Tuesday, June 23, 2009

Dosa, sikap Umno sulitkan usaha perpaduan


Oleh Mat Zain Mat Isa

TIDAK syak lagi punca utama pertikaian dan penolakan banyak pihak terhadap sebarang usaha mana-mana pemimpin PAS merundingkan perpaduan dengan Umno adalah disebabkan sejarah dan pengalaman pahit membabitkan hubungan antara kedua-dua parti itu.

Selain dosa-dosa silam Umno yang tidak mudah dilupakan ahli-ahli PAS, sikap dan layanan buruk parti pemerintah itu terhadap PAS dalam menangani situasi politik terkini memburukkan lagi hubungan antara pendokong masing-masing.

Di sebalik itu semua, Umno tidak pernah menampakkan sebarang penyesalan atas kedurjanaan yang pernah dilakukannya terhadap PAS. Sebagai parti pemerintah, ia menangkap dan menyeksa para pemimpin dan ahli PAS, sama ada di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau lain-lain peruntukan undang-undang.

Umno sebagai teraju negara dan negeri-negeri dikuasainya sejak merdeka terlibat menyisih dan mendiskriminasi para penyokong PAS dalam segala macam bentuk dan urusan. Sebegitu ramai penjawat awam dari kalangan penyokong PAS ditindas, ditukar kerja ke tempat yang jauh, disekat kenaikan pangkat dan dikongkong setiap gerak-geri.

Rakyat yang menyokong PAS ditakutkan dengan berbagai cara. Para petani dinafikan bantuan baja dan input pertanian. Yang jadi nelayan pula hanya berputih mata melihat rakan ahli Umno memperolehi segala macam subsidi dan bantuan kewangan. Kelayakan menerima bantuan semata-mata atas merit politik.

Dalam sejarah pemerintahan negara pula, manipulasi kuasa politik Umno di peringkat Pusat memungkinkan ia melakukan beberapa rampasan kuasa secara tidak demokratik di negeri-negeri diperintah parti lawan, terutama di bawah PAS. Kerajaan PAS Terengganu yang berakhir pada 1961 adalah tragedi pertama angkara politik wang Umno.

Kalaulah Umno tidak mengkhianati keikhlasan PAS menyertai Barisan Nasional dulu, sehingga meninggalkan PAS tanpa pilihan melainkan keluar dari gabungan itu, sudah tentu perseteruan antara penyokong masing-masing tidak setebal kini.

Pengalaman PAS menyertai BN bukanlah serba-serbi menyeronokkan. PAS terpaksa berhadapan perpecahan dalaman yang teruk apabila tidak semua ahlinya bersetuju dengan keputusan tersebut. Keretakan dalaman PAS paling menyerlah di Kelantan. PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum 1974 di atas tiket BN menerima tentangan paling hebat daripada bekas-bekas pemimpinnya sendiri yang bergabung membentuk Pakatan Bebas Bersatu.

Pengorbanan PAS itu bagaimana pun tidak dihargai langsung oleh Umno. Parti itu mengkhianati kesetiaan PAS apabila kekuatan politiknya pulih kembali. Dosa Umno itu menjadi bahadi yang kekal menghantui ahli PAS hingga kini.

Kalaulah tidak kerana Umno yang merancang memporak-perandakan negeri Kelantan sehingga memudahkan parti itu merampas pemerintahan negeri daripada PAS hampir 30 tahun lalu, nescaya para pemimpin PAS tidak begitu sukar memaafkan parti itu.

Katakanlah para pemimpin Umno Terengganu tidak bersikap rakus dan ganas sepanjang pemerintahan PAS di negeri itu sedekad lalu. Kerajaan PAS tidak digugat dan digigit dengan segala macam karenah, penafian dan diskriminasi. Penipuan dan sabotaj tidak direncanakan sedemikian rupa menerusi pilihan raya 2004.

Umno perlu buktikan keikhlasan di Perak
Maka banyak pihak boleh setuju pada adatnya kerajaan itu besar kemungkinan belum jatuh. Rakyat Terengganu pula tidak mungkin ditimpakan dengan berbagai kezaliman, termasuk perampasan tanah, perobohan rumah, penafian segala anugerah yang telah diberikan PAS tetapi sewenangnya dibatalkan kerajaan Umno yang mengambilalih pemerintahan.

Umno boleh mendakwa ia sudah insaf dan mahu berubah. Ia tidak lagi sezalim dulu dan mahu memperbetulkan kesilapan dan menebus segala dosanya terhadap PAS. Bak kata timbalan presidennya minggu lalu, segala kesilapan itu di bawah pemimpin Umno yang dulu-dulu. Pemimpin Umno sudah bertukar, pemimpin PAS juga sudah berganti yang baru.

Dakwaan itu sudah tentu tidak sukar diterima, termasuk oleh orang-orang PAS, sekiranya tragedi hitam perampasan kuasa secara tidak bermoral di Perak tidak berlaku hanya beberapa ketika sebelum ini. Umno perlu buktikan ia ikhlas untuk berubah dan mencintai perdamaian serta perpaduan. Ia perlu mewujudkan suasana lebih kondusif dan konstruktif terhadap kerjasama dan perundingan ke arah itu.

Dalam keadaan yang ada, rakyat tidak mengharapkan Umno sebagai tunjang BN menyerahkan kembali sebulatnya pemerintahan di Perak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Umno masih boleh mempertahankan maruah dan egonya sebagai parti yang berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Cara bermaruah ialah ia mengembalikan hak memilih kerajaan kepada rakyat. Adakah Umno bersedia menunjukkan keikhlasannya mengusahakan perpaduan dengan parti lawan dan memulai pembuktian itu di Perak?

Setelah segala yang berlaku itu, jangan salahkan orang PAS sekiranya mereka terlalu sensitif terhadap sebarang usaha berbaik-baik dengan musuh tradisi mereka itu. Jika anda seorang ahli PAS yang pernah menjadi mangsa kezaliman, keegoan, penindasan dan pengkhianatan Umno, anda tidak akan sukar memahami bagaimana pendirian tersebut terbentuk.

Sebab itu, jangan dikatakan untuk mengusahakan penyatuan dalam bentuk yang berpanjangan, usaha mengadakan kerjasama bagi tujuan tertentu demi kepentingan negara dan agama pun sering menimbulkan perbahasan hangat.

Yang menyulitkan perpaduan antara kedua mereka ialah sikap dan pendirian Umno sendiri yang tidak bersedia mengakui dosa dan kesalahannya. Jauh sekali untuk meminta maaf atas kedurjanaannya itu.

Perpaduan hanya berhasil menerusi keikhlasan. Sedangkan keikhlasan itu perlu dibuktikan menerusi perubahan sikap dan pendirian. Umno perlu terlebih dahulu berubah jika mahu tanggapan orang PAS terhadapnya diubah.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 23 Jun 2009. Ia dipetik laman wargamarhaen.blogspot.com/ dan pemudasarawak.wordpress.com/ pada hari sama, diikuti laman detikdaily.net dan suwaritimur.blogspot.com/. pada 24 Jun 2009)

Sunday, June 21, 2009

Rakyat muak kemelut berpanjangan Umno Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SAMA ada satu perubahan sikap atau terdorong oleh keadaan terpaksa, keterbukaan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh, dalam memperkatakan kemelut dihadapi kepimpinan partinya di negeri itu adalah suatu yang agak luar daripada kebiasaan.

Selalunya apabila masyarakat umum rancak memperkatakan tentang pergeseran atau masalah dalaman Umno, para pemimpin parti itu akan berlumba-lumba membuat kenyataan menafikan perkara itu. Umno cuba digambarkan sebagai parti yang tidak ada masalah, walau pun mereka sedar penafian mereka itu ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru. Bukan sahaja bau busuknya tidak dapat dihalang daripada merebak, bahkan fizikal bangkai itu juga terserlah dipandang orang.

Para pemimpin Umno Terengganu memang bergelumang dengan masalah. Mereka maklum tentang hal itu dan mereka juga sedar sebarang usaha menutupnya tidak akan berhasil. Mahu tidak mahu, hakikat itu terpaksa diterima.

“Saya tidak boleh duduk di sini dan kata kita (Umno Terengganu) tidak ada masalah, bahkan semua parti ada masalah, bukan sahaja Umno... jadi persoalan sekarang bukan menafikan wujudnya masalah, tetapi bagaimana kita tanganinya,” ujar Wan Farid, sepertimana dipetik akhbar harian, Rabu (17 Jun).

Menurutnya, sebarang penyelesaian memerlukan pendekatan memberi dan menerima, sementara setiap rundingan yang dilakukan pula tidak boleh menjadikan seseorang itu mengambil serta mempertahankan kepentingan dirinya semata-mata.

Tidak syak lagi pengakuan terus terang bekas calon Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu itu merujuk secara terbuka kepada masalah perebutan kuasa sedang dihadapi partinya.

Umno Terengganu memang diketahui dan diakui bermasalah. Bermula isu perebutan jawatan menteri besar pada Mac 2008, pertembungan antara puak-puak bertelagah di negeri itu tidak kunjung reda.

Pertengahan April lalu pertelagahan sesama para pemimpin Umno kembali menguasai bual bicara masyarakat apabila berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Desas-desus akan adanya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menghangatkan suasana.

Ia membawa kepada satu isu lain yang lebih memalukan Umno negeri, iaitu isu servis mesej singkat (sms) ugutan kepada tiga Adun BN yang dianggap pemain utama di sebalik usul tersebut. Kehangatan perbalahan antara dua puak tadi tambah mendidih.

Apatah lagi cara gaya isu itu dimainkan menampakkan seolah-olah kerja jahat itu didalangi pihak yang cuba mempertahankan kedudukannya. Meski pun usul yang diura-urakan itu tidak menjadi kenyataan, moral daripada persepsi yang dihasilkan isu sms ugutan itu cuba dimanfaatkan puak penentang Ahmad untuk menjatuhkannya daripada tampuk kuasa, sama ada dalam kerajaan atau parti.

Usaha itu makin menjadi-jadi apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan Umno peringkat Pusat. Pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu menggantikan Ahmad seakan menghampirkan kumpulan penentang tadi kepada matlamat mereka.

Kesempatan itu mereka gunakan sepenuhnya untuk terus menekan Hishammuddin agar melakukan perubahan lebih besar dan lebih mereka hajati, iaitu menukar penjawat menteri besar. Kenyataan memperlekeh dan memburukkan Ahmad dibuat secara terbuka para pemimpin Umno Terengganu sendiri.

Apabila yang empunya angkara isu sms itu tertangkap, suasana kemelut sedikit berubah. Ia seakan kembali memihak kepada Ahmad kerana yang tertangkap itu bukan dari kalangan anak buahnya. Bahkan orang tersebut ada hubungan sangat rapat dengan seteru utama Ahmad dalam perebutan kuasa di Terengganu.

Kes itu masih dibicarakan dan pihak yang tertangkap mengaku tidak bersalah. Pihak pendakwaan bagaimana pun mengatakan ada kes sangat kuat terhadapnya.

Apa pun, setakat itu nama Ahmad dianggap bersih dari fitnah mengugut tiga Adun tadi. Kedudukan beliau dilihat bertambah selesa apabila berlakunya keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu awal bulan ini.

Ahmad antara pihak paling awal mengalu-alukan siasatan terperinci dilakukan atas kejadian itu. Bukan sahaja bagi mengenalpasti punca keruntuhan, tetapi juga sebarang kemungkinan berlaku akibat penyelewengan atau salah urustadbir berkaitan pembinaannya.

Keterbukaan Ahmad itu tidak sukar dimengertikan memandangkan beliau bukannya ketua kerajaan ketika stadium itu dibina. Meski pun turut menganggotai kerajaan BN ketika itu, beliau tidak memegang portfolio berkaitan dengan projek mega itu.

Perkembangan itu sekali gus mengisyaratkan bahawa kemelut dalaman dihadapi parti itu tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Kes terbaru siasatan rasuah membabitkan dua pemimpin daripada kem Ahmad dalam projek lebuh raya di ibu negara minggu lalu menggelegakkan lagi gelora Umno negeri.

Ada benarnya kata Wan Farid tadi, bahawa masalah bukan sahaja berlaku dalam Umno, tetapi juga parti-parti lain. Bagaimana pun, sebagai parti pemerintah Terengganu, pertelagahan berterusan para pemimpin Umno negeri itu adalah suatu yang merugikan masyarakat. Ia malah sudah sampai ke peringkat memuakkan rakyatnya.

Seolah-olah mereka tidak ada kerja lain selain asyik bergaduh, sehingga tumpuan membela nasib dan kepentingan rakyat tidak dapat disempurnakan.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 27 Jamadilakhir-4 Rejab 1430/21-27 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Isu wajib BI ibarat ‘lain bernanah, lain dicungkil’


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ADA beberapa penelitian yang saya kira wajar dibahaskan berhubung hasrat kerajaan mewajibkan para pelajar kita lulus subjek Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh sebab idea itu bermaksud menjamin masa depan lebih baik bagi generasi akan datang, pertimbangan juga perlu dibuat mengenai apakah bekalan sebenarnya mereka perlukan bagi kebaikan dan kesejahteraan mereka nanti.

Dua minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus subjek BI sebagai syarat memperolehi sijil SPM.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengakui melihat perkara itu dari sudut bagaimana kerajaan hendak tingkatkan keupayaan dan penguasaan BI di kalangan pelajar. Beliau turut menekankan betapa dalam sistem sekarang yang sekadar mempelajari BI tetapi tidak mewajibkan pelajar lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard BI merosot.

Kebimbangan beliau itu dilihat selari dengan apa yang sering diperkatakan pemimpin negara selama ini. Kita sentiasa diingatkan mengenai kepentingan menguasai BI dengan baik. Bahawa kegagalan menguasai bahasa antarabangsa itu menyebabkan kita ketinggalan.

Kita ditakutkan lagi kononnya peluang anak-anak menyambung pelajaran ke luar negara atau mendapatkan pekerjaan akan terbatas sekiranya mereka tidak mahir dalam BI. Lalu penekanan diberikan kepada mempelajarai BI.

Jika sebelum ini, atas hasrat sama, kerajaan melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kini ia melontarkan pula idea mewajibkan pelajar lulus BI untuk SPM.

Persoalan serta-merta timbul mempertikaikan sejauh manakah perkara dicadangkan itu menguntungkan pelajar. Pertama, soal hak dan peluang para pelajar menyambung pelajaran atau mendapatkan pekerjaan.

Kita tahu sijil SPM memberikan erti amat signifikan kepada masa depan anak-anak. Berbekalkan sijil itulah mereka tentukan langkah seterusnya dalam hidup, sama ada mendapatkan tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi atau mencari kerja yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat mereka.

Tanpa sijil itu agak sukar bagi mereka mendapat kedua-dua peluang itu. Maka, apakah adil bagi mereka yang berjaya dalam subjek lain, termasuk subjek-subjek yang relevan dengan pengkhususan pengajian/pekerjaan dihajati mereka, tetapi ternafi hak mendapat peluang belajar atau bekerja semata-mata kerana gagal dalam BI?

Kedua, soal peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apakah di bawah sistem yang tidak mewajibkan lulus BI selama ini tiada pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke sana? Sebegitu ramai tokoh penting negara, sama ada pemimpin politik, korporat, teknokrat dan profesional lain merupakan lulusan luar negara, khususnya Eropah dan Amerika Syarikat. Sedangkan selama ini sijil SPM kita tidak pun mewajibkan mereka lulus BI, bukan?

Lagi pun, apakah peluang belajar di luar negara hanya untuk mereka yang lulus BI? Kita tahu tidak semua universiti luar negara menggunakan bahasa itu. Pelajar kita di Jepun misalnya, guna bahasa Jepun. Tidak tahu berbahasa Inggeris pun tidak jadi masalah bagi mereka.

Begitu juga dengan penuntut kita di Rusia, Perancis atau Timur Tengah. Mereka belajar menggunakan bahasa pengantar di negara masing-masing. Ertinya, jika di atas dasar memastikan peluang belajar di luar negara, maka apakah bahasa Arab, Jepun, Perancis dan lain-lain wajar dipertimbangkan untuk diwajib lulus dalam SPM juga?

Ketiga, soal peluang kerja. Tadi sudah disebutkan bahawa tanpa sijil SPM sebahagian anak-anak kita yang sudah tidak berhasrat atau tidak berkelayakan menyambung pelajaran mungkin gagal juga mendapat kerja di dalam negara. Ertinya, syarat lulus BI itu memberi kesan langsung kepada mereka apabila peluang mendapat pekerjaan tertutup. Sedangkan bukan semua jenis pekerjaan memerlukan kemahiran bertutur atau menulis bahasa Inggeris.

Kini, tanyakan pula sejauh manakah peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa itu hanya terbuka kepada mereka yang menguasai bahasa Inggeris. Satu contoh mudah, saya percaya ramai antara kita sering menonton siaran sukan antarabangsa, khususnya melalui saluran berbayar. Cuba perhatikan laporan sukan, terutama slot temubual pemberita dengan jurulatih atau atlet antarabangsa.

Kerap kali yang kedengaran pada kita ialah suara pengulas tv dalam BI. Manakala suara orang yang ditemubual itu sekadar tenggelam timbul. Kenapa? Kerana mereka yang ditemubual itu tidak bertutur dalam BI, tetapi dalam bahasa masing-masing. Roger Federer berbahasa Perancis, Rafael Nadal bertutur Sepanyol dan Cristiano Ronaldo pula bercakap Portugis.

Saya percaya tahap penguasaan BI sebilangan jurulatih bolasepak kita jauh lebih hebat berbanding Rafael Benitez, Jose Mourinho dan sebilangan lagi jurulatih di Eropah (sekadar menyebut beberapa nama). Namun cuba tanyakan, setakat ini berapa orang antara jurulatih kita ditawarkan peluang kerja di peringkat antarabangsa, semata-mata kerana menguasai BI dengan baik?

Ertinya, untuk menjamin peluang kerja di peringkat antarabangsa sekali pun bukan semata-mata bergantung kepada bahasa apa yang anda boleh tuturkan. Kepandaian dan kepakaran di bidang tertentu lebih diutamakan. Maka, apatah lagi peluang kerja dalam negara sendiri.

Paling utama kita persoalkan ialah apakah persediaan yang sebenarnya paling diperlukan anak-anak kita untuk kebaikan masa depan mereka. Apakah peluang menyambung pelajaran dan mendapat pekerjaan menjadi matlamat dan kesempurnaan bagi mereka?

Dari sudut lain, perlu diakui kita sebenarnya tidak kurang tenaga kerja yang cerdik dan cemerlang serta fasih berbahasa Inggeris. Masalahnya mereka juga menjadi antara pihak yang membawa berbagai penyakit sosial yang merosakkan negara.

Kita ada doktor, tetapi mereka menggunakan ilmu tentang perubatan untuk membancuh ubat batuk dan dijual secara haram kepada para penagih. Ada arkitek dan jurutera, tetapi kaki rasuah. Ada peguam, tetapi menggunakan kepakaran undang-undang untuk lawan hukum Tuhan.

Yang jadi kontraktor pula asyik menipu untuk kaut untung berganda. Akhirnya buat stadium, stadium runtuh. Buat lebuh raya, lebuh raya retak seribu. Apa untungnya pada negara walau pun mereka itu berpelajaran tinggi dan fasih berbahasa Inggeris?

Justeru, perlu diakui yang menjadi masalah sebenar bagi negara kita ialah melahirkan warga negara yang berkeperibadian murni, bermoral tinggi, berintegriti dan bertanggungjawab. Lebih penting lagi, mereka ingat kepada dosa pahala dan takutkan Tuhan. Demi Allah saya kira aspek itu tidak kita temui dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek BI.

Saya akui kepentingan BI. Bahkan saya sendiri pun produk yang terhasil menerusi sistem pendidikan yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris. Namun, bagi saya memberi penekanan kepada pembelajaran subjek itu dalam keadaan negara amat membutuhi koreksi sosial ibarat memberikan preskripsi yang silap kepada pesakit.

Bak kata orang, “lain bernanah, lain yang kita cungkil”. Lain tempat yang luka, lain pula yang kita balut. Mengapa tidak kita usahakan bekalan lebih berharga untuk anak-anak kita dengan memberikan lebih penekanan kepada aspek akhlak dan moral mereka?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 27 Jamadilakhir-4 Rejab 1430/21-27 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, June 14, 2009

Misi berat PAS tawar Islam pimpin perubahan


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SYABAS dan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli dan pendukung PAS seluruh negara di atas kejayaan parti itu menyempurnakan Muktamar Tahunan ke-55 minggu lalu. Perhimpunan kali ini berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang di Stadium Melawati, Shah Alam.

Pujian juga selayaknya diberikan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di atas keberanian menawarkan “Islam Memimpin Perubahan”. Dalam keadaan sosio-ekonomi serta geo-politik negara dan dunia yang tidak menentu serta mendambakan penyelesaian hakiki, kesempatan mengemukakan gagasan penyelesaian Islam adalah suatu kebijakan yang kena pada tempat dan masanya.

Apatah lagi tawaran itu datang dalam keadaan kewibawaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai penyelesai kemelut hidup rakyat sedang dipertikaikan. Kejayaan PAS dalam pilihan raya lalu menyerlahkan lagi penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap parti itu. Maka kesempatan menonjolkan PAS selaku pemimpin perpaduan dan perubahan amat bertepatan.

“PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia, selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti, insya Allah,” tegas Presiden PAS dalam ucapannya, Jumaat lalu.

Meski pun pada zahirnya penegasan itu nampak meyakinkan, halangan dan cubitan menunggu PAS dalam merealisasikan tawaran itu terlalu pelbagai. Saya tidak begitu bimbang dengan serangan dan bantahan luar, khususnya musuh tradisi (Umno/BN). Track-record ketahanan PAS agak membanggakan dalam mendepani karenah dan mehnah ditimbulkan parti tua itu.

Ada beberapa pihak lain yang saya kira lebih mencabar misi berat PAS menawarkan Islam kepada negara. Secara realistik saya sebutkan yang pertama dan utama ialah sebilangan pemimpin dan ahli parti itu sendiri.

Sentiasa ada suara dalaman PAS sendiri mempertikaikan beberapa pendekatan dan isu teras yang selama ini diperjuangkan. Di kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri kelihatannya wujud perbezaan pendirian dalam meletakkan keutamaan antara memenangi hati rakyat untuk kejayaan pilihan raya dengan menjadi pembela mempertahankan isu-isu Islam.

Suara-suara kebimbangan ini kedengaran minggu lalu. PAS diingatkan jangan terlalu ghairah bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih pemerintahan negara sehingga mula longgar di atas beberapa teras perjuangannya.

Gesaan itu tidak syak lagi terdorong oleh pemerhatian dan penilaian ahli PAS sendiri terhadap pendekatan parti mereka yang sudah berubah. Dalam keadaan tertentu, PAS seakan mengelak berada di barisan hadapan mempertahankan isu-isu agama, kononnya atas penilaian politik.

Pihak kedua yang mungkin menggugat keazaman PAS menyempurnakan gagasan tadi ialah penyokongnya dari kaum bukan Islam. Beberapa kenyataan pemimpin Kelab Penyokong PAS (KPP) menggambarkan mereka masih berdepan pemahaman yang belum benar-benar betul berhubung apa yang sepatutnya PAS tawarkan kepada bukan Islam.

Maaf cakap, dalam beberapa keadaan KPP lebih menyerlah sebagai pendesak agar PAS berubah menjadi parti yang sealiran dengan aspirasi mereka. Mereka kelihatannya belum berupaya meraikan PAS sebagai sebuah parti yang ada dasar dan fahaman perjuangan sendiri.

Saya melihat slogan “PAS Untuk Semua” disalahtafsir secara literal bagi memenuhi maksud bahawa PAS sepatutnya tampil dengan imej yang dapat diterima semua pihak. Itu termasuk tidak menampilkan imej dan suara Islam dalam keadaan tertentu, jika penyokong bukan Islamnya tidak selesa.

Pernah beberapa kali kenyataan pemimpin tertinggi PAS menyentuh bukan Islam dibantah secara terbuka oleh KPP. Lebih mengecewakan apabila dibangkitkan agar PAS mengenang budi pengundi bukan Islam yang memenangkan calon parti itu dalam pilihan raya lalu.

Sepatutnya kesediaan mereka menyokong PAS berasaskan kefahaman tentang apa itu PAS dan menerima dasar perjuangannya. Malangnya peranan KPP beralih kepada mempertikaikan dasar dan tindakan diputuskan PAS. Sebab itu saya agak bungkam apabila beberapa rakan melontarkan secara sinis bahawa kelab itu lebih sesuai dinamakan “Kelab Pembangkang PAS”.

Pihak ketiga dan paling kerap menyuarakan percanggahan dengan apa yang dilontarkan PAS ialah parti-parti rakan PR. Mereka seolah-olah belum faham bahawa kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam dan PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu.

Kerap kali PAS diletakkan dalam keadaan terlalu “terkongkong” oleh keperluan menjaga hati rakan-rakan dalam PR, terutama bukan Islam. Seolah-olahnya setiap apa yang diputus atau dilaksanakan PAS mesti merujuk kepada mereka, atau diterima dengan baik dan menepati kerangka PR.

Oleh sebab itu apabila muktamar PAS minggu lalu memutuskan usul meminta kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengguna nama Islam tetapi didakwa menjalankan atkviti yang mengelirukan masyarakat terhadap Islam, antara pihak paling lantang membantahnya ialah parti rakan dalam PR sendiri.

Dibangkitkan soal demokrasi dan hak asasi manusia yang sepatutnya lebih diutamakan PAS sekali pun dalam mendepani isu-isu berkaitan akidah dan hukum-hakam Islam. Bagaimana dengan hak asasi PAS memperjuangkan dasarnya dan mempertahankan Islam?

Saya kira PAS tidak boleh lagi ‘malu-alah’ mempertahankan perjuangannya. PAS perlu ikhlas dan tegas menyatakan bahawa Islam adalah dasar PAS yang terangkum di dalamnya soal penegakan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Islam.

Dengan teras dan asas itulah PAS terus hidup dan kukuh. Diterima atau tidak, itulah juga Islam yang ditawarkan PAS untuk memimpin perubahan dalam negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 20-26 Jamadilakhir 1430/14-20 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)