Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sekali lagi menjadi fokus
pertikaian umum, terutama di laman sosial dan medan-medan sembang rakyat di
seluruh negeri itu. Agak sukar dipercayai, dalam keadaan rakyat belum pun
diberikan penjelasan meyakinkan mengenai kewajaran beberapa projek dan program
dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya sebelum, Ahmad tampil
pula dengan cerita pembelian dua buah amphicoach (bas dua alam) dengan harga
yang amat dipertikaikan.
Akhbar harian Edisi Terengganu, 29 Mac lalu memetik kenyataan beliau bahawa
kerajaan negeri bersetuju membeli dua buah ‘bas redah air’ itu dengan nilai RM3
juta sebuah. Kenderaan yang boleh beroperasi di darat dan di air itu dicagarkan
menjadi tarikan baru pelancong ke Tasik Kenyir.
Berita itu bagaimana pun tidak disambut baik rakyat. Bagi mereka Ahmad
terlalu angkuh dan sewenangan membelanjakan wang rakyat, apabila beliau
bagaikan langsung tidak terkesan oleh cemuhan dan kritikan hebat pelbagai pihak
sebelum ini terhadap lawatan beliau dan rombongan ke Antartika beberapa bulan
lalu. Hingga kini rakyat masih gagal melihat kewajaran pemergian beliau ke
benua ais itu, terutama apa manfaatnya untuk rakyat Terengganu?
Kini datang pula kes amphicoach ini. Bagi penulis, pertikaian dilontarkan
pelbagai pihak terhadap kerajaan Terengganu, khususnya Ahmad sendiri berhubung
perkara ini tidak wajar disepikan begitu saja. Ia ada asasnya. Sebahagian aspek
isu ini ada kewajarannya, walau pun sebilangan pihak yang melontarkan kritikan
itu agak keterlaluan dan mengaitkannya dengan hujah tidak berasas. Penilaian
yang pernah dibuat rakyat terhadap beberapa perancangan BN sebelum ini banyak
mempengaruhi persepi mereka terhadap pembelian terbaru ini.
Pertama, cuba lihat dari sudut potensi pulangan pelaburan. Apakah kajian
teliti sudah dibuat bahawa perbelanjaan RM6 juta wang rakyat dalam kes ini
bakal memberikan pulangan ekonomi yang menguntungkan kerajaan dan rakyat Terengganu?
Berbaloikah pelaburan itu, dinilai dari sudut tarikan pelancongan. Apakah ada
jaminan ia tidak mengulangi “kesilapan perancangan” beberapa projek mega
sebelum ini?
Rakyat Terengganu sudah ada pengalaman. Contohnya, dalam kes kejohanan Piala
Monsun dan pembangunan Pulau Duyong yang menelan ratusan (malahan mungkin
ribuan) juta wang rakyat. Alasan utama juga untuk tarik pelancong.
Bila dipertikaikan perbelanjaan besar itu manfaatnya tak seberapa, BN
mendakwa Piala Monsun memberikan pulangan kewangan. Namun jumlah sebenar tak pernah
didedahkan kepada rakyat.
Akhirnya, selepas sudah terbukti tidak menguntungkan, kejohanan itu tidak
lagi diteruskan di Pulau Duyong. Secara tersirat BN mengakui, pelaburan berjuta
di situ gagal menarik kehadiran pelancong pada tahap yang dicitakan.
Memang ada pelancong datang, sekarang pun ada, tetapi jumlah mereka
bukanlah memadai atau berbaloi dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan
kerajaan negeri menyediakan prasarana di pulau itu dan juga perbelanjaan
berulang saban tahun untuk menjayakan kejohanan itu.
Ini pun sama. Tasik Kenyir cuba dipopularkan sebagai destinasi pelancongan.
Berbagai projek “aksesori” bertujuan menarik kehadiran pelancong telah
direkawujud di sekitar tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. Ada
taman burung, ada ladang anggur, zon akuakultur, pulau bebas cukai dan
lain-lain.
Menilai pada gambaran diberikan BN pada setiap kali mengumumkan setiap satu
projek disebutkan itu, seolah-olah Tasik Kenyir akan bersesakan dengan pelancong
bila ada tarikan-tarikan itu. Malangnya, selepas beberapa tahun sebahagian
projek itu dilaksanakan, ia terbukti gagal memaut kehadiran jumlah pelancong
dihasratkan. Hal itu memaksa BN memikirkan produk baru pula sebagai tarikan.
Maka timbullah idea bas redah air ini. Apakah berbaloi pelaburan RM6 juta
itu, mengambilkira faktor cuaca yang membataskan akvititi di air beberapa bulan
dalam setahun? Kemudian, destinasi untuk dilawati menggunakan bas itu pula tidak
dipastikan. Adakah ia semata-mata untuk pusing-pusing tasik? Ataukah untuk ke
pulau burung (yang dikatakan sudah tidak mempunyai burung), pulau bebas cukai (yang
belum pun siap-siap?) atau ke mana?
Dulu pernah dimasyhurkan projek rivercruise berpangkalan di sekitar muara Sungai
Terengganu, di mana pelancong di bawa menaiki bot menyelusuri sungai itu. Sejauh
manakah berbaloinya projek tersebut sepatutnya diambilkira, terutama dalam
konteks Tasik Kenyir yang letaknya di pedalaman negeri itu.
Kedua, apakah ada ketelusan dan kebijakan dalam pembelian itu? Harga dibeli
itu apakah menepati harga pasaran sebenar atau cenderung “berlebihan” daripada
sepatutnya?
Menurut maklumat yang boleh dicari dengan mudah di internet, model amphicoach
buatan Malta itu dijual di United Kingdom dengan harga £280,000 (lebih kurang
RM1.5 juta) sahaja sebuah. Jika itu benar, bermakna harga yang dibayar BN
Terengganu adalah dua kali lebih tinggi (RM3 juta sebuah). Apakah ia urusniaga
yang bijak?
Rakyat berhak persoalkan hal ini. Ia bukan kerana tak percaya kepada BN atau
semata-mata atas dasar “membangkang apa saja dibuat BN”. Kita sudah ada
pengalaman dengan kerajaan BN. Ini bukan kali pertama pembelian dibuat dengan
harga berkali ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.
Kes ini mengingatkan penulis
kepada kes pembelian pesawat ambulans oleh Mediair, sebuah “cucu syarikat”
kerajaan Terengganu, sekitar 90-an dulu. Mediair ialah anak syarikat
kepada TDM Berhad. Penubuhannya secara khusus untuk menjalankan operasi pesawat
ambulans, kononnya untuk menyediakan perkhidmatan mengangkut orang-orang sakit
dari kawasan pedalaman ke hospital-hospital di bandar secara cepat melalui
udara.
Peembelian pesawat itu pula dibiayai Tabung
Pendidikan Negeri (TPN), di atas hasrat menyewakannya kepada Mediair.
TPN telah membeli pesawat terpakai (second
hand) jenis Piper Chyne dengan harga RM6.9 juta. Sedangkan, sebuah pesawat terpakai jenis sama bernilai
hanya USD200,000 atau sekitar RM800,000 sahaja. Manakala harga sebuah pesawat
baru jenis itu hanyalah USD1.2 juta atau lebih kurang RM4 juta sahaja.
Ertinya telah berlaku lebihan bayaran dalam
pembelian itu lebih RM6 juta. Di manakah cerdiknya BN? Apabila operasi Mediair
mengalami kerugian, sewa yang dijanjikan kepada TPN juga ‘hangus’.
Ketiga, rakyat juga mempersoalkan keutamaan perbelanjaan. Apakah sesuai
dengan keadaan rumit yang menghimpit hidup rakyat kini, BN berbelanja besar
pada sesuatu yang tidak nampak manfaat secara langsungnya untuk meringankan
beban hidup mereka?
Tidak adakah aspek atau sektor lain yang lebih perlu diutamakan
perbelanjaan itu? Contohnya, menokok pembiayaan pelajar aliran agama ke luar
negara (yang dipotong sejak beberapa tahun lalu); atau menambahbaik prasarana
pengangkutan awam di darat yang masih lemah dan jauh dari memuaskan.
Atau mewujudkan sistem perparitan dan saliran yang lebih efisien agar tidak
berlaku banjir kilat; atau beli sampan dan bot penyelamat lebih banyak/baik
bagi digunakan di waktu banjir (ambil pengajaran kelembapan kerja bantuan
banjir besar di Kemaman tahun lepas).
Apakah BN hanya tahu membelanjakan wang rakyat sewenangnya? Ataukah ia
tunggu diajar rakyat, baru mahu belajar cara lebih ‘cerdik’ menguruskan
kewangan negeri?
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1935, 7-10 Jamadil Akhir 1435/7-10 April 2014 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk 'Ahmad Said terus bazir wang rakyat')
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1935, 7-10 Jamadil Akhir 1435/7-10 April 2014 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk 'Ahmad Said terus bazir wang rakyat')
No comments:
Post a Comment