oleh: Mat Zain Mat Isa
Memahami segala fakta yang melatari letak duduk institusi kehakiman negara menyebabkan tidak ramai yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penentuan siapa Menteri Besar Perak yang sah, Selasa (9 Februari) lalu. Meski pun penantian tarikh itu disulami segala macam telahan dan andaian, keputusan memihak kepada Barisan Nasional (BN) sudah dijangkakan.
Sebab itu meski pun tersebar luas desas-desus sejak beberapa minggu sebelumnya mendakwa kononnya panel lima hakim membicarakan kes itu bakal memberi kemenangan kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat (PR), Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku perayu, tidak ramai yang optimis dengan kemungkinan itu.
Gerak hati dan andaian mereka tepat. Selasa lalu Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN-Pangkor, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak Februari tahun lalu adalah sah mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).
Kini kes itu sudah menjadi akademik. Keputusan itu dijadikan muktamad dan tidak boleh dirayu lagi. Meski pun sukar untuk berpuas hati, kita mampu menerima kenyataan itu dan menghormati kedaulatan undang-undang.
Tidak syak lagi BN menjadi pihak paling gembira dengan penafsiran undang-undang yang memihaknya itu. BN mendakwa keputusan itu membuktikan ia di pihak benar. Bahawa undang-undang telah mengiktiraf tindakannya merampas kuasa secara rakus dan tidak beretika setahun lalu itu sesuatu yang tidak menyalahi peraturan perlembagaan.
Sementara para pemimpin BN kini boleh tersenyum puas atau terus tersengih selama yang mereka mahu, implikasi politik dari keputusan kes itu belum tentu semanis perasaan mereka. BN silap besar sekiranya ia menyangka kemenangan di Perak itu berupaya menyamak batang tubuhnya dari kekejian politiknya selama ini.
Persepsi negatif yang mengaitkan BN dengan segala taktik tidak bermoral dan amalan tidak demokratik kekal bersarang dalam hati rakyat. Meski pun ia berusaha memadamkan persepsi itu dan cuba menggambarkan kemenangan di mahkamah itu sebagai tanda sokongan majoriti rakyat, dakwaan itu kedengaran terlalu janggal dan mual.
Menyanjungi penyelesaian mahkamah mengatasi keputusan pemilihan oleh rakyat adalah terlalu jauh untuk dianggap penyelesaian secara demokratik terhadap pertikaian kredibiliti sesebuah kerajaan. Sebab itu rata-rata komen yang kita dengar masih menjurus agar Dun Perak dibubarkan.
Kita tetap meyakini hanya dengan menyerahkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyat akan benar-benar menjadikan penyelesaian kes itu menepati prinsip demokrasi. Itulah yang didambakan pelbagai pihak.
“Kita mahu memberitahu bahawa kemelut perlembagaan di Perak belum diselesaikan kecuali hak untuk memilih kerajaan diberikan kepada rakyat kerana mahkamah hanya mentafsirkan undang-undang”, komen Nizar pada sidang media selepas keputusan mahkamah itu.
Seebtulnya, keadaan kini suatu cabaran lebih berat buat BN, khususnya Umno sebagai parti tunjangnya, untuk membuktikan beberapa perkara. Pertama, di antara hujah mendorong keputusan memihak BN ialah kerana ia mendapat sokongan majoriti Adun Perak. Maka, sekiranya sokongan itu dianggap mewakili sokongan majoriti rakyat negeri itu, mengapa BN perlu takut untuk menyerahkan semula kuasa memilih kerajaan kepada rakyat?
BN perlu buktikan ia berani bersemuka dengan rakyat, berani berhadapan realiti sebenar di luar sana, dan bukan berpuas hati dengan sekadar berselindung di sebalik mahkamah.
“Ini isu demokrasi dan siapa yang mendapat mandat. Tidak boleh berselindung dengan apa-apa institusi atau sistem melainkan untuk kembali mendapat mandat yang sah daripada rakyat,” demikian komen Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pandangan senada turut dikongsi Karpal Singh, pemimpin DAP dan pengamal undang-undang tersohor. Baginya mendapatkan kehakiman daripada rakyat adalah lebih baik berbanding merasa cukup dengan lima hakim yang membuat keputusan.
Itu juga cabaran untuk dibuktikan BN, khususnya Umno. Ia menguji komitmen Umno untuk menjadi parti yang lebih terbuka dan demokratik dengan menyerahkan hak membuat pemilihan kepada pihak lebih ramai. Bukankah itu intipati utama pindaan perlembagaan Umno, Oktober lalu?
Di antara pindaan penting dibuatnya ialah memperluaskan jumlah perwakilan daripada 2,510 kepada 146,500 orang. Umno mendakwa pindaan itu menjadikannya lebih demokratik. Logiknya, melibatkan lebih ramai ahli dalam memilih pemimpin adalah lebih terbuka dan demokratik berbanding sejumlah kecil perwakilan sebelum ini.
Banyak pihak memuji pindaan itu. Umno dianggap berani membuat perubahan, telus dan terbuka serta menghayati nilai demokrasi. Malangnya pendirian ditunjukkan Umno dalam kes di Perak kini amat tidak konsisten dengan semangat pindaan perlembagaannya sendiri.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1514, 15 Februari 2010 di ruangan 'fokus', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment