimbau kembali sejarah kewujudan negara itu dan asal-usul fahaman Zionisme yang menjadi pegangan bangsa laknat itu. Tidak lupa disentuh juga tentang ketidak upayaan negara-negara umat Islam tampil membela dan membebaskan Palestin daripada terus dijarah bangsa terkutuk itu.

Ada pula yang menyorot kembali rentetan peristiwa kezaliman Israel yang tidak henti-henti ke atas warga Palestin. Malah perwakilan Dewan Pemuda, Ustaz Ridhuan Mohd Noor sempat menceritakan pengalaman peribadi beliau berkunjung ke Gaza tahun lalu.

Tidak cukup sekadar ucapan, derma kilat khusus untuk disumbangkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Gaza turut dilancarkan. Di luar dewan muktamar, hadirin diajak berdemonstrasi mengulangi bantahan dan kekecewaan mereka terhadap rejim Zionis. Mereka ikut memijak dan membakar bendera Amerika Syarikat (AS) yang dicetak bersama bendera negara haram Israel.

Bagi PAS, AS adalah punca utama kegagalan dunia bertindak terhadap Israel. Sikap hipokrit kuasa besar itu menggunakan kuasa vetonya menolak sebarang usul yang boleh menjejaskan kedudukan Israel bagaikan memberi ‘lesen besar’ kepada Israel untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Muktamar PAS turut meluluskan usul khas berhubung isu Gaza. Selain merakamkan kutukan terhadap serangan ganas Israel ke atas kapal konvoi kemanusiaan tempohari, PAS turut mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006 lalu.

Usul itu juga menuntut Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan dan wakil yang sah bagi rakyat Palestin menerima apa-apa bentuk bantuan antarabangsa.

Perlu diingat bahawa hubungan Malaysia dengan Palestin selama ini berasaskan hubungan “kerajaan dengan kerajaan” (G to G). Oleh kerana Gaza di bawah Hamas, dan kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf Fatah sebagai kerajaan Palestin yang sah, maka sebarang sumbangan dan derma rakyat Malaysia menerusi mana-mana agensi atau pertubuhan yang ada hubungkait dengan kerajaan akhirnya jatuh ke tangan PA dipimpin Fatah. Ia tidak sampai kepada Gaza dipimpin Hamas.

Keprihatinan PAS terhadap masa depan negara juga menjadi antara bahan utama perbahasan. Krisis nilai, kebejatan sosial dan kemurungan ekonomi melanda negar mutakhir ini mendorong PAS menzahirkan kebimbangannya tentang kemungkinan lebih buruk sekiranya ia tidak diperbetulkan segera.

“Malapetaka dalam negara kita telah diburukkan lagi dengan kekalutan iklim ekonomi, krisis nilai kemanusiaan dan akhlak, runtuhnya keimanan dan sistem keadilan yang menjadi barang jual-beli oleh kerajaan Umno-BN,” tegas Abdul Hadi dalam ucapannya.

Akibat krisis tersebut, katanya, amalan rasuah, menipu, pecah amanah dan segala macam keburukan masih berleluasa dalam negara tanpa ada tindakan berani untuk mengatasinya.

Namun isu utama yang menjuarai suara penentangan PAS terhadap kerajaan BN dalam muktamar kali ini tidak lain daripada judi bolasepak yang diluluskan kerajaan baru-baru ini. Isu berkenaan menarik perhatian segenap lapisan parti, sama ada pada muktamar di peringkat Dewan-Dewan mahu pun muktamar induk.

Kemuncak pertikaian berhubung tindakan BN berlunak dengan perkara yang jelas diharamkan Islam itu ialah apabila Dewan Pemuda PAS mengusulkan agar kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Muktamar turut meluluskan usaha memobilisasi semua rakyat Malaysia agar turun ke Himpunan 100 Ribu Mansuhkan Judi Bola yang dijadualkan pada 3 Julai di ibu kota. Perhimpunan itu turut bercadang menyerahkan memorandum khas berhubung tuntutan memansuhkan judi sukan kepada Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Secara keseluruhannya, muktamar PAS kali ini menyerlahkan lagi sikap prihatin dan kesyumulan perjuangan parti itu menangani pelbagai isu yang melanda masyarakat. Ia sudah tentu amat bersesuaian dengan tanggungjawabnya membuktikan betapa “Islam Adil Untuk Semua”. Ia juga bertepatan dengan gagasan PAS untuk melangkah gagah menuju Putrajaya menerusi pilihan raya umum akan datang.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Julai 2010 dengan tajuk sama)

Tragedi curang: Apabila ukuran dosa pahala dikesampingkan

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kes 1: Suami intip isteri bawa teman lelaki. Akhbar harian pada 7 Mei 2010 melaporkan seorang suami mengintip kegiatan isterinya membawa teman lelaki bermalam di rumahnya di Bandar Seri Damansara, sebelum menyertai serbuan bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Masjid dan polis untuk mencekup mereka.

Kes 2: Lelaki gantung diri kecewa isteri curang. Kecewa selepas mengetahui isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia terbuang di Kuala Berang, Terengganu, seorang suami muda mengambil keputusan nekad menggantung diri di bilik sewanya di sebuah premis di bandar itu. Kes dilaporkan berlaku pada 20 April 2010.

Kes 3: Bakar masjid marah bekas isteri kahwin. Seorang lelaki dipercayai mabuk kerana kecewa bekas isterinya akan berkahwin lain bertindak melepaskan perasaan dengan membakar Masjid Jamiur-rahmah di Kampung Limau Manis, Sepang, 8 Jun lalu.

Tiga kes diutarakan di atas adalah realiti buruk yang terpaksa kita terima. Ia hanyalah secebis paparan daripada entah puluhan atau ratusan lagi kisah serupa, sama ada yang tidak dihebahkan media atau tidak upaya dicatatkan kesemuanya.

Pada zahirnya jalan cerita, latar belakang kejadian dan kesudahan ketiga-tiga kes di atas agak berbeza. Namun kesemua itu berkongsi punca atau sebab-musabab yang sama, iaitu hubungan bermasalah antara suami dan isteri. Cuba kita teliti fakta-fakta kes tersebut.

Dalam kes 1, seorang wanita berusia 45 tahun ditahan bersama teman lelakinya berumur 40-an dalam sebuah rumah teres yang diduduki bersama bapanya yang lumpuh dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Serbuan jam 1 pagi itu ikut disertai suami wanita itu yang berusia 41 tahun. Beliau mendakwa mengesyaki isterinya menjalankan kegiatan tidak bermoral sejak lima bulan sebelum itu berdasarkan intipan dilakukannya, selain maklumat penyiasat persendirian serta jiran.

Beliau mendakwa isterinya sengaja membawa bapanya yang uzur dari kampung untuk tinggal bersama sejak sebulan sebelum itu bagi mengelak kegiatannya disedari jiran.

“Saya membuat laporan kerana tidak mahu kegiatannya berpanjangan,” akhbar memetik kata si suami.

Kes ini menyerupai satu kes lagi di mana seorang suami yang begitu teruja menyambut hari lahir isterinya dan telah membeli kek dan hadiah harijadi istimewa untuk sambutan itu bertukar kecewa apabila isterinya dicekup sedang berduaan dengan seorang lelaki bukan Islam dalam serbuan yang turut disertainya.

Dalam kes 2 pula, mayat lelaki berusia 21 tahun itu ditemui teman serumahnya yang baru pulang. Turut ditemui bersamanya ialah sekeping nota yang mengandungi luahan rasa kecewa si mati dengan kecurangan isterinya, yang juga sedang menjalani hukuman buang daerah di Kuala Lipis, Pahang.

Mangsa berbangsa Cina beragama Kristian itu berasal dari Cameron Highlands dan sedang menjalani hukuman buang daerah di Hulu Terengganu selama 18 bulan bermula September 2009 hingga April 2011. Beliau disabitkan dengan kegiatan mencuri kereta dan pecah rumah di tempat asalnya.

Jalan cerita kes ini menyerupai kes di Batang Kali, Selangor. Seorang isteri didapati bersekedudukan dengan lelaki lain ketika suami sedang menjalani hukuman penjara. Kecurangan itu bagaimana pun hanya terdedah secara tidak langsung ekoran kematian anak perempuan wanita itu berumur tiga tahun.

Teman lelakinya, seorang pemandu teksi berusia 28 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak itu dengan menendang dan memijaknya sehingga menyebabkan kecederaan teruk dan kematiannya. Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 25 Februari 2010 di padang bola sepak di sebuah kawasan perumahan di Ulu Yam Lama.

Bapa si mati yang juga suami wanita terbabit masih ditahan di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan membunuh sejak 2006.

Dalam keterangannya sebagai saksi kes, ibu si mati yang masih berstatus isteri kepada banduan tadi mengakui rapat dan sayang kepada tertuduh sejak penghujung tahun 2006. Malah, wanita yang bekerja sebagai pelayan di kelab karaoke di ibu negara itu dilaporkan mempunyai seorang anak lelaki hasil hubungannya dengan tertuduh.

Apa yang membezakan kesudahan cerita kes ini dengan kes Kuala Berang ialah setakat ini belum ada tindakan mengejut dari si suami di penjara itu. Apakah dia juga kecewa dan tertekan dengan kecurangan isterinya atau tidak, juga tiada pihak mendedahkannya. Mungkin hakikat menyelubungi hidupnya di sebalik jeriji membataskannya menzahirkan reaksi diri terhadap tindakan itu.

Kedua-dua kategori kes yang disorot di atas membabitkan kes isteri curang. Punca kecurangan mereka bagaimana pun agak pelbagai. Jika kes 2 dan seumpamanya dikatakan ekoran kegersangan si isteri akibat berjauhan dari suami untuk tempoh waktu agak lama, ia tidak semestinya begitu dalam kes 1.

Dalam kes-kes tersebut, pihak yang paling tercabar maruah dan harga diri adalah para suami terbabit. Penyelesaian diambil mereka bagaimana pun tidak sama. Dalam kes 2, suami mengambil tindakan membunuh diri sebagai menebus rasa malu dan kecewa atas pengkhianatan isteri.

Suami yang mempertahankan maruah diri sanggup mengambil nyawanya sendiri. Jalan dipilih itu tentu sekali bukan penyelesaian dibolehkan Islam, tetapi mungkin dianggap jalan penyelesaian bermaruah bagi agama lain.

Si suami dalam kes-kes kategori 1 pula mempamerkan kesabaran dan ketabahan sangat tinggi berdepan tindakan tidak bermoral isteri. Bukan semua suami mampu bersabar sehingga lima bulan melihat kecurangan isteri. Mereka dalam kes tadi bukan sahaja bertindak melaporkan kegiatan sumbang itu kepada pihak berwajib, malah turut serta menyaksikan isteri mereka dicekup.

Kepincangan utama dalam kesemua kes itu ialah ketiadaan pegangan agama yang kukuh sehingga gagal membatasi diri berasaskan dosa dan pahala. Sama ada duduk berduaan dengan lelaki bukan mahram di tempat tersembunyi atau menjemput lelaki asing memasuki rumah sendiri tanpa kehadiran suami, kedua-dua perkara itu adalah dosa dan menyalahi ajaran Islam.

Apatah lagi sekiranya si isteri mengaku atau dibuktikan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain. Jangan lupa perbuatan curang pasangan hidup (betrayal) tersenarai sebagai dosa yang dikeji, bukan sahaja di sisi Islam, malah mengikut ajaran Kristian juga.

Ada pun kes 3 sengaja dibawakan hanya untuk membuktikan bahawa rasa cemburu seorang lelaki tidak terbatas hanya selama seorang wanita itu masih isterinya. Ia boleh berlanjutan sekali pun wanita itu sudah bercerai dengannya.

Menurut fakta kes itu, bekas isteri lelaki itu adalah orang kampung berkenaan. Si suami dipercayai tidak dapat menerima hakikat perceraian mereka sehingga dikatakan menghadapi masalah mental.

Kes dilaporkan media pada 10 Jun lalu itu hampir sama dengan satu kes berlaku di Kemaman, Terengganu dua hari berikutnya. Media melaporkan gara-gara cemburu bekas isteri berkahwin semula, seorang lelaki dikatakan mengajak sekumpulan 20 lelaki bertindak memukul suami baru jandanya itu menggunakan batang kayu dan besi.

Tindakan itu mengakibatkan kecederaan mangsa. Dua anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut cedera.

Pengajarannya, sekiranya seorang bekas suami pun cemburu dan tidak rela melihat bekas isteri menjadi milik lelaki lain, maka apatah lagi sekiranya wanita itu masih isterinya. Sebab itu jangan terlalu mudah menyalahkan suami sekiranya ada berlaku kes suami mengambil tindakan dan hukuman sendiri mencederakan isteri yang disyaki curang.

Kata orang, cemburu itu tanda sayang. Lantas ada pihak mempertikaikan. Kata mereka, jika sayang, kenapa tergamak mencederakan isteri?

Soalan itu sepatutnya ditanyakan kembali kepada si isteri. Kalau benar-benar sayang kepada suami, mengapa cuba bermain kayu tiga sehingga menimbulkan tanggapan negatif si suami?

Apabila si suami sudah mula mengesyaki isteri dan si isteri pula tidak memperbetulkan tanggapan negatif terhadapnya, maka ia menjurus kepada tindakan lebih buruk. Kelemahan peribadi si suami yang turut berkait dengan soal keupayaan diri mengawal emosi dan merasionalkan tindakan akan memburukkan lagi keadaan.

Apa pun, jangan lupa bahawa di sisi Islam, seorang suami yang tidak mengambil apa-apa tindakan atau merasai apa-apa kebencian terhadap isteri yang curang dianggap seorang yang dayus. Lelaki sebegitu disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai seburuk-buruk lelaki. Bahkan, dalam sebuah hadisnya, Baginda s.a.w. bersabda (maksudnya): “Lelaki yang dayus tidak akan masuk syurga”.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Julai 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)