Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
PAS sekali lagi membuktikan kepada semua pihak bahawa ia sebuah parti
yang cintakan demokrasi. Untuk itu, ia bukan sahaja memilih menyertai proses
pilihan raya, malah berusaha sedapat mungkin agar proses demokrasi itu
benr-benar menepati lunas dan prinsip sepatutnya.
Sebab itu PAS tidak teragak melaungkan amaran kepada mana-mana pihak,
khususnya Barisan Nasional (BN) selaku penguasa negara, agar peka dan prihatin
terhadap apa-apa bantahan rakyat berhubung kepincangan dan dakwaan
penyelewengan yang melanda demokrasi negara selama ini.
Keseriusan PAS dalam hal ini mendorong parti itu menubuhkan Badan
Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (BPDM), sebuah jawatankuasa bertindak
setaraf lajnah-lajnah lain. Badan ini dipengerusikan Mohamad Sabu.
Di antara agenda utama yang mahu dicapai dari usaha badan ini ialah agar
wujudnya pilihan raya yang bersih dan adil. Untuk itu rakyat diberi kesedaran
tentang hak asasi mereka mengecapi amalan demokrasi tulen dan hak itu
dilindungi Perlembagaan Malaysia.
Selama ini banyak aspek perjalanan pilihan raya negara kita menjadi
bahan pertikaian. Di antara yang paling lumrah diperkatakan ialah soal kewujudan
pengundi diragukan atau sering diistilahkan sebagai ‘pengundi hantu’. Ia berkait
langsung dengan masalah daftar pemilih yang gagal dibersihkan daripada
nama-nama pengundi terbabit.
Turut menjadi pertikaian berpanjangan ialah sistem undi pos. Sejak sekian
lama PAS membantah kewujudan pengundi kategori ini dan menuntut ia dimansuhkan.
PAS senada dengan parti-parti pembangkang lain bahawa ketelusan dan kebebasan
memilih di kalangan pengundi pos amat dipertikaikan. PAS menuntut kelemahan ini
diperbetulkan demi sebuah pilihan raya yang adil dan telus.
Para pemimpin BN sebaliknya sering tampil dengan seribu alasan dan
rasional mempertahankan kewujudan undi pos. Hujahnya diperkukuhkan para
penganalisis dan pengulas politik pro-BN yang tampil dengan berbagai kajian
masing-masing.
Wajar diakui bukan menjadi tabiat BN menerima pandangan pihak lain,
lebih-lebih lagi sesuatu yang disuarakan dari kem pembangkang. Para pemimpin BN
sebaliknya lebih selesa meremehkan tuntutan itu, seraya menyifatkan bantahan
terhadap undi pos sebagai isu lapuk.
Malah ada yang mengatakan isu itu sengaja ditimbulkan pembangkang sebagai
alasan menutup kelemahan dan ketidakupayaannya menentang BN. Lalu, kata mereka,
pembangkang sengaja menyediakan penyebab kekalahan yang bakal dilalui.
Meski pun suara itu lazimnya kedengaran pada setiap kali menjelang
sesuatu pilihan raya, sama ada kecil mahu pun umum, ia bukan semata-mata
didorong perkembangan terkini itu. Justeru, amat tidak wajar ditohmahkan
kononnya bantahan pembangkang itu semata-mata kerana menilai kekuatan mereka
yang masih gagal menandingi keutuhan sokongan terhadap BN.
Intipati usaha membantah undi pos tidak wajar dilihat semata-mata kerana
pembangkang cemburu dengan deposit tetap yang tidak memihak mereka. Hasrat utama
rakyat ialah melihat ketelusan perjalanan pilihan raya dan ketulusan
penghayatan demokrasi.
Setakat ini tidak nampak sebarang tanda BN akan memperbetulkan
kepincangan dikaitkan dengan sistem undi pos. Tambahan pula kewujudannya buat
masa ini amat menyelesakan BN. Ia ibarat deposit tetap buat parti itu, malah
dalam keadaan tertentu ia bertukar menjadi ‘talian hayat’ buat BN menyelamatkan
hegemoni politiknya.
Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Justeru,
secara logiknya adalah suatu yang amat menghairankan andainya dalam keadaan itu
BN bersetuju memansuhkannya.
Lagi pun, bila masa BN peduli soal ketelusan dalam pelaksanan
pemerintahannya atau halangan kebebasan terhadap rakyat? Malah dalam isu undi
pos ini kita dapat lihat BN tidak kisah dicemuh sebagai menyalahgunakan kuasa
menekan pengundi terbabit. Ia sebaliknya selesa menafikan wujudnya unsur
paksaan dan kongkongan itu, walau pun ada kes membuktikan hal itu memang
berlaku.
Ertinya, yang penting bagi BN hanyalah kemenangan. Apa dipedulikannya
soal ketelusan proses demokrasi. Katalah apa nak kata sekali pun, termasuk
melabelkannya sebagai bukan anak jantan, tidak gentleman dan seumpamanya, BN
tidak kisah.
Yang dipentingkannya, asalkan kuasa politik negara kekal di tangannya. Berbekalkan
kekuasaaan itu, jika pun nanti akan ada seribu satu bantahan, petisyen mahu pun
memorandum, BN juga ada seribu satu muslihat melepaskan dirinya.
Mengakui betapa sukarnya parti pemerintah itu tunduk kepada apa-apa
suara desakan rakyat, maka rakyat wajar digerakkan untuk bangkit dalam suasana
lebih ‘luar biasa’. BN perlu diajar agar tidak terlalu memandang ringan
tuntutan rakyat, terutama berhubung hak dan kebebasan mereka.
Rakyat pernah mengajar BN sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lalu
menerusi Himpunan 100,000 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kini PAS
sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk mengepalai rakyat membanjiri
jalan-jalan raya di ibu negara.
Baru-baru ini Mohamad selaku Pengerusi BPDM telah melaungkan tekad
bahawa himpunan besar-besaran membantah undi pos bakal diadakan menjelang
Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Demonstrasi jalan raya dicadangkan itu adalah
dalam rangka memulihkan demokrasi dan menuntut perjalanan pilihan raya yang
lebih bersih dan adil. Tidak lebih dari itu. Apakah ibu negara akan ‘banjir’
lagi?
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah Bil: 1552, 15-18 Rejab 1431/28 Jun-1 Julai 2010 di ruangan ‘kolumnis
F21’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment