Wednesday, August 1, 2007

Perkahwinan Usia Tua Bukan Sekadar Seksual


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Perkahwinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun lalu disambut penuh gembira oleh segenap lapisan rakyat. Rata-rata warganegara turut mendoakan agar PM dan isteri dicucuri kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

Abdullah berusia 67 tahun manakala Jeanne, 54. Usia kedua-dua mereka itu sering dianggap sebagai “usia pencen”. Sebab itu perbincangan dan tanggapan awal mengenai perkahwinan di usia itu sering bersifat sinikal. Malah ada yang menganggap ia sesuatu yang melucukan.

Hujah yang menganggap perkahwinan di usia emas sudah tidak perlu sering dikaitkan dengan aktiviti seksual mereka. Memang semua orang tahu di antara dorongan utama seseorang mendirikan rumah tangga ialah bagi mengekang runtutan nafsu seks. Islam turut mengiktiraf dorongan seksual sebagai salah satu faktor utama menggalakkan umatnya berkahwin.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Sesiapa yang mampu mendirikan rumah tangga, hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk menutup pandangan dan lebih selamat untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu berupaya menahan keinginan syahwat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara realistik, Islam mengakui keinginan seksual manusia. Sebab itu Rasulullah s.a.w. mengesyorkan kepada para sahabat agar memilih isteri dari kalangan gadis, berbanding janda.  Dalam satu hadis diriwayatkan seorang sahabat bernama Jabir r.a. telah menikahi seorang janda.  Tatkala diberitahu perkara itu, Baginda s.a.w. bersabda kepada Jabir, “Alangkah baiknya kalau isterimu itu seorang gadis yang engkau dapat bermain-main dengannya dan ia dapat bermain-main denganmu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di atas maksud sama, Islam mengutuk keras tindakan mana-mana isteri yang menolak ajakan suami untuk menidurinya. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke ranjang tetapi tidak diperkenankan oleh isterinya, lalu semalaman itu suaminya marah kepadanya, maka si isteri itu mendapat kutukan malaikat sampai ke Subuh”. (Riwayat Muslim).

Dalam beberapa hadis lain, Rasulullah s.a.w. mengangkat martabat isteri sebagai penyelamat sang suami daripada api neraka, kerana kehadiran isteri menghalang suami daripada terjebak dengan perzinaan. Malah persetubuhan antara suami dan isteri dijamin memperolehi pahala sedekah.

Ertinya, faktor seksual memang diambilkira oleh Islam dalam pembentukan rumah tangga.  Tahap kemampuan dan keinginan seksual seseorang dewasa bagaimana pun berlawanan dengan peningkatan usia. Semakin lanjut usia seseorang, aktiviti seksualnya juga semakin menurun. Di situlah timbul persoalan tentang kewajaran perkahwinan di usia tua.

Al-Quran ada menjelaskan di antara sebab-sebab disyariatkan perkahwinan, selain faktor seksual, ialah untuk pemupukan kasih sayang dan kemesraan antara dua insan. Firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. (Ar-Rum 30:21)

Kekerapan berlaku kes perkahwinan di usia tua kebelakangan ini membuka perbincangan lebih rasional mengenai perkara tersebut. Paling tidak semakin ramai mengakui bahawa perkahwinan di usia lanjut bukan lagi semata-mata atas dorongan seksual.

Pada Mac 2006, seorang wanita berusia 55 tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang warga emas berusia 78 tahun di Johor Bahru. Jamilah Ismail yang tidak pernah bertemu jodoh disatukan dengan pasangannya, Ahmad Nordin, 78, yang telah mempunyai 10 anak dan 48 cucu.

Ahmad berkata, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Jamilah kerana inginkan seorang teman hidup yang menjaga makan dan minum serta pakaiannya selepas setahun hidup menduda.

Alasan sama mendorong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan permohonan seorang warga emas berusia 88 tahun untuk berpoligami pada 7 Jun lalu. Selepas mendengar alasan kukuh daripada pemohon, bakal isterinya dan dua saksi pemohon, hakim mendapati pemohon layak untuk berpoligami.

“Sejak isteri terlantar sakit akibat lumpuh 10 tahun lalu, kehidupan saya sudah tidak terurus.  Makan minum menjadi tidak menentu. Kadangkala saya terpaksa berlapar dari malam hingga ke pagi memandangkan lauk-pauk yang dikirimkan anak bertukar basi. Selain itu, saya juga memerlukan teman untuk berbicara, menjaga sakit demam serta teman untuk beribadat”, luah Ngah Sulong, dari Cukai, Kemaman.

Dalam perbicaraan itu, Ngah hadir ke mahkamah bersama bakal isterinya, Khatijah Ali, 56, dari Binjai, Kemaman. Ngah turut mengemukakan dua saksi bagi memberi keterangan dan sokongan berhubung permohonan yang difailkannya bersama isterinya, Tengku Fatimah Tengku Muda, 80.

Hujah dikemukakan Ngah tadi membuktikan bahawa selain faktor seksual dan urusan makan minum, kehadiran isteri juga menjadi teman bicara sang suami. Hal ini dikatakan turut diluahkan Allahyarham isteri PM, Datin Seri Endon Mahmud semasa hayatnya.

Beberapa hari menjelang pernikahan PM dan isteri bulan lalu, sebuah akhbar harian menyiarkan apa yang didakwa sebagai perbualan wartawannya dengan Allahyarham Kak Endon. Penulis membayangkan seoalah-olah Allahyarham memang mengharapkan Pak Lah mencari ganti beliau di atas sebab-sebab kemanusiaan.

Allahyarham dicatatkan berkata, “Kak Endon redha jika pergi dulu dan Pak Lah berkemungkinan akan berkahwin lain. Dia perlu ada seseorang untuk berbual, untuk berbincang.  Kak Endon tak boleh...doktor tidak benarkan”.

Pak Lah dan Jeanne dikatakan telah lama mengenali antara satu sama lain. Jeanne adalah ipar Allahyarham Kak Endon dan antara individu yang paling rapat dengan Allahyarham. Sebagai Pengelola Kompleks Seri Perdana, kediaman rasmi PM, Jeanne juga bertanggungjawab menyempurnakan beberapa perkara dan keperluan Pak Lah sejak beberapa waktu ini.

Kedua-dua anak perempuan Jeanne, Nadiah dan Nadene, masing-masing 29 dan 27 tahun turut mengharapkan ibu dan bapa saudaranya itu bahagia dan mampu mengambil berat antara satu sama lain. Manakala kedua-dua anak serta menantu PM turut merestui perkahwinan beliau.

Ertinya, selain kebahagiaan diri, restu dan kebahagiaan anak cucu turut menjadi perkiraan bagi pasangan mendirikan rumah tangga di usia tua. Dalam hal ini, PM dan isteri tidak keseorangan.  Faktor tersebut turut dikongsi pasangan tua di Changlun, Kedah yang disatukan setahun lalu.  Seorang peniaga yang tawar hati dengan wanita sejak bercerai dengan isterinya 30 tahun lalu, akhirnya berkahwin semula dengan jandanya itu selepas didesak anak dan cucu.

Ali Md Saman, 81, dan Halijah Hashim, 67, dinikahkan semula akhir Mei 2006 setelah bercerai pda 1976. Perkongsian hidup mereka sebelum ini menghasilkan 16 anak berusia antara 32 dan 55 tahun. Ali yang menduda sejak bercerai pada 1976 berkata perkahwinan mereka adalah untuk menggembirakan anak dan cucu yang sering mendesaknya supaya berkahwin semula dengan Halijah.

“Selepas bercerai, saya tawar hati dengan wanita dan tidak berminat lagi untuk mendirikan rumah tangga kerana sudah tua. Bagaimana pun, selepas anak berbincang, akhirnya saya diminta berkahwin semula dengan Halijah”, kata Ali.

Beberapa kes yang diutarakan tadi menjelaskan bahawa perkahwinan di usia tua ada faktor dan peranan tersendiri, yang bukan semata-mata seksual. Suami isteri adalah teman makan-minum, rakan berbicara dan berkongsi masalah, juga teman beribadat. Lebih penting lagi, kebahagiaan mereka di usia emas akan turut menaungi kebahagiaan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Ogos 2007 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment