oleh: Mat Zain Mat Isa
Buat kali yang entah ke berapa, PAS mengambil kesempatan kehadiran ribuan penyokongnya dari serata negara di muktamar tahunannya untuk mengulangi komitmen berterusan parti itu membela masyarakat Palestin yang tertindas.
Sepanjang berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Cepa minggu lalu, isu berhubung kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel di bumi terpenjara itu menjadi antara isu paling mendapat perhatian pemimpin dan pendokong parti itu.
Sepertimana lazimnya, Ucapan Dasar Presiden PAS saban tahun ikut menyentuh peranan dan keprihatinan parti itu berhubung pergolakan dunia, termasuk konflik di Palestin.
“PAS menegaskan bahawa inilah wajah sebenar rejim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau mengulas keganasan terbaru rejim haram itu pada 31 Mei lalu yang menyerbu dan menawan kapal Mavi Marmara, kapal Turki yang mengetuai konvoi antarabangsa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Sekurang-kurangnya 9 aktivis maut dan berpuluh yang lain cedera ditembak komando Israel.
Meski pun seluruh dunia bangkit membantah tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel itu, kesan lebih positif untuk penduduk Gaza masih terlalu samar. Kecenderungan masyarakat antarabangsa dikuasai Barat memilih meja rundingan tambah menyelesakan Israel meneruskan keganasannya.
Menyedari kepincangan itu, Presiden PAS menyarankan masyarakat dunia tampil dengan “satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas dan keras untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan”.
Beberapa perwakilan yang ikut berucap turut menyentuh secara lebih lanjut isu kekejaman Israel. Namun seperkara agak menyerlah dari muktamar minggu lalu ialah kejayaan PAS merumuskan tafsiran lebih jelas berhubung kekangan sebenar terhadap penyelesaian konkrit isu membelenggu rakyat Palestin.
Di luar dewan muktamar, hadirin diajak berdemonstrasi mengulangi bantahan dan kekecewaan mereka terhadap rejim Zionis. Mereka ikut memijak bendera Amerika Syarikat (AS) yang dicetak bersama bendera negara haram Israel.
Secara terbuka tindakan penyokong PAS itu mengisytiharkan bahawa AS adalah punca utama kegagalan PBB bertindak terhadap Israel. Sikap hipokrit kuasa besar itu menggunakan kuasa vetonya menolak sebarang usul yang boleh menjejaskan kedudukan Israel bagaikan memberi ‘lesen besar’ kepada Israel untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.
Negara itu sering mewajarkan sebarang tindakan Israel. Bantahan PAS terhadap sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengisyaratkan bahawa usaha menentang rejim Israel tidak akan mencapai hasil sekiranya serentak dengan itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS.
Presiden PAS turut mendedahkan tembelang hipokrasi negara-negara umat Islam, khususnya Republik Arab Mesir. Katanya, “penduduk Gaza bukan sahaja dihimpit oleh rejim Zionis, tetapi juga dikepung oleh kerajaan Mesir”.
Hakikat ini terbukti jika diperhalusi insiden 31 Mei lalu itu. Persoalan utama di situ, apa perlunya konvoi kemanusiaan itu merentasi lautan luas sekiranya pintu masuk ke Gaza melalui jalan darat di Rafah tidak ditutup? Alternatif sukar itu terpaksa diambil gara-gara sikap hipokrit Mesir yang menguasai pintu sempadan itu.
Negara Arab itu bukan sahaja menyekat perjalanan keluar-masuk melalui darat ke Gaza, malah sanggup melepaskan gas beracun ke dalam ratusan terowong bawah tanah yang berselirat di antara sempadannya dan wilayah Palestin itu.
Pihak ketiga yang turut bertanggungjawab atas penderitaan penduduk Gaza ialah Pihak Berkuasa Palestin (PA) dikuasai Fatah pimpinan Mahmoud Abas. Dendam mereka terhadap Hamas yang mengalahkan Fatah dalam pilihan raya Palestin, awal 2006 mendorong mereka mengkhianati bangsa sendiri.
PA sebelum ini merelakan bumi Gaza disekat sebarang bantuan. Mahmoud sendiri pernah meminta Israel menghentikan penghantaran minyak dan bekalan elektrik ke Gaza, bagi memalu dan melemahkan Hamas serta menimbulkan kebencian penduduk terhadap musuh politiknya itu.
Perlu diingat bahawa hubungan Malaysia dengan Palestin selama ini berasaskan hubungan “kerajaan dengan kerajaan” (G to G). Akibat konflik tadi, sebarang sumbangan rakyat Malaysia gagal disampaikan kepada Gaza. Oleh kerana wilayah itu di bawah Hamas, dan kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf Fatah sebagai kerajaan Palestin yang sah, maka sebarang sumbangan dan derma rakyat Malaysia menerusi mana-mana agensi atau pertubuhan yang ada hubungkait dengan kerajaan akhirnya jatuh ke tangan PA dipimpin Fatah. Ia tidak akan sampai kepada Gaza dipimpin Hamas.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1549, 18 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment