Sunday, August 5, 2007

Apa dosa Abdullah Haris, anak Zakaria Dagang?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat setiap anak yang mereka lahirkan berjaya dalam kehidupan mereka di dunia dan bahagia di akhirat. Dalam proses mencapai cita-cita paling murni itu, setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka diberi peluang secukupnya terutama dalam menimba ilmu pengetahuan.

Setiap ibubapa juga akan merasa terkilan dan dukacita sekiranya anak yang mereka harapkan menjadi harta paling berharga di masa depan (anak yang soleh) dinafikan peluang menimba ilmu semata-mata disebabkan perkiraan kemanusiaan yang sama sekali tidak menepati saranan dan anjuran agama.

Pelajar cemerlang
Itulah persis apa yang sedang dialami pasangan Ustaz Zakaria Dagang dan Puan Maryani Ismail dari Seberang Takir, Terengganu. Anak ketiga mereka, Abdullah Haris yang sebelum ini diiktiraf pelbagai pihak sebagai pelajar cemerlang, diberitakan telah dinafikan sebarang pembiayaan pelajaran oleh kerajaan negeri Terengganu tanpa sebarang alasan munasabah.
Sekurang-kurangnya dua akhbar harian edisi Terengganu minggu lalu menyiarkan cerita mengenai nasib malang menimpa Abdullah Haris itu.

Kedua-dua akhbar itu menyifatkan Abdullah Haris sebagai pelajar sangat cemerlang, terutama mengambil kira prestasinya dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2006 lalu.
Abdullah Haris adalah antara sebilangan kecil pelajar yang menduduki peperiksaan STAM tahun lalu yang mendapat keputusan Mumtaz dalam semua 10 mata pelajaran yang diambilnya.

Kecemerlangan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu itu bukan setakat didakwa ibu bapa atau media sahaja. Ia dibuktikan dengan sijil-sijil dan anugerah diterimanya dari pelbagai pihak.

Penulis sendiri sempat meneliti salinan sijil-sijil dimaksudkan. Antara sijil penghargaan dimilikinya ialah:
1. Sijil Penghargaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan STAM Peringkat Kebangsaan 2007 di Alor Setar, Kedah.
2. Sijil Anugerah Kualiti Y.A.B. Menteri Besar Terengganu (Kategori Pelajar Terbilang STAM 2006) Peringkat Negeri.
3. Sjil Kecemerlangan Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (Pencapaian Akademik Cemerlang dalam STAM 2006).
4. Sijil Anugerah Kecemerlangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (untuk STAM 2006).
5. Sijil Penghargaan Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2006 SMAASZA.

Tiada makna
Abdullah Haris turut mewakili sekolah untuk beberapa acara seperti Tilawah, Tafsir dan Kesenian Islam ke peringkat daerah. Beliau muncul sebagai Johan Pertandingan Pidato Bahasa Arab (Peringkat Menengah Atas), Karnival Soleh Pintar 2005 yang diadakan di Dungun. Program tersebut anjuran Yayasan Terengganu (YT).

Di SMAASZA, beliau adalah Ketua Pengawas sekolah, selain memegang berbagai jawatan dalam kegiatan ko-kurikulum.

Segala kecemerlangan dan komitmen beliau dalam pelajaran dan ko-kurikulum bagaimana pun seolah-olah tidak memberi makna buat kerajaan negerinya sendiri. Permohonannya mendapatkan biasiswa/pinjaman daripada YT ditolak mentah-mentah. Pihak YT tidak mengambil masa walau sehari untuk menjawab surat permohonan itu. Surat Abdullah Haris bertarikh 24 Julai lalu, surat jawaban YT juga bertarikh 24 Julai.

Tiada sebarang alasan disertakan, melainkan “permohonan tuan untuk mendapatkan pinjaman dukacita tidak dapat dipertimbangkan dan ditolak”. Seolah-olah keputusan itu telah pun ada dan sedia untuk dilaksanakan. Mudah, bukan?

Banyak pihak memberikan reaksi negatif terhadap tindakan kerajaan Terengganu itu. Lebih-lebih lagi mengambilkira kesungguhan kerajaan melaungkan hasrat melahirkan generasi pintar dan cemerlang.

Bahkan, ada juga disebut hasrat mewujudkan generasi ulul-albab, dalam ertikata penghayatan agama yang tinggi dalam kehidupan akan datang. Apakah pelajar seumpama Abdullah Haris ini tidak menepati ciri-ciri generasi ulul-albab yang nak dibentuk itu?

Bermurah hati
Kerajaan Terengganu juga diketahui sangat bermurah hati dalam membiayai para pelajar yang dipilihnya untuk menyambung pelajaran. Soal peruntukan kewangan rasanya bukan masalah. Sebabnya, jangan dikatakan anak-anak orang miskin, anak para Exco kerajaan yang dah kaya-raya pun turut diberikan biasiswa.

Hingga kini sudah dua kes sebegitu berlaku. Awal 2006 dulu ada kes anak dua Exco negeri diberikan biasiswa kerajaan RM20,000 setahun. Wan Mohd Afif Wan Mohd dan Abdul Hakim Abdul Latiff adalah antara hanya sembilan yang dipilih menerima biasiswa itu daripada sejumlah 81 pelajar cemerlang yang ditemuduga pihak YT.

Awal tahun ini, kes serupa dikatakan berulang lagi. Anak kepada dua lagi Exco turut diberikan biasiswa kerajaan. Alasannya, mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang. Tanpa menafikan hak anak-anak itu mendapat kemudahan dan pembiayaan disebabkan kelayakan akademik masing-masing, mengapa dalam kes pelajar cemerlang seperti Abdullah Haris ini pertimbangan sama gagal digunapakai?

Kes pelajar pintar Adi Putra Abdul Ghani juga satu lagi contoh betapa kerajaan Terengganu tiada masalah kewangan. Jangan dikatakan yang tinggal di negeri itu sahaja, yang bermastautin di negeri lain pun akan turut dibiayainya jika ia mahu.

Adi Putra tidak tinggal di Terengganu, tetapi disabitkan ada talian keluarga dengan rakyat Terengganu. Atas alasan itu pun sudah cukup bagi kerajaan negeri menjadikannya “anak angkat” dan mengeluarkan belanja sekian banyak bagi membiayai pengajiannya.

Mengapakah kesungguhan sama tidak dipamerkan dalam kes Abdullah Haris ini?

Mangsa keadaan
Bagi penulis, Abdullah Haris adalah mangsa keadaan. Tiada dosa yang dilakukannya sehingga melayakkan dia dilayan sedemikian oleh sebuah kerajaan yang kononnya bercakap soal menjana generasi ulul-albab.

Satu-satunya alasan yang dapat difikirkan ialah penglibatan ibubapa dan keluarganya dalam perjuangan Islam yang tidak sealiran dengan aspirasi pemerintah. Itu sahaja.

Bapanya, Ustaz Zakaria Dagang adalah seorang aktivis Islam yang komited. Sebahagian besar hidupnya sedari usia remaja diwakafkan kepada perjuangan Islam. Beliau aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Terengganu. Beliau antara penggerak utama sehingga tertubuhnya Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski) pertama di Terengganu di akhir 70-an dulu.

Ustaz Zakaria tidak pernah memikirkan untuk memilih kerjaya berpendapatan lumayan. Mungkin baginya, memperhambakan diri kepada usaha menegakkan Islam adalah jauh lebih suci dan berbaloi dibandingkan kemewahan dunia. Satu-satunya kerja yang dilakukannya sejak usia remaja ialah sebagai pegawai sepenuh masa di pejabat Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Bermula sebagai setiausaha kerja (suk) Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI), kemudian suk Dewan Pemuda PAS Terengganu. Hingga kini, beliau khabarnya masih menjadi petugas sepenuh masa di pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

Satu-satunya jawatan bergaji yang pernah disandangnya ialah sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), sewaktu kerajaan PAS dahulu. Beliau pernah bertanding mewakili PAS untuk kerusi DUN Seberang Takir sebanyak dua kali (pilihan raya umum 1999 dan 2004), tetapi belum menang.

Isteri beliau (ibu Abdullah Haris) adalah surirumah sepenuh masa. Perkongsian hidup mereka menghasilkan sembilan cahaya mata. Alhamdulillah, setakat ini kesemua anaknya turut diniatkan untuk diwakaf kepada perjuangan Islam. Anak sulungnya, Ahmad Suhail telah tamat pengajian Islam dan kini aktif menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Anak kedua, Abdul Alim, sedang menuntut di Mesir. Abdul Alim adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Padang Midin, seorang yang dianugerahkan suara sangat merdu dan daya ingatan sangat tajam. Selain mampu menghafaz ayat-ayat suci dan mengalunkannya dalam lagu yang indah, Abdul Alim juga berkebolehan mendendangkan nasyid.

Barangkali antara pembaca ada yang pernah mendengar album nasyid Shoutul Amal yang terbit sedekad lalu. Budak kecil yang menjadi vokalis utama dan mendayu-dayu mengalunkan lagu “Marilah Beramal”, “Guruku” dan lain-lain itu adalah Abdul Alim ini.

Dua lagi adik kepada Abdullah Haris juga sedang menuntut di SMAASZA dan bakal mengikuti jejak kecemerlangan ditinggal abang mereka. Manakala kesemua bapa saudara dan emak saudara Abdullah Haris dikatakan sangat aktif di dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Antara mereka ialah Ustaz Ismail Che Dagang dan Fakhrul Anwar Dagang, kedua-duanya petugas sepenuh masa di pejabat parti.

Layanan buruk
Latar belakang keluarganya yang sedemikian dikatakan penyebab utama mengapa Abdullah Haris mendapat layanan buruk dari kerajaan negeri. Sejauh manakah wajarnya alasan itu dijadikan sandaran pemerintah untuk menafikan haknya mendapatkan kemudahan pelajaran disediakan kerajaan, para pembaca sendiri barangkali boleh menilainya.

Kita boleh berbeza pendapat dan pendirian tentang politik kepartian. Tetapi apakah itu mewajarkan kita mendiskriminasi dan menindas sesama bangsa dan agama, sehingga tergamak memangsakan anak-anak yang masih mentah dalam soal sepak-terajang politik?

Apa yang menimpa Abdullah Haris itu suatu yang sangat tidak rasional. Sebagai antara pelajar paling cemerlang di seluruh negara dalam STAM, apa lagi kriteria paling munasabah untuk melayakkan beliau menerima kemudahan pembiayaan pelajaran itu?

Kini tinggal jaminan Rasulullah s.a.w. yang memberi keyakinan kepada kita bahawa niat murni Ustaz Zakaria dan isteri untuk melihat Abdullah Haris berjaya menyambung pelajaran ke Mesir itu akan terlaksana. Janji Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah menjamin rezeki penuntut ilmu”.

Untuk pembaca, tolong selami maksud hadis berikut sebagai renungan bersama. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menerangkan kelebihan para ulama. Sabdanya: “Keutamaan orang yang berilmu di atas orang yang beribadat itu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang-bintang lainnya.” (riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa-i dan Ibnu Hibban).

Sabdanya lagi, “sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala juga malaikat serta para penghuni langit dan bumi, sampai-sampai semut yang di dalam lubangnya dan ikan yang ada di dalam lautan, semuanya memohonkan rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan pada orang banyak.” (riwayat Tirmidzi).

Jalan ke syurga
Kelebihan penuntut ilmu pula disebut Baginda s.a.w., “Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah akan melorongkan baginya jalan menuju ke syurga.” (riwayat Muslim).

Sabdanya juga, “Sesungguhnya para malaikat akan melindungi penuntut ilmu dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan apa yang dibuatnya.”

Dan lagi, “Barangsiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka ia dipintarkan dalam hal keagamaan dan diilhami oleh-Nya kepandaian dalam hal itu.” (hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tabrani).

Penulis percaya (dan berdoa), Abdullah Haris adalah antara insan yang dikehendaki baik oleh Allah sebagaimana dimaksudkan hadis ini. Maka bagaimanakah kita mampu menolongnya mencapai cita-cita murninya? Ingatlah bahawa sumbangan kita untuk melahirkan ilmuan Islam atau ulama adalah saham berkekalan.

Sabda Rasulullah s.a.w. “pendorong kepada kebaikan adalah sama dengan yang mengerjakannya (perihal pahalanya).” (riwayat Tirmidzi).

Ustaz Zakaria boleh dihubungi menerusi talian 019-9878693. Allahu Akbar!

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 5 Ogos 2007. Ia mendapat reaksi dan respons amat positif dari para pembaca. Ramai yang menghubungi talian Ustaz Zakaria untuk membantu Abdullah Haris. Menurut Ustaz Zakaria sendiri, jumlah sumbangan dimasukkan ke akaun beliau selepas itu amat membanggakan.)

No comments:

Post a Comment