Sunday, June 7, 2009

Runtuhnya satu ‘impian menjadi realiti’ di Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

“ANGIN tak ada, ribut tak ada, tahu-tahu bumbung runtuh!” Itulah ungkapan baru yang laris disebut penduduk Terengganu dalam sehari-dua ini. Ia menjadi sebutan ekoran insiden keruntuhan bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Terengganu, pagi Selasa (2 Jun) lalu.

Mungkin ungkapan itu agak sinikal, terutama bagi beberapa pihak yang selama ini begitu berbangga dengan pembinaan stadium tersebut. Bagaimana pun, itulah realiti yang terpaksa diakui.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu runtuh secara tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak yang baru siap dibina kira-kira setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Kejadian mengejutkan itu mendapat reaksi segera pelbagai pihak. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang bergegas meninjau lokasi kejadian menyifatkannya sebagai kejadian yang amat memalukan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menganggap kejadian itu tidak menggambarkan profesionalisme dalam pembinaannya. Manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, mengumumkan pihaknya akan melantik konsultan bebas bagi menyiasat secara terperinci punca keruntuhan tersebut.

PAS sebagai parti pembangkang utama di Terengganu bagaimana pun pergi selangkah lebih jauh. Satu kenyataan dari Pesuruhjayanya, Datuk Mustafa Ali, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan bagi mengesan sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.

“Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap “progress” mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?”, itu pula komen Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Wan Sukairi Abdullah.

Kejadian itu mengingatkan kita kepada beberapa kejadian serupa melibatkan keruntuhan bangunan baru siap dibina yang pernah berlaku sebelum ini. Di Terengganu sendiri, beberapa kes agak menyerlah turut dilaporkan media sejak beberapa tahun lalu.

Antaranya ialah kes runtuhan siling dalam sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang, pada 16 Januari 2006. Bangunan itu baru siap dibina tidak sampai tiga tahun sebelumnya. Kejadian dikatakan berpunca daripada struktur yang menyokong siling tidak cukup kukuh untuk menampung beratnya.

Kejadian lebih menggemparkan berlaku pada 12 April 2008. Seluruh struktur bumbung Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai, juga di daerah Marang, ranap sekelip mata.

Ia dikatakan berpunca daripada pemasangan sendi kekuda bumbung itu yang tidak kukuh. Bangunan bernilai RM2 juta itu siap dibina pada tahun 2004 dan baru mula digunakan pada 2005.

Satu lagi kerosakan bangunan baru yang tidak kurang memalukan ialah apa yang berlaku ke atas Bazar Warisan, di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu. Bazar itu adalah salah satu di antara projek “hebat” cetusan idea kreatif bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Projek yang pernah diulangsebutnya sebagai mercutanda ala-Istanbul itu diimpikannya menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.

Ia dibina dengan perancangan bagi menggantikan Pasar Besar Kedia Payang sebagai pusat utama jualan pelbagai produk kraf Terengganu seperti batek, songket, anyaman, tembaga dan seumpamanya.

Lokasi pembinaan bazar itu memang strategik. Ia dibina di kaki Bukit Puteri dan berhadapan Pasar Besar Kedai Payang, iaitu dua lokasi terkenal yang sering menjadi kunjungan pelancong di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

Malangnya, meski pun baru siap dibina, kompleks perniagaan yang memakan belanja RM18.4 juta itu telah mengalami kerosakan yang mencacatkan binaannya.

“Saya dapati banyak fasiliti sudah rosak dan ini perlu dibaiki segera. Saya tengok kerja (pembinaan Bazar Warisan) dibuat tidak begitu baik. Bahan pembinaan yang digunakan pula dicampur, ada kayu berkualiti tinggi, ada bermutu rendah,” demikian komen yang pernah diberikan Ahmad sendiri.

Meski pun kerosakan tidak melibatkan runtuhan struktur luaran, tetapi dengan kos sebegitu besar dibelanjakan bagi membinanya, kerosakan yang berlaku sebelum sempat digunakan sepenuhnya adalah suatu yang merugikan rakyat.

