oleh: Mat Zain Mat Isa
Tidak sukar ditelah betapa besarnya impak dan implikasi politik daripada pendirian tegas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) dalam isu pertikaian hak royalti minyak Kelantan kini. Kesediaannya bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri diterajui PAS menjelaskan isu berkenaan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu pada 28 Januari malah membuatkan batang tubuh Umno menggelegak.
Kehadiran bekas Pengasas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu selaku pengucap utama malam tersebut memberikan kesan amat bertentangan kepada PAS dan Barisan Nasional (BN). Di satu pihak ia dianggap sokongan paling kuat serta pembuktian amat signifikan buat kerajaan negeri meneruskan tuntutannya ke atas hasil minyak yang disedut di luar pantai Kelantan.
Di pihak lain pula, kelantangan Ku Li memperjuangkan hak negerinya itu menjadikannya “duri dalam daging” kepada partinya. BN yang bertegas menafikan pemberian royalti minyak kepada Kelantan terasa bagaikan “dicah keting” oleh ahli politik berpengalaman itu.
Latar belakang penglibatan Ku Li secara langsung dengan pemeteraian perjanjian antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri di era 70-an, di samping selaku bekas Menteri Kewangan, menjadikannya seorang yang sangat autoritatif tentang fakta latar sejarah dan letak duduk perkara dipertikaikan itu. Ketegasannya yang memihak kerajaan Kelantan menyulitkan BN mempertahankan hujah dan sandaran tindakannya.
Akibatnya, seluruh batang tubuh Umno bagaikan penasaran. Hampir tiada pendokongnya, dari pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap Umno peringkat bahagian, yang tidak meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap Ku Li.
Ada menteri yang juga bekas rakan karib Ku Li, dan pernah mengisytiharkan “bakar jambatan” dengan Umno ketika bersama Ku Li menjayakan Parti Semangat 46 (S46) dulu, kini menganggap bekas ketuanya itu berdolak-dalik. Katanya Ku Li tidak konsisten dalam pendiriannya mengenai isu royalti. Anak raja itu malah didakwa cuba bermain politik dan mahu mengelirukan rakyat.
Tidak cukup pemimpin yang masih berjawatan, yang sudah pencen juga turut dimanfaatkan untuk berhujah bagi pihak Umno. Ada pemimpin veteran parti itu di Kelantan menganggap Ku Li telah bertukar daripada orang tengah yang menjernihkan keadaan menjadi umpama minyak yang menyalakan api. Barangkali beliau mengakui hakikat gelora dalaman Umno negeri itu dan sebelum ini mengharapkan Ku Li selaku pemimpin berpengalaman menjernihkannya.
Berbagai desakan dan saranan balas juga kedengaran sejak malam itu. Ada yang menyarankan Umno mengambil tindakan tegas terhadap Ku Li. Ada pula menuntut Ku Li memberi penjelasan lebih lanjut atas tindakannya itu.
Namun paling menarik dari sekalian banyak reaksi itu ialah keterlanjuran Pemuda Umno Kelantan mendesak Ku Li melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen BN. Isnin (1 Februari) lalu, Ketuanya, Anuar Safian menyarankan Ku Li melepaskan jawatan itu dan menyertai PAS atau Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang dilihat lebih sesuai dengan pendiriannya berhubung isu royalti kini.
Apa yang menjadikannya menarik ialah apabila Ku Li menyatakan kesediaan menyahut saranan Pemuda Umno itu. Menerusi kenyataan dikeluarkan Pegawai Khasnya, Muhd Lukhman Ghani, Ku Li dikatakan bersedia meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Gua Musang pada bila-bila masa.
“Tetapi beliau (Ku Li) risau jika berbuat demikian Umno tidak akan menang di Gua Musang (jika diadakan pilihan raya kecil). Bagaimana pun, jika Pemuda Umno yakin boleh menang, ku Li rela letak jawatan,” akhbar pada Rabu (3 Februari) memetik katanya.
Nah! Bukankah itu satu tempelak sangat menyakitkan atas keceluparan Pemuda Umno Kelantan? Tepat sepertimana dikatakan Ku Li, pihak yang mendesaknya berbuat demikian seharusnya memikirkan kesan jangka panjang ekoran kenyataan berkenaan.
Kenyataan cetek Pemuda Umno meletakkan parti itu dalam keadaan terjerat, antara mempertahankan prinsip partinya dan memikirkan kelangsungan parti di Kelantan. Apa yang tersirat dalam penegasan Ku Li itu sebenarnya memberikan implikasi politik amat mendalam buat Umno, khususnya berhubung survival politik parti itu.
Adalah dimaklumi bahawa Gua Musang adalah kubu kuat Ku Li. Kerusi itu telah menjadi milik peribadinya sejak lebih 40 tahun lalu. Kemunculannya bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ulu Kelantan Barat pada 1969. Bermula 1974, beliau memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan selama tiga penggal.
Kerusi itu ditukar nama kepada Parlimen Gua Musang pada 1986, tetapi penyandangnya tidak bertukar hingga kini. Bahkan, dua penggal di tengah-tengahnya, iaitu pada 1990 dan 1995, Ku Li masih mempertahankan kerusi berkenaan walau pun di atas tiket S46.
Jangan lupa apabila BN hanya tinggal “dua nesan” di Kelantan pada 1999, kedua-dua kerusi itu iaitu Paloh dan Galas terletak di Gua Musang. BN turut mempertahankan dua kerusi di kawasan itu (Paloh dan Nenggiri) pada 2008. Apakah Umno rasa boleh menang di situ tanpa Ku Li?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1512, 8 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis' F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment