Belum terlalu lambat rasanya untuk mengalungkan tahniah kepada pihak berkuasa agama negara kita, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas kejayaannya menumpaskan satu lagi kumpulan ajaran sesat, Jumaat lalu.
Media melaporkan seramai 21 pengikut ajaran Islam Jemaah ditahan di sebuah surau persendirian di Kampung Tangkas, Bangi, selepas mereka mengadakan ‘solat Jumaat’ di situ pada hari berkenaan.
Ajaran Islam Jemaah difatwakan salah dan sesat pada 1998. Antara ajarannya ialah menolak hukum ijmak dan qias (hanya berpegang kepada hukum al-Quran dan hadis), tidak perlu menyembelih haiwan untuk dimakan dan menolak ajaran Mazhab Syafie.
Ekoran penahanan mereka itu, Jakim mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil jalan singkat menyertai mana-mana pertubuhan yang sudah dikenalpasti dan diwartakan sesat oleh kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, malah dipetik media sebagai memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menghidupkan semula ajaran sesat agar bersedia menghadapi tindakan pihaknya.
“Kalau ada yang cuba nak menghidupkan kembali pergerakan (ajaran sesat) kita akan ambil langkah pencegahan dengan bantuan agensi keselamatan. Siapa yang berani nak cuba, bersedialah untuk dikenakan tindakan,” cabarnya.
Tidak syak lagi, dapat kita simpulkan bahawa tindakan tegas Jakim itu membuktikan kecekapannya membanteras aktiviti menyesatkan dalam masyarakat, khususnya ajaran salah dan sesat. Manakala kenyataan tegas tadi pula menggambarkan keseriusan pihak berkuasa agama itu menghalang fahaman karut berleluasa.
Dukacitanya, keseriusan dan kecekapan sama tidak berlaku dalam kes ‘Kerajaan Langit’ di Terengganu. Setakat ini, tidak ada tindakan konkrit yang boleh disifatkan sebagai muktamad sama ada dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mahu pun Jakim sendiri dalam membanterasnya.
Sebaliknya, semakin diperkatakan orang mutakhir ini bahawa ajaran tersebut kini sedang dihidupkan semula. Beberapa media cetak arus perdana bulan lalu turut melaporkan maklumat diperolehi mereka secara eksklusif oleh wakil mereka sendiri yang bersemuka dengan pemimpin ajaran itu, bahawa usaha menghidupkan semula ajaran tersebut dilakukan secara terbuka.
Majlis Fatwa Negeri Terengganu telah mengisytiharkan ajaran dipelopori Ariffin Mohamad di Besut adalah sesat, mengikut Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 1986.
Ariffin, atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin, memimpin sebuah perkampungan dan ajaran dinamakan “Kerajaan Langit” berpusat di Kampung Batu 13, Hulu Besut. Beliau pernah mengisytiharkan secara terbuka meninggalkan Islam pada 1998.
Begitu juga para pengikutnya. Bagaimana pun, mereka seakan bebas mengamalkan ajaran itu tanpa sebarang tindakan dari pihak berkuasa agama buat beberapa lama.
Ayah Pin hanya ditahan setelah kerajaan Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS. Beliau dibicarakan atas dakwaan menghina Islam.
Pada 27 Jun 2001, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut dan dihukum penjara selama 11 bulan serta denda RM2,900.
Pada Julai 2005, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dipaksa keadaan untuk melakukan operasi menahan pengikut-pengikut ajaran Kerajaan Langit. Segala binaan dan replika berbagai bentuk yang mempunyai signifikan tersendiri bagi ajaran itu di perkampungan mereka juga dirobohkan.
Pada zahirnya ia memperlihatkan ketegasan dan keberanian BN membanteras ajaran sesat. Namun, sebenarnya tindakan itu dilakukan secara terpaksa. BN merasa serba-salah apabila dicemuh rakyat kerana tergamak meroboh rumah rakyat yang diperolehi secara sah di beberapa Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh negeri.
Ia juga dianggap biadab apabila sanggup menyondol sebuah masjid di perkampungan Bujal, Kemaman, semata-mata atas perkiraan politik rakusnya. Ekoran itu, BN dicemuh, antaranya dengan kata, “mengapa masjid diroboh, sedangkan binaan di kampung ajaran sesat (Kerajaan Langit) tidak disentuh?”
Lalu, disebabkan rasa malu dan tercabar serta sebagai mengimbangi kemarahan rakyat akibat tindakan jahatnya terhadap rumah Allah itu, BN terpaksa bertindak terhadap kumpulan Ayah Pin. Hampir 80 pengikut ajaran itu ditahan.
Ayah Pin sendiri bagaimana pun kekal bebas dan tidak pernah ditangkap hingga kini. Cerita mengenainya tenggelam-timbul. Cakap-cakap dalam masyarakat sering mengakui beliau masih berada di perkampungan itu dan kerap mengumpulkan kembali para pengikutnya.
Bulan lalu perkara itu disahkan beberapa media cetak. Para pengikutnya berkumpul kembali mendengar ajaran Ayah Pin. Antara mereka dari Selangor, Pahang dan Johor. Mereka termasuk peguam, pegawai bank, guru serta penduduk Orang Asli dari Rompin.
Dalam pengajarannya yang turut disaksikan wakil media, Ayah Pin menceritakan pengalamannya naik ke langit hingga ke arasy ketujuh untuk meninjau keadaan syurga dan neraka. Beliau mendakwa turut menyertai sesi mesyuarat bersama malaikat, jin dan iblis.
“Saya dilantik sebagai wakil ‘Kerajaan Langit’ untuk memantau keadaan di atas dunia dan ditugaskan supaya memastikan ia selamat dan tiada sebarang sengketa sesama sendiri, baik yang beragama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu,” media memetik katanya (rujuk Berita Harian & Harian Metro, 7 Oktober 2010).
Ayah Pin juga seakan mencabar pihak berkuasa menahannya apabila mengakui masih tinggal di kampung tersebut dan tidak melarikan diri. Beliau amat yakin tidak akan ditahan kerana percaya ajarannya tidak mengancam keselamatan negara.
Catatan seorang saksi (eyewitness account) sebagaimana dihuraikan secara terperinci oleh wakil media tersebut membuktikan bahawa Ayah Pin memang berada di perkampungan tersebut dan kembali aktif menyebarkan ajaran sesatnya.
Daripada butir cakap dan pengakuan beliau, sepertimana dicatatkan wakil media itu, terbukti juga Ayah Pin tidak pernah insaf, bertaubat atau kembali kepada ajaran Islam. Beliau sebaliknya masih tebal dengan pendirian sesatnya.
Keterangan beberapa penduduk yang mendakwa melihat sendiri kelibat Ayah Pin di perkampungan berkenaan juga mengukuhkan lagi dakwaan bahawa ketua ajaran sesat itu memang berada di situ.
Malangnya, pihak berkuasa seakan-akan tidak ada kepekaan terhadap perkembangan tersebut. Dalam reaksinya, Exco Agama negeri sekadar mengatakan pihaknya tidak menerima apa-apa laporan kegiatan pemimpin ajaran sesat itu (rujuk Berita Harian, 8 Oktober 2010). Cheh!
Pasukan polis pula, yang selama ini sangat terkenal cekap dan amat pantas bertindak terhadap penjenayah atau pihak yang disyaki, sekadar mengatakan tiada maklumat mengenai pemimpin tersebut. (Harian Metro, 8 Oktober 2010).
Justeru, di mana silapnya sehinggakan tindakan terhadap pemimpin yang secara terbuka menyatakan pendirian sesatnya itu gagal dilaksanakan? Apakah pihak berkuasa sengaja buat-buat tidak tahu?
Ataukah benar sepertimana didakwa Ayah Pin, bahawa pihak berkuasa tidak akan dapat mengambil tindakan terhadapnya kerana tidak mengancam keselamatan negara, walau pun secara terang-terangan merosakkan akidah umat Islam?
Barangkali keseriusan dan kecekapan Jakim dalam bertindak terhadap kumpulan Islam Jemaah tadi wajar diperturunkannya kepada JHEAT. Atau mungkin kes ini perlukan Jakim sendiri mengambil perjalanan menyelesaikannya secara muktamad.
Artikel ini telah disiarkan dalam Harakahdaily.net pada 30 November 2010