oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada banyak sebab yang boleh difikirkan jika dikatakan Umno sangat tidak selesa dengan kejayaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) lebih seminggu lalu. Sebagai satu-satunya alternatif bagi Umno di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam, apa-apa perkembangan positif diterokai PAS tidak syak lagi menjadi ancaman utama parti Melayu itu di persada politik tanahair.
Sebab itu Umno sangat gemar berdengki dengan PAS. Pantang ada pembaharuan diperkenalkan PAS untuk menarik sokongan masyarakat, Umno lah pihak paling kecoh. Lebih-lebih lagi sekiranya usaha dan pendekatan itu melibatkan masyarakat bukan Melayu/Islam.
Ingat lagi bagaimana reaksi Umno terhadap slogan ‘PAS Untuk Semua’ diperkenalkan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu? Parti Melayu itu bagaikan cacing kepanasan melihat perkembangan menakjubkan apabila kaum bukan Melayu menyatakan sokongan terbuka terhadap PAS.
Nampak sangat ketika itu Umno tidak berupaya menyembunyikan hati busuknya apabila PAS berjaya merobek tembok prasangka kaum bukan Islam terhadap parti Islam itu. Lebih-lebih lagi apabila kejayaan PAS itu dinilai dari sudut dakwah Islam. Ia sekali gus membuktikan Umno gagal memanfaatkan kedudukan dan kuasa dimilikinya untuk mendampingi dan membuktikan keadilan Islam kepada kaum bukan Islam.
Hakikat itu adalah suatu yang amat memalukan. Ia amat sukar diterima sebuah parti yang selama ini turut mendakwa menjuarai kerja-kerja dakwah Islam. Malah pernah suatu ketika dulu para pemimpin Umno mendakwa parti itu sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia.
Lalu cara terbaik bagi Umno menyembunyikan kegusaran dan keaibannya ialah dengan meremehkan usaha PAS itu. Dikatakan PAS semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa pemerintahan sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan dan bersekongkol dengan bukan Islam.
Ada pula yang mendakwa PAS terpaksa mendampingi bukan Melayu-Islam kerana parti itu telah kehilangan sokongan kaum sebangsa dan seagamanya sendiri.Tidak cukup setakat itu, Umno malah sanggup mengambil bahagian mengelirukan pemikiran rakyat bukan Islam terhadap perjuangan Islam.
Memanglah salah satu daripada kejahatan Umno paling nyata ialah usaha dan ucapan para pemimpin mereka yang sengaja menakut-nakutkan rakyat bukan Islam terhadap Islam dan segala peraturan hidupnya. Pernah dalam satu pilihan raya pada dekad 80-an dulu disebarkan karikatur yang sengaja menggambarkan keburukan pemerintahan Islam. Kononnya sekiranya PAS menang dan memerintah, orang-orang Cina akan dikejar dengan parang oleh para lebai untuk dikhatankan.
Golongan yang memperjuangkan Islam dilabelkan sebagai ekstremis. Dengan dasar Islam dibawa PAS, parti Islam itu didakwa dirasuk sentimen perkauman yang sangat merbahaya kepada keharmonian pelbagai kaum di Malaysia. PAS digambarkan seolah-olah sebuah parti yang dikuasai golongan yang langsung tidak tahu bertolak ansur, konservatif dan kolot.
Bukan Islam ditakutkan dengan kemungkinan hidup tertekan dan terseksa di bawah pemerintahan PAS. Bukan sahaja judi diharamkan, arak juga akan dihapuskan. Premis hiburan dan pusat sukan juga didakwa akan ditutup.
Untuk survival politiknya, Umno memang perlu menabur fitnah dan prasangka sebegitu. Kalau boleh biar bukan Islam menutup terus pintu hati mereka terhadap PAS. Sebabnya, kalau PAS berjaya memecahkan tembok prasangka bukan Islam terhadap Islam, Umno akan bermasalah besar. Bukankah parti itu amat bergantung harap kepada sokongan dan bantuan bukan Islam untuk terus berkuasa?
Sebab itu ada dakwaan bahawa Umno lebih rela orang bukan Islam kekal dalam kekafiran mereka asalkan keadaan itu memberi keuntungan politik kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Umno takut sekiranya masyarakat bukan Islam menerima Islam atau memahami perjuangan Islam dan bersedia berdampingan dengan golongan yang memperjuangkan Islam, survival politik Umno/BN akan terancam.
Maaf cakap, sikap tidak bertanggungjawab terhadap agama sebegitu kembali menyerlah di kalangan para pemimpin Umno baru-baru ini. Sejak tersebarnya berita pelancaran DHPP oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 23 Mei lalu, setakat ini kita belum mendengar atau membaca sebarang komen mana-mana pemimpin Umno mengalu-alukan kejayaan itu.
Hati-hati mereka bagaikan telah dikhatam oleh Allah dari melihat pencapaian itu sebagai satu titik bersejarah buat dakwah Islam dalam negara. Sebaliknya, ulasan kebanyakan mereka masih mengulangi tafsiran negatif dan prasangka politik.
Barangkali itulah ketetapan Allah sejak Azali buat Umno. Parti itu bukan sahaja tidak bersedia mengemukakan kebaikan Islam kepada bukan Islam, terutama rakan-rakannya di dalam BN. Sebaliknya ia masih tidak malu menuduh PAS dengan bermacam-macam label negatif apabila parti Islam itu berjaya menawarkan kebaikan Islam kepada bukan Islam.
Tidak syak lagi penubuhan DHPP merupakan bermulanya era baru perjuangan Islam dibawa PAS. Ia sekali gus merintis perpaduan kaum sebenar yang dicita-citakan rakyat berbilang kaum negara ini.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1545, 4 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment