Oleh: Mohd Nasir Awang
Tidak sukar ditelah mengapa Sudut Pidato yang diwujudkan semula di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini sejak Januari lalu mendapat sambutan hambar warga kampus. Pertama, siswa sudah ‘hilang sentuhan’ dengan aktiviti menguji keberanian dan keupayaan minda itu.
Tidak sukar ditelah mengapa Sudut Pidato yang diwujudkan semula di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini sejak Januari lalu mendapat sambutan hambar warga kampus. Pertama, siswa sudah ‘hilang sentuhan’ dengan aktiviti menguji keberanian dan keupayaan minda itu.
Mereka tidak sempat belajar dari para senior mereka tentang kaedah operasi Sudut Pidato. Bayangkan bagaimana sukarnya menghidupkan semula sesuatu yang telah mati lebih empat dekad?
Selain itu, siswa juga mungkin tidak yakin dengan tahap kebebasan dijamin kementerian. Ada kemungkinan keterbukaan disebutkan pemimpin negara tidak semestinya dijadikan garis panduan oleh pentadbiran universiti.
Justeru wujud kebimbangan berhubung tindakan dan hukuman bakal dihadapi para siswa sekiranya mereka menyatakan pendapat bercanggah dengan aspirasi dan polisi pentadbiran, walau pun tidak menyalahi hasrat menteri.
Dua hakikat itu saya kira menjadi penyumbang utama kegagalan Sudut Pidato setakat ini, sepertimana diakui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu. Dalam kenyataannya pada 19 Mei, Saifuddin meluahkan kekecewaannya apabila medan untuk mahasiswa menguji bakat dan berlatih berkomunikasi secara kritis itu tidak mendapat sambutan.
Sudut Pidato dilancarkan semula di IPT selepas 40 tahun dibubarkan. Sebelum ini ia menjadi medan para siswa berpidato dan menyatakan pendapat secara bebas. Ia bagaimana pun dilenyapkan apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dikuatkuasakan.
Serentak itu juga politik kampus diwarnai berbagai kekangan dan pengawasan yang membantutkan kebebasan warganya, termasuk kakitangan akademik dan siswa. Paling ketara ialah apabila warga kampus seakan dipisahkan langsung daripada perkembangan politik dunia luar. Mereka diharamkan memegang jawatan atau mengambil bahagian dalam politik kepartian.
Di kampus-kampus pula peraturan lebih ketat diperkenalkan setiap kali pilihan raya kampus berlangsung, terutama apa yang didakwa untuk menghalangnya daripada dicemari oleh “anasir luar”.
Tidak syak lagi kemunculan berbagai peraturan ekoran kewujudan AUKU itu bertukar menjadi kongkongan terhadap aktivisme warga kampus, terutama buat mereka yang tidak sealiran dengan aspirasi pemerintah.
Bagi saya pertembungan dua tuntutan inilah yang menjadi dilema buat siswa kita. Di satu pihak ada suara mengharapkan kampus kita melahirkan siswa berdikari dan mampu menghadapi cabaran dunia luar, tetapi di pihak lain pula kita membelenggu mereka dengan akta dan peraturan ketat yang menghalang mereka mengenali dan menyelami “dunia luar” yang bakal mereka terjuni.
Di kesempatan lain kita juga menyuarakan hasrat membimbing pelajar menjadi individu yang kreatif dan inovatif serta berfikiran kritis. Namun sebarang penglibatan atau pendirian mereka yang tidak sealiran dengan idealisme parti pemerintah mendorong mereka dihadapkan dengan berbagai tindakan dan tekanan.
Kes terkini membabitkan empat siswa jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang secara praktikalnya cuba menghayati jurusan pengajian mereka boleh dijadikan contoh. Mereka ditahan 22 April lalu kerana memiliki risalah kempen pilihan raya dan akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan perbuatan menyalahi peruntukan di bawah AUKU.
Cuba fikirkan, kehidupan kampus dikatakan platform terbaik menggilap bakal pemimpin negara pada masa depan. Justeru sebagai pelapis, apakah wajar kehidupan mahasiswa dihadkan dalam batasan pagar universiti sahaja?
Siswa sepatutnya dilayan sebagai sebahagian daripada “dunia luar”. Mereka juga perlu didedahkan dengan keluh-kesah masyarakat. Bukankah mereka diharapkan menjadi jurubicara ummah dan ejen perubahan sekembali mereka ke dalam masyarakat? Bagaimana mereka bakal berfungsi secara berani, kritis dan kreatif jika kehidupan mereka dibelenggu tekanan dan peraturan ketat?
Mengongkong pergerakan dan suara mereka sebenarnya membantutkan percambahan idealisme siswa. Kampus-kampus akhirnya dikuasai golongan conformist yang selesa menjadi pak turut dan tidak gemar membantah.
Akibatnya, kampus kita hanya menghasilkan siswa yang suka memilih jalan selamat. Mereka tidak mahu dilihat atau dikategorikan sebagai anti-establishment. Mereka akhirnya terbiasa dengan tabiat takut memberikan pandangan kedua yang kritis.
Lebih malang lagi, sebilangan siswa bertindak sebagai proksi kepada pentadbiran universiti, sekali gus menjadi mata telinga parti pemerintah dalam mengawasi aktivisme rakan-rakan lain. Apakah ada jaminan Sudut Pidato IPT kini bebas dari sebarang ‘hantu-hantu’ sebegitu?
Dilema dihadapi siswa IPT ini mengingatkan saya kepada kisah orang-orang tua yang membela ayam. Secara tradisinya ternakan itu dilepaskan berkeliaran di kawasan sekitar rumah di waktu siang.
Kebanyakan ternakan itu sudah jinak dan tahu waktu pulang. Menjelang Maghrib, selalunya mereka akan bergerak menghampiri rumah. Malah kebanyakan mereka akan masuk sendiri ke dalam reban tanpa perlu dipaksa tuan mereka.
Namun ada ketikanya meski pun sudah dipanggil mendekati reban dan di dalamnya ditaburkan umpan, ayam-ayam itu keberatan masuk. Malah ada suara kokok dan reaksi cemas pada ayam-ayam itu, menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam reban itu.
Selalunya memang ada sesuatu yang menakutkan ayam-ayam itu, terutama burung hantu yang gemar memakan tahi ayam. Selagi tidak dihalau makhluk menakutkan itu dari reban, selagi itulah ayam-ayam itu tidak akan berani menghampiri tempat tidur mereka itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0202, 30 Mei 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment