Oleh: MOHD NASIR AWANG
SUDAH acapkali rasanya kita dikejutkan dengan insiden
kanak-kanak kecil tertinggal di dalam kereta. Amat menyedihkan, kealpaan orang
tua mereka mengakibatkan kehilangan nyawa kanak-kanak terbabit.
Kes yang hampir sama bagaimana pun masih berulang.
Saban tahun ada-ada saja kes menyayat hati sebegini yang menjadi fokus siaran
media cetak dan elektronik. Selalunya kes ini menyeret pula perbahasan lebih
meluas di media sosial. Dalam setiap kes, reaksi dan pandangan balas anggota
masyarakat sangatlah tegas dan keras.
Bagaimana pun, apa yang kerap berlaku itu
seolah-olah gagal untuk memberi ingatan dan pengajaran kepada para ibu bapa
agar lebih waspada dan teliti. Kecuaian dan kealpaan serupa tetap berulang
juga, sekaligus menuntut korban nyawa kanak-kanak yang lain pula.
Korban terbaru ialah dalam kes yang berlaku di
Padang Terap, Kedah pada 20 Ogos baru-baru ini. Seorang kanak-kanak, Muhammad
Aqil Arfan Adnan, 4 tahun, ditemui mati selepas ditinggalkan lebih
lapan jam dalam kereta bapanya di tempat letak kereta Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang. Bapanya adalah seorang ustaz di sekolah sama.
Difahamkan, mangsa ditinggalkan di dalam kereta
terbabit sejak jam 7.30 pagi. Sebelum itu bapa mangsa menghantar ibu mangsa
yang bertugas di sebuah sekolah menengah berhampiran. Bapa mangsa dikatakan
terlupa untuk menghantar anaknya itu ke sebuah tadika yang terletak berhampiran
dengan sekolah isterinya, sebaliknya terus ke tempat dia mengajar.
Ketika bapa mangsa pergi semula ke keretanya untuk
pulang mengambil isteri dan anaknya kira-kira 4 petang, dia terkejut melihat
kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa kemudiannya disahkan
telah meninggal. Menyayat hati, bukan?
Kes ini bagaikan mengulangi kejadian serupa di Kuantan, Pahang, lima
bulan sebelumnya. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Muhammad
Arif Mohd Yusof ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal
dunia kira-kira jam 6.30 petang, 8 Mac 2014, selepas ditinggalkan dalam
kenderaan selama kira-kira sembilan jam.
Difahamkan, kejadian berlaku
apabila bapa mangsa yang berusia 41 tahun terlupa untuk menghantar anak
bongsunya itu ke sebuah taska di Indera Mahkota. Pasangan suami isteri terbabit
keluar dari rumah mereka di Kampung Pandan 2 kira-kira jam 7.30 pagi bersama
lima anak mereka (termasuk mangsa) untuk dihantar ke sekolah dan taska.
Kealpaan itu hanya disedari
bapa mangsa setelah selesai mengambil isteri dan anak-anak yang lain untuk
dibawa pulang pada kira-kira jam 5.30 petang. Mangsa ditemui di kerusi belakang kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan
diri.
Pasangan terbabit kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA) dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak
nafas.
Pada 18 Julai 2013, Nawal Iris
Samsudin, tiga tahun, ditemui lemas dalam kereta yang ditinggalkan ibunya
di pekarangan sekolahnya di USJ4, Subang Jaya.
Ibu kanak-kanak itu, seorang guru sesi petang, dikatakan terlupa anaknya berada dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolahnya jam 11 pagi.
Mayat Nawal ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta itu jam 5.30 petang ketika ibunya bersiap untuk pulang selepas sesi sekolah. Paling menyedihkan ialah anak patung kecil yang dipegang basah dengan air mata si anak.
Ibu kanak-kanak itu, seorang guru sesi petang, dikatakan terlupa anaknya berada dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolahnya jam 11 pagi.
Mayat Nawal ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta itu jam 5.30 petang ketika ibunya bersiap untuk pulang selepas sesi sekolah. Paling menyedihkan ialah anak patung kecil yang dipegang basah dengan air mata si anak.
Dalam kejadian pada 21 Jun 2013 pula, seorang guru sekolah rendah di Johor Bahru terkejut selepas mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam.
Guru itu dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi dan sepatutnya menghantar anaknya ke salah sebuah tadika berhampiran tempat dia bekerja. Bagaimana pun, dia mengambil keputusan untuk ke sekolah terlebih dahulu kerana bimbang terlewat untuk mengimbas kad perakam waktu.
Selepas itu dia terlupa yang anaknya ditinggalkan di dalam kereta. Sebaik menyedarinya pada kira-kira jam 1.30 petang, wanita itu bergegas ke keretanya dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri. Apabila dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, doktor mengesahkan anaknya itu telah meninggal dunia.
Kes di Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan, pada 24 Mei 2011, tidak kurang
tragisnya. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang sedang tidur
di kerusi belakang kereta ditinggalkan bapanya yang bergegas menghadiri
pengebumian jenazah sepupunya.
Sebaik menyedari kealpaan itu, lebih sejam kemudian, anak perempuannya
itu sudah tidak bermaya. Nor Izyan Natasya Ishak dikejarkan ke klinik berdekatan, tetapi disahkan meninggal akibat
kepanasan melampau.
Dalam kesemua kes dipetik di atas, penyebab utama tragedi ialah sikap
“terlupa” ibu atau bapa mangsa-mangsa. Faktor utama mendorong hal itu pula
ialah keadaan yang tergesa-gesa, mengejar waktu dan mematuhi peraturan kerja.
Faktor tambahan dalam kes terbaru di Kuala Nerang itu bagaimana pun dikatakan
ekoran jadual perjalanan mereka pagi itu di luar rutin harian.
Saya tidak berhasrat menurunkan komentar lebih panjang mengenai sikap
ibu-bapa atau tekanan kerja yang melatari hidup mereka dan seumpamanya.
Cukuplah dengan ratusan komen oleh “pakar-pakar” di laman sosial yang tambah
mengusutkan fikiran ibubapa terlibat.
Cuma saya lebih suka mencadangkan beberapa “langkah penyelamat”, yang
saya kira ditakdirkan kealpaan itu terus berlaku, kita masih ada peluang
menanganinya dengan lebih baik.
Beberapa langkah itu perlu dijadikan kebiasaan oleh ibubapa. Pertama,
sebelum meninggalkan kereta, biasakan merenggang
sedikit cermin tingkapnya bagi membenarkan pengaliran keluar-masuk udara.
Kedua, sebelum mengunci kereta, biasakan memandang sekali
imbas ke dalamnya.
Ketiga, ibubapa yang bekerja perlu wujudkan rakan sembang
yang berbicara soal keluarga setiap hari. Mudah-mudahan bual-bicara itu boleh
mengingatkan kita kepada perihal anak-anak.
Keempat, perlu juga diajar kepada anak-anak kecil bagaimana cara membuka
sendiri pintu kereta.
Beberapa langkah lain pula menuntut peranan lebih besar di kalangan
“pihak ketiga”, yakni selain mangsa dan ibubapa mereka.
Antaranya, memandangkan hampir kesemua kes dipetik tadi melibatkan
kanak-kanak yang sepatutnya dihantar ke taska/tadika, maka peranan guru atau
pengasuh mereka juga penting. Maksudnya, katakanlah jadual biasa si ibu atau
bapa menghantar anak-anak ke pusat jagaan/tadika pada 7.20 pagi, maka jika
selewatnya 7.45 pagi si anak belum dihantar, elok juga guru/pengasuh itu
menelefon ibubapa bertanyakan hal itu. Dengan sendirinya panggilan itu akan
mengingatkan ibubapa yang terlupa itu terhadap anak mereka.
Seterusnya, dalam sebahagian besar kes yang berlaku itu, kereta
diletakkan di kawasan sekolah. Selalunya sekolah mempunyai pengawal atau jaga
bertugas. Apa kata jika diadakan jadual untuk pengawal sekolah meronda kawasan
letak kereta dan meninjau keadaan kenderaan setiap pagi, katakan sekali pada
pukul 8.00 atau 9.00 pagi? Mungkin ada kereta yang lupa dikunci, atau lupa
dipadam lampu? Atau mungkin ditemui anak di kerusi belakangnya?
Setiap langkah dicadangkan di atas sudah tentu ada pro dan kontranya. Ia
berhajat kepada perbahasan dan penghuraian lebih panjang. Apa yang penting,
kita perlu memikirkan sesuatu agar tragedi menyayat hati ini dapat dibendung
atau dikurangkan, dan bukan sekadar menerimanya sebagai “ketentuan takdir”
sahaja!
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 27 (edisi September 2014) di ruangan Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment