Tuesday, April 30, 1991

Hidup, Pemikiran, Sikap dan Pendiriannya


SEBAGAI seorang ulama dan juga pemimpin yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan Islam, kehidupan seharian bagi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dipenuhi dengan aturcara yang agak padat. Jadual hariannya bermula daripada mengimamkan sembahyang Subuh di masjidnya di Kampung Pulau Melaka, dan berakhir kadang-kadang hingga jam 1:30 pagi. Ada yang disudahi dengan ceramah, dan ada kalanya disudahi dengan mesyuarat dan sebagainya.

Sebaik sahaja selesai sembahyang berjamaah Subuh, Tuan Guru akan menyampaikan kuliah Subuh di masjidnya itu. Kemudian beliau akan terus ke pejabat atau menemui masyarakat. “Selalunya pukul 7:30 pagi, sebaik sahaja selesai memberi kuliah Subuh di masjid, Ustaz dah keluar. Kadang-kadang tu dia tidak sempat bersarapan pagi (di rumah)”, cerita isterinya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melangsungkan perkahwinannya dengan Tuan Sabariah ketika usianya 34 tahun. Isterinya di ketika itu baru menjangkau umur 14 tahun. Hasil perkongsian hidup selama hampir 30 tahun itu, mereka dikurniakan sepuluh orang cahayamata.

Anak pertama mereka, Nik Aini berumur 27 tahun dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Anak kedua bernama Nik Omar, 25, masih menuntut di Mesir. Adiknya, Nik Adli yang berumur 23 tahun juga masih menuntut, di salah sebuah pusat pengajian tinggi di Pakistan.

Anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang keempat ialah Nik Abdul Rahim, 21, yang kini masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Sementara anaknya yang kelima, Nik Abduh, 20, sedang menuntut di India.

Anak yang seterusnya bernama Nik Adilah, berumur 19 tahun, sedang menunggu jawaban untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. Manakala adiknya, Nik Mohd Asri yang berumur 17 tahun, sedang belajar di Tingkatan Empat di Maahad Muhammady (Lelaki), di Kota Bahru. Begitu juga dua lagi adiknya, Nik Amani, 15, dan Nik Amalina, 13, yang masing-masing dalam Tingkatan Tiga dan Satu di Maahad Muhammady (Perempuan).

Sementara yang kesepuluh dan paling kecil bernama Nik Asma Salsabila. Dia kini berumur enam tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian pra-sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, yang memakan masa perjalanan kira-kira setengah jam dari bandar Kota Bharu, Tuan Guru bukan sahaja seorang ayah yang dipatuhi oleh anak-anaknya. Beliau juga pembimbing, guru, imam sembahyang dan tempat tumpuan kasih-sayang anak-anaknya.

Bagaimana pun disebabkan tugas beliau yang berat sebagai seorang ulama, sejak dari dahulu (sebelum daripada menjadi Menteri Besar) lagi Tuan Guru sudah lebih banyak menghabiskan masanya di luar rumah bersama masyarakat, di samping mengadakan kuliah atau ceramah di merata-rata tempat. Maka tugas mendidik anak-anak lebih banyak diserahkan kepada isterinya.

Kehidupan mereka sungguh sederhana. Sebuah rumah kayu binaan kampung sudah cukup selesa bagi mereka. Ruang tamu rumahnya pula “kosong” sahaja, tanpa dihiasi almari perhiasan atau set kerusi kusyen yang menjadi suatu kebiasaan di rumah mana-mana pembesar negara. Apa yang ada hanyalah sebuah almari yang dipenuhi dengan kitab-kitab agama.

Begitu juga dengan pakaian isteri dan anak-anaknya. Sebagaimana diceritakan oleh isterinya, Tuan Sabariah, bahawa Tuan Guru tidak membenarkan isterinya itu memakai gelang, rantai leher atau apa-apa perhiasan.

“Pada diri Kak Yah, cincin ini (pada jarinya) satu-satunya yang dibenarkan oleh Ustaz untuk dipakai. Begitu juga dengan anak-anak. Sejak dulu lagi, kasut anak-anaknya jarang sekali (tidak sekerap orang lain) dibelikan yang baru. Manakala untuk belanja sekolah anak-anak pula memadai dengan 30 sen sahaja sehari”, terang Tuan Sabariah.

“Kadang-kadang Ustaz marah juga bila hendak beli pakaian baru untuk anak-anak. Katanya, banyak baju-baju lama yang masih boleh dipakai”, sambung beliau lagi.

Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarganya itu dilakukan sendiri oleh Tuan Guru. Pakaiannya hampir tiada perbezaan langsung antara dahulu dengan sekarang (setelah menjadi MB). Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pulikat beserta lilitan serban di kepala sudah menjadi semacam pakaian rasmi beliau. Ke mana pun beliau pergi, majlis apa pun yang beliau hadiri, itulah pakaian yang Tuan Guru selalu pakai.

“Soal pakaian ni, teringat saya suatu cerita lucu sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen dulu. Satu kali saya ada pergi berceramah ke Perak, bersama seorang Ketua Kampung. Dia tu pakai kemas dengan bush-jacket dan bawa beg James Bond pula. Sedangkan saya macam inilah (berkain pulikat dan berserban). Seelok kereta saya tiba di tempat majlis, orang ramai berpusu pergi bersalam dengan kawan saya tadi. Mereka sangka itulah Ahli Parlimen PAS. Rupa-rupanya Ahli Parlimen yang sebenarnya berkain pulikat, baju Melayu dan berserban”, cerita Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam salah satu ceramahnya di Besut, dua tahun lalu.

Peristiwa tersebut, menurut Tuan Guru lagi, mengingatkan beliau kepada peristiwa yang berlaku ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar r.a., ketika mereka berdua disambut oleh masyarakat Madinah dalam peristiwa Hijratur Rasul. Di mana melihatkan kesegakan pakaian Saidina Abu Bakar yang melebihi pakaian Rasulullah SAW itu, masyarakat Madinah telah berpusu-pusu untuk bersalam dengan Saidina Abu Bakar, menyangkakan itulah Rasulullah SAW yang mereka tnggu-tunggu.

Sebagai seorang yang menjadi pemimpin kepada dua buah organisasi yang berbeza, Kerajaan Negeri Kelantan dan parti politik PAS, Tuan Guru juga turut membezakan tugas-tugas dan undangan-undangan yang diterimanya. Dengan itu, beliau tidak akan menyalahgunakan harta rakyat Kelantan dan kerajaan negeri untuk kepentingan PAS atau dirinya sendiri.

Menjadi kebiasaan kepada sesiapa jua yang berusaha menegakkan kebenaran, akan menghadapi bermacam-macam halangan, tohmahan dan fitnah-fitnah. Begitu juga dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Terlalu banyak tidak tersenarai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada beliau.

Sejak beliau mula memberikan kuliah-kuliah agama yang menyentuh aqidah masyarakat dan adat resam yang karut-marut, seterusnya memimpin Dewan Ulama PAS sehinggalah kini menjadi menteri besar yang tabah melaksanakan peraturan Islam, satu persatu tohmahan dan fitnah tidak henti-henti datang kepadanya.

Sikap Tuan Guru terhadap segala karenah dan fitnah sebegitu adalah jelas. Sekiranya beliau mendengar orang mengata-ngata atau memburuk-burukkan dirinya, beliau akan segera membuang perkara itu jauh dari fikirannya. “Jangan difikir-fikirkan sangat. Akhirnya, masalah itu berlalu dengan begitu sahaja”, tegas beliau tentang sikapnya.

Sememangnya trend/aliran yang dibawa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam pengajarannya amat berbeza dengan cara pengajaran bawaan tok-tok guru lain yang selama ini wujud di Kelantan. Kelantangan beliau dalam menyuarakan kebenaran ajaran Islam benar-benar mengejutkan masyarakat dari buaian pengaruh adat resam yang karut-marut.
                                                                                                                       
Semenjak beliau mula mengambilalih tugas memberikan kuliah agama dari ayahnya, beliau secara tegas mengecam dan mengutuk amalan-amalan khurafat yang pada ketika itu bermaharajalela dalam masyarakat. Budaya-budaya khurafat seperti, misalnya, Semah Kuala – upacara menyembelih kerbau balar bagi dihias indah dan dihanyutkan ke laut sebagai hadiah kepada “Penunggu Laut” atas kemurahan hatinya mengurniakan rezeki dari laut (ikan dan sebagainya) kepada masyarakat – sememangnya menjadi kepercayaan dan amalan tradisi masyarakat Pantai Timur, khususnya di negeri Kelantan danTerengganu.

“Oleh kerana kerja ini (Semah Kuala) dilakukan sendiri oleh Tok Imam dan Tok Lebai, maka apabila kita kata ia (upacara Semah Kuala itu) tidak betul dan ia merupakan suatu perbuatan syirik keada Allah, datanglah bertaku-talu salah anggapan dan cemuhan dari masyarakat terhadap pengajaran kita”, terang Tuan Guru dalam salah satu kuliah beliau.

Begitu juga dalam hal mengadakan jamuan atau kenduri arwah besar-besaran. Menjadi tradisi masyarakat untuk menepati adat resam menyediakan kuih-muih tertentu untuk bilangan hari kematian tertentu. Misalnya, kuih serabai untuk jamuan hari ketiga; hari ketujuh disediakan tepung ‘karas’, dan hari ke 40 pula disediakan tepung apam. Sehinggakan keluarga atau waris si mati sanggup bergolok-bergadai bagi memenuhi tuntutan mengadakan jamuan sedemikian.

Di kalangan Tok-tok Guru dan Tok Lebai yang begitu kuat berpegang kepada adat resam dan tradisi masyarakat, pengajaran dan teguran dari seorang alim yang baru pulang dari pengajian sememangnya dirasakan amat berat untuk diterima.

Apatah lagi perkara yang ditegur itu benar-benar mencabar kewibawaan mereka sebagai guru dan penganjur kepada upacara-upacara “keagamaan” sedemikian rupa. Sedangkan perkara itu sudah menjadi amalan tradisi mereka puluhan tahun lamanya. Dan di majlis-majlis atau upacara sebegitulah Tok-tok Guru dan Tok Lebai menjadi ‘orang penting’.

Ekoran dari kelantangan Tuan Guru menegur dan memperbetulkan masyarakat dalam hal adat resam yang karut-marut itu, maka bermacam-macam label dilontarkan kepada Tuan Guru. Beliau pernah dilabelkan sebagai pembawa Ajaran Wahabi (ajaran yang menjadi anutan rasmi kerajaan Arab Saudi), penganut fahaman Kaum Muda dan sebagainya, semata-mata kerana pengajaran Islam yang dibawanya itu bercanggah dengan apa yang pada waktu itu menjadi traidisi masyarakat.
                                                
“Tapi alhamdulillah, disebabkan ada di kalangan para alim ulama yang tekun dan buat tebal muka (tidak mengendahkan celaan dan cemuhan orang yang mencela), maka lama kelamaan penyakit masyarakat itu kita dapati hari ini sudah tidak lagi menjadi amalan tradisi. Orang sudah meninggalkan kerja Semah Kuala dan tradisi karut-marut itu”, ujar Tuan Guru.

Belia berkeyakinan bahawa tiada penyakit yang tidak boleh diubati, termasuk apa yang beliau sendiri istilahkan sebagai “penyakit masyarakat”. Termasuk di dalam senarai penyakit masyarakat yang selalu beliau sebutkan ialah upacara Semah Kuala, Menghantar Sangkak (hidangan) ke tepi hutan dan sebagainya.

Menjadi pegangan perjuangan beliau juga bahawa untuk merubah sesuatu yang sudah terlembaga di dalam masyarakat memerlukan masa yang panjang.

“Sebagaimana menanam kelapa tidak sama dengan menanam ‘ubi setelor’ (keledek); ubi setelor kita cangkul lebih kurang, tiga-empat puluh hari kita boleh dapat hasil. Tetapi untuk mendapatkan hasil kelapa, kita terpaksa menunggu bertahun-tahun baharulah dia berbuah. Cumanya, apabila ia (kelapa) mulai berbuah, maka hasilnya akan diperolehi berpanjangan berpuluh-puluh tahun lamanya. Padanlah dengan penungguan sekian lama itu”, begitulah perumpamaan mudah yang diberikan oleh Tuan Guru sebagai bandingan kepada sesuatu kerja memperbetulkan aqidah dan kepercayaan masyarakat. Ia memakan masa untuk dikikis buang daripada masyarakat, sebagaimana ia juga mengambil masa yang lama sebelum itu untuk terlembaga dalam masyarakat.

Di antara banyak pihak yang kelihatan sering menimbulkan ketegangan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah pihak institusi pondok di negeri Kelantan. Bermacam-macam cerita dapat didengar, daripada berbagai-bagai sumber, tentang pertelingkahan pendapat antara Tuan Guru dengan Tok-tok Guru pondok di Kelantan. Antaranya, dalam persoalan yang terkenal beberapa tahun lalu sebagai ‘Isu Tupai dan Biawak’. Sehinggakan ada pihak pondok tertentu mengeluarkan risalah-risalah mengutuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara totok dan hentam keromo.

Bagaimana pun, menurut satu cerita lagi, persoalan sebenar di sebalik pertelingkahan antara Tuan Guru dengan pihak pondok timbul ekoran pendirian Tuan Guru yang mengecam amalan mengambil upah membaca Yasin atau Sembahyang Mayat. Kebetulan pula pihak yang sering dijemput mengadakan kedua-dua majlis tersebut ialah para pelajar pondok. Melalui majlis-majlis tersebutlah mereka selalunya menerima sedikit sumber kewangan.

Apa pun cerita tentang pertelingkahan ‘Nik Aziz-Pondok’ itu, yang nyata ialah Tuan Guru sendiri sentiasa bersikap positif terhadap institusi pondok.

“Saya sendiri berasal dari sistem pendidikan pondok. Dan saya tahu di segi pembentukan kerohanian seseorang itu sistem pendidikan pondok adalah amat berkesan sekali. Saya tidak nampak mengapa sistem pendidikan pondok tidak harus diperkembangkan. Saya sendiri akan mengambil perhatian serius terhadap perkembangan sistem pendidikan pondok ini”, terang Tuan Guru memperjelaskan sikap dan visinya terhadap institusi pendidikan tradisional itu.

Lebih memperjelaskan lagi keterbukaan dan sayangnya beliau kepada institusi pondok di Kelantan ialah apabila beliau melantik Tuan Guru Atikullah, Mudir Pondok Bunut Payong, Kota Bharu sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan. Bahkan, difahamkan bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri turut mencadangkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, agar menjadikan salah satu acara dalam Pesta Puja Umur Baginda nanti ialah acara melawat pondok-pondok, terutamanya Pondok Pasir Tumboh, yang merupakan pondok yang terbesar di negeri Kelantan sekarang.

Satu sikap yang jelas beliau tunjukkan dalam menangani berbagai-bagai karenah politik ialah sikap tidak suka mencari musuh. Tuan Guru lebih memilih untuk berdiam diri dalam banyak hal. Beliau hanya akan berhujah atau memberikan komentar jika beliau rasakan perlu, terutama dalam memperjelaskan sikapnya.

Dalam krisis yang berlaku antara bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda dengan PAS dalam tahun 1982/83 dahulu misalnya, Tuan Guru yang pada waktu itu sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan juga Pesuruhjaya PAS Kelantan dikatakan lebih banyak berdiam diri. Hanya apabila Dato’ Asri telah bertindak agak “keterlaluan”, barulah suara beliau dapat didengar tentang apa yang berlaku itu.

Begitu juga sewaktu menghadapi kekecohan ‘Kumpulan Islah PAS’ atau yang disebutkan sebagai ‘PAS 51’ tahun lalu. Ternyata Tuan Guru adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang paling berlembut dengan mereka itu. Sehingga agak menghairankan banyak pihak, di atas kapasitinya sebagai pemimpin tertinggi PAS di peringkat Pusat dan negeri Kelantan, Tuan Guru tidak pula menjadi sasaran utama kecaman dan kritikan ahli-ahli Kumpulan Islah itu.

Walau pun ada juga kenyataan-kenyataan daripada kumpulan tersebut yang memburuk-burukkan Tuan Guru, tetapi pada banyak masa yang lain Tuan Guru dianggap sebagai tempat rujukan dan ‘pengantara’ bagi kumpulan itu dengan ‘sasaran-sasaran utama’ mereka yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin PAS yang lain.

Di pihak Tuan Guru pula, tindakan segelintir ahli PAS itu dianggapnya tidak lebih daripada suatu latahan ekoran perkembangan politik negara secara mendadak. Suatu perumpamaan indah yang diberikan oleh Tuan Guru dalam menggambarkan suasana ketika itu ialah seperti berikut:

“PAS ini ibarat sebuah tasik yang tenang. Manakala kehadiran (Parti Semangat) 46 adalah ibarat humbanan seketul batu besar ke dalam tasik itu. Kehadiran secara mendadak sebegitu tentu sekali mengejutkan hidupan dalam tasik. Tentu akan ada ikan yang pening. Tentulah air tasik akan melimpah ke tepi dan akan ada anak-anak ikan yang mendiami tasik itu turut bersama air limpah ke tepi. Tetapi gelora tasik itu tidak akan lama. Ia akan kembali tenang dan air limpah itu akan tetap kembali semula ke dalam tasik. Jika anak-anak ikan itu tidak mahu lemas di darat dan mahu terus hidup, perlulah dia mengikuti air limpah itu kembali surut ke dalam tasik”.

Begitulah perumpamaan yang agak tepat yang dikemukakan oleh Tuan Guru yang menggambarkan suasana politik dalaman PAS di awal pembentukan Angkatan Perpaduan Ummah dahulu.

Perumpamaan itu jelas sekali mengandungi ajakan dan juga nasihat kepada “anak-anak ikan” agar jangan terlalu leka bermain di tepi air limpah. Untuk keselamatan dan kebaikan, mereka hendaklah kembali semula ke dalam tasik.

Tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa disebabkan keperibadian dan akhlak yang telah ditunjukkan oleh Tuan Guru itulah, yang telah banyak membawa kejayaan kepada PAS, khususnya di negeri Kelantan. Masyarakat semakin tertarik untuk mengenali dan mendampingi PAS apabila semakin terserlah kebaikan Islam, melalui apa yang diamal dan dicernakan dalam kehidupan para pemimpin part itu.

Mungkin juga, melihatkan kehidupan, pemikiran dan akhlak seorang ulama inilah, rakyat Kelantan mendapat inspirasi untuk bangkit melakukan suatu ‘revolusi’ menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 21 Oktober lalu.

Allah jua Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

(Artikel ini adalah bab ketiga daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

Penyampaian Yang Mudah Difahami


SEPERKARA yang menjadi kelaziman Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tatkala beliau memberikan kuliah, ceramah atau pun dialog ialah menggunakan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan tepat. Seringkali Tuan Guru mengumpamakan sesuatu perkara atau hujah yang beliau kemukakan itu dengan suasana atau perkara yang diketahui oleh para pendengar.

Dalam salah satu kuliahnya yang mentafsir Surah Al-Fatihah, seorang hadirin bertanyakan: “Kenapa Allah Ta’ala menggunakan kalimah ‘KAMI’ bagi menerangkan ayat-ayat “hanya Engkau kami sembah dan hanya pada Engkau kami meminta pertolongan”. Jika kita berseorangan sahaja, tidakkah lebih tepat kita baca “hanya Engkau aku sembah dan hanya pada Engkau aku minta pertolongan”?”

Pertanyaan tersebut dijawab oleh Tuan Guru dengan pertamanya membaiki cara bertanya. Menurut beliau, tidak elok disoalkan “kenapa Allah buat itu dan ini”. Sebaliknya, cara yang baik untuk menyoal ialah “apa hikmahnya?”

Beliau terus mengumpamakan apa yang dilakukan oleh manusia. Katanya: “Banyak benda yang dibuat oleh manusia sendiri kita tidak tahu “kenapa” ia dibuat. Misalnya barang banyak harga 25 sen. Kenapa tidak ada duit sekeping bernilai 25 sen? Jadi kalau kerja yang dilakukan oleh manusia sendiri pun kita tidak tahu “kenapa”, maka apakah kuasa atau taraf kita untuk menyoal kerja-kerja Tuhan?”

Lalu bagi menghuraikan hikmat-hikmat Allah Ta’ala menggunakan kalimah “kami” dan tidak kalimah “aku” dalam ayat-ayat tersebut, Tuan Guru sekali lagi membawa perumpamaan yang menerangkan kelebihan-kelebihan apabila dilakukan sesuatu perkara itu secara berjamaah.

Katanya: “Sengaja Allah Ta’ala gunakan perkataan “kami” dan tidak “aku” bagi menunjukkan betapa Dia amat menggalakkan manusia Muslim itu berjamaah. Apabila berjamaah sembahyang misalnya, maka kelebihannya amatlah banyak. Jika sembahyang kita ada kecacatan, disebabkan kita lakukan berjamaah, maka sembahyang orang lain dapat menampung.

“Ibaratnya kita jual durian ‘pukul locong’. Kita jual sebakul dan tidak sebiji-sebiji. Tentu dalam sebakul itu ada durian yang baik dan ada juga durian yang berlubang, atau yang tidak berapa elok isinya. Tetapi disebabkan kita jual ‘pukul locong’, maka durian yang kurang baik dapat menumpang tuah durian yang baik, dan turut sama-sama dibeli orang.”

Begitu juga dalam menghuraikan keadaan seorang yang mendapat kasih sayang Allah SWT. Di mana dalam satu Hadith Qudsi ada diterangkan betapa seseorang yang telah mendapat kasih sayang Allah itu akan mendapat layanan istimewa dari-Nya. Tatkala itu, Allah Ta’ala menjadi telinganya untuk dia mendengar, matanya untuk dia melihat dan tangannya untuk dia melakukan kerja-kerja.

Bagi menerangkan keadaan ini, Tuan Guru telah mengibaratkannya dengan suatu contoh yang terdapat dalam masyarakat setempat, iaitu keadaan seorang cucu yang dikasihi oleh atoknya. “Nak makan, tangan tak payah bergerak, atok yang suapkan. Nak berjalan, kaki tak payah melangkah, atok yang dukung dan sebagainya”.

Penggunaan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan mudah sebegitu tidak terhad kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kuliah atau ceramahnya sahaja. Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga diketahui amat tepat dalam memberikan perumpamaan terhadap suasana politik semasa.

Misalnya, beliau pernah mengibaratkan suasana politik negara sejurus selepas berlakunya peristiwa tangkapan borong ISA, atau Operasi Lalang, Oktober 1987 lalu sebagai “Zaman Lampu Merah” bagi pergerakan jamaah Islam.

Oleh itu, katanya, pergerakan ahli-ahli serta pimpinan jamaah Islam (PAS) terpaksa berhenti (di hadapan lampu merah), tetapi tidak perlu ‘mematikan enjin’ mereka. Dengan kiasan bahawa lampu merah tidak akan kekal merah selama-lamanya. Lambat-laun lampu merah akan bertukar menjadi hijau dan pergerakan jamaah Islam akan diteruskan semula.

Setelah berlaku Peristiwa Memali bulan November 1985, bermacam-macam fitnah dilontarkan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional kepada Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood. Antaranya, dikatakan Ustaz Ibrahim Mahmood itu pengembang ajaran salah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menghuraikan fitnah tersebut menyebutkan: “Bagaimana Kerajaan nak menuduh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya mengembang ajaran salah, sedangkan Kerajaan sendiri terang-terang menganut fahaman yang salah; fahaman kebangsaan, faham pragmatisme terang-terang bertentangan dengan Islam”.

Beliau lalu menyimpulkan hujah beliau dengan suatu perumpamaan ringkas, sebagai sindiran kepada Kerajaan Barisan Nasional, dengan katanya: “Kita nak jual ubat kurap kepada orang, kita sendiri bertepek (bertompok-tompok kurap di badan), macamana?”

Sebenarnya, penggunaan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan mudah sebegitu bukanlah suatu yang baru dalam pengajaran Islam. Kaedah ini pernah digunakan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, Allah Ta’ala sendiri banyak menggunakan perumpamaan dalam banyak ayat-Nya di dalam al-Quran. Misalnya, bagi golongan yang tidak mengerti dan tidak makan dinasihati diumpamakan sebagai seekor anjing. Kita panggil dia menjelir, dan kalau kita halau pun dia menjelir juga.

Misal lagi, seorang yang hanya tahu membaca kitab tetapi tidak mengerti isi kandungannya adalah ibarat seekor keldai yang hanya tahu memikul kitab itu ke hulu dan ke hilir. Begitu juga misalan yang Allah Ta’ala berikan kepada amalan infaq fi sabilillah yang dilakukan oleh manusia muslim, diibaratkan menanam sebiji benih yang tumbuh darinya sepohon pokok. Dari pokok itu kemudiannya tumbuh tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula menumbuhkan seratus biji. Akhirnya benih yang sebiji itu menghasilkan bijian yang tujuh ratus jumlahnya.

Begitulah Allah Ta’ala menganugerahkan keistimewaan-keistimewaan kepada hamba-Nya yang bekerja untuk-Nya. Ternyata kaedah yang digunakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertepatan dengan kaedah yang ditunjuk-ajarkan oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya SAW.

Manusia itu akan lebih cepat menerima sesuatu yang disampaikan sekiranya mereka dapat membandingkannya dengan sesuatu yang sudah diketahuinya. Allah SWT Maha Mengetahui hakikat itu. Begitu juga, Rasulullah SAW diajarkan oleh Allah Ta’ala akan ilmu mengenai hakikat itu. Dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulama yang mewarisi tugas-tugas anbiya’ dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat, tentu sekali perlu mengetahui hakikat bahawa Islam itu perlu disampaikan dalam bentuk yang semudah-mudahnya.

(Artikel ini adalah bab keempat daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

Visi Pemerintahan Seorang Ulama


“DAN kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, pasti Kami akan membukakan kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.”
(Maksud Al-Quran Surah Al-A’raf: 96)

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan Alhamdulillah, satu rakaman kesyukuran yang tidak terbatas, kepada Allah Azza wa Jalla, Tuhan Yang Maha Penyayang. Belanjawan kali ini memberikan erti yang besar kerana ianya mencerminkan cita-cita dan harapan kerajaan Perpaduan Ummah yang baru dibentuk, dengan pendekatan baru di atas hasrat untuk membawa negeri Kelantan dan rakyatnya ke satu tahap pembangunan ekonomi dan pembangunan manusia yang seimbang.

Dengan belanjawan ini saya berharap negeri Kelantan akan “Membangun Bersama Islam” dalam semua sudut dan membawa rahmat serta kesejahteraan kepada rakyatnya, insya Allah. Satu belanjawan yang bukan sahaja mementingkan pertumbuhan (growth) tetapi juga pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan peningkatan spiritual rakyat yang akan menggerakkan pembangunan material yang seimbang dan bersepadu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terimakasih kepada rakyat Kelantan seluruhnya yang telah bekerjasama dengan begitu baik bagi membolehkan pilihan raya umum baru-baru ini berjalan dalam keadaan aman damai. Penghargaan yang tinggi saya ucapkan kepada semua pihak, terutama para anggota keselamatan sepanjang pilihan raya itu.

Mewakili anggota-anggota kerajaan, saya ingin mengucapkan terimakasih juga kepada para pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada kami semua untuk duduk di sini bagi memikul amanah kepimpinan bagi negeri Kelantan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sehubungan dengan itu, suka saya mengingatkan kita semua bahawa mengikut ajaran Islam yang kita anuti, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bukanlah satu tempat untuk mengadakan undang-undang dan peraturan baru yang kononnya belum wujud. Kerana sumber undang-undang dan peraturan untuk manusia telah pun ada, diadakan oleh Allah yang telah menciptakan manusia itu sendiri.

Dewan ini tidak lebih dari tempat memproses pemikiran Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk tujuan mencari jalan menyediakan tatacakap pelaksanaan kepada undang-undang yang telah sedia ada itu.

Ibarat sebuah kilang kayu atau kilang besi. Kedua-duanya didirikan bukan untuk mencipta kayu atau besi. Kayu atau besi telah pun ada dan disediakan oleh Allah. Kedua-dua kilang ini didirikan hanya untuk memproses kayu atau besi mentah yang telah sedia ada itu, sama ada untuk dijadikan perabot atau alatan besi yang berbagai-bagai.

Begitulah halnya dengan Dewan-Dewan Undangan yang berselerak di seluruh dunia ini. Sepatutnya Dewan-Dewan ini dibangunkan bukannya untuk mengadakan undang-undang yang belum ada sama sekali. Undang-undang dan prinsip pokoknya telah ada, sama tarikhnya dengan tarikh adanya manusia. Cuma bagaimana cara dan bentuk pelaksanaannya yang perlu dimesyuarat dan dibincangkan.

Oleh itu maka sifat mulia yang biasanya disandarkan kepada Dewan-Dewan seperti ini dengan disebut sebagai “Dewan Yang Mulia”, tidaklah cukup kemuliaan Dewan ini kalau dari awal-awal lagi kita pergunakan Dewan seperti ini untuk mengadakan perkara yang telah sedia ada, seperti yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis (diadakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri yang turut mengadakan manusia serta alam seluruhnya).

Marilah kita sama-sama berusaha menjadikan Dewan kita ini Dewan yang benar-benar mulia, mulia di sisi Allah dan di sisi manusia, dengan menjunjung semua titah perintah Allah pada setiap masa mesyuarat kita dijalankan. Di mana dengan bakti seperti inilah dapat kita cagarkan pada hari yang disifatkan oleh Allah dalam Surah Asy-Syu’ara ayat 8:“Harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan lagi”, untuk mendapat rahmat dan kasihan belas Allah Azza wa Jalla.

Inilah titik perbezaan pokok di antara pemikiran Islam dan pemikiran sekular. Pemikiran Islam mengajak manusia menerima al-Quran dan al-Hadis sebagai undang-undang yang telah dicipta khusus untuk kita. Kita hanya sekadar berfikir untuk melaksanakan apa yang telah disediakan.

Manakala pemikiran sekular meletakkan manusia setaraf dengan tuhan yang berkelayakan untuk ikut membuat undang-undang bagi dipakai oleh manusia walau pun undang-undang langit telah pun sedia ada dan diakui bahawa manusia tidak dijadikan oleh diri mereka sendiri.

Berdasarkan hakikat ini saya telah memperkenalkan beberapa pembaharuan, baik dalam dasar-dasar yang telah diumumkan mahu pun perkara-perkara yang dibentangkan di dalam belanjawan ini.

Antaranya ialah, kerajaan negeri telah mengambil keputusan tidak akan mengeluar atau memperbaharui lesen permit untuk sebarang bentuk judi di negeri ini. Pengharaman judi ini hendaklah tidak dilihat dari sudut agama semata-mata. Ia hendaklah juga dipandang dari sudut ekonomi dan sosial.

Kegiatan judi adalah satu pembocoran kepada aliran modal, satu penyelewengan penggunaan sumber-sumber dan kegiatan kaunter produktif yang sia-sia.

Sebelum nasib pembeli tiket judi ini berubah, nasib para pengusaha judi ini lebih terdahulu dijamin. Ketagihan judi akan menyebabkan seseorang mungkin menghabiskan pendapatan harian yang diperolehinya dengan mengharapkan keuntungan berganda, dengan melupakan anak dan isteri yang mungkin sedang kelaparan di rumah.

Bayangkan jutaan ringgit setahun mungkin mengalir dari wang rakyat negeri ini, tanpa membuahkan apa-apa nilai hasil.

Langkah ini hendaknya menjadi satu isyarat bahawa kerajaan negeri berazam melahirkan rakyat yang berusaha mengubah nasib mereka melalui usaha dan kerja keras, melalui kegiatan produktif dan bukannya pengharapan kepada nasib yang tidak menentu.

Ia juga sebagai langkah awal untuk menunjukkan adanya batasan halal dan haram dalam semua urusan hidup, termasuk dalam urusan belanjawan dan kewangan negeri.

Kerajaan negeri juga telah mengambil keputusan untuk memindahkan akaunnya yang disimpan di pelbagai bank sebelum ini secara berperingkat-peringkat kepada Bank Islam. Ini dimulakan dengan memindahkan Akaun Simpanan Tetap ke Bank Islam secara berperingkat-peringkat bermula dari 1 Januari 1991 nanti. Bagaimana pun, Akaun Simpanan Semasa akan diteruskan di bank-bank yang sedia ada untuk masa ini.

Begitu juga, kerajaan akan melancarkan satu tabung baru tidak lama lagi yang dinamakan Tabung Amanah Serambi Mekah yang akan berfungsi menerima semua jenis sumbangan kewangan dari semua pihak.

Penubuhan tabung ini bukan bermakna kewangan Kerajaan negeri terlalu dhaif. Tujuan penubuhan tabung ini adalah sebagai memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang sangat tinggi keinginan mereka untuk sama-sama menyumbangkan bakti bagi memajukan negeri ini ekoran hasrat kerajaan untuk menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran.

Ini adalah selaras dengan konsep penggemblengan tenaga dan sumbangan semua pihak bagi mendaulatkan kebaikan seperti yang diajar oleh Islam. Di mana, sifat suka berlumba-lumba ke arah kebajikan – fastabikul khairat – sentiasa kukuh tersemai di hati orang-orang yang beriman.

Ini sudah tentu menjadi satu fenomena baru yang perlu dikembangkan dan langkah ini adalah untuk menyahut seruan masyarakat yang sedang tertunggu-tunggu untuk ikut menanam saham dalam perubahan yang kita terokai sekarang.

Kewangan tabung ini boleh digunakan termasuk untuk mendirikan bangunan sekolah-sekolah agama, bantuan kepada rakyat termiskin, pembangunan masyarakat luar bandar, program jaya diri para belia dan lain-lain.

Oleh itu, sukacita saya menyeru seluruh lapisan masyarakat di mana sahaja mereka berada supaya memberikan sumbangan bakti kepada tabung ini dalam bentuk derma, derma kekal, hadiah, sedekah, zakat dan lain-lainnya. Kerajaan negeri juga akan berunding dengan Kerajaan Pusat supaya sumbangan yang diberikan kepada tabung ini dapat dikecualikan dari cukai pendapatan.

Sumbangan interest bank juga diterima dan akan diasingkan khusus untuk digunakan bagi membina jalan-jalan kampung, jambatan dan lain-lain infrastruktur yang melibatkan kepentingan umum.

Dengan Anggaran Perbelanjaan, Belanjawan 1991 mengalami kekurangan sebanyak 47,719,550 atau 5.99%. Tidak boleh dinafikan bahawa kekurangan ini tetap menggambarkan keadaan kewangan yang kurang menggalakkan. Tetapi memandangkan keadaan ekonomi negara yang bertambah baik pada keseluruhannya, Kerajaan yakin keadaan kewangan bagi tahun 1991 akan lebih baik daripada apa yang dianggarkan.

Di samping itu, saya berseru kepada semua pegawai-pegawai agar mengadakan suatu perancangan yang rapi supaya pengurusan kewangan di jabatan masing-masing dapat dijalankan dengan sempurna dan berkesan. Sifat jimat cermat haruslah diamalkan sepanjang masa supaya peruntukan-peruntukan tambahan tidak diperlukan. Segala peraturan hendaklah diikuti supaya pengurusan kewangan sentiasa teratur.

Punca hasil negeri sendiri ialah sebanyak $62,176,550 atau 48.3%. Punca-punca yang terbesar ialah hasil dari perhutanan, tanah dan bekalan air. Punca dan jenis hasil-hasil lain adalah terhad kerana Kerajaan Negeri tidak seperti Kerajaan Persekutuan, tidak dibenarkan mengutip mana-mana hasil seperti cukai langsung dan tidak langsung, melainkan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu hutan adalah punca utama pendapatan dan negeri Kelantan bernasib baik kerana mempunyai kawasan hutan yang luas iaitu lebih kurang 900,000 hektar atau 60.4% daripada keluasan negeri Kelantan.

Sebanyak 634,000 hektar dijadikan Hutan Simpanan Kekal untuk kegunaan jangkamasa panjang dan mengawal sistem ekologi. Bagi menentukan hasil hutan berpanjangan dan dapat ditingkatkan serta mengelakkan penyelewengan-penyelewengan, pengeluaran kayu akan dikawal dengan lebih rapi dan kemas lagi.

Oleh kerana hutan adalah satu sumber semulajadi yang boleh diperbaharui, maka Jabatan Perhutanan Negeri sekarang sedang mengurus dan membangun semula hutan-hutan tersebut melalui berbagai projek, termasuklah projek hutan kompensatori.

Di samping itu satu akta telah diterima pakai oleh Kerajaan negeri supaya langah-langkah tertentu diambil bagi mengekalkan sumber perhutanan terutama sekali melalui projek penanaman semula. Usaha-usaha ini adalah semata-mata bertujuan untuk mengekalkan sumber perhutanan agar terus berkekalan bagi kegunaan generasi akan datang.

Punca hasil yang kedua besar ialah yang berkaitan dengan tanah. Bagi tahun 1991 adalah dijangka pungutan daripada pelbagai kutipan tanah akan bertambah dan dianggarkan sebanyak $13.7 juta akan dapat dikutip. Ini adalah kerana semua Pejabat Tanah sedang meningkatkan tindakan-tindakan memungut hasil tanah bersekali dengan tunggakan-tunggakan.

Usaha ini akan lebih berkesan pada tahun 1991 kerana semua Pejabat-Pejabat Tanah telah dilengkapi dengan komputer-komputer yang boleh menyimpan data-data yang diperlukan bagi mengesan tunggakan-tunggakan serta boleh mempercepatkan proses pungutan berbagai hasil berkaitan dengan tanah.

Selain daripada perhutanan dan tanah, Kerajaan Negeri juga mendapat hasil daripada bekalan air yang diselengarakan oleh Jabatan Kerjaraya. Bagi tahun 1991, pendapatan dari sumber air dijangka bertambah kerana pertambahan bilangan pengguna kepada 90,000 orang berikutan siapnya loji-loji bekalan air yang baru di seluruh negeri.

Di samping itu, Bahagian Bekalan Air di JKR sekarang ini sedang dilengkapi dengan komputer mini yang akan mempercepatkan proses bilangan dan akan merekod tunggakan dengan lebih kemaskini. Dengan ini diharapkan prestasi pungutan hasil akan bertambah baik.

Oleh kerana bekalan air merupakan keperluan asas kepada rakyat, maka kerajaan negeri terus juga mengadakan kemudahan itu sebaik mungkin tanpa mengira untung rugi, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, menyedari bahawa prestasi perkhidmatan bekalan air perlu dipertingkatkan dan kecuaian kerajaan terdahulu mengatasi masalah ini dengan segera sehingga mengakibatkan ...

..... taraf organisasi Bahagian Bekalan Air kepada sebuah jabatan penuh. Pemenuhan keperluan kakitangan tambahan bagi mempastikan Jabatan Bekalan Air yang baru ini benar-benar berkesan sedang diselenggarakan dengan bantuan pihak MAMPU.
                                                    
Dalam usaha mencari punca hasil yang baru, kerajaan baru-baru ini telah menubuhkan satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri untuk mengkaji punca-punca hasil, sama ada yang sedia ada atau yang baru, dan akan membuat perakuan kepada kerajaan negeri supaya tindakan-tindakan sewajarnya diambil bagi meningkat dan menambahkan hasil negeri.

Sukacita saya maklumkan bahawa apabila Barisan Nasional mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1978, hutang kerajaan negeri hanya berjumlah sebanyak $74,484 juta. Tetapi apabila kita mengambil alih pentadbiran baru-baru ini, hutang negeri Kelantan sudah meningkat sebanyak 1,027% menjadi $760,110 juta.

Peruntukan bagi Majlis Agama Islam telah ditambah dan peruntukan bagi lain-lain badan dan agensi yang berkaitan dengan pembangunan Islam juga ditambah, selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan pembangunan insan sebagai titik tolak pembangunan material.

Sebanyak $4,307,000 telah diperuntukkan bagi tahun 1991 untuk Kerajaan Tempatan. Peruntukan sebegini besar diadakan ialah untuk membantu Penguasa-Penguasa Tempatan supaya dapat memberi perkhidmatan yang sempurna kepada penduduk-penduduk di dalam kawasannya.

Sebanyak $6,193,010 dibawa balik semula kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan. Ini meliputi peruntukan bagi membayar elaun kepada imam, kakitangan masjid, mubaligh, guru pondok, guru al-Quran, kelas fardhu ain dan lain-lain, termasuklah juga peruntukan bagi aktiviti-aktiviti keagamaan seperti Ujian Tilawah al-Quran, kursus-kursus, tahfiz, penulisan dan penyelidikan dan lain-lain. Tindakan ini diambil kerana sejak dua tahun dahulu peruntukan-peruntukan di atas telah dipindah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan kerana sikap curiga kerajaan pada waktu itu.

Yang terbesar sekali ialah sumbangan kepada Yayasan Islam Kelantan, daripada $12.0 juta pada tahun 1990 kepada $15.0 juta bagi tahun 1991. Pada masa ini Yayasan Islam Kelantan sedang mentadbir 90 buah sekolah agama, iaitu 16 buah sekolah yang mendapat bantuan penuh dan 74 buah sekolah yang dibantu. Sekolah bantuan penuh mempunyai 712 orang guru dan 15,725 orang murid, manakala sekolah yang dibantu pula mempunyai 953 orang guru dan 18,996 orang murid.

Peruntukan yang besar kepada Yayasan Islam Kelantan ini adalah bersesuaian dengan janji dalam pilihan raya baru-baru ini untuk membuka peluang pengajian agama yang lebih banyak, termasuk untuk menambah tenaga pengajar dan membuka kelas-kelas baharu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang juga di bawah senarai bersama, mendapat peruntukan sebanyak $4,419,320 bagi tahun 1991. Sebahagian besarnya iaitu $3,501,00 adalah merupakan bantuan kepada individu atau kelompok orang-orang yang kurang bernasib baik meliputi Bantuan Am, Bantuan Sekolah, Bantuan Bencana Alam, Projek Jayadiri, Bantuan Pemulihan Kelompok dan lain-lain bantuan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan peruntukan bagi tahun 1991 bertambah sebanyak $6,556,820 daripada tahun 1990. Pertambahan ini adalah disebabkan pemindahan balik peruntukan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan seperti yang disebutkan sebelum ini.

Emolumen jabatan ini bagi tahun 1991 bertambah sebanyak $220,600 kerana selain daripada kebaikan tahunan, satu aktiviti baru iaitu Pentadbiran Undang-Undang Syariah telah diwujudkan. Tujuannya ialah untuk mengasingkan Mahkamah Syariah supaya Mahkamah Syariah akan mempunyai kewibawaannya sendiri.

Dengan lain perkataan kadi-kadi hanya akan bertugas sebagai pengadil dan hakim di Mahkamah-Mahkamah Syariah sepenuh masa. Tugas-tugas pentadbiran seperti pendaftaran nikah cerai, khidmat nasihat, pembangunan keluarga dan lain-lain yang dahulunya dijalankan oleh Mahkamah Syariah, akan diambil alih oleh Bahagian Pentadbiran Undnag-Undang Syariah.

Penubuhan unit baru ini adalah selaras dengan kehendak Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan telah dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan dijangkakan akan berfungsi mulai tahun 1991.

(Artikel ini adalah sedutan ucapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, sewaktu membentangkan Belanjawan Negeri 1991 di Sidang Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan, 1990 lalu. Ia dipetik sebagai bab kelima daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)