Bazar Warisan hanyalah salah satu di antara beberapa tinggalan pemerintahan Idris. Ada pun stadium termasuk dalam senarai paling utama. Pembinaannya menjadi kebanggaan yang sering diulangsebut para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu. Ia disenaraikan sebagai salah satu daripada empat “impian menjadi realiti” bagi rakyat negeri itu.

Empat impian itu ialah pembinaan stadium, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II, penukaran Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) menjadi Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LSTM).

Malangnya, hanya dalam masa tidak sampai dua tahun disiapkan, projek yang menelan belanja ratusan juta dan sangat dibanggakan BN itu runtuh menyembah bumi. Runtuhnya salah satu projek “impian menjadi realiti” itu sebenarnya meruntuhkan bersamanya keegoan dan kebongkakan pihak yang merencanakannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 13-19 Jamadilakhir 1430/7-13 Jun 2009 dengan tajuk sama)

Kemenangan mutlak - kenyataan pemimpin BN 'menikam diri'


Oleh: MOHD NASIR AWANG

PARA pemimpin Barisan Nasional (BN) ternyata cuba menenangkan perasaan sendiri apabila terus memperlekehkan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, minggu lalu. Malangnya, dalam usaha memperkecilkan kejayaan pihak lain, mereka terlupa bahawa hujah dan sandaran yang mereka kemukakan boleh pula dijadikan bahan mempertikaikan kemenangan dan kekuatan BN sendiri.

Meski pun BN berkeputusan tidak ikut serta menyuburkan pesta demokrasi di Penanti, semua orang dapat melihat betapa parti itu tidak sekadar berdiam diri terhadap perkembangan di sana. Apatah lagi kebanyakan kenyataan dan ulasan dibuat para pemimpin BN secara tersirat menggambarkan keluh-kesah dan serba salah mereka dalam menghadapi tempoh tersebut.

Pada edisi lalu, saya telah mengulas mengenai kepalsuan “prinsip” yang dipegang BN. Betapa sikap parti itu tidak menyertai pilihan raya di Penanti, semata-mata kerana dakwaan ia bukan diadakan atas faktor yang menepati Perlembagaan, adalah suatu yang amat kabur dan boleh dipertikaikan.

Saya turut menyertakan dua contoh bagaimana BN sendiri pernah merencanakan perletakan jawatan wakil rakyatnya bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyelesaikan kebuntuan politik dalaman parti itu.

Di sebalik kepalsuan “prinsip” itu, BN masih boleh berbangga apabila pemboikotan yang dicanangkannya sejak perletakan jawatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, pertengahan April lalu boleh dikatakan berjaya. Tidak syak lagi kempen dan propaganda berterusan para pemimpin BN dan media dikuasai mereka telah berjaya mempengaruhi minda pengundi di Penanti.

Satu persepsi negatif telah berjaya dibentuk terhadap pilihan raya itu sehingga lebih separuh daripada pemilih berdaftar tidak lagi melihat ia suatu yang signifikan. Mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab. BN jangan pula menafikan ia bertanggungjawab terhadap kemerosotan ketara peratusan keluar mengundi itu.

Pada pilihan raya 31 Mei lalu, hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar menjayakan proses demokrasi itu. Jumlah itu membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya negara.

Bagai diduga sedari awal, calon PKR, Dr. Mansor Othman menang besar. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya, Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.

Calon Bebas itu memungut 494 undi. Dua lagi calon Bebas, Aminah Abdullah mendapat 392 undi dan Kamarul Ramizu Idris mengutip 56 undi. Ketiga-tiga mereka hilang wang pertaruhan.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, calon PKR, Mohamad Fairus Khairuddin menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,210 undi. Fairus memperolehi 7,346 undi berbanding Abdul Jalil yang mendapat 5,127 undi.

Meski pun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294 berbanding undi diperolehi Fairus. Fakta itulah yang diperbesarkan para pemimpin BN. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan kemenangan PKR itu bukan suatu yang boleh dibanggakan. Beliau menganggap kemerosotan undi dipungut calon PKR beserta penurunan jumlah keluar mengundi sebagai bukti ia bukan kemenangan mutlak buat parti itu.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi fakta sama. Baginya, kemerosotan jumlah undi diperolehi calon PKR berbanding pilihan raya lalu adalah petanda bahawa BN mempunyai kekuatan di Penanti.

“PKR janganlah kata mereka hebat sangat. Sepatutnya dengan BN tidak bertanding, parti pembangkang itu mampu mendapat undi yang lebih besar daripada wakil rakyat sebelum ini. Secara tidak langsung sebenarnya BN mempunyai kekuatan, cumanya kita tidak bertanding”, ujarnya.

Itulah yang saya maksudkan di awal tadi. Bahawa dalam usaha menenangkan perasaan sendiri, para pemimpin BN mungkin terlupa hujah mereka gunakan itu sebenarnya mendedahkan parti itu sendiri kepada pertikaian serupa.

Maksud saya, dengan hujah kemerosotan undi itu tidak salah bagi pembangkang mendakwa ia ada kekuatan dalam politik negara ini apabila jumlah kerusi dimenangi BN merosot teruk dalam pilihan raya lalu. Bahkan, BN juga tidak boleh mendakwa kemenangannya untuk terus memerintah Malaysia dan baki beberapa negeri sebagai kemenangan mutlak. Bukankah undi dan kerusi dimenangi BN merosot di hampir kesemua negeri?

Jangan dikatakan di negeri-negeri yang diketahui sebagai kubu kuat pembangkang, Johor yang diakui sebagai “negeri paling kuat Umno dalam dunia” itu pun turut dilanda fenomena serupa. Daripada kemenangan mutlak 26 kerusi Parlimen pada 2004, BN tewas di satu kerusi pada 2008.

Di peringkat Dun pula, BN menawan 55 daripada 56 kerusi pada 2004. Tahun lalu, jumlah kerusi terlepas ke tangan pembangkang meningkat kepada enam.

Penelitian saya terhadap keputusan pilihan raya negeri itu secara terperinci turut mendapati fakta lebih menarik. Daripada 50 kerusi dimenangi BN di Johor, hanya dua kerusi menyaksikan penambahan majoriti, iaitu di Rengit dan Sedili. Itu pun di bawah 700 undi sahaja.

Ada pun baki 48 Dun lagi menyaksikan kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN. Bahkan, di tiga Dun, iaitu Stulang, Nusa Jaya dan Penggaram, majoriti BN merosot lebih 10,000 undi berbanding 2004.

Paling menarik ialah kemerosotan undi dan majoriti kemenangan diperolehi Muhyiddin sendiri. Dalam pilihan raya lalu beliau hilang lebih 2,000 undi dan majoriti kemenangannya merosot hampir 6,000 undi berbanding 2004.

Maka menggunapakai hujah beliau tadi, apakah beliau menerima hakikat kemenangan beliau sendiri tidak mutlak dan parti lawannya ada kekuatan di Parlimen Pagoh?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 13-19 Jamadilakhir 1430/7-13 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Monday, June 1, 2009

Ghairah halalkan dunia, jangan lupa negara sendiri


Oleh: Mohd Nasir Awang

AWAL bulan lalu (Mei) negara kita sekali lagi menjadi tumpuan dunia, khususnya khalayak pedagang, peniaga dan pengusaha industri. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2009 (Mihas 2009) di ibu negara berjaya menarik penyertaan 30 buah negara, antaranya Iran, China, Palestin, Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sehubungan dengan acara yang menghimpunkan ratusan penggiat ekonomi serata dunia itu, berbagai persidangan, forum dan rundingan perdagangan diadakan. Antaranya ialah Forum Halal Sedunia dan Persidangan Penyelidikan Halal Sedunia, yang masing-masing dihadiri para delegasi dari 40 buah negara.

Beberapa fakta menarik berkaitan dengan industri halal dunia turut didedahkan buat pengetahuan umum. Antaranya, nilai industri makanan halal dunia sekarang adalah AS$635 bilion (RM22.4 trilion). Jumlah itu bagaimana pun membentuk penguasaan hanya 16 peratus saiz pasaran makanan global. Sedangkan penduduk Islam sedunia kini berjumlah 1.8 bilion atau 28 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

Turut dimaklumkan, nilaian eksport produk makanan halal Malaysia ke negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bernilai AS$900 juta (RM3.2 bilion) pada tahun ini. Meskipun angka itu masih terlalu rendah berbanding jumlah pasaran halal global, ia sekurang-kurangnya menunjukkan peningkatan berbanding AS$640 juta (RM2.26 bilion) pada 2007.

Melihatkan peranan dan usaha proaktif dimainkan Malaysia sebagai hab halal dunia, sumbangan negara terhadap industri halal dunia amat berpotensi dipertingkatkan. Sehubungan itu, negara kita telah memberikan komitmen mempertingkatkan lagi penghasilan produk-produk halal untuk kegunaan umat Islam sejagat.

Antara idea baru dilontarkan ialah kemungkinan Malaysia menerokai industri pengeluaran gelatin halal daripada kelapa sawit. Satu fakta yang memilukan umat Islam ialah hanya satu peratus pengeluaran gelatin dunia dihasilkan daripada sumber halal.

Sudah tentu kepincangan ini mesti diperbetulkan. Malaysia bukan sahaja bertanggungjawab menyumbang kepada kesucian makanan, malah sebagai negara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia, negara kita turut berkemampuan menerokai penghasilannya.

Negara kita juga menyatakan komitmen membantu Bosnia-Herzegovina membangunkan taman halal seluas 20 hektar di negara itu dengan nilai pembangunan sebanyak Euro100 juta (RM469.6 juta).

Menerusi perjanjian kerjasama itu, negara kita yang diwakili Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC), akan membekalkan kepakaran teknikal kepada negara berkenaan. Malaysia akan menetapkan piawaian halal dalam bidang makanan dan juga perkhidmatan seperti perbankan dan kewangan.

Setakat ini, usaha dan peranan negara kita dalam mengangkat kesedaran dunia tentang industri halal ini amat mengagumkan. Tidak syak lagi kita boleh dianggap sebagai pelopor dan pemain utama industri itu di rantau ini, jika pun tidak di seluruh dunia.

Bagaimana pun, perbincangan meluas dan bersungguh berkenaan peranan negara kita menjulang produk halal itu seolah-olah tercemar apabila media turut mendedahkan beberapa fakta tidak menyenangkan mengenai status halal beberapa produk dan perkhidmatan dalam negara kita sendiri.

Amat memilu dan menyedihkan apabila dikatakan kebanyakan hotel di negara ini tidak mempunyai sijil halal yang disahkan pihak berwajib. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, mendedahkan hanya 27 buah hotel di seluruh negara setakat ini memiliki sijil halal yang disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC). Jumlah itu adalah peningkatan hanya dua buah berbanding jumlah tahun lalu.

“Tahun lalu, sebanyak 25 hotel memiliki sijil halal yang disahkan”, katanya selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Dunia Halal, bersempena Mihas di ibu negara.

Katanya, daripada jumlah itu, majoriti hotel yang memiliki sijil halal yang disahkan adalah terdiri daripada hotel berstatus tiga bintang.

Menurutnya lagi, ada permohonan untuk memiliki sijil halal terpaksa ditolak ekoran kegagalan pengusaha hotel memenuhi prasyarat minima iaitu sekurang-kurangnya dua pekerja Islam tempatan ditugaskan di bahagian dapur hotel, selain faktor kebersihan dan penggunaan bahan-bahan masakan yang halal.

Satu laporan dari Kuantan mengenai isu sama pula memberikan perangkaan yang tidak kurang memalukan. Sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 400 hotel di seluruh negeri Pahang didapati tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Laporan itu memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Zakaria Mohamed sebagai berkata, fenomena itu berlaku disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan pengusaha hotel terhadap sensitiviti pelanggan Islam.

“Jika di bandar ini (Kuantan), hanya lapan hotel memiliki sijil halal dan ini berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan mereka (pengusaha hotel)”, katanya.

Negara kita sudah diiktiraf dunia sebagai pemain utama industri halal dunia. Kita dijadikan contoh oleh beberapa negara Islam sebagai pengeluar produk makanan dan perkhidmatan halal. Paling tidak pun, kitalah tuan rumah kepada forum, persidangan dan pameran halal sejagat saban tahun.

Menilai keghairahan negara kita dalam menjulang kalimah ‘HALAL’ di persada dunia, adalah sedikit tidak munasabah apabila status halal pada tempat-tempat tumpuan pengguna Islam dalam negara sendiri masih di tahap menyedihkan. Isu sijil halal pada hotel-hotel tadi adalah contoh.

Kepincangan ini tidak dapat tidak mesti diperbetulkan. Jangan sampai kita dikata orang ibarat ayam jantan yang kokoknya berderai-derai, tetapi ekornya masih bergelumang tahi!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Jun 2009 di ruangan 'pendapat' dengan tajuk sama)

Pendakwah bebas tabur ilmu Islam ke pelosok kampung


Oleh: Nuwa Aitawa

Berpegang kepada prinsip yang diwariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu ‘ballighu anni walau aayah’ (sampaikan imu Islam daripada ku walaupun satu ayat), sekumpulan pendakwah bebas di daerah Besut, Terengganu, membuktikan komitmen masing-masing menyempurnakan tanggungjawab terhadap agama ini.

Mereka ini bagaikan tidak mengenal erti penat dan lelah menjelajah ke pelosok kampung menyebarkan ilmu-ilmu Islam. Setiap mereka mempunyai jadual tersendiri yang padat. Malah ada antara mereka yang sanggup meninggalkan daerah sendiri memenuhi undangan dan komitmen memberikan kuliah di tempat lain.

Terdapat ribuan pendakwah bebas yang komited dengan kerja mereka di serata negara. Di daerah Besut sahaja jumlahnya mencapai ratusan orang. Hampir tidak ada masjid, surau, madrasah ataupun balaisaf yang tidak dikunjungi mana-mana di antara mereka.

Salah seorang di antara mereka ialah Ustaz Shamsul Bahri Daud. Pendakwah berusia 44 tahun ini adalah pesara guru agama Angkatan Tentera Malaysia. Selama perkhidmatannya selama 16 tahun dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), beliau pernah ditugaskan di Port Dickson, Bau (Sarawak), Johor Bahru dan Gong Kedak, Kelantan.

Ustaz Shamsul yang berasal dari Binjai, Kota Bharu, Kelantan mengambil keputusan berhijrah dan menetap di Kampung Paya Rawa, Besut selepas persaraannya pada 2003.

“Banyak sebab mendorong saya berpindah ke mari. Antaranya adalah peluang yang lebih luas untuk menyampaikan dakwah Islam di sini”, ujarnya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau mempunyai jadual tetap kuliah Maghrib di tiga surau. Pada Ahad malam Isnin, beliau mengajar di surau Benting Lintang. Kitab rujukannya ialah ‘Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ karangan bekas Mufti Sabah, Haji Said Ibrahim.

Pada Selasa malam Rabu pula, beliau mengajar kitab ‘Mustika Hadis’ di surau Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan. Manakala Rabu malam Khamis, kuliah Maghribnya di Masjid Iktikaf, Keluang, Besut. Beliau membicarakan ‘Hadis 40’ karangan Imam Nawawi.

Di samping itu, beliau turut aktif membimbing halaqat ilmu melibatkan beberapa kumpulan kecil aktivis Islam dalam masyarakat setempat.

“Tugas utama pendakwah ialah menyedarkan masyarakat Islam. Apatah lagi kita dapati keadaan masyarakat sekarang ini banyak terpesong dan jauh dari akidah Islam yang sebenarnya. Keadaan inilah yang mesti diperbetulkan,” tegasnya.

Dorongan itu turut dikongsi seorang lagi pendakwah bebas, Ustaz Mohd Zulkifli Kadir. Pemuda berusia 39 tahun ini adalah lepasan Pondok Pasir Tumboh, Kelantan dan Pondok Kubang Ikan, Narathiwat.

Ustaz Zulkifli berasal dari Kampung Bukit Puteri Dalam, Besut. Bagaimana pun, daripada 14 tempat yang menjadi medan kuliahnya sepanjang minggu (secara bergilir), hanya satu slot yang dapat diberikan kepada penduduk kampungnya sendiri. Beliau memberikan kuliah khusus untuk kaum wanita di masjid kampungnya pada setiap petang Jumaat.

Di sebelah malamnya, beliau ada jadual tetap berkuliah di Kampung Baru Air Tawar. Pada Sabtu malam Ahad, Ustaz Zulkifli mengajar di surau Alor Pisang, dekat pekan Kuala Besut.

“Ahad malam Isnin, ana kena gilir selang seminggu antara balaisaf  Kampung Tok Has (Besut) dengan Madrasah Bukit Awang, Kelantan’, ujarnya.

Menurutnya, beliau juga menggilirkan kehadirannya ke surau Gong Badang dan Masjid Seberang Kastam untuk kuliah Maghrib malam Selasa. Begitu juga malam Rabu, antara Surau Kampung Keluang dan balaisaf  Kampung Kubang Bemban.

Jadual ketatnya tidak membenarkan Ustaz Zulkifli berehat walaupun satu malam. Pada malam Khamis, gilirannya memberikan kuliah mingguan di Pondok Gong Lapan, Pasir Putih. Malam esoknya pula di madrasah Kampung Lapan Kotak, Besut.

Beban tugas seberat itu turut dipikul seorang lagi pendakwah muda, Ustaz Adam Said. Beliau mengasaskan Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI) bersebelahan rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Besut.

Beliau berada di surau Kampung Gelam Mas pada setiap Sabtu, di Masjid Kubang Ikan (Ahad malam Isnin) dan surau Kubang Ikan (Isnin).

“Selasa malam Rabu ana rezab, cadang untuk jemputan luar jadual”, ujarnya.

Jadual tetap untuknya bersambung malam esoknya di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, diikuti malam Jumaat di Madrasah Kampung Amer.

Pada malam Sabtu, kuliah diadakan di PTNI. Satu program tarbiyah khusus juga dikendalikannya di situ bermula jam 10 malam pada Ahad dan Isnin.

Ustaz Adam bagaimana pun ‘bercuti’ selama seminggu di setiap awaal bulan. Beliau bermusafir ke Felda Keratong, Pahang dan Batu Pahat, Johor. Beliau berkuliah di lebih sepuluh tempat di dua negeri berkenaan sepanjang berada di sana.

Berbeza dengan para pendakwah lain yang menjadikan kitab karangan ulama’ terkenal sebagai teks kuliah masing-masing, Ustaz Adam mengambil pendekatan menyusun kitab-kitabnya sendiri.

“Ana sekadar menyusun semula hujah-hujah para ulama’ muktabar ini. Ana rujuk kitab-kitab lama yang disebut ‘kitab kuning’ dan ana permudahkan bahasanya, nak bagi orang sekarang mudah faham”, ujarnya dengan rendah diri.

Setakat ini ustaz lepasan pengajian pondok di Pattani dan Mekah ini telah menyusun tidak kurang sepuluh buah kitab. Antaranya ialah Sirajul Qulub (1997), Permata Hati (1999), Minhajut Talibin (2005), Permata Hikmah (2007), Akhlak Muslim (2007) dan Babul Jihad (2007).

Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha para pendakwah ini. Dalam keadaan dunia yang makin tersasar dari ajaran Islam sebenar, kesungguhan mereka menyemarakkan ilmu-ilmu Islam ke segenap pelosok kampung adalah peluang yang memudahkan masyarakat menghayati agama ini.  Kita patut bersyukur dengan adanya mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Jun 2009 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)