Oleh: Mohd. Nasir Awang
Baru-baru ini ada diperbahaskan di media cetak negara ini mengenai kemasukan sebuah filem baru terbitan Hollywood, Evan Almighty. Filem itu memaparkan pelakon Morgan Freeman sebagai God (Tuhan) yang telah mengarahkan pelakon Steve Carell untuk membina sebuah bahtera bagi menghindari banjir besar yang akan melanda New York.
Filem itu sudah mendapat kelulusan pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia dan dijadual ditayangkan di pawagam negara ini bermula 23 Ogos. Kelulusan itu mendapat bantahan pelbagai pihak. Filem itu didakwa mengandungi babak menghina dan menyentuh sensitiviti umat Islam terutama menerusi dua watak utamanya yang boleh difahami mempersendakan Tuhan dan Nabi Nuh a.s. Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak agar kerajaan mengharamkan penayangan filem tersebut.
Pandangan-pandangan yang bersetuju dengan penayangannya bagaimana pun lebih mendapat tempat di dada akhbar-akhbar. Mereka merasionalkan beberapa alasan bahawa tindakan mengharamkan penayangan filem itu tidak akan menyelesaikan masalah.
Pertama, kata mereka, apa yang lebih utama ialah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mengukuhkan akidah anak masing-masing. Perkara itu dikatakan akan menjadi benteng yang kukuh bagi melindungi generasi muda Islam daripada dipengaruhi oleh elemen tertentu yang cuba menggugat keimanan mereka.
Bagi mereka, umat Islam tidak sepatutnya menjadi lemah dan melatah hanya disajikan filem seumpama itu. Logik mereka mudah, jika ibu bapa takut kepercayaan anak mereka tergugat, adalah menjadi tugas mereka untuk melarang anak-anak daripada menonton filem berkenaan.
Kedua, mereka juga berhujah kita hidup dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama. Justeru, kita perlu lebih bijak dalam menghadapi isu berkaitan keagamaan. Dalam ertikata lain, adalah tidak bijak bagi umat Islam membantah filem bikinan kaum dan agama lain meski pun ia mengandungi unsur menghina Islam dan pegangan umatnya.
Ketiga, mengharamkan filem itu ditayangkan di pawagam tidak akan dapat menghalang masyarakat negara ini daripada menontonnya. Kata mereka, orang ramai masih boleh mendapatkannya menerusi internet.
Sepintas lalu, tiada apa yang tidak kena dengan alasan-alasan itu. Apatah lagi ada pihak yang merasionalkan betapa kehadiran filem-filem seumpama Evan Almighty itu sebenarnya memberi ruang untuk kita berfikir lebih luas tentang keburukannya. Justeru, mengapa perlu diperkecilkan kemampuan berfikir semata-mata dengan penerbitan filem kecil itu, kata mereka.
Namun bagi penulis, alasan-alasan yang cuba dirasionalkan itu sebenarnya cerminan sikap liberal pihak-pihak terbabit dalam menangani isu-isu berkaitan agama. Apatah lagi dalam konteks sebuah kerajaan, adalah tanggungjawabnya menaungi dan melindungi segenap aspek kehidupan rakyat semampu mungkin.
Jika rasional tadi digunapakai, maka tidak perlu diharamkan apa jua benda yang buruk dan memudaratkan masyarakat. Biarlah pihak lain yang bertanggungjawab melindungi dan melarang orang di bawah jagaannya dari perkara buruk itu. Biarlah rakyat yang memilih dengan fikiran terbuka apa yang mahu dibuat dan apa yang wajar ditolak. Apakah prinsip itu betul dengan ajaran agama kita?
Jika segala yang disajikan itu tidak elok dan tidak menepati agama, apakah pilihan yang ada pada penonton? Memang rakyat boleh memilih untuk tidak mengunjungi pawagam. Tetapi peraturan meluluskan untuk tayangan sesebuah filem tidak terbatas sekadar di pawagam. Ia sekaligus sebagai kebenaran untuk filem sama dipasarkan menerusi video cakera padat (VCD), DVD atau seumpamanya.
Soal tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak tidak sepatutnya dibangkitkan. Masing-masing ada tanggungjawab di peringkat masing-masing. Malah pembendungan segala unsur negatif dan buruk di peringkat tertinggi (kerajaan) sebenarnya lebih memudahkan ibu bapa mengawal anak-anak.
Mengharamkan sesebuah filem ditayangkan di pawagam dikatakan tidak menyelesaikan masalah kerana orang ramai masih boleh mendapatkannya menerusi internet. Jika alasan itu diterima, logiknya dadah, video lucah dan segala macam benda yang diperangi kerajaan habis-habisan kini juga sepatutnya tidak diharamkan. Bukankah masih ada orang mendapatkannya menerusi internet dan lain-lain sumber?
Satu lagi, kehidupan berbilang kaum dan agama. Mengapa setiap kali berhadapan isu antara budaya sebegini umat Islam dipaksa berkompromi dan menunjukkan toleransi terhadap pihak lain? Benarkah, sebagaimana anggapan sesetengah pihak, jika bersuara menentang penghinaan terhadap agama Islam, Allah Ta’ala dan Nabi-Nya dalam masyarakat berbilang kaum ini, kita bertindak tidak bijak dan tidak toleran? Apakah semata-mata demi menjaga perasaan kaum dan agama lain kita perlu menerima apa sahaja?
Umat Islam perlu sedar bahawa industri hiburan dunia yang diterajui industri perfileman Hollywood adalah salah satu mata rantai perancangan Yahudi untuk menghancurkan pemikiran manusia sejagat. Sebab itu, meski pun ada pihak yang menganggap Evan Almighty hanyalah filem kecil dan bukan filem mega yang ditunggu-tunggu, kita jangan mudah menafikan bahawa Yahudi ada matlamat tersendiri dalam setiap filem bikinannya, walau sekecil mana pun filem itu.
Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama kes melibatkan filem seumpama itu diperbahaskan. Pada 2003 lalu, filem Bruce Almighty menghadapi pertikaian serupa. Ia turut memaparkan watak Tuhan yang juga dilakonkan pelakon sama. Tidak mustahil watak rekaan itu bukan sekadar kebetulan. Ia adalah perancangan bagi menyucuk pemikiran penonton yang nantinya akan mengaitkan watak Tuhan dengan Freeman.
Diakui, sama ada oleh ajaran Islam mahu pun dunia psikologi, bahawa sesuatu yang dilakukan secara berulang akan akhirnya memberi kesan kepada manusia, walau pun pada awalnya ia dianggap tiada apa-apa. Tahukah anda berapa kali syaitan datang kepada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s. menggodanya agar memakan buah yang diharamkan kepada mereka menyentuhnya di syurga?
Allah Ta’ala merakamkan episod itu menerusi firman-Nya (bermaksud): “Dan Kami berfirman: Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya. Kami berfirman: Turunlah kamu”. (Surah al-Baqarah 2:35-36).
Moral kisah ini ialah kesungguhan syaitan mengulangi ajakan sama kepada dua manusia pertama itu. Pada awalnya keimanan Adam dan Hawa sangat kebal, tetapi disebabkan sangat kerap disumbati godaan sama, akhirnya mereka terpengaruh dan tergoda juga. Jika taraf nabi dan ibu sekalian manusia pun mampu tewas ekoran ajakan dan godaan berterusan, apakah jaminan untuk kita manusia biasa ini?
Di antara faktor utama banyak manusia terjebak dengan keburukan ialah kerana terlalu yakin dengan keimanan atau kekebalan diri sendiri. Akhirnya mereka tertipu oleh kehebatan diri dan tanpa sedar terpengaruh dengan perkata buruk. Lebih-lebih lagi perkara memesongkan itu datang secara halus tanpa disedari.
Banyak pihak sebenarnya telah sedar akan bahaya pengaruh media elektronik sebegini. Sebab itu sering dicetuskan isu mengenai sesuatu paparan di kaca tv, sama ada menerusi filem, drama, acara hiburan mahu pun iklan. Bulan lalu, sebagai contoh, dipertikaikan orang tentang satu iklan sebuah syarikat roti yang memaparkan seorang budak bertindak kurang sopan sewaktu membeli roti tersebut.
Di masa sama, turut diperbahaskan isu artis berpakaian seksi. Jika kita berpegang kepada ketiga-tiga rasional tadi, tidak perlu lagi kita pertikaikan apa jua yang dipaparkan di kaca tv. Kita kata rakyat berfikiran terbuka dan boleh menilai secara rasional mana baik dan buruk. Tidak perlu juga disekat penyiaran mana-mana paparan berunsur negatif kerana jika disekat pun, alternatif mendapatkannya menerusi saluran lain seperti internet juga terbuka luas untuk rakyat.
Lebih dahsyat lagi, akan ada pihak berkata tidak perlu disekat sebarang maksiat dalam negara, kerana ia sebenarnya sebagai ujian kepada keimanan umat Islam. Jika rasional yang liberal itu diterima pakai, nescaya akan rosak binasalah akidah dan akhlak rakyat jelata.
(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, September 2007, di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).
No comments:
Post a Comment