Oleh: Mohd Nasir Awang
Kalau lah tidak kerana kebatilan perjuangan Umno yang tersasar dari prinsip kebenaran dan keadilan, barangkali porak peranda politik dan sosial yang melanda negara tidak akan terzahir seteruk kini. Disebabkan kesilapan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu menolak kebenaran perjuangan berlandaskan Islam, negara kini terjerumus ke dalam keadaan haru-biru dan tidak keruan.
Kalau lah tidak kerana kebatilan perjuangan Umno yang tersasar dari prinsip kebenaran dan keadilan, barangkali porak peranda politik dan sosial yang melanda negara tidak akan terzahir seteruk kini. Disebabkan kesilapan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu menolak kebenaran perjuangan berlandaskan Islam, negara kini terjerumus ke dalam keadaan haru-biru dan tidak keruan.
Bertitik tolak dari dasar nasionalisme sempit yang mementingkan bangsa, parti itu mengenepikan prinsip keadilan yang dituntut agama dan kehidupan sejagat. Apabila parti-parti lain terasa dipinggirkan maka berlakulah persaingan tidak sihat dalam mendapatkan kuasa politik mahu pun ekonomi.
Umno adalah parti berteraskan kebangsaan Melayu. Saya masih ingat para asatizah PAS dalam ceramah-ceramah mereka di era 80-an dulu sering menggunakan istilah Arab yang disebut “Asobiyyah Malayuwiyyah”.
Gambaran yang sering difahami ialah tidak ada yang tidak Melayu pada Umno dan tidak ada perjuangan yang berasaskan hak dan kepentingan Melayu tanpa hubung kait dengan Umno.
Ertinya segala-gala yang berbau, berbunyi dan berupa Melayu mesti ada unsur-unsur Umno di dalamnya. Begitulah hakikat yang mereka dakwa. Imej itulah juga yang sering disebar luas dan dipasakkan ke minda rakyat, khususnya bangsa Melayu.
Kehebatan Umno mencanangkan perjuangan Melayu menyebabkan rakyat terlupa tentang nama Umno itu sendiri yang langsung tidak berbau Melayu. Ia adalah kependekan kalimah-kalimah bahasa penjajah.
Bahkan kepalsuan perjuangan Melayu Umno bukan setakat kegagalannya menggunakan nama Melayu. Ia turut menyempitkan agenda politiknya dengan amalan kronisme atau politik suku-sakat. Perjuangannya untuk Melayu dan bumiputera akhirnya menjadi untuk “Umno-putera”. Hanya Melayu Umno diberikan manfaat atas kekuasaannya.
Para pendokong pembangkang, khususnya penyokong PAS adalah mangsa utama dasar diskriminasi dan sisihan politik Umno. Hampir tiada ruang dan peluang diperolehi Umno yang tidak dimanipulasinya untuk menafikan hak dan kepentingan Melayu bukan Umno.
Itulah punca segala masalah. Apabila keadilan sudah diketepikan dan agenda mementingkan kumpulan tertentu diutamakan, maka natijahnya kepada pihak yang menjadi mangsa diskriminasi amat mendalam.
Persaingan mendapatkan kuasa menjadi bertambah mendesak. Rasa kecewa, marah, ingin membalas dendam dan hasrat melihat kejatuhan Umno membiak subur di kalangan pendokong parti-parti lawan.
Keadaan diburukkan lagi apabila ketajaman perjuangan Umno untuk bangsa Melayu dicemburui rakan-rakan parti bukan Melayu dalam komponen BN sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan mereka jika masing-masing berusaha memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa mereka. Sekiranya Umno hanya tahu memanfaatkan ruang dan peluang kuasa politiknya untuk kepentingan Melayu, mengapa tidak perkara serupa dibuat parti-parti rakannya?
Saya melihat latar sejarah itu sebagai faktor utama menyebabkan wujudnya unsur tidak sihat dalam persaingan politik negara. Bagi saya faktor sama juga menunjangi isu nasib Melayu Pulau Pinang yang dikatakan semakin terpinggir kini.
Media massa terutama media cetak kebelakangan ini banyak menyiarkan sorotan nasib Melayu negeri itu, terutama ekoran kejadian perobohan beberapa gerai milik mereka oleh kerajaan negeri pimpinan DAP minggu lalu.
Bertitik tolak daripada isu pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), ia dipanjangkan pula kepada sentimen bangsa. Menghangatkan sentimen itu ialah apabila sebilangan gerai bukan Melayu yang didakwa juga tidak menepati peraturan PBT tetapi tidak diambil tindakan serupa.
Kelantangan Ahli Parlimen Bayan Baru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang bagai mengesahkan wujudnya dwi-piawaian berasaskan bangsa dalam tindakan PBT itu.
Akuilah bahawa isu Melayu Pulau Pinang bukan isu baru. Malah sejak di bangku sekolah pada 80-an dulu pun saya sudah biasa membaca pantun dua kerat menggambarkan nasib mereka.
“Balik Pulau, Bayan Lepas. Sana terpelau, sini terlepas”. Itulah gambaran dilema hidup orang Melayu Pulau Pinang sejak sekian lama.
Justeru jika nasib mereka cuba dijadikan isu mutakhir ini, ia akan ditelah orang hanya sekadar manipulasi jahat BN untuk memburukkan pemerintahan Pakatan Rakyat negeri itu. Nasib Melayu di sana sebenarnya legasi pemerintahan BN juga.
Maka jika Umno kini beriya-iya menunjukkan kejaguhannya membela Melayu Pulau Pinang, rakyat patut tanya apa parti itu telah buat selama lebih separuh abad berkongsi memerintah negeri itu?
Tidak wajar ditolak juga Umno mungkin ada agenda tersembunyi dalam isu ini. Keinginannya mengambilalih teraju BN negeri daripada Gerakan telah terzahir secara terang-terangan Disember lalu.
Gerakan kini menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya. Ia menghadapi prestasi terburuk dalam pilihan raya umum lalu. Kesemua calonnya di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang tewas.
Nasib menimpa Gerakan itu cuba diambil kesempatan oleh Umno. Selaku rakan, Umno bukan menawarkan pertolongan memulihkan Gerakan, tetapi menuntut jawatan Pengerusi BN negeri disandang Gerakan diserahkan kepadanya.
Tidak mustahil, bagi mewajarkan tuntutan itu, Umno mengeksploitasi isu Melayu bagi memperlihatkan kononnya ia jaguh membela bangsanya. Apakah semudah itu rakyat melupakan kegagalan Umno selama ini?
Isu ini mengingatkan saya kepada Ustaz Awang Abu Bakar, seorang ulama dan pemimpin veteran PAS Terengganu. Di zaman kemuncaknya dulu beliau kerap menyelitkan pantun empat kerat dalam ceramahnya, “Bukan salah ibu mengandung, tapi malang nasib badan. Kerana salah dasar dijunjung, akhirnya negeri diambil orang”.
Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0186, 7 Februari 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment