oleh: Mat Zain Mat Isa
Nampaknya bukan sahaja Barisan Nasional (BN) yang ada masalah untuk belajar dari kesilapan lalu. Penyakit sukar berubah atau sekurang-kurangnya mengelak dari mengulangi kelemahan serupa turut terpamer dalam jabatan dan agensi di bawah kerajaan BN.
Salah satu jabatan yang kini menjadi fokus pertikaian masyarakat ialah pasukan polis. Kekerapan kes-kes melibatkan tindakan meragukan oleh anggota polis sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian warga awam mengisyaratkan seolah-olah jabatan itu tidak serius mengutip iktibar dari kesilapan yang pernah dilakukan anggotanya, menyebabkan kes demi kes yang hampir serupa masih diulang.
Bayangkan belum pun sampai dua minggu negara digemparkan dengan tindakan anggota polis menembak mati seorang remaja di Shah Alam, kes kecuaian serupa berulang lagi dekat Tampin, minggu lalu. Bezanya, dalam kejadian pada awal pagi Sabtu (8 Mei) lalu itu, tembakan dilepaskan seorang anggota peronda polis hanya mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang remaja berusi 17 tahun.
Namun jalan cerita kedua-dua kejadian itu tidak jauh berbeza. Dalam kejadian pada 26 April lalu, Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak anggota polis peronda selepas dia dikatakan enggan memberhentikan keretanya ketika dikejar di Seksyen 11, Shah Alam.
Dalam kejadian Sabtu lalu pula, Mohd Azizi Aziz ditembak anggota polis peronda selepas didakwa enggan memberhentikan motosikal ditungganginya setelah diarahkan berbuat demikian. Tembakan itu mengenai bahagian perut remaja itu sehingga tembus ke ususnya.
Kedua-dua kes berkenaan bagaimana pun disusuli reaksi spontan agak berbeza, khususnya merujuk kenyataan pihak polis sendiri. Dalam kes Aminulrasyid, pihak polis agak gopoh melontar dakwaan kononnya remaja tersebut ‘suspek jenayah’. Andaian itu diperkukuhkan dengan dakwaan kononnya pihak polis menemui sebilah parang dalam kereta dipandunya.
Persepsi amat negatif yang dilontarkan terhadap si mati itu bagaimana pun membangkitkan bantahan pelbagai pihak, terutama keluarga mangsa. Akhirnya kerajaan berkeputusan menubuhkan sebuah panel pemantau khas bagi memastikan siasatan insiden tersebut dilakukan secara telus, adil, cepat dan tanpa rasa takut atau berat sebelah.
Barangkali terkesan oleh keterlanjuran anggotanya yang mencetuskan pertikaian umum dalam kes di Shah Alam itu, pihak polis mengambil sikap lebih cermat dalam kenyataannya berkaitan kes di Tampin ini. Ketua Polis Negeri Sembilan awal-awal lagi menyatakan kekesalannya atas tindakan anggotanya itu.
Selain memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Mohd Azizi, beliau juga memaklumkan anggotanya yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu telah dikenakan tindakan gantung kerja serta-merta.
“Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi seperti yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara,” katanya.
Akhbar turut memetik katanya yang menganggap kejadian itu satu kesalahan menggunakan kuasa dan pihaknya amat memandang serius terhadap kesalahan itu.
Meski pun mengakui kesilapan anggotanya dan memohon maaf kepada keluarga mangsa, ia belum cukup untuk membersihkan imej polis yang disifatkan banyak pihak sebagai gemar mengambil tindakan “ganas” terhadap orang awam.
Pemikir dan penulis terkenal, Allahyarham Rustam A. Sani pernah dipetik sebuah majalah tempatan, Februari 1996, sebagai berkata, pasukan polis diberi lesen untuk melakukan ‘keganasan’ bagi pihak kerajaan.
“Keganasan berlesen ini boleh digunakan dengan baik dan boleh juga disalahgunakan. Tetapi disebabkan ia “berlesen’, maka apa jua tindakannya lebih cenderung dinilai dari aspek positif sahaja,” ujarnya.
Mungkin nilaian positif beliau maksudkan itu merujuk kenyataan pemimpin dan laporan media tertentu yang cenderung memberikan persepsi positif kepada apa juga tindakan polis. Bagaimana pun persepsi sebaliknya terus bersarang dibenak masyarakat umum.
Apatah lagi kes-kes keganasan polis terhadap orang awam bukanlah suatu yang asing bagi rakyat negara ini. Peristiwa Berdarah Memali di akhir 1985 jelas melibatkan kredibiliti pasukan polis. Ketiadaan toleransi dan kewajaran tindakan mereka dalam insiden itu kekal sebagai titik paling hitam dalam sejarah perjuangan PAS.
Ada pun insiden tembakan bom asap dan hayunan belantan polis di perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang sudah bagaikan nasi makan, air minum buat aktivis dan pendokong parti sejak sekian lama. Malah dalam kes di Batu Burok beberapa tahun lalu, polis bukan sahaja melepaskan tembakan bom asap, tetapi turut memuntahkan peluru hidup sehingga mengakibatkan kecederaan parah kepada dua warga awam.
Kes menimpa pasangan P. Gunasekaran dan isterinya yang sarat mengandung, N. Selvamalar yang ditembak mati kerana didakwa terlibat dalam penculikan anak bekas Menteri Besar Selangor pula menyerlahkan pertimbangan silap polis berdepan suasana tegang.
Manakala kes Dr Tai Eng Teck yang ditembak mati ketika berduaan dengan seorang jururawat dalam kereta berhampiran stesen LRT Bandar Tasik Selatan beberapa tahun lalu mencetuskan persoalan dalam masyarakat, apakah polis kita ada sifat “trigger happy” atau “shoot first ask later”?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1539, 14 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment