Anak luar nikah lahir setiap 30 minit...
Muqoddimah
Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataannya kepada media pada 20 Mac 2010
mendedahkan bahawa terdapat 17,303 kes anak luar nikah keturunan Melayu/Islam
didaftarkan kepada jabatan itu sepanjang 2009. Jumlah itu adalah peningkatan
762 kes berbanding 16,541 kes pada tahun sebelumnya. Manakala pada tahun 2007,
jumlahnya ialah 16,100 kes. Kenyataan sama turut mendedahkan bahawa sepanjang
tempoh lima tahun lalu JPN telah menerima pendaftaran sejumlah 74,723 kes anak
luar nikah melibatkan bayi keturunan Melayu/Islam sahaja. Manakala jumlah besar
melibatkan semua kaum dalam tempoh sama ialah 214,033 kes. Pendedahan fakta itu
bukan sahaja mengejutkan, bahkan turut menimbulkan kebimbangan di dalam
masyarakat, terutama pola peningkatan jumlah kes tersebut tahun ke tahun. Ia
sekaligus memberikan gambaran tidak menyenangkan tentang ketulenan jatidiri
generasi muda dalam dekad-dekad akan datang.
Wakil
Al-Muslimah, Mohd Nasir Awang sempat menerjahkan isu ini kepada seorang anggota
Exco MuslimCare, Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad.
Al-Muslimah: Jika
diteliti fakta anak luar nikah didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
baru-baru ini, jumlah 17,303 untuk setahun lalu itu bersamaan dengan 1,442 kes
sebulan atau lebih 48 kes sehari. Itu bermakna dapat kita kira bahawa kes
kelahiran anak luar nikah di negara kita sepanjang tahun lalu secara purata
berlaku setiap 30 minit satu kes. Apa reaksi spontan Ustaz tatkala didedahkan
dengan fakta ini?
Ustaz Wan Azhar
(UWA): Dinilai dari satu sudut, ia menggambarkan bahawa negara kita sedang
berada dalam suasana yang sangat bahaya. Kita kini terdedah kepada kemunculan
satu generasi yang tidak ada jaringan hidup yang teratur dan melanggari fitrah
kehidupan manusia biasa.
Dari sudut agama,
anak luar nikah ini bukan sahaja menyanggahi sistem agama yang fitrah ini
(Islam), tetapi turut tidak boleh diterima oleh agama-agama lain, kerana ia
menyalahi peraturan kehidupan beragama yang mementingkan penjagaan keturunan.
Angka yang
didedahkan JPN itu bukan angka kecil. Ia tidak boleh dipandang ringan oleh
masyarakat kita. Bagi saya ia ibarat barah yang bakal merebak menjadi suatu
gejala yang akan meruntuhkan masyarakat kita.
Mungkin suatu
masa nanti generasi (anak luar nikah) ini akan berbangga dengan kelahiran mereka
yang seperti itu. Tidak mustahil mereka berbangga sebab tatkala itu golongan
mereka sudah menjadi terlalu ramai.
Kita lihat contoh
bagaimana di USA (Amerika Syarikat) misalnya, golongan gay dan lesbian, mereka
ini bangga dengan tabiat homoseksual mereka. Malah dalam keadaan tertentu mereka
menjadi kuasa penentu apabila jumlah mereka terlalu besar.
AM: Ekoran pendedahan
JPN itu, banyak ulasan mengenainya dibuat, yang menjurus kepada kesimpulan
bahawa punca utama berlakunya kes anak luar nikah ialah angkara pergaulan
bebas, cetek fahaman agama dan tidak menghiraukan soal dosa-pahala. Apa pula
komen Ustaz?
UWA: Saya melihat
puncanya yang pertama ialah apabila sistem yang menguasai kehidupan masyarakat
kita tidak menjurus kepada sistem fitrah kejadian manusia. Saya tidak
mengatakan kes ini (anak luar nikah) berpunca seratus peratus daripada pelaku
gejala berkenaan sahaja (pasangan hubungan terlarang). Dari satu sudut, sistem
yang menguasai kehidupan masyarakat kita menyebabkan mereka tidak ada rasa bimbang
tentang aktiviti harian yang sebenarnya menjadi amalan-amalan muqoddimah
menjuruskan masyarakat ke arah itu.
Antara yang saya
sifatkan sebagai muqoddimah itu ialah wjudnya pusat-pusat hiburan, kelab malam
yang diberikan lesen untuk beroperasi. Sedangkan bagi saya ini tak memberi
natijah, tak menyumbang ke arah membendung gejala yang merosakkan itu.
Kedua, kelemahan
institusi kekeluargaan. Sebilangan ibu bapa terlalu memberi kepercayaan kepada
anak-anak untuk menentukan halatuju kehidupan masing-masing. Ini sangat bahaya,
sebab bila pemantauan ibu bapa tidak berlaku, di situlah mula terungkainya
ikatan kekeluargaan yang kukuh.
Saya lihat kadang-kadang
tabiat hidup anak-anak itu dicerminkan oleh kehidupan ibu bapa mereka sendiri.
Maksud saya, mereka (anak-anak) mengambil model dalam diri ibu bapa. Kesibukan
rutin harian (ibu bapa) sehingga tidak sempat mengambil tahu banyak perkara
tentang anak-anak akhirnya dicontohi. Mereka (anak-anak) turut mengambil mudah
tentang hidup mereka.
Ketiga, sikap
ananiyyah (individualistik) yang semakin berkembang dalam masyarakat kita.
Jiran sesama jiran tak bertanya khabar, tak ambil peduli apa yang berlaku di
persekitaran. Ini semua menyumbang kepada kes yang berlaku itu.
Keempat,
kesungguhan pihak berkuasa untuk membendung gejala ini belum terbukti, malah
amat mendukacitakan. Saya mengambil contoh apa yang dapat dilihat sedang
merebak di kawasan Felda. Mereka ini asalnya memiliki satu corak kehidupan yang
tetap, maksudnya agak terpisah dan tidak terdedah kepada dunia luar.
Malangnya kualiti
kehidupan mereka kini semakin merosot ekoran masuknya budaya baru ke
persekitaran mereka. Masuknya hiburan dalam bentuk VCD dan sebagainya, begitu
juga gejala dadah. Felda akhirnya menjadi persekitaran baru yang sangat subur
menyumbang kepada gejala (anak luar nikah) yang parah.
Bagi saya
membendung wujudnya persekitaran buruk itu memerlukan komitmen pihak berkuasa,
dan hingga kini saya tidak nampak kesungguhan itu.
AM: Jika dilihat
fakta didedahkan JPN itu, ia menampakkan pola peningkatan kes tahun ke tahun.
Dengan jumlah lebih 17 ribu kes untuk tahun 2009, tahun 2010 ini mungkin
meningkat kepada 18 ribu, 2011 pula mungkin 19,500 dan begitulah seterusnya.
Maka sekiranya untuk tahun 2009, seorang anak luar nikah lahir dan didaftarkan
setiap setengah jam, dibimbangi mungkin lima tahun lagi kekerapan itu berlaku
di setiap 10 atau lima minit. Bagaimana Ustaz menilai kesan jangka panjang
gejala ini?
UWA: Kita akan
berdepan satu generasi yang “putus” dari sudut keturunan. Ketika itu segala
urusan kekeluargaan, terutamanya berhubung faraid harta, wali dan sebagainya
semakin berkecamuk. Institusi kekeluargaan sudah terlalu goyah.
Hasilnya, yang
pertama, hancurlah model kehidupan. Umat Islam itu sendiri tidak akan dapat
dilihat sebagai model terbaik, terutama oleh kalangan bukan Islam. Mereka akan
nampak sama saja umat Islam dengan mereka, sama-sama anak yang tak jelas siapa
bapanya.
Begitu juga dari
sudut melebarkan lagi jalur kehidupan jahiliyyah dalam masyarakat.
Terjerumusnya mereka ini ke lembah hina akan menyumbang peningkatan keruntuhan
moral masyarakat, seumpama kes buang bayi. Ada yang letak mayat bayi dalam
plastik, kemudian sangkut di pagar bersama-sama sampah yang lain. Ada pula kes
tinggal bayi di tepi masjid beserta nota, “sekiranya bayi ini masih hidup,
tolong namakan dia dengan nama Islam. Kalau mati, tolong kebumikan dia secara
Islam”. Menunjukkan bayi itu dari keturunan Islam.
Kehidupan sudah
tak dinilai dengan baik, terutama oleh si pelaku itu sendiri, sama ada “bapa”
atau “ibu” yang melahirkan mereka.
AM: Kita andaikan
pola peningkatan tadi berterusan begitu. Maka dalam 15 ke 20 tahun lagi, lebih
separuh anak muda atau remaja ketika itu adalah anak luar nikah. Ada
kebimbangan ketika itu calon menantu kita sendiri kemungkinan besar terdiri
dari golongan ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri ada berpesan agar
umatnya memilih pasangan berdasarkan keturunan yang baik, selain agamanya.
Bagaimana menghadapi kemungkinan ini, Ustaz?
UWA: Dalam agama
kita, ada empat asas pilihan (pasangan hidup). Rupa paras, harta kekayaan,
keturunan, agama. Agama nombor satu. Kedua, keturunan.
Keturunan
seseorang adalah gambaran kemuliaan sesebuah institusi keluarga. Dalam kes anak
luar nikah ini, keturunan yang mulia itu sudah terputus.
Jika bakal
menantu kita anak luar nikah, dari mula nak kahwin lagi sudah masalah. Siapa
nak jadi walinya? Orang akan persoal bagaimana nasabnya? Di situ bakal bermula
kepincangan dalam insttusi keluarga tersebut.
Tiada orang akan
rasa seronok terima menantu sedemikian. Sebab itu seperti yang saya sebutkan di
awal tadi, urusan memilih menantu tidak harus diserahkan 100 peratus kepada
anak-anak. Ibu bapa juga perlu bertanya khabar, menyelidik susur galur keluarga
bakal menantu.
AM: Apakah
tradisi atau adat resam itu masih mampu dipertahankan 15 atau 20 tahun akan
datang?
UWA: Hal itu
memerlukan kita kembali kepada struktur masyarakat asal. Struktur masyarakat
kini, matlamat hidup kita sudah berbeza. Kerja, mengumpul harta dan mengejar maddiyyah
(kebendaan) jadi keutamaan hidup. Kita tak lagi mengutamakan agama dan redha
Allah dalam kehidupan.
Masing-masing
dengan urusan masing-masing. Struktur asal ini kita lihat lebih kuat diamalkan
di kampung-kampung. Mereka ambil tahu hal jiran, bekerjasama, gotong-royong,
ziarah-menziarahi. Tradisi ini mengikat satu kelompok dengan kelompok yang lain
dalam masyarakat.
Berbeza dengan
masyarakat maddiyyah tadi. Jiran sebelah masuk hospital, pun tak ziarah. Rumah
sebelah masuk pencuri pun, jiran tak kesah. Pencuri memang senang masuk kawasan
macam ini. Sebab, masing-masing tak ambil tahu. Hinggakan pencuri boleh datang
angkut barang sebuah rumah dengan lori. Jiran sangka memang dia orang nak
pindah. Itu berlaku apabila sifat-sifat kejiranan dah hilang.
Nilai hidup
bermasyarakat perlu dipertingkatkan. Perlu ambil tahu hal jiran, isu-isu
berlaku dalam kelompok masyarakat setempat. Aspek kejiranan perlu
dipertingkatkan.
Apabila struktur
itu wujud, jiran sesama jiran akan lebih prihatin dan bertanya khabar. Maka
apabila mereka diundang ke majlis kahwin anak kita, misalnya, mereka akan tanya
menantu kita orang mana, anak siapa dan sebagainya.
Bayangkan jika
jiran buat tak kisah, datang kenduri sekadar makan dan bersalam, bersembang pun
tidak, apatah lagi nak ambil tahu tentang menantu. Maka sebab itu berlaku kes
rumah sebelah dapat cucu tak sampai enam bulan kahwin pun, jiran sebelah
terlepas padang.
AM: Tidakkah
terlalu mengambil tahu hal jiran sebegitu dianggap menjaga tepi kain orang?
UWA: Ya, ada ayat
al-Quran yang menyebut (maksudnya): “Demi sesungguhnya orang mukmin sesama
mukmin itu bersaudara”. Ada hadis Nabi s.a.w. pula menyebut, “tidak sempurna
iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia
kasihkan dirinya sendiri”.
Ini saranan
agama, supaya kita pupuk kasih-sayang antara sesama mukmin, ambil tahu hal
mereka, susah-senang mereka. Tidak timbul soal jaga tepi kain orang. Prinsip
ini memang bercanggah dengan sifat individualistik yang dipupuk di Barat.
Malah Islam juga
ada prinsip amar maaruf, nahi mungkar. Usaha ini juga melibatkan kita mengambil
tahu isu-isu persekitaran. Bahkan Rasulullah s.a.w. ada bersabda, kalau kita
sekadar benci (maksiat) dalam hati, tak menzahirkan teguran kepada yang
melakukan perbuatan tak elok, itu selemah-lemah iman.
AM: Maksudnya,
Ustaz masih optimis gejala ini boleh ditangani, walau pun fakta peningkatan itu
amat membimbangkan?
UWA: Ianya dengan
syarat. Pertama dan paling penting, kerajaan perlu lakukan program pemantauan
dan pencegahan secara bersungguh. Ia bukan setakat mencipta kaedah dan
berbincang macamana nak laksanakannya. Kerajaan juga perlu lebih terbuka untuk
mengambil dan menggunapakai model yang telah dilaksanakan pihak lain,
contohnya, Kelantan.
Secara lapang
dada mereka yang berhasrat melakukan kebaikan dan berusaha mencegah gejala
merosakkan masyarakat boleh mencontohi apa yang telah dilaksanakan kerajaan
Kelantan. Antaranya ialah kempen solat setiap tahun. Walau pun program ini
nampak simple, tetapi kesannya besar kepada masyarakat.
Program ini
sebenarnya satu bentuk pencegahan yang boleh menghalang anak muda tertarik
kepada muqoddimah gejala buruk. Kita tackle angin anak muda supaya jinak dengan
Islam, tarik mereka hayati Islam, sekali gus terhindar mereka dari mendekati
program tidak baik.
Kedua, kerajaan
perlu mempromosi kehidupan masyarakat secara Islam. Contohnya, dalam
mempromosikan pelancongan, jangan hanya berdasarkan tarikan semulajadi sesuatu
tempat atau latar sejarahnya. Tonjolkan sama kehidupan harian institusi
keluarga Islam, model keluarga Islam. Pertontonkan kepada para pelancong
bagaimana sebuah keluarga Islam memulakan hari mereka, mengikut adab dan ajaran
Islam.
Jika itu
dilakukan, kita telah mendedahkan mereka kepada cara hidup Islam. Mereka boleh
ambil contoh dari kita, dan bukannya kita yang meniru gaya hidup dan budaya
yang mereka bawa ke mari.
Ketiga, kerajaan
juga perlu buka ruang kepada semua pihak. Buka kepada NGO (pertubuhan bukan
kerajaan), bahkan parti-parti politik untuk ikut serta merumus model
penyelesaian kepada permasalahan masyarakat. Era atau zaman yang meletakkan hanya
kerajaan lebih tahu segala hal berbanding rakyat sudah berlalu. Rakyat juga
berhak ikut serta mencorakkan identiti negara kita, terutama dalam hal yang
berkaitan asas kehidupan mereka.
(Artikel ini adalah wawancara yang disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Mei 2010 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment