KALAU lah tidak kerana para pemimpin Umno sendiri yang
membuka jalan kepada pertikaian kuasa Raja-Raja Melayu sejak lebih dua dekad
lalu, besar kemungkinan episod yang dipanjangkan ekoran kenyataan Pengerusi
DAP, Karpal Singh kini tidak berlaku.
Atau, jika pun ia berlaku juga, barangkali perasaan
rakyat umum tidak begitu berbelah bahagi di dalam merasionalkan episod ini.
Makanya keadaan serba-salah dalam masyarakat rasanya tidak sekecamuk kini.
Sehingga rencana ini ditulis (11 Mei), sudah lebih
sepuluh laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu kerana
didakwa menghina Sultan dan Raja-Raja Melayu. Laporan itu termasuk yang dibuat
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Kelab Ahli
Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM),
Majlis Belia Malaysia (MBM) dan beberapa peringkat lain organisasi Umno.
Pada 7 Mei, Karpal dikatakan mempertikaikan kuasa sultan
dan campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri, terutama dalam kes
pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury. Karpal
mendakwa Sultan Perak tidak mempunyai hak dalam undang-undang untuk menitahkan
Kerajaan Negeri Perak menarik balik arahan pertukaran Jamry sebagai Pengarah
Jaip sebelum itu.
Beliau turut menerima kecaman apabila mempersoalkan titah
Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika perasmian sidang Dewan
Rakyat baru-baru ini. Kenyataan beliau itu segera ditafsirkan sebagai mencabar
kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mencemar kemuliaan institusi istana. Pihak
paling ghairah membantai pemimpin pembangkang itu ialah kalangan pemimpin Umno.
Penerimaan rakyat terhadap isu ini bagaimana pun ternyata
tidak sekata. Orang-orang Melayu sendiri berbelah bahagi. Bukan kerana mereka
tidak sayang atau taat kepada sultan dan raja, tetapi meragui kesahihan
pertikaian dimaksudkan Karpal itu.
Kesukaran rakyat untuk menelan apa yang dipaparkan media
tidak sukar difahami. Mereka cukup arif berhadapan putarbelit dan manipulasi
media negara yang sentiasa berat sebelah terhadap pembangkang.
Syak wasangka untuk ikut serta bersama Umno dalam
membantah “penderhakaan” Karpal itu juga ada kena-mengena dengan apa yang
pernah dilakukan parti itu sendiri terhadap Raja-Raja Melayu.
Dalam hal ini, Umno jangan beranggapan rakyat Malaysia
telah melupakan beberapa episod lalu, di mana para pemmpin Umno begitu biadab
menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu secara terbuka. Antaranya ialah isu
Pindaan Perlembagaan 1983 (kuasa meluluskan undang-undang), Pindaan Perlembagaan
1993 (imuniti raja-raja) dan insiden pertabalan “Sultan Baru” di Kelantan.
Dalam isu Pindaan Perlembagaan 1983, para pemimpin Umno
telah melakukan beberapa tindakan di luar peruntukan Perlembagaan, sekaligus
membelakangi raja-raja. Antaranya, mereka secara rahsia membawa pindaan itu ke
Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu mendapatkan perkenan
Majlis Raja-Raja.
Sedangkan menurut Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan: “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja”.
Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan
Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat
ialah berkaitan Fasal 66 (5). Peruntukan asal berbunyi: “Rang Undang-Undang
akan dikuatkuasakan apabila Yang Dipertuan Agong menandatanganinya”.
Peruntukan tersebut dipinda kepada, “Rang Undang-Undang
akan dikuatkuasakan sebagai Undang-Undang apabila ditandatangani oleh Yang
Dipertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-Undang itu tidak
ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-Undang itu
disembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Baginda dianggap telah menandatangani
Rang Undang-Udang tersebut dan Rang Undang-Undang itu berkuatkuasa sebagai
Undang-undang”.
Turut dipinda ialah peruntukan pada Fasal 150 (1), di
mana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana
juga dalam negara ini, maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang Dipertuan
Agong dan Yang Dipertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut.
Kedua-dua pindaan itu jelas menghakis kuasa Yang
Dipertuan Agong, sekaligus menjadikan Perdana Menteri orang paling berkuasa.
Cerita pindaan itu merebak menjadi krisis Perlembagaan
apabila Raja-Raja Melayu membantah dan tidak bersedia menandatanganinya.
Pada 1993, Umno sekali lagi mengusik institusi Raja-Raja
Melayu apabila mencadangkan pindaan Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang
menyentuh soal kekebalan atau imuniti raja-raja. Dalam usaha mencapai hasrat pindaan
itu, Umno telah bertindak terlalu biadab dalam mengaibkan Raja-Raja Melayu.
Media milik kerajaan dimanipulasi secukupnya bagi
meruntuhkan wibawa Raja-Raja Melayu secara terbuka. Rakyat diapi-apikan
sentimen dan emosi bencikan raja dengan pembongkaran kehidupan istana yang
mewah dan membazir.
Beberapa menteri kabinet mendedahkan tentang pemilikan
harta oleh raja-raja. Antaranya membabitkan pemberian konsesi balak ribuan
hektar kepada raja tertentu. Didedahkan juga bahawa tiap-tiap sultan ditawarkan
100,000 unit saham Telekom dan berbagai lagi. Filem-filem Melayu lama yang
mengisahkan tentang kezaliman dan kebodohan Raja-Raja Melayu diulang tayang di
kaca tv.
Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin Umno yang terlalu
dirasuk perasaan bencikan raja sampaikan tergamak mengadakan majlis pertabalan “Sultan
Baru” di negerinya. Kejadian itu berlaku di Kelantan, apabila Datuk Seri Annuar
Musa “menabalkan” Tengku Ibrahim Petra sebagai “Sultan Kelantan”.
Ketiga-tiga episod melibatkan penghinaan terhadap
martabat Raja-Raja Melayu itu dicetuskan para pemimpin Umno sendiri. Dalam ketiga-tiga
episod itu, pihak pembangkang memainkan peranan sangat bermakna dalam
mempertahankan kemuliaan institusi raja. Rakyat negara ini tidak akan lupa dengan
episod-episod itu.
Kini, Umno cuba tampil ke tengah masyarakat sebagai pihak
yang kononnya menjaga kedaulatan dan kemuliaan Raja-Raja. Pendirian itu tambah
mengelirukan rakyat negara ini. Mereka malah persoalkan, apalah sangat
seriusnya kenyataan Karpal itu jika dibandingkan penghinaan pernah dibuat Umno
sendiri terhadap Sultan dan Raja-Raja Melayu dulu?
(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 18
Mei 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment