“AKU setuju. Walau pun bukan akhbar arus perdana, Harakah ada potensi maju ke depan. Ia
makin diminati. Lebih penting, ia ada fanatical
support daripada ahli PAS. Ia akan maju”, itulah antara kata-kata
perangsang yang diungkapkan seorang rakan sebaik diberitahu saya dilamar pihak
pengurusan Harakah pada hujung 1989
lalu.
Saya mendaftarkan diri untuk bertugas di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala
Lumpur pada 1 Januari 1990. Menurut surat tawaran, jawatan saya ialah sebagai “Perekabentuk
Berkomputer”. Barangkali kemahiran menggunakan program Pagemaker hasil pengalaman mengarang dan menerbit majalah dan
buletin sewaktu di kampus banyak diambil kira pihak pengurusan untuk menawarkan
jawatan tersebut kepada saya.
Walaupun bidang tugas khusus saya hanya merekaletak
mukasurat untuk dicetak, ia sebaliknya menjadi tapak amat bermakna bagi saya
menggilap karier di bidang penulisan. Tambahan pula Jalan Pahang Barat ketika
itu turut dihuni nama-nama besar di dunia penulisan seperti Subky Latif, Zin
Mahmud dan Ahmad Lutfi Othman, yang telah lama saya kagumi.
Saya masuk menggantikan seseorang bernama Lokman Ahmad.
Saya tidak sempat mengenali beliau kerana dia dikatakan menapak keluar sejurus
sebelum saya menjengah ke situ. Bagaimanapun, rakan-rakan di situ mengatakan
rupanya tidak jauh beza dengan adik kandungnya, Abdullah Munawir Ahmad, yang
turut bekerja sebagai pemandu di pejabat sama.
Telah ada untuk memandu tugas saya ialah perekabentuk
berpengalaman, Alias Kamaruddin. Beliau anak jati Kuala Lumpur, lulusan
komunikasi massa dari sebuah universiti tempatan. Kemasukan saya disusuli
beberapa rakan lain seperti Taufek Yahaya dari Melaka, Ahmad Tarmizi Mohd Jam @
TMJ (Perak) dan Mohd Sabri Razak (Kelantan) sebagai pemberita. Mereka diawasi
Zulkifli Sulong selaku Ketua Pemberita, bersama-sama Zulkifli Yahya (kami
memanggilnya Pak Ya), Abu Bakar Mohd Rashid (Hulk)
dan Pak Mashudi Bunyani.
Keterbatasan tenaga mahir yang membimbing kami
menyebabkan kami saling menunjuk-ajar sesama sendiri. Wartawan veteran seperti
Pak Subky dan Ibnu Muslim (Allahyarham Pak Hussain Yaakob) hanya datang
seketika di waktu siang, biasanya untuk menaip atau menyerahkan bahan untuk
kolum masing-masing.
Yang paling berpengalaman di antara kami hanyalah Zin
Mahmud, bekas wartawan Utusan Malaysia
sebelum menyertai Harakah dan kini
kembali semula ke Utusan Malaysia), Hulk dan Zul Sulong. Ada pun Lutfi lebih
banyak menumpukan masa kepada dua majalah yang diurus terbit oleh Jabatan Penerangan
PAS Pusat, iaitu al-Muslimah dan Dunia Islam.
Ditakdirkan Allah, dalam keadaan begitulah juga pihak
Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan menerbitkan Harakah dua kali seminggu. Maka
bertambah-tambahlah bebanan tugas kami. Sehinggakan saya juga diminta
menyumbang beberapa rencana sebagai menampung tugas rakan-rakan. Di situlah
secara tidak langsung bermulanya pembabitan saya secara lebih luas dalam
penulisan.
Seketika kemudian, penstrukturan semula Jabatan Pengarang
Harakah terpaksa dibuat. Beberapa
tenaga baru dibawa masuk. Mohd Nor Bujang dan Rosli Daud sebagai perekabentuk,
Zalina Bujang (adik Mohd Nor) dan Siti Hajar Ibrahim sebagai jurutaip. Zahrin
Ibrahim turut diambil sebagai wartawan. Isteri saya, Saodah Mohd Ajil pula
diambil bekerja sebagai penterjemah.
Perubahan kecil perjawatan turut dibuat. Zin diangkat
menjadi Pengarang Kumpulan Harakah,
dibantu Zul Sulong sebagai Pengarang Harakah
dan Lutfi sebagai Pengarang Majalah. Pak Ya dinaik taraf sebagai Pengarang
Berita Harakah dan saya pula dilantik
sebagai Penyunting Rencana Harakah.
Membantu Lutfi di unit majalah ialah Ruhana Ahmad dan
Saridah Abdul Hamid. Lutfi juga diberi tugas menjaga beberapa muka surat Harakah , terutama berkaitan berita
kampus dan aktiviti pelajar.
Pengajaran paling bermakna bagi saya sepanjang berkhidmat
di situ (Januari 1990 hingga Ogos 1991) ialah semangat bekerja yang ditunjukkan
rakan-rakan. Kami bekerja bagaikan satu keluarga. Semangat bantu-membantu dan
persefahaman antara kami dalam menyempurnakan tugasan tidak boleh
dipertikaikan. Persahabatan erat yang terjalin antara kami terbukti kekal
hingga kini, walaupun sebahagian besar kami telah membawa hal masing-masing di
serata negara.
Ikatan “kekeluargaan” itu menyebabkan pejabat Harakah bagaikan “rumah kedua” kami.
Tiada batasan waktu dalam menyempurnakan tugasan masing-masing. Ia amat dirasai
terutamanya di setiap malam deadline,
iaitu malam terakhir sebelum Harakah dihantar
untuk cetakan.
Kami akan bersengkang mata hingga ke pagi bagi memastikan
semua muka surat siap untuk difilemkan. Selalunya tukang filem yang bernama Toh
Kuang akan “menemani” kami hingga ke separuh malam, untuk membawa balik
mana-mana muka surat yang sempat disiapkan.
Seringkali di atas sebab-sebab politik dan keselamatan
beberapa bahan yang telah dipersetujui, bahkan telahpun siap direkaletak,
terpaksa ditarik balik. Kadang-kadang berlaku pertindihan atau pengulangan
berita, menyebabkan wujud kekosongan ruang.
Saya masih ingat beberapa kali sewaktu saya masih sebagai
perekabentuk, Zin akan mengejutkan TMJ atau Sabri yang terlentang di celah-celah
meja untuk membikin berita tambahan. Masih terbayang di mata saya bagaimana
dengan mamai dan merah mata, TMJ kembali menghadap komputer di sebelah saya
memerah idea untuk membikin berita. Waktu itu jam sudah hampir 4 pagi.
Dalam kes lain, Pak Ya yang baru pulang ke rumah sewanya
di Rampai Court terpaksa dipanggil semula ke pejabat, juga kira-kira jam 4
pagi, untuk menyediakan bahan tambahan. Namun, atas kepentingan jamaah,
kesukaran sebegitu tidak pula dirungutkan. Sebaliknya, kami masih mampu
berjenaka dan menyambung tugas di waktu dini hari begitu.
Seperkara yang turut meninggalkan nostalgia bagi saya
ialah kehadiran beberapa rakan Cina Muslim yang sering meraikan tugasan malam
kami. Antara mereka ialah Kamal Koh, Redhuan Daniel Oon dan Ridhuan Tee. Usikan
jenaka dan celoteh lucu mereka sering mengendurkan tekanan dan ketegangan kerja
kami.
Tahap kesungguhan rakan-rakan dalam menjayakan Harakah ketika itu amat tinggi. Mereka sanggup
bekerja tanpa mengira waktu, walaupun ganjaran yang menanti mereka hanyalah
beberapa ratus ringgit sahaja. Seingat saya, yang menerima bayaran paling
tinggi antara kami ialah Zin. Itu pun hanya RM770 sebulan.
Barangkali ketika itu bebanan hidup masing-masing tidak
mendesak mereka menuntut bayaran lebih tinggi. Ketika itu, TMJ, Taufek, Pak Ya,
Alias, Sabri, Zahrin dan Rosli masih belum berumahtangga. Walaupun sekali-sekala
kedengaran juga suara nakal mempertikaikan pulangan tidak seberapa itu,
komitmen masing-masing terhadap jamaah segera memadamkan desakan itu.
Segala episod yang mewarnai pengalaman saya di Harakah membenarkan kata-kata rakan saya
tadi. Bahawa kekuatan utama Harakah ialah
sokongan fanatik yang diberikan pendokongnya. Bukan sahaja ahli dan penyokong
PAS yang memberikan sokongan fanatik mereka dengan membeli Harakah, kawan-kawan seperjuangan saya yang sanggup bekerja keras dengan
pulangan ala-kadar itu juga merupakan satu lagi bentuk sokongan fanatik kepada Harakah.
Saya percaya rakan-rakan yang sedang meneruskan tugas di Harakah sekarang juga memiliki semangat
bekerja seumpama kami dahulu. Tidak syak lagi, “sokongan fanatik” pelbagai
pihak antara saham utama memungkinkan Harakah
menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini.
(Catatan
nostalgia ini ditulis khas untuk buku “2 DEKAD TERAJUI PERUBAHAN” yang
diterbitkan sempena 20 Tahun Harakah (1987-2007). Kolaborasi diterajui Ahmad
Lutfi Othman ini diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS
Pusat, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2007)
No comments:
Post a Comment