KEHADIRAN 12 Rabiul Awal 1430 Hijriah disambut penuh
meriah oleh umat Islam serata dunia. Di negara kita sendiri, pelbagai acara
sambutan disediakan untuk menyambut ketibaan tarikh kelahiran Junjungan Besar
Nabi Muhammad s.a.w itu.
Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan telah
diadakan dengan jayanya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 9 Mac lalu. Tema yang
dipilih bagi sambutan tahun ini ialah ‘Wahdah
Pemangkin Khaira Ummah’.
Sepertimana lazimnya majlis itu disambut di negara kita
sejak berzaman, ia tidak akan dianggap sah dan sempurna tanpa diadakan
perarakan sambil berselawat ke atas Nabi s.a.w. Para peserta akan menjulang sepanduk
tertulis berbagai kalimah menyanjung tinggi kemuliaan Rasulullah s.a.w selain
slogan yang menjadi tema sambutan.
Begitulah senario yang berlaku saban tahun. Kalau pun ada
perubahan ketara, ia mungkin melibatkan persembahan nyanyian yang semakin rancak
temponya atau alunan muzik yang semakin membingitkan telinga.
Pada pemerhatian lain pula, para peserta muda lebih
berminat menjayakan acara nyanyian yang diiringi muzik yang melenggokkan badan.
Manakala persembahan tradisi seperti berzanji dan marhaban, yang dinilai lebih
dekat dan relevan dalam konteks sambutan Maulidur Rasul, hanya dibarisi peserta
berusia separuh abad ke atas.
Justeru, ada yang mempersoalkan apakah yang sebenarnya
cuba kita capai dan buktikan daripada acara sambutan serupa itu? Lebih sinikal lagi,
ada yang melontarkan keraguan, sejauh manakah sambutan sedemikian rupa
bertepatan dengan saranan dan suruhan agama?
Beberapa soalan lain menyusul. Antaranya, apakah ada nas
yang jelas dalam al-Quran mahupun hadis Nabi s.a.w menggesa umat Islam menyambut
hari lahir Baginda? Dalam konteks negara kita, apakah pandangan ulama dan mufti
dirujuk secara khusus dalam menyusun acara sambutan dimaksudkan itu?
Ahh! Ada yang menyanggah dan menyoal balas, ‘apa salahnya
berarak dan berselawat memuji-muji Nabi Muhammad s.a.w? Tidakkah mengucap
selawat itu dijamin pahala dan ganjaran oleh Allah dan Rasullullah s.a.w
sendiri?”
Ya, memang ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebut
tentang kelebihan berselawat kepada Nabi s.a.w. Ia memang dijamin ganjarannya.
Namun perlu diakui juga, ia boleh dilakukan di mana saja,
tidak semestinya di jalan raya sambil berarak. Ia juga tidak perlu menunggu
hanya 12 Rabiul Awal untuk diucap, malah boleh disebut bila-bila masa sepanjang
hayat umat Islam. Bukankah itu lebih baik dan mudah, jika ganjaran Tuhan yang
diinginkan?
Sebetulnya, tidak keterlaluan diakui bahawa orang-orang
Melayu memang cenderung menegakkan syiar berbanding syariat Islam. Mereka lebih
ghairah melakukan sesuatu yang secara lahiriahnya membuatkan orang menilai mereka
sebagai seorang Islam yang berpegang pada agama.
Selain berarak dan berselawat pada hari Maulidur Rasul,
orang Melayu juga minat bertahlil dan membuat kenduri arwah, terutama mengikut
bilangan hari kematian seseorang. Kita juga minat mengacau bubur Asyura setiap
kali kedatangan Muharam.
Semua amalan itu lebih cenderung kepada syiar berbanding
syariat agama. Maka hujah paling lumrah kita dengar ialah kita melakukan
kesemua amalan yang sudah menjadi adat masyarakat itu kerana mendekatkan diri
kepada suruhan Allah dan Nabi-Nya s.a.w.
Tidak salah kita melakukan sesuatu seumpama itu, asal
saja ia mendatangkan kebaikan dan tidak bercanggah dengan hukum-hakam agama. Soalnya,
apakah amalan yang sepatutnya diberikan keutamaan dalam setiap peristiwa dimaksudkan
itu?
Contohnya, jika kita bercakap soal membuktikan kecintaan
dan kasih sayang kepada Baginda s.a.w menerusi perarakan dan ucapan selawat,
apakah pula saranan Allah dalam membuktikan kecintaan itu?
Ia terserlah menerusi ayat al-Quran di mana Allah memerintahkan
Nabi s.a.w mengkhabarkan kepada kita, bahawa sekiranya kita benar-benar
kasihkan Allah, maka cara terbaik ialah kita ikut apa yang Rasullullah s.a.w
kata dan buat.
Apa pula yang dikata dan dibuat Rasullullah s.a.w sendiri
mengenainya? Antaranya, Baginda menyebut, ‘solatlah
kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat’. Nah, sejauh manakah kita mengambil berat
saranan itu dan memastikan solat yang kita dirikan itu bukan semata-mata
sekadar melepasi yang wajib dan rukun, tetapi menghampiri sedapatnya dengan apa
yang dilakukan Rasulullah s.a.w?
Dalam konteks menyampaikan mesej Islam kepada umum,
Baginda s.a.w antara lain ada menyebut agar kita menyampaikan apa jua
pengajaran darinya walau satu ayat. Itu lagi payah kita nak pastikan diri
melaksanakannya, bukan?
Ada ratusan, malah ribuan lagi suruhan seumpama itu. Ia
terangkum menerusi nas yang jelas, sama ada ayat al-Quran mahupun Sunnah Nabi
s.a.w.
Sebagai kesimpulan, amat menyimpang tanda kecintaan kita
kepada Baginda s.a.w sekiranya kita lebih mengutamakan sesuatu yang Baginda
sendiri tidak meminta kita lakukan, sedangkan di masa sama kita memilih untuk
terlalu selektif atau rejektif dalam memenuhi apa yang Baginda s.a.w suruh.
Sehingga perkara itu kita perbetulkan, sambutan Maulidur
Rasul yang kita buat dalam rupa sekarang tidak bertepatan dengan hasrat
menyanjung kemuliaan Nabi s.a.w. Sebaliknya, oleh sebab kehidupan seharian kita
mengenepikan ketaatan kepada apa yang Baginda s.a.w suruh, maka memuji dan
menyanjungnya hanya pada hari lahirnya saja adalah ibarat mempersendakan
risalah yang dibawanya kepada kita.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, April 2009 di ruangan ‘pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment