“Hak dan keistimewaan bahasa Melayu telah
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”
Oleh: Anuwa Jamalullail
JIKA benar bagai dilaporkan akhbar minggu lalu bahawa
seorang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di Pulau Pinang mencadangkan agar
semua papan tanda di jalan-jalan utama negeri itu menggunakan bahasa Mandarin
dan Tamil selain bahasa Melayu, ia satu lagi pemikiran tidak bijak disuarakan
penguasa politik negeri berkenaan.
Malah cadangan itu sendiri pun sudah membuka ruang lebih
luas untuk orang Melayu berprasangka bahawa semenjak negeri itu diperintah
parti bukan Melayu, kerajaannya semakin tidak sensitif terhadap hak dan
keistimewaan kaum bumiputera negara ini.
Sebuah akhbar harian Sabtu (28 Jun) menggambarkan secara
terperinci apa yang didakwa berlaku dalam mesyuarat penuh Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) sehari sebelumnya. Menurut akhbar itu, seorang Ahli Majlis
MPSP berbangsa Cina telah mengemukakan cadangan agar dua bahasa lain digunakan
selain bahasa Melayu di papan tanda jalan-jalan utama negeri.
Dua sebab merasionalkan cadangan itu diutarakan dan
kedua-duanya hanya mengambil kira kepentingan kaum Cina. Dikatakan pelaksanaan
itu akan memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang
ramai berkunjung ke Pulau Pinang saban tahun.
Kedua, penggunaan papan tanda dalam bahasa Mandarin akan
memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat
Cina. Cadangan itu turut mendapat sokongan seorang lagi Ahli Majlis MPSP yang
juga berbangsa Cina.
Mungkin ada lagi hujah lain yang lebih konkrit mereka
kemukakan. Akhbar bagaimana pun hanya melaporkan setakat itu. Jika semata-mata
di atas dua hujah itu, cadangan dikemukakan itu ternyata tidak bijak dan wakjar
dipertikaikan, berdasarkan beberapa pertimbangan.
Pertama, jika di atas hasrat memudahkan pelancong, apakah
Pulau Pinang menerima pelancong dari China sahaja? Bagaimana dengan para pelancong
Eropah, Arab, Afrika dan lain-lain negara? Nanti berapa banyak bahasa yang
perlu dipaparkan di papan tanda?
Ertinya, kita tidak wajar dan tidak perlu meraikan semua
kehendak pelancong. Lagi pun setiap negara ada indentiti sendiri, termasuk
negara kita Malaysia. Di antara identiti kita ialah bahasa tulisan dan
percakapan penduduknya.
Jangan sampai pelancong tersalah anggap bahawa mereka
sedang berada di Kowloon atau Madras. Sudahlah pertuturan penduduk ditemui
mereka bukan dalam bahasa Malaysia, papan tanda jalan juga ditulis menggunakan
bahasa berkenaan.
Kedua, jika dikatakan papan tanda dalam bahasa Mandarin
atau Tamil itu untuk kemudahan penduduk setempat, apakah itu bermakna masih ada
penduduk di Pulau Pinang yang tidak tahu membaca atau tidak faham tulisan
bahasa Melayu? Soalan ini sangat sensitif, tetapi itulah sanggahan paling
munasabah ditanya kembali terhadap hujah diberikan Ahli Majlis MPSP itu.
Perkara ini sebenarnya tidak perlu diusik. Hak dan
keistimewaan bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penggunaannya
telah diterimapakai seluruh rakyat sejak sekian lama tanpa sebarang pertikaian.
Amat malang sekiranya perkara yang tidak perlu
menjadi isu sebegini tiba-tiba sudah dijadikan isu. Sebagai sebuah negeri yang
baru diperintah Pakatan Rakyat, banyak lagi perkara yang boleh dan sepatutnya
diutamakan kerajaan negeri dan PBT Pulau Pinang selain mengusik sesuatu yang
tidak wajar sebegini.
Apatah lagi Pulau Pinang diterajui DAP. Sejak selesai Pilihan
Raya Umum ke-12 lalu, parti itu sudah acapkali terjebak dengan insiden yang
ditafsirkan sebagai mengguris perasaan orang Melayu. Antaranya membabitkan
penghormatan dan kesetiaan pemimpinnya terhadap Raja-Raja Melayu.
Dalam isu pelantikan Adun PAS Pasir Panjang sebagai
Menteri Besar Perak, Mac lalu, DAP pada awalnya membantah pilihan istana itu
sehingga menyebabkan upacara pelantikannya tertangguh. Onar mereka itu bukan
sahaja mengendalakan pembentukan kerajaan negeri, tetapi lebih jauh kesannya
ialah melukakan hati rakyat umum negara.
Sudah ada persepsi bahawa DAP yang rata-rata dikuasai
pemimpin politik kaum Cina tidak tahu menjaga sensitiviti kaum lain. Parti itu
bahkan dilihat sengaja mencabar hak dan jatidiri Melayu, termasuk kedaulatan
Raja-Raja mereka.
Persepsi negatif itu diburukkan lagi dengan pertikaian Pengerusi
DAP, Karpal Singh terhadap titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat
dan juga titah Tengku Mahkota Kelantan mengenai ketuanan Melayu.
Belum pun sempat kesan beberapa episod itu terubat di
hati rakyat, datang pula insiden di hari perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri
Johor, 19 Jun lalu. Adun DAP Bentayan, Gwee Tong Hiang lebih rela diarah
meninggalkan Dewan semata-mata kerana mempertahankan apa yang didakwanya
sebagai haknya untuk tidak memakai songkok.
Kes itu disifatkan banyak pihak sebagai tidak patut
berlaku. Apa sebenarnya yang mahu dibukti dan
diperjuangkan wakil DAP itu? Songkok bukan lagi hak eksklusif orang Melayu.
Dalam negara kita pemakaian songkok sudah diterima sebagai identiti nasional.
Justeru, apa perlunya wakil DAP itu memboikot pemakaiannya?
Parti itu perlu belajar dari beberapa insiden tadi. Ia
wajar lebih sensitif dengan sesuatu yang menyentuh kepentingan kaum lain. Isu berkaitan
mana-mana bangsa, bahasa dan agama sememangnya sentiasa sensitif. Apatah lagi
dalam konteks negara kita ini, jika sesuatu tindakan itu dilihat sebagai cubaan
menghakis atau mengancam hak orang-orang Melayu.
Itu belum lagi diambil kira peranan parti itu dalam
memperkenalkan dasar-dasar baru di Selangor, satu lagi negeri di mana DAP
mempunyai peranan besar dalam pemerintahannya. Antara isu agak sensitif bagi
orang Melayu dan umat Islam ialah isu ladang babi dan penghapusan peraturan
menghadkan keluasan rumah ibadat bukan Islam.
Perlu diingat tempoh beberapa bulan pertama pemerintahan
Pakatan Rakyat adalah masa bagi rakyat melihat dan menilai bentuk perancangan
dan dasar baru yang diperkenalkan. Sebab itu sebarang dasar dan peraturan yang
mahu diperkenal dan dilaksanakan perlu diteliti dan diambil kira pelbagai
aspek. Sensitiviti pihak lain, terutama kawan-kawan dari kaum lain dalam
Pakatan Rakyat perlu diperhalusi.
Sebagai pihak yang sentiasa menjadi fokus media dan
jentera musuh, kerajaan-kerajaan di bawah Pakatan Rakyat perlu sedari hakikat
ini. Mereka tidak wajar mengusik sesuatu yang tidak perlu. Jangan menjolok
sarang tebuan, jangan mengejutkan singa yang sedang tidur.
Tindakan sebegitu bukan suatu yang wajar dan bijak, sama
ada untuk integrasi kaum mahu pun mileage
politik jangka panjang.
(Artikel ini
diisarkan kahbar Mingguan Wasilah, edisi 6-12 Julai 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment