Sunday, April 6, 2008

Mungkinkah tuah Ku Li sebaik Ahmad Said?


Oleh: Anuwa Jamalullail

MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Umno, 27 Mac memutuskan pemilihan barisan kepimpinan parti itu akan tetap diadakan tahun ini. Perhimpunan Agung Umno dijadual diadakan pada 16 hingga 20 Disember nanti.

Ia akan didahului pemilihan di peringkat cawangan bermula 17 Julai hingga 24 Ogos, diikuti peringkat bahagian pada 9 Oktober hingga 9 November nanti.

Perhimpunan agung dan pemilihan Umno sepatutnya telah diadakan pada November lalu. Ia bagaimana pun ditangguhkan bagi membolehkan ahli parti itu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di seluruh negara, termasuk kejatuhan empat lagi negeri selain Kelantan ke tangan pembangkang, kedengaran suara-suara agar dilakukan perubahan dan pembaharuan di dalam kepimpinan BN.

Sebagaimana dimaklumi, nadi utama atau tulang belakang BN adalah Umno. Justeru, seruan agar ada perubahan dalam kepimpinan BN lebih ditujukan kepada kepimpinan Umno itu sendiri.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) adalah antara yang paling awal membuka mulut mengenai keperluan perubahan itu. Beliau malah secara terbuka menawarkan diri untuk “merawat” Umno yang dianggapnya ‘sedang sakit’ sekarang.

Kini, tumpuan utama pemilihan Umno tentulah pada jawatan tertingginya, terutama Presiden. Setakat ini, fokus media dan ahli Umno banyak tertumpu kepada Ku Li. Kesediaan beliau untuk mencabar presiden sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat reaksi pelbagai daripada kalangan pemimpin Umno sendiri. Ada yang menganggap kesediaannya itu sebagai bakal mengeruhkan keadaan dalaman parti. Ada yang mempertikaikan kelayakannya mengambilalih teraju negara.

Di satu pihak lain, ada juga yangmengalu-alukan kesediaannya itu. Bahkan, ada suara yang mendesak agar sistem kuota pencalonan ke jawatan-jawatan tertinggi Umno sebagaimana diamalkan sekarang dihapuskan.

Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988, seseorang calon bagi jawatan Presiden memerlukan pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 57 daripada 191 bahagian Umno yang terdapat di seluruh negara.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, kuotanya ialah 20 peratus atau 38 bahagian. Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian), ahli MT (lima peratus/10 bahagian).

Sepintas lalu, tiada siapa mengharapkan Ku Li sebagai ganti Abdullah untuk menerajui negara. Bagaimana pun, perkembangan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu menjanjikan segala kemungkinan, termasuk sesuatu yang di luar jangkaan sama sekali.

Jika benar Ku Li meneruskan hasratnya mencabar Abdullah untuk jawatan Presiden Umno, untung nasibnya akan banyak ditentukan keadaan semasa. Menilai apa yang dialami dalam politik negara mutakhir ini, terutama mengambil pengajaran daripada pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, faktor ‘tuah badan’ mungkin menyebelahi Ku Li.

Ada beberapa persamaan fakta kes antara apa yang dilalui Ahmad dengan apa yang dimiliki Ku Li dalam usahanya mencabar Abdullah nanti.

Pertama, mereka pada asalnya bukan calon pilihan utama. Ahmad diakui bukanlah orang paling sesuai atau paling berwibawa menggantikan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Ada beberapa nama lain dalam BN Terengganu (selain beliau dan Idris) yang dilihat lebih cocok menerajui negeri itu.

Ku Li juga bukanlah calon paling layak menjadi Presiden Umno atau Perdana Menteri. Tetapi itu tidak semestinya menafikan peluang anak raja itu mengalahkan penyandang jawatan.

Kedua, hanya mereka yang menyuarakan secara terbuka kesediaan menjadi alternatif kepada penyandang. Hanya Ahmad seorang di kalangan 23 Adun BN Terengganu yang berani untuk tidak menyatakan kesetiaan terhadap Idris.

Hanya Ku Li setakat ini yang bersuara menyatakan kesediaan mencabar Abdullah sebagai Presiden Umno. Pendirian diambil Ahmad itu terbukti amat kena pada masa. Bagaimana pula dengan Ku Li?

Ketiga, kemunculan Ahmad di saat rakyat dan istana Terengganu sedang tercari-cari alternatif kepada Idris. Mengapa Idris begitu tidak disukai istana dan ditolak rakyat Terengganu adalah suatu hal yang lain.

Ku Li juga muncul di tengah-tengah suara yang mendesak agar Abdullah berundur. Banyak sebab yang mendorong bukan sahaja rakyat terbanyak dari kalangan pembangkang membuat gesaan itu, malah suara sumbang terhadap Abdullah itu turut kedengaran di kalangan pendokong BN dan Umno sendiri.

Keempat, kesediaan mereka mencabar status quo segera mendapat sokongan kalangan pemimpin parti mereka sendiri. Ahmad pada awalnya tidak direstui dan tidak mendapat sokongan 23 Adun BN lain. Bagaimana pun, sebaik menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), pelbagai pihak dalam partinya menyatakan sokongan terhadap Ahmad.

Ku Li juga belum mendapat sokongan mana-mana Ahli MT secara terbuka. Bagaimana pun sudah ada puluhan ketua bahagian yang dilaporkan menemuinya bagi mengetahui lebih lanjut hasratnya mencabar Presiden Umno itu.

Satu-satunya yang membezakan Ahmad dengan Ku Li barangkali berkaitan impian menjadi pemimpin nombor satu di peringkat masing-masing. Ahmad mengakui secara terbuka bahawa dia tidak pernah mengimpikan dilantik sebagai Menteri Besar.

Ku Li sebaliknya telah beberapa kali menzahirkan hasratnya menerajui parti sekaligus menjadi orang nombor satu negara. Beliau pernah mencabar Tun Dr Mahathir pada 1987 dan sekali lagi menawarkan diri untuk jawatan sama pada 2004 lalu. Tindakan itu sudah membuktikan kesungguhannnya untuk duduk di kerusi Perdana Menteri.

Apa pun, jika kejayaan Ahmad menduduki kerusi Menteri Besar Terengganu lebih dinilai sebagai ‘tuah badan’, apakah kemunculan Ku Li di saat begini juga bakal menerima tuah yang sama?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 6 April 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment