KES penderaan seksual dan pembunuhan adik Nurin Jazlin
Jazimin September lalu bukan lah isu picisan. Ia melibatkan nyawa seorang insan
kerdil dan tidak berdosa yang menjadi mangsa kerakusan manusia berjiwa haiwan. Lebih
memilukan, ia menambah panjang senarai kezaliman serupa yang berlaku terhadap
kanak-kanak di negara kita.
Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu
selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju,
Kuala Lumpur. Operasi mencarinya oleh berbagai pihak gagal, sehinggalah polis
menjumpai mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan di hadapan
sebuah kedai di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 17
September. Keputusan ujian asid deoksiribonukleid
(DNA) ke atas mangsa, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil dan ibunya,
Norazian Zaman mengesahkan mayat kanak-kanak malang itu sebagai Nurin Jazlin.
Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati kurang
daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemui. Kematiannya turut disahkan berpunca
jangkitan kuman dalam kemaluannya selain ususnya yang pecah akibat penderaan
seksual.
Sebelum kes membabitkan adik Nurin Jazlin, negara telah
beberapa kali digemparkan kes seumpama itu. Nama-nama seperti Harirawati
Saridi, Nurul Huda Abdul Ghani, Ang May Hong, Nor Shuhada Burak dan Siti
Norazlina Azalan adalah mangsa-mangsa kerdil yang menemui ajal dalam keadaan
tragis di tangan manusia rakus. Pembunuhan kesemua mereka itu dikaitkan dengan
jenayah seksual.
Mayat May Hong, 10, ditemui bapanya di sebuah rumah
kosong yang menjadi sarang penagih, hanya 70 meter dari rumahnya di Jalan Tun
Razak, di ibu kota. Selain lehernya dijerut, alat sulitnya turut dirodok dengan
kayu tajam sepanjang semeter menyebabkan ususnya, perut dan jantungnya pecah. Kes
berlaku pada April 1987.
Pada 23 November 2000, Nor Shuhada yang berusia enam
tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat
di Selayang Baru, Selangor. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel. Terdapat
juga kesan lebam pada muka dan tangan mangsa.
Harirawati pula murid tahun empat Sekolah Kebangsaan
Tebobon, Menggatal, Sabah. Beliau dibunuh kejam sebelum dirogol ketika dalam
perjalanan ke sekolahnya pada 8 Januari 2004.
Mayatnya yang lengkap berbaju kurung seragam sekolah dan masih menggalas
beg ditemui berlumuran darah dalam belukar kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Enam kesan tikaman ditemui di lehernya.
Nurul Huda, 10, dirogol dan diliwat di pondok pengawal
pencawang Tenaga Nasional Berhad di Tanjung Kupang, Johor Bahru pada 17 Januari
2004. Ketika ditemui abangnya di pondok tersebut, mangsa tidak berseluar dan
berkeadaan amat mengerikan. Dia disahkan meninggal sebaik tiba di Pusat
Kesihatan Gelang Patah.
Mayat Siti Norazlina, 7, pula ditemui terapung di sungai
berhampiran Kampung Sungai Pinang Dalam, Klang, Selangor pada 12 Januari lalu. Sekumpulan
kanak-kanak yang bermain di situ menemui mayat itu yang hanya memakai baju
Melayu kepunyaan abangnya. Siti Norazlina dilaporkan hilang dari rumahnya sejak
dua hari sebelumya. Beliau dipercayai dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya
dicampakkan ke sungai itu.
Selain motif seksual, beberapa kes pembunuhan kanak-kanak
lain didorong berbagai motif termasuk wang, emosi melampau dan krisis rumah
tangga. Mohd Airell Azim Azhar, seorang bayi berusia lapan bulan ditekup dengan
bantal di mukanya sehingga tidak dapat bernafas oleh suami pengasuhnya. Kes
berlaku di Bandar Putera Jaya,Sungai Petani, 2 Januari lalu. Mohd Airell
dikatakan menangis dengan kuat sehingga menyebabkan suspek tidak dapat mengawal
emosi lalu bertindak ganas terhadapnya.
Sherway Ooi Ying Ying, kanak-kanak perempuan berusia tiga
tahun dilaporkan hilang selepas bersarapan bersama ibunya di Bayan Baru, Pulau
Pinang, pada 6 Julai lalu. Dua hari selepas itu, polis menemui abu mayatnya
dekat tanah perkuburan Cina di Paya Terubong, selain saki-baki tulang serta
cebisan pakaiannya dengan kesan dibakar. Difahamkan sebahagian abu mayat Ooi
dibuang berasingan termasuk dalam longkang tidak jauh dari kawasan perkuburan
itu. Motif pembunuhan dipercayai ekoran krisis rumah tangga.
Dalam kes serupa, gara-gara marahkan suami yang disyaki
curang, seorang wanita mencekik dua anaknya hingga mati. Muhammad Alif Hakimi,
lima tahun dan adik lelakinya, Muhammad Alif Hazimi 17 bulan dipercayai dicekik
dengan wayar sterika oleh ibu mereka sendiri dalam kejadian di Batu Maung,
Pulau Pinang, 18 Februari lalu.
Pada 25 April 2006, kanak-kanak berusia lapan tahun, Lo
Chin Poon didapati hilang dan dipercayai diculik kenalan ibunya. Mayatnya
ditemui pada 6 Mei di Taman Teknologi Senai, Johor Bahru.
Mayat murid tahun satu, Ho Ping yang dipercayai diculik
dan dijerut hingga mati oleh abang iparnya ditemui dalam sebuah beg pakaian
dalam Sungai Sitiawan, Perak, pada 21 Mei 2006.
Mangsa adalah anak pemilik ladang sayur di Cameron Highlands, Pahang. Motif
pembunuhan dipercayai kerana wang.
Kes-kes disebutkan tadi kesemuanya melibatkan mangsa
berusia 10 tahun ke bawah. Dalam usia itu, apalah daya mereka untuk menangkis
apa jua perbuatan kejam ke atas mereka? Siapa pun bertanggungjawab melakukan
pembunuhan itu jelas sekali tidak meletakkan soal pertimbangan kemanusiaan dan
perhitungan belas kasihan.
Yang wujud di hati dan fikiran pelaku ketika itu hanyalah
kepuasan diri, sama ada dorongan seksual, emosi melampau mahu pun dorongan
lain. Bagi yang beragama Islam, soal dosa di sisi Allah seakan tidak terlintas
langsung di benak mereka.
Apakah fenomena ini harus dibiarkan berterusan? Apakah
dosa kanak-kanak sepeti Nurin Jazlin, Nurul Huda, Ho Ping dan lain-lain itu?
Mereka tidak mengerti apa-apa dan tidak punya apa daya untuk menolak apa jua
bentuk kezaliman terhadap mereka.
Kasihan anak-anak itu yang menjadi mangsa kepada manusia
berjiwa haiwan. Apakah manusia seumpama ini wajar dibiarkan hidup bebas dengan
dosa besar yang telah mereka lakukan? Sampai bila kita akan melihat perbuatan
gila ini berlanjutan?
Sebagaimana dilaporkan media massa, kes terbaru
membabitkan adik Nurin Jazlin telah membangkitkan kemarahan masyarakat negara
ini. Dapat dibayangkan bagaimana tangisan kesejukan, jeritan kelaparan atau
laungan kesengsaraannya sepanjang dikurung dan diseksa itu. Segala penderitaan itu jelas sekali tidak
mewujudkan sedikit pun perasaan belas kasihan kepada “haiwan” yang menderanya.
Tanpa mengira kaum atau agama, masyarakat negara ini
mendesak pembunuhnya dikenalpasti dan dipastikan menerima hukuman seberat
mungkin. Soalnya, apakah undang-undang sedia ada kini cukup kuat untuk
menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah itu? Apa yang jelas dengan
berlakunya kes demi kes serupa berulangkali, seakan membuktikan bahawa hukuman
sedia ada masih gagal menggerunkan penjenayah apatah lagi membasmi jenayah
tersebut dari berterusan.
Barangkali sudah sampai masanya segala undang-undang
berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak ini disemak semula. Sesuatu perlu
dilakukan agar hukuman disediakan nanti bakal menggerunkan masyarakat daripada
melakukan jenayah.
Di kesempatan itu, mengapa tidak diberi peluang kepada
undang-undang Islam membuktikan kemampuannya? Bukankah Allah Ta’ala telah
menegaskan di dalam al-Quran bahawa pelaksanaan hukum jenayah di dalam Islam
itu mampu menggerun dan mencegah manusia daripada melakukannya? Apakah kita
tidak yakin dengan janji Allah ini?
Undang-undang negara kita kini berdasarkan kepada Common Law Inggeris. Kelemahannya
seiring diakui pelbagai pihak, sama ada pengamal undang-undang, ahli politik
mahu pun ahli akademik. Kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh
Abdul Halim, 21 Ogos lalu mengesahkan hakikat itu. Beliau mencadangkan agar
rujukan kepada Common Law Inggeris
dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini.
Kenyataan itu disusuli pula penegasan Peguam Negara, Tan
Sri Abdul Ghani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan
sumber lain selain Common Law
Inggeris bagi mendapatkan prinsip-prinsip keadilan. Lebih menarik, beliau
menegaskan undang-undang Islam adalah yang terbaik untuk dijadikan rujukan
kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.
Menyediakan hukuman sahaja bagaimana pun tidak memadai
untuk membendung jenayah.
Langkah-langkah pencegahannya juga perlu dipertingkatkan. Jika jenayah
itu dikenalpasti berpunca masalah runah tangga atau krisis keluarga, suatu
sistem kehidupan berkeluarga yang baik mesti dipupuk berterusan. Gaya hidup
sihat dan menitikberatkan ajaran agama juga mampu menstabilkan emosi manusia. Selain
itu, pemahaman tentang dosa-pahala boleh menghalang manusia daripada terjerumus
ke alam jenayah.
Di sudut lain, desakan dan dorongan kuat ke arah aktiviti
seksual perlu dibanteras. Dewasa ini, dorongan ke arah itu sangat berleluasa
terutama menerusi media elektronik dan siber. Penjualan video lucah, penayangan
filem-filem tidak senonoh dan seumpamanya banyak mempengaruhi rangsangan
seksual seseorang. Pencegahan dorongan ini memerlukan tindakan bersepadu semua
pihak, terutama pihak pemerintah.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, November 2007 di ruangan ‘Pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment