Friday, October 3, 2014

Salah faham konsep ‘hikmah’



Oleh: MOHD NASIR AWANG

“Tak dak hikmah la pak imam kita ni... nak menegur gunalah bahasa lemah-lembut sikit, jangan berkeras sangat. Dia orang tu budak-budak lagi... lagi kita berkeras, lagi dia orang payah terima”, kedengaran rungutan seorang anggota jemaah seraya menapak turun tangga masjid.

Beliau merujuk kepada peringatan ringkas oleh tuan imam sejurus selesai solat Jumaat, yang menegur tabiat sebilangan anak muda yang asyik bersembang tanpa menghiraukan adab mendengar khutbah. Sedangkan sudah diperingatkan oleh tuan bilal sejurus sebelum khatib berkhutbah, bahawa diam dan mendengar dengan teliti isi khutbah adalah suatu tuntutan kepada setiap yang hadir.

Ya, saya akui peringatan tuan imam kali ini agak keras, lebih berupa leteran. Namun, saya sendiri cenderung untuk bersetuju dengan nada keras dan tegas oleh tuan imam itu. Seingat saya, sudah beberapa kali sebelum ini beliau bangun menasihati para jemaah agar menjaga adab ketika menghadiri solat Jumaat.

Sebelum ini dengan nada yang sangat lembut dan ‘berhalus’, tuan imam menghuraikan betapa hadirin sangat perlu menghormati adab tersebut. Apatah lagi ada amaran tegas dari Rasulullah saw mengenai berdiam diri ketika imam sedang berkhutbah.

Malangnya, nasihat yang disampaikan secara baik itu terbukti umpama mencurah air ke daun keladi. Ia tidak meninggalkan bekas, walau pun sudah diulang berkali-kali. Ia boleh juga diibaratkan seperti bersyarah kepada telinga kuali.

Malah kebiadaban anak-anak muda ini bagi saya melangkaui tahap yang boleh ditolak-ansur. Entah apa yang mereka sembangkan, saya pun tak pasti. Bermula dari kehadiran mereka di awal waktu, ada-ada saja topik yang mereka bicarakan sambung-menyambung. Suara mereka pula agak kuat, bertingkah-tingkah di celah alunan azan tuan bilal. Itulah tabiat mereka saban minggu.

Seusai azan, ketika anggota jemaah berdiri untuk solat sunat, anak-anak muda itu masih bersembang. Sesudah khatib naik ke mimbar, suara mereka masih galak kedengaran. Selepas diberi ingatan oleh tuan bilal mengenai adab mendengar khutbah, mereka tidak juga ambil pusing dan terus juga bersembang.

Sepanjang imam berkhutbah, suara sembangan anak-anak muda tadi turut menyulami hujahan khatib. Ada juga beberapa anggota jemaah yang tidak senang dengan gelagat itu berpaling ke arah mereka, mengerling dan menggelengkan kepala, mengisyaratkan agar mereka diam. Namun ia bagaikan tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada pemikiran mereka.

Ya Allah, terfikir juga saya, boleh jadi budak-budak itu jenis “IQ Zero” gamaknya? Sakit hati juga kita melihatnya. Perasaan terganggu, kekusyukan menekuni isi khutbah juga ternoda. Terlintas juga ketika itu untuk bangun dan pergi jentik telinga budak-budak yang sangat “tak reti bahasa” itu! Mujur juga setakat ini saya masih boleh mengawal perasaan sendiri.

Sebab itu hati saya sedikit pun tidak melihat unsur kekerasan atau kekasaran di dalam peringatan oleh tuan imam selepas solat itu.

“Nak mari sembahyang, buatlah cara nak mari sembahyang, kena jaga adabnya. Kalau nak “berbual” (bersembang) juga, masa orang bang kita berbual, orang baca khutbah kita berbual, orang sembahyang pun duk berbual lagi, baik tak payah mari (ke masjid)!”, tuan imam bagaikan menjatuh hukum.

Memang peringatan itu lebih kepada leteran, bukan sahaja ditujukan kepada anak-anak muda yang kurang ajar dan tidak tahu menghormati saat ibadat itu, tetapi turut menempelak bapa dan penjaga mereka yang tidak mengambil berat soal menjaga adab itu.

“Saya minta tolong, kalau ada ayah dia ke, abang ke, tokki (datuk) ke, tolong lah tengok anak siapa, cucu siapa, adik siapa yang suka sangat duk buat bising kat belakang tu. Jangan kita hanya seronok kononnya khusyuk duk beribadat di depan ni, anak-anak kita biarkan duk buat dosa kat belakang tu!”, sambung tuan imam lagi.

Boleh jadi rangkap inilah yang membuat ramai jemaah terasa. Boleh jadi juga pakcik yang merungut sambil turun tangga tadi antara yang berasa terpukul dengan penegasan tuan imam itu. Justeru, teguran itu terus dilabelkan “tidak ada hikmah”.

Di sinilah saya melihat titik tolak permasalahan dalam masyarakat kita. Orang kita telah menyalahertikan kalimah “hikmah”. Kononnya ia bermaksud lemah-lembut, bersuara perlahan dan bermuka senyum.

Apatah lagi apabila ia membabitkan golongan pendakwah dan penegak Islam, seumpama tuan imam, bilal, ulama dan asatizah. Semacam ada tanggapan dalam masyarakat bahawa para ulama dan orang agama tidak boleh bercakap dengan nada keras dan tegas, kerana ia dikatakan tidak berhikmah. Apatah lagi jika mereka menuturkan kalimah-kalimah yang dianggap kasar atau berunsur amarah.

Seolah-olah kita tidak pernah disuakan dengan ayat-ayat al-Quran yang menuturkan “celaka” (untuk Abu Lahab), atau mengumpamakan golongan tertentu dari kalangan manusia seperti anjing, keldai, binatang berkaki empat dan seumpamanya. Jika hikmah itu bermaksud lemah-lembut, maka apakah kitab suci al-Quran tidak ada hikmah?

Sedangkan hikmah itu bermaksud bijaksana atau mengaplikasi tindakan yang bersesuaian, yang menatijahkan kesan paling baik dan berkesan. Sebab itu nilaian hikmah sepatutnya mengikut kesesuaian sesuatu tindakan atau ucapan dibuat.

Dalam proses penyampaian mesej dakwah misalnya, ada pihak yang boleh menerimanya dengan cara lembut, ada juga yang memerlukan pendekatan lebih tegas, termasuk perbahasan. Malah sejarah Islam membuktikan ada juga ketikanya mesej dakwah disampaikan menerusi peperangan.

Dalam bab solat ini pula, Islam telah mengajar kita bahawa seorang anak perlu disuruh solat ketika umurnya tujuh tahun. Andainya dengan pelbagai cara nasihat dan suruhan secara yang baik dilakukan, dia tidak juga solat, maka mencapai umurnya 10 tahun Rasulullah saw mengesyorkan anak itu dipukul.

Dalam ertikata lain, ketika itu pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya. Maka apalah sangat herdikan oleh tuan imam tadi berbanding dengan saranan Rasulullah saw itu?

(Artikel ini dimuatkan di kolum Coretan Ketua Pengarang, majalah bulanan Era Muslimah, Bil. 28 (terbitan Oktober 2014) dengan judul sama)

No comments:

Post a Comment