Tuesday, May 1, 2007

Serakah politik gagalkan program pertanian TPNT06


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

DALAM satu majlis temu mesra para pemimpin PAS Terengganu dengan warga petani, penternak dan nelayan di Kuala Terengganu baru-baru ini, pelbagai maklumat mengenai kegagalan kerajaan membela nasib golongan tersebut didedahkan. Para peserta meluahkan rasa terkilan dengan sikap tidak prihatin kerajaan negeri terhadap permasalahan mereka.

Bagi mereka, sikap itu amat bertentangan dengan hasrat kerajaan membantu rakyat sebagaimana yang disasarkan menerusi program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006 (TPNT06) yang baru berlalu.

TPNT06 dilancarkan di atas hasrat membasmi kemiskinan di kalangan petani, penternak dan nelayan. Untuk itu, kerajaan Terengganu memperuntukkan puluhan juta ringgit bagi pelaksanaan pelbagai program pertanian dan industri asas tani melibatkan golongan tersebut.

Objektif utama TPNT06 ialah mempertingkatkan pendapatan seramai 10,000 golongan sasar dari kalangan petani, penternak dan nelayan. Pendapatan bulanan setiap mereka disasarkan dapat ditambah paling kurang RM500 sebulan.

Malangnya, hingga kini objektif itu masih jauh untuk dicapai. Promosi dan tumpuan kerajaan negeri selama setahun bagi menjayakan misi pertanian gagal membuahkan hasil sepatutnya.

Punca utama kegagalan itu amat politikal. Betapa campur tangan berlebihan orang politik dalam pelaksanaan program TPNT06 menyebabkan ia terpesong dari sasaran sebenar. Ia sebaliknya lebih bersifat propaganda dan terlaksana tanpa perancangan rapi. Malah ada projek dinikmati kelompok peserta di luar golongan sasar dimaksudkan.

Pelaksanaan TPNT06 tertumpu kepada empat projek utama – fertigasi, penanaman pitaya (dragon fruit), akuakultur dan Kempen Bumi Hijau. Keempat-empat projek tersebut dikatakan mensasarkan golongan berbeza.

Projek fertigasi dimulakan sekitar Mei 2006 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Ia diluluskan untuk pelaksanaan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang ditubuhkan khusus untuk memasarkan hasil projek ini.

Oleh kerana TADC tidak mempunyai cukup sumber manusia dan kepakaran, bahkan penubuhannya lebih bersifat propaganda politik BN, tugas itu gagal disempurnakannya. Pelaksanaan projek fertigasi akhirnya terpaksa diserahkan kepada Jabatan Pertanian negeri pada Oktober 2006.

Peruntukan RM16 juta yang diagihkan ke daerah-daerah (baki RM4 juta dipegang oleh TADC) bagaimana pun mesti dikeluarkan sebelum akhir tahun bagi mengelakkan ia dikembalikan kepada kerajaan Pusat (jika tidak dibelanjakan).

Maka semua kontraktor pelaksana projek dibayar jumlah sepenuhnya kos projek pada akhir 2006, walau pun kerja-kerja penyediaan barangan dan input kepada peserta belum disiapkan (apa cerita ni?).

Malangnya, Jabatan Pertanian negeri dikatakan tidak pernah dirunding dalam pemilihan peserta dan kontraktor pelaksana. Kuasa memilih mereka diberikan sepenuhnya kepada Adun kawasan masing-masing.

Seramai 275 peserta dipilih di seluruh negeri. Setiap peserta diberi pinjaman dalam bentuk barangan dan input bernilai RM50,000 yang dibekalkan kontraktor. Ia adalah untuk 2,000 beg/pokok. Setiap kontraktor pula dikatakan memperolehi indent RM200,000 (untuk empat peserta).

Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan aplikasi teknologi. Jangan dikatakan petani biasa (peserta), para pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian sendiri pun belum memiliki pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk melaksanakannya.

Dengan pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa perancangan terperinci, projek ini kini diambang kegagalan. Antaranya, selepas tempoh tertentu, pohon masih belum berbuah dan peserta gagal mengenal pasti puncanya. Bagaimana diharapkan projek ini bakal meningkatkan pendapatan golongan sasar?

Projek penanaman pitaya (dragon fruit) pula dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Peruntukan RM40 juta disalurkan terus daripada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Pemilihan peserta dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan diajukan terus kepada UPEN. Jabatan-jabatan berkaitan PPRT seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dikatakan tidak dirunding di dalam pelaksanaan projek ini. Sudah tentu pemilihan peserta terdedah kepada mainan politik.

Pengisian ketiga TPNT06 ialah akuakultur. Di antara projek terbesar ialah Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Tasik Kenyir. Ia melibatkan kawasan 3,000 hektar yang bakal dimuatkan dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta. Pembangunannya sehingga 2010 dijangka melibatkan 240 peserta.

Projek ini juga dijangka menghadapi masalah. Pengalaman penternak sebelum ini membuktikan projek di situ gagal memberikan pulangan memuaskan. Antara sebab dikenal pasti ialah faktor air Tasik Kenyir yang terlalu panas dan terlalu jernih sehingga memberi kesan kepada tumbesaran ikan. Ertinya, tidak banyak yang dapat diharapkan para penternak dari projek itu.

Ada pun Kempen Bumi Hijau adalah semata-mata propaganda pemerintah. Walau pun program ini agenda utama diputuskan kementerian, tidak ada peruntukan kewangan khusus bagi pelaksanaannya, sama ada oleh kerajaan negeri mahu pun Jabatan Pertanian negeri. Bagaimana diharapkan ia boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat?

Itulah jadinya apabila perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek terlalu dibayangi perkiraan dan serakah politik. Akhirnya yang mengaut manfaat dari pelaksanaannya ialah golongan tertentu yang dipilih orang politik, bukan golongan sasar dari petani, penternak dan nelayan.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 1-15 Mei 2007 mengisi kolum ‘Bingkisan Dari Pantai Timur’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